Selasa, Julai 13, 2010

KEADAAN AKU INI PELIK TETAPI KEBIASAANNYA BENAR..

Tajuk ini aku pilih kali ini....
Keadaan aku yang pelik ini tetapi kebiasaannya benar... Apa yang pelik dan apa pula yang benar..

Suatu masa dulu aku tersenyum dan tergelak sendiri apabila mendengar cerita daripada rakan-rakan atau saudara maraku tentang suatu keadaan yang berlaku dan berfikir mana logiknya cerita itu... Kesakitan seseorang dirasai oleh seseorang lain kerana keakraban dan tautan naluri..
Kegelisahan dan rasa sesuatu tidak baik akan hadir kepada orang-orang terdekat dan ditandai atau diisyaratkan melalui pelbagai kejadian.. Contohnya si isteri hamil dan si suami mengidam..

Suatu masa kakakku bercerita... seorang rakan lelakinya mengidam macam-macam kerana isterinya hamil... sedangkan si isteri tidak mengalami sebarang rasa teringin atau mengidam itu... aku gelak sahaja kerana aku kira cerita itu rekaan semata-mata.
Namun, aku akur apabila seorang saudara jauh menghadapi kemalangan kerana mabuk, pitam dan rasa meloya yang teruk. Tiba-tiba dia berasa pening dan mabuk, serta rasa meloya dan hilang kawalan kepada motorsikal yang ditungganginya.. Mujur ketika motorsikalnya tersasar ke parit tiada kenderaan lain di belakangnya...

Selepas kejadian itu, aku bertanya kepada nenek saudaraku yang kebetulan seorang bidan lama... Dia kata, tidak mustahil perkara itu berlaku.. kerana naluri seseorang itu kadangkala menautkan segala rasa sakit, gembira dan seumpama kepada seseorang yang sangat akrab itu.. dan aku mulai mempercayainya...


Kata nenek itu, itu dipanggil gerak rasa atau naluri. Kadangkala 'perkongsian' sebegitu adalah melalui suatu 'perjanjian' antara kedua-dua pihak suami-isteri itu.
Kejadian seumpama itu tidak menjadi pelik... apatah apabila berlaku kepada ahli keluargaku sendiri... contohnya, apabila abang iparku akan demam beberapa hari ke seminggu atau berminggu-minggu setiap kali kakak sulung ku hamil... lazim setiapkali iparku demam yang teruk, kami akan mendapat khabar baik itu... Hal lain juga apabila tiba waktu bersalin, ibu ku akan mengalami konstuksi bersalin dan ibu juga akan tahu sama bayi itu atau cucunya itu sudah selamat dilahirkan.. Katanya itu naluri keibuaan terhadap anak-anak..

Hal itu juga tidak menjadi pelik, apabila hal yang sama berlaku kepada aku ini... Aku akan terasa sesuatu keadaan apabila ibu ku tidak sihat dan ahli keluarga mengalami kesukaran... Apatah lagi jika setiap ahli keluarga... adik-beradikku dan iparduaiku hamil... Aku akan terasa mual dan kadangkala aku boleh mengagak berapa bulan kehamilan mereka..
Pernah suatu masa apabila adik ku minta untuk aku mengurutnya aku bertanya dia, kandungannya berapa bulan dan kunyatakan juga jangkaanku... lalu hendak dijadikan cerita, adikku memarahi kakakku kerana membocorkan berita kehamilan... tapi aku menjelaskan, bahawa aku memang ada perasaan tentang kehamilannya. Maka terpaksalah dia memohon maaf kepada kakak ku kerana bersalah sangka..

Cerita lain tentang keluarga ku ialah tentang adikku yang seorang lagi... jika dia hamil dia memang bersenanghati tidak perlu meminta apa yang dia suka malahan akan tersenyum apabila pulang ke rumah semua sudah tersedia.. Semua itu disebabkan rasa mengidam itu ada pada aku, dan aku akan mencari sedapat mungkin apa sahaja yang aku teringin itu... malah semua orang akan merasakan makanan itu termasuk adik yang hamil itu... sehingga suatu masa dia ingin menyembunyikan, aku dapat mengagaknya kerana ada pergerakan dalam tubuhku... maka aku boleh mengagak berapa bulan kandungan itu..

Tidak menjadi pelik apabila berlaku kepada saudara atau keluarga sendiri...

Kini, menjadi pelik kerana aku sering mabuk, pitam, pening, meloya dan mengidam apabila sesiapa yang menjadi kenalanku, juga sesiapa yang sering berada di sekelilingku walaupun bukan yang akrab hamil...
Dahulu jika yang hamil itu selain keluarga adalah teman-teman akrab yang boleh membuat aku berasa begitu 'tersiksa' mengidam... Bukanlah masalah kerana yang akrab dengan ku tidak begitu ramai... Setiap kali aku mengalami alahan itu aku boleh bertanya..

Ada juga rasa gembira apabila khabar itu sampai kepada aku ini... dan selain rasa gembira tentang bakal kehadiran keluarga baru itu, khabar itu juga bermakna rasa mabuk atau mengidam itu akan hilang...

Hari ini 14 Julai,2010.... Beberapa kejadian berlaku beberapa hari dan minggu yang lalu... Aku sebenarnya terasa siksa dan tertekan dengan keadaan aku ini... Setiap hari aku akan muntah-muntah dan mabuk... Kadang-kadang melampau... sehinggga keselesaan aku kepada aktiviti harian juga kadangkala terjejas.. Malah jadi kesukaran apabila aku mula mengidam makan makanan yang agak jauh tempatnya untuk didapati... aku akan memandu jauh adakalanya berpuluh kilometer untuk mendapatkan semangkuk mee atau sepinggan nasi.... dan setelah merasai makanan itu, aku tak mungkin menghabiskannya.... Keloyaan baru datang, keinginan kepada makanan lain tiba... sehinggalah aku tahu siapakah yang sedang hamil...
Tentu pelik, kan.... tapi itulah hakikatnya...

Beberapa hari lalu aku bermimpi beberapa orang yang selayaknya tidak dalam mimpi aku ini, namun aku berat menyatakan bahawa merekalah yang hamil... Namun beberapa hari ini, dua orang memaklumkan bahawa mereka hamil..... Alhamdullillah, kerana mereka memberitahu walaupun aku tidak bertanya-tanya... seorang itu berkata mendengar aku merungut kepada seorang rakan, dan seorang lagi mendengar aku meloya-loya dan muntah-muntah dalam tandas.. Mungkin mereka kasihan kepada aku, kerana sebelum ini aku bertanya juga.. cuma kini aku sudah malu hendak bertanya...

Akan tetapi, hari ini aku masih merasakan pelbagai keinginan atau rasa mengidam itu malah masih muntah-muntah waktu pagi... apa mereka panggil? " Morning sick" bagi perempuan mengandung... Aku sudah malas hendak bertanya.... Mungkin isteri kawan-kawan ku pula... Semoga akan ada khabar yang menyusul kelak...


Banyak juga kisah yang memulakan kisah aku ini... antaranya mimpi aku yang beberapa kali membidani perempuan bersalin... aku memang tidak mahu mendalami atau percaya akan mimpi-mimpi itu tetapi yang nyata, naluri aku kepada wanita hamil agak tinggi... dan aku memang sudah bisa mengurut secara tradisional.. Seorang perempuan memang pernah menghampiriku. Perempuan itu agak tua.. yang pelik dia bertanya tentang suatu ubat... tidak aku ingin menyatakan di sini... lalu aku bertanya kembali kenapa dia memintanya daripada aku? Perempuan separuh umur itu menjawab bukankah aku ini seorang yang 'pandai' dalam perubatan tradisional dan perbidanan...
AAHH!!! Biar betul.....
Aku tidak pernah jadi bidan dan aku tidak tahu amalan perubatan alternatif mahupun tradisional seperti yang dimaksudkan.. Memang banyak yang menawarkan untuk mengajar aku, tetapi aku tahu aku tidak mampu... maka mana mungkin 'ilmu' itu akan datang tanpa aku mempelajari... Dan mungkin aku boleh mengubati...tetapi untuk diri aku sendiri sahaja, itupun kerana suatu masa dulu aku pernah dianiayai orang... disihir dan disantau. Maka amalah itu daripada beberapa orang ustaz dan bapa angkatku, amalan untuk diri sendiri...
Dan, aku tidak bersedia, malah bukan seorang yang begitu sabar dalam amalan alternatif ini....

Mungkin semuanya ini tidak pelik bagi sesetengah orang... tapi sedikit pelik bagi diri aku sendiri. Bagi rakan-rakan sekerja apatah lagi keluargaku... kepelikan kepada diri aku ini, mungkin telah mereka yakini.. Maka jika mereka terasa kasihan kepada aku, mungki.... mereka akan bercerita sendiri kepada aku. Aku ingin berterima kasih kepada mereka yang perihatin dengan keadaan aku ini... Biarlah bermula dengan rasa kasihan dengan keadaan aku, tetapi tindakan memaklumkan berita-berita gembira itu adalah sesuatu yang menyelesaikan masalah dan menyenangkan keadaan aku ini. Bukanlah aku menolak 'anugerah' ini tetapi ada waktu-waktu aku kurang selesa dengan diri aku... Semoga apa yang aku alami ini suatu kebaikan bukan kemudaratan... sama ada untuk diri aku sendiri, keluarga, rakan-rakan, kenalan mahupun sesiapa sahaja...Semoga kebaikan ini juga memberikanku kemaslahatan yang banyak di dunia dan akhirat... InsyaAllah...

Yunimaha5

2 ulasan:

  1. Subhanallah...macam tak percaye je..

    BalasPadam
  2. Itulah kebesaran ALLAH untuk saya...Alhamdullillah... Jelasnya, hari ni saya dapat tahu Us.Rosnani dan Us.Nurasyimah hamil... masih lagi menanti, siapa pula lagi yang hamil kerana masih dalam keadaan mabuk itu....

    BalasPadam