Ahad, Januari 31, 2010

BIARPUN KISAH ITU SUDAH BERLALU,PREJUDIS MASIH MENGEKANG DIRI...


Bukan mudah untuk menghadapi sesuatu perkara yang ada dalam kalangan kita, sekitar kita namun untuk kita lihat dan tanggapi. Itulah hakikatnya
kehidupan yang sentiasa tidak menentu.

Aku kira kehidupan aku ini lebih tenang, selesa dan stabil. Bukan dalam aspek kewangan semata-mata, malah lebih kepada apa yang ada dalam jiwa dan hati nuraniku ini. Aku hanya ingin kisah-kisah silam terus berlalu. Dalam hati aku ini ada matlamat yang ingin aku capai.. Biarlah ia menjadi rahsia dalam hati ini!

Aku juga ingin mengaplikasikan nasihat aku kepada orang lain untuk aku gunakan sebagai nasihat kepada diri aku sendiri. Buat kali ini catatan ini berkisar secara umum apa yang berlaku di sekeliling aku ini. Aku tidak pasti sama ada ia bersifat peribadi mahupun tidak..

Aku sebenarnya amat rimas dengan beberapa situasi namun tidak pula aku dapat menyatakan secara terus terang kepada yang terlibat, apatah lagi sebenarnya dalam hati aku ini belum bisa memaafkannya atas perbuatannya yang lalu. Sehingga kini aku masih memujuk hati ini memaafkan dengan ikhlas. Perbuatan baik dan menjaga hubungan sesama muslim ini aku sandarkan untuk membolehkan aku tidak tersasar daripada jalan yang sepatutnya. Dan siapalah aku untuk menolak sebarang hubungan kepada aku.. biarpun luka dalam hati ini masih lagi berdarah, tanpa sedar aku cuba menghindar daripada bersangka buruk atas segala sesuatu yang berlaku..

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
"Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri darimu." (Ali Imran :159)

FirmanNYA lagi yang bermaksud :
" Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (Al-Araf : 199)

dan pada firman yang bermaksud :
"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri berat terasa olehnya penderitaan kamu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat berbelas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin" (At-Taubah: 128)

Betapa kerdilnya aku di dunia ini...namun aku tidak mahu sesekali meninggalkan tanggungjawab aku kepada mukmin yang lain di samping mengingkari sikap berbelas ihsan sesama manusia di muka bumi ini.

Jika tersalah maafkan aku terlebih dahulu.... aku berasa kesal dengan beberapa perkara dahulu. Apakah tiada kemaafan kepada aku, sehingga sikap prejudis dia tidak pernah padam terhadap aku. Aku mencintai dia selayaknya dia di muka bumi ini... maka aku berasa berhak dengan apa yang aku cintai setakat yang aku cintai... tidak perlu memiliki jika mencintai... Untuk dia juga. Tiada cinta melebihi cinta aku kepada DIA..

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya pada saat ketika Allah menciptkan langit dan bumi. DIA menciptkan pula seratus buah rahmat (kasih sayang), setiap rahmat itu itu menutupi sesuatu di antara langit dan bumi. Kemudian Allah menjadikan dalam bumi satu rahmat. Maka dengan rahmat itulah orang tua menyayangi anaknya dan binatang buas serta burung saling menyayangi satu sama lain" (Hadis riwayat Muslim)


DAN, sebaliknya...barang siapa memutuskan rasa kasih sayang tersebut, maka ALLAH akan memutuskan hubungan kasih sayangnya. Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
" Orang-orang yang menyayangi akan disayang oleh Allah Taala. Sayangilah sesiapa saja yang berada di bumi, nescaya engkau akan disayangi oleh yang berada di langit. Kasih sayang itu adalah tali persaudaraan daripada Allah. Barangsiapa menghubungkannya, maka ALLAH akan menyambung hubungan dengannya dan barangsiapa yang memutuskannya, maka ALLAH akan memutuskan hubungan dengannya." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)




Aku tidak pula pandai, namum aku mengetahui... dan aku berpegang dengan," Manakan sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui"... maka aku ingin meluahkan rasa hati aku ini berdasarkan apa yang aku tahu.

Seseorang dalam hidup aku ini sering sahaja menyebut dia yang sudah berlalu dalam hidup aku ini dalam bicaranya.. Bukan aku sudah benci tapi aku tidak suka.. Menyebut dia seorang suami kepada oranglain oleh seorang dia seorang isteri kepada orang lain.

Entah apa maksudnya, niatnya... aku tidak pasti dan aku tidak seharusnya campurtangan tentang dia lagi. Aku cuba dan ingin menegurnya, tapi siapa lah aku... sedangkan aku punyai sejarah dengan mereka. Aku bukan beriri hati... aku bukan berdendam... Dalam hati aku ini sentiasa ada doa buat dia biarpun dia sangat prejudis kepada aku.. Tidak mengapa kerana DIA yang satu itu lebih mengetahui apa yang ada dalam hati aku ini... Adalah tidak manis teman, di bibirmu itu seorang isteri tidak pernah lekang nama dia seseorang yang pernah aku cintai itu, dan masih aku cintai selayaknya itu...lebih daripada menyebut nama suamimu.. Aku, tidak sedikit teruja, namun aku berpendapat itulah maruahmu.. seorang isteri. Jagalah bicara ketika berkisah.... Lebih baik jika tidak menyebut dia. Lebih baik jika tidak mengaitkan dia. Lebih baik jika tidak mendekati dia.... temanku.

Aku dalam azam dan tekad aku ini, termaktub tentang dia.... tentang maruah diri aku yang pernah diperlekehkan.. Kerana sikap prejudis dia itu terhadap aku, aku akur.. Biarlah aku tidak punyai kaitan dengan dia lagi. Sebagai seorang teman, dikau perlu mengetahui, sepatutnya memahami. Hanya kerana usia aku, situasi aku, harapan aku... maruah diri aku dipertikai... bukan mudah teman untuk menerima hakikat itu... umpama kita ini tidak bermaruah, hanya kita mencintai seseorang dan menyatakannya. Aku sudah berhenti... sejak dulu lagi....tidak pula sebenarnya mengejar dia, hanya bertindak sebagai seorang penasihat, jika diperlukan... hanya bertindak sebagai pemantau jika diikhtiraf.... memberi nasihat buat seseorang yang aku kasihi. DAN, semuanya itu sebenarnya untuk aku.

Dalam menjaga maruah diri, seorang isteri itu sepatutnya dalam bicaranya tiada lelaki lain melebihi suaminya. Tiada pengorbanan yang lebih baik selain untuk suaminya... Tiada masa yang bermakna selain diperuntukkan untuk suaminya... Aku tidak pernah mengalaminya, namun apa pula faedahnya menyatakan atau membuat pernyataan, mahupun beranggapan lebih baik isteri orang lain itu bersama seseorang dia yang bergelar suami orang lain bersama dengan isterinya sendiri.


Aku bukan cemburu... tidak sesekali.... tetapi aku lebih rela dia bersama isterinya ke mana-mana, dalam keadaan suka dan dukanya... biarlah dia bersama isterinya yang tercinta... jika itu hak isterinya itu pula... Aku kira itu juga maruah yang sering dipertikaikan buat aku... maruah yang diperlekehkan... Aku pasti kalian faham. Tapi adalah lebih baik aku daripada kalian, jika dalam kemesraan itu ada dosa yang tidak kalian sedari.

Sudah beberapa ketika aku menyimpan kekesalan dalam hati. Sejak dulu pula aku ingin menyatakannya.. Sudah beberapa kali aku ingin memperbaiki hubungan dengan dia, kerana aku khuatir dengan hubungan ini pula dalam prejudis ini juga... maka DIA akan menjauhi aku. Maka kini aku mencatat dan meluahkannya. Jika memahami, cubalah mengubahnya. Jika aku dikatakan tidak bermaruah....mana pula hilangnya ketinggian maruah kalian.

Aku sentiasa positif dengan banyak perkara. Jika dia prejudis kepada aku... aku memahaminya. Mungkin ketinggian akhlak yang ada pada diri aku ini tidak menepati sasarannya. Mungkin juga niat aku ini tidak setaraf piawaian yang ditetapkan oleh dia... Aku tidak kekurangan apa-apa dengan sikap prejudis dia..... Semoga aku akan tergolong dalam kelompok yang DIA kasihi.

Aku dalam sedarku sering melihat dia.... perihatin kepada dia. Namun, aku selalu sedar tiada satu ruang pun untuk aku di sisi dia. Walaupun sebagai musuh, apatah lagi sebagai teman, mahupun saudara seagama... tidak mengapa. Kesedihan aku terhadap kebencian dia kepada aku tidak seberat kesedihan aku kehilangan sahabat-sahabat baik yang sering menasihati aku... menemani aku. Dan yang penting aku ada DIA, Cukuplah DIA menjadi pelindungku....


Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud :
" Barangsiapa yang mencintai seseorang kerana ALLAH, membenci kerana ALLAH, memberi kerana ALLAH dan mencegah kerana ALLAH...maka dia telah menyempurnakan keimanannya.." (Hadis riwayat Abu Daud).

Aku berpendapat dia, dia, dia dan dia mengetahui... aku tidak mencintai seseorang itu hanya kerana dia hebat... sedikit sekali.... dan aku mungkin mencintai seseorang itu kerana kekurangannya...banyak sekali.

Cukuplah aku kira membicarakan permasalahan dan persoalan ini.. Aku hanya akan mendoakan agar kalian bertanggungjawablah kepada pasangan masing-masing.... Jagalah amanah ALLAH kepada kalian itu.. Utamakan yang lebih utama.. Ibumu 3x, ayahmu.... orang-orang soleh dan berilmu, dan saudara seagamamu... panjangkan pula kepada semua makhluk ciptaanNYA.

Inilah aku termampu... biarpun inilah juga selemah-lemah imanku namun aku berusaha untuk menasihati walaupun tidak diperlukan. Sabda baginda SAW yang bermaksud :

"Janganlah saling memutuskan(Hubungan silaturahmi). Janganlah saling membenci. Janganlah saling membelakangi. Janganlah saling beriri hati. Akan tetapi, Jadilah kamu hamba ALLAH yang bersaudara. Tidak dibolehkan seorang muslim mendiamkan diri (tidak menegur) saudaranya lebih dari tiga hari." (hadis riwayat Imam Ahmad:Al-Bukhari dan Muslim).

Wallahualam.









Khamis, Januari 21, 2010

KENAPA AKU HARUS MELALUI SEMUA INI????

Suatu persoalan yang melanda benak fikiran aku hari ini... Ketika aku perlu melalui banyak perkara dalam satu masa, serentak dan sekali gus... Ya ALLAH, kenapa aku harus melalui semua ini.... Ya ALLAH, kenapa ujian MU seberat ini.... Keluh kesah mengiringi nafas yang silih berganti... Dalam dada terasa beban yang menghimpit... terlalu berat dan terlalu menyakitkan... Ya ALLAH kenapa mesti begini perjalananku... Sukarnya aku melaluinya, kenapa aku?? Bertubi-tubi!Astaghfirullah Al-Azim.... Inikah iman dan keikhlasan aku? Biarlah aku menangis sekarang, biarlah beban itu terlalu berat sekarang... Aku redha, aku ikhlas menerimanya... Ampunkan aku yang alpa dan tidak berdaya ini...



"Allah tidak menguji seseorang itu melainkan bersesuaian dengan kemampuannya"

Ayat yang aku pegang setiap kali menerima musibah, setiap kali menempuh halangan dan kepayahan, setiapkali melalui dugaan.... Dan, aku terlupa... Ampunkan Aku.... sesungguhnya aku tidak pernah menidakkannya, melainkan melaluinya dengan kuat dan tabah..

Ketika airmata aku ini menitis ke pipi tanpa bisa aku tahan, seorang sahabat melihat aku dan berkata, "Aku tahu kau kuat... Bersabarlah. Jika selama ini kau bisa melaluinya... pasti kau akan terus dapat melaluinya"


"Tapi aku sudah terlalu penat... Aku tidak sekali-kali berputus asa... dan kini aku sudah terlalu penat!" Aku tidak dapat bertahan lagi. Itulah hakikatnya...

" Kau tahu nasihat dan sumpah baginda SAW? Antaranya, bersedekahlah nescaya kau tidak akan menjadi miskin... Laluilah penganiayaan dengan sabar, kau akan menjadi lebih mulia dan janganlah meminta-minta, kerana ia pintu kefakiran... "

Aku sememangnya akur... Pernah aku membacanya dan aku tahu pasti sunnah itu benar.. namun aku sendiri tidak punya keyakinan apakah yang aku lalui ketika ini suatu penganiayaan. Aku cuma memikirkan kejamnya mereka yang menambahkan beban tanggungjawab dan amanah kepada aku, bertimpa-timpa, berturut-turutan.... sehingga aku berasakan begitu tidak mampu untuk melaluinya..... aku bukan sekadar berasakan keletihan itu, malah aku sangat menyesali dan sedih kerana menolak, dan menolak... dan aku ingin sekali mereka tahu...
aku sudah tidak mampu untuk melalui banyak tanggungjawab, amanah yang banyak... sedangkan dalam masa yang sama di sekeliling, sindiran....tohmahan....komentar.... sentiasa ada mempertikai pelbagai perkara... sedang yang bertindak begitu hanya bisa mengomel, tetapi tanggungjawab atas menyempurnakan sesuatu dilonggokkan kepada orang lain.

Aku tidak sesekali ingin menuding, cuma aku ingin sekali mereka faham... fizikal aku sama dengan mereka...punyai sepasang tangan, sepasang kaki, sepasang mata dan sekujur tubuh...biarpun tiada cacatnya. Sebagaimana mampu kalian menanggung segala tanggungjawab selayak itulah juga kemampuan aku... tidak lebih, malah tidak juga kurang.... aku bukan punya 2 pasang kaki...jika ada pun pastikah semua anggota itu berfungsi? Aku tidak miliki lebih daripada sepasang tangan, sehingga membolehkan aku berbuat sesuatu yang melebihi orang lain.... jika ada sekalipun, mampukah aku mengendalikannya.... Aku hanya ada sekujur tubuh... untuk memikul asakan-asakan beban...bukan dua, bukan tiga apatah lagi empat... jika adapun bolehkan aku berdiri seimbang untuk melakukan semua perkara serentak?

Sedih dalam hati ini, aku pasti kalian tidak akan ketahui jika tidak aku ungkapkan. Aku sedih kerana kepercayaan kepada aku ini terpaksa aku patahkan..

Aku sedih keyakinan kepada aku ini terpaksa aku sangkalkan...
Aku sedih amanah yang diberikan terpaksa aku tolak...
Aku sedih, sedih dan teramat sedih.... aku sedih!!!!

Tapi aku punyai hidup yang perlu aku lalui juga... aku punyai keluarga walaupun tidak sehebat keluarga kalian... Aku hendakkan kesenggangan walaupun tidak selewah masa senggang kalian... Aku mahukan ketenangan biarpun tidak sesenang dan seaman kalian... Yang paling utama... AKU INGIN DAN MAHU MASA INDAH DAN KETIKA BERMANAFAAT BERSAMA DIA.. DIA yang amat aku cintai.

Biarpun jika aku ikhlas dengan semua ini, aku tetap bersama DIA...
Biarpun jika aku sabar dengan kepayahan ini, aku tetap di sisi DIA...
Biarpun jika aku redha melaksanakan kepercayaan yang kalian berikan, aku tetap dekat dengan DIA....


Namun...
Aku ingin berbicara dengannya melalui QalamNYA... Al-Quran
Aku ingin memeluk dan membelainya melalui perintahNYA.... Sholat
Aku ingin mendampingi dia dan bersenang-senang denganNYA...Munajat
Aku ingin sentiasa berbisik kasih sayang dan bercinta denganNYA... Zikir
Aku ingin memenuhi HakNYA...berpuasa.

DAN, banyak lagi aku inginkan bersama DIA.....

Tetapi, JIKA bersama kalian sepanjang masa..... Bagaimana ikatan, tautan, hubungan Aku dan DIA?????

JAWABlah kepada aku ini...
Kenapa aku perlu bersama kalian melebihi DIA?
Kenapa aku patut melakukan amanah kalian melangkau kepentingan DIA?
Kenapa aku mesti memenuhi kehendak kalian melepasi keutamaan DIA?

Tiada apa yang ingin aku pinta....
berilah sedikit kesenggangan, jika bukan untuk aku pun... asalkan aku punya segalanya...masa, ruang, perhatian, kecintaan, kerinduan kepada DIA...
INILAH KESEDIHAN AKU... Kesedihan sebenar aku..... Bukan kerana beratnya bebanan itu
Bukan juga kerana payahnya tanggungjawab itu... Bukan pula kerana sukarnya melaksanakan kepercayaan itu... CUMA, aku hanya ingin bersama DIA..


Hati aku ini sudah menjadi reda... semoga emosi akan terus stabil.... tindakanku akan terus rasional...

Dan, aku sentiasa berdoa untuk suatu "Salam (damai), suatu ucapan penghormatan yang diterima daripada Tuhan yang Maha Pemurah" yang tertera dalam surah Yasin ayat 58....

Aku mencatat segalanya di sini, semoga ada yang mengerti... dan aku ingin memohon kemaafan kerana semua ini pula... Semoga akan ada banyak cara untuk kita saling mencintai sesama saudara muslim..... MAAFKAN AKU....



"Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan di akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya di sisi manusia " - Imam As-Syafie.

Dan semoga aku bisa mengawal hati dan diri aku ini menerusi akal dan sifat serta kelemahan aku ini tidak menjadi sebab terjerumus ke dalam pujukan hawa nafsu dan semoga perasaan yang ada kekurangan ini tidak menenggelamkan rasional aku kepada segala sesuatu. Serta semoga aku dapat membuat pertimbangan yang betul dalam apa juga tindakan dan keputusan...


"Ya ALLAH, peliharakanlah akhlak aku ini dengan segala keindahan iman, ihsan, ikhlas dan taqwa... yang sebenar. Dan lorongkanlah aku ke jalan yang lurus dan benar menuju MU...."

Semoga pernyataan dalam ayat 47, surah arRum yang bermaksud :
"Dan, adalah menjadi hak (tanggungjawab) Kami untuk menolong orang-orang yang beriman."

......Akan bisa aku kecapi...

Dan...jika sekiranya musibah, bebanan, kesulitan, kepayahan dan seumpamanya yang berlaku ini akibat olahan dan perbuatan aku sendiri.... Aku bermohon kepada DIA...
Semoga segalanya dapat aku perbaiki...

Jumaat, Januari 15, 2010

KATA AKAN TERUS AKU KOTAKAN,BIARPUN SECARA PERLAHAN-LAHAN

Itulah janji aku kepada diri aku ini, suatu masa dulu....
Aku akan mengotakan kata walaupun ia akan terlaksana lambat sekali namun aku akan pastikan matlamat itu tercapai.

Kini aku yakin jalan aku mengotakan kata-kata itu semakin mudah....dan tidak lama akan datang pasti doa-doa aku ini akan diterima oleh DIA yang aku kasihi dan cintai itu..


Mungkin bukan mudah bagi aku.
Mungkin bukan juga terlalu sukar...
Namun pelbagai kemungkinan ada di hadapan... dan perjalanan aku semakin jauh.


Biarpun tiada siapa yang bakal menyedari...
Apa yang pasti aku sedang mengotakan kata dan janji...


Kini, mungkin kerana faktor usia ini... aku tidak berkuasa untuk melayan-layan karenah mereka, dia dan dia.... semua di sekeliling aku. Aku juga semakin banyak berfikir... maka mulutku ini semakin tertutup..


Ada kisah yang tidak ingin aku kongsikan
Ada luka yang sedang aku baluti
Ada cerita yang sedang aku terokai...
Biar sahaja tiada siapa yang tahu....


Aku sengaja menjauhkan diri...
Aku sengaja tidak mahu campur tangan..
Aku sengaja tidak ingin mendengar...
dan yang sebenarnya...
Aku tidak ingin bersama lagi...


Azam demi azam yang kita ciptakan mungkin tidak akan kesampaian ketika tempoh yang kita tetapkan berakhir... namun tempoh itu akan berakhir pula hanya selepas azam dan niat di hati aku ini terlaksana...


Maka ingin sekali aku katakan..
dan aku ingin sekali dia, dia, dia, dan mereka ketahui...
jika aku berkata, saban hari aku berdoa akan mengotakannya
jika aku berjanji, saban waktu aku berdoa akan menunaikannya
dan jika aku berhutang pula, maka saban ketika dan saat aku berdoa untuk melangsaikannya...
Inilah aku sebenarnya aku... insan kerdil yang mengharap ehsan... yang ikhlas dan seikhlasnya.


Maka ketika aku melihat harapan aku ini dilaksana biarpun bukan aku sendiri yang melakukannya, merasainya, menikmatinya.... aku akan sangat gembira...

Buat dia yang aku cintai sewaktu waktu yang lalu...
mungkin yang masih lagi aku kasihi kini...

Biarpun ada kehampaan dalam hati aku ini namun aku bersyukur kepada DIA kerana menjaga dia dengan baik.

Biarpun bukan makan daripada hasil air tangan aku ini...

biarpun bukan memakai pakaian yang aku jahitkan....

biarpun bukan gembira ditemani aku.... aku sesungguhnya amat bersyukur....

Namun kehampaan itu masih ada dalam hati ini... kerana di tanggapan dan pandangan aku yang jauh dari hatinya ini.... dia tidak berada dalam keadaan yang aku harapkan, yang aku doakan...


Entah mengapa aku rasakan ada kesedihan dalam hati dia...
Entah mengapa aku rasakan ada kehampaan dalam pengharapan dia...
Entah mengapa aku rasakan ada kesunyian dalam ruang keriuhan dia...
Entah mengapa aku terasa, berasa dan rasakan ada sesuatu yang tiada dalam hidup dia...


Dan aku hanya mampu mendoakan buat dia...
dan aku akan mampu mendoakan buat dia...
dan aku hanya mahu mendoakan untuk dia....
tidak lebih dari itu...
tidak kurang dari itu...
DOA yang ikhlas dari aku ini yang mencintai dia selayaknya...

Kini, kata-kata aku dulu...
Kini, usaha-usaha aku dulu...
Kini, janji-janji aku dulu....
Kini, harapan-harapan aku dulu....

Aku cuba semampu dan sedaya serta seupaya aku menunaikannya...

Aku sudah tiada dalam lingkungan dia...walaupun aku hampir...

Aku sudah jauh daripada pandangan dia....walaupun aku ada...

Aku sudah lolos daripada ingatan dia ....walaupun aku wujud...

semoga aku akan terus tiada, musnah, hilang, luput.... biarpun kenyataannya aku sentiasa ada.

Itulah antara janji aku jika ada yang tahu
Itulah antara kata aku jika ada yang faham
Itulah antara harapan aku jika ada yang mengerti...

Kerana dalam hati aku ini ada keikhlasan
kerana dalam doakan aku ini ada ketulusan
kerana dalam harapan aku ini ada ketelusan
dan
kerana dalam hidup aku ini ada DIA yang utama......


Jika aku melukakan hati, maafkan aku
Jika aku menghiriskan hati, maafkan aku
Jika aku menghampakan harapan, maafkan aku....
Biarpun lambat pasti aku kotakan... itulah kata-kataku....
Biarpun sedikit demi sedikit aku pasti akan melaksanakan...
Biarpun sekelumit masa yang ada... aku akan menunaikan...
Cuma,
semoga ada kesabaran dalam hati.....
semoga ada kecekalan hati melaluinya... lalu semua akan direstui....InsyaAllah.

Isnin, Januari 04, 2010


Beberapa minggu ini aku berasa sebal... dengan pelbagai situasi dan perkara. Yang pada aku hanyalah satu kesilapan besar daripada kealpaan yang kecil....
Apapun sebelum aku meneruskan catatan ini, aku ini aku ingin mengucapkan "Kulluam wa antum bikhair".
Aku sedar sesiapa yang menjelajah ruangan ini mungkin akan tertanya-tanya... Namun apapun pemahamannya, sebenarnya banyak yang ingin aku sampaikan dalam catatan ini...dan banyak lagi yang aku pendamkan, jika selesainya catatan ini semua yang terpendam itu akan keluar alangkah bagusnya... Bukan dendam, namun sedikit rasa kesal... Bukan juga kerana aku ini 'baik' maka semua yang lain itu tidak baik.... Bukan kerana aku ini bagus, maka yang lain itu banyak pincangnya... Bukan aku ini hebat, maka yang lain itu naif.... Aku hanya mengingatkan diri ini.... kerana dengan catatan ini, aku bisa untuk membaca dan menilai semula apa yang aku rasakan, pendapatku, rasa terbeban dalam hati.... Mungkin suatu ketika nanti, ketika aku membaca lagi catatan ini, aku akan ingat. Mungkin ketika memahami apa yang tersurat aku akan muhasabah kealpaan lalu... atau mungkin ketika aku menyelami bait-bait ayat ini... tafsiran aku ketika itu berubah.
Ada kalanya seseorang itu berasakan dirinya seperti teraniaya, sehingga amanah dan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan dianggap sebagai suatu bebanan. Sedangkan untuk tanggungjawab itu, kita dibayar dengan upah yang kita panggil gaji atau pendapatan. Pendapatan yang kita banggakan sebagai halal dan bersih daripada gejala yang tidak halal... Dengan rasa bangga atas apa sahaja gelaran yang disandang...
Aku kira banyak antara kita ini lupa.. bahawa dalam rezeki yang kita perolehi itu ada hak orang lain. Mungkin sedikit, mungkin juga semuanya.... Waima jika di dunia ini kita tidak punya apa-apa.... rezeki itu sebenarnya sentiasa ada untuk kita.. Ada banyak, di mana-mana.... dan bisa kita perolehi dengan pelbagai cara. CUMA, masih ada antara kita ini sombong...
Ada yang berpendapat, aku bukan dibayar gaji BUKAN untuk melakukan ini... bukan juga melakukan itu... tiada dalam jadual atau syarat tugasan itu... Tiada suatu apapun antara yang aku lakukan itu tidak perlu dibayar, semua mesti dibayar... Itulah nilainya. Dan dengan bangga mendabik dada... sedang dalam masa sama, segalanya telah termaktub. Sewaktu menandatangani perjanjian awal bekerja itu... siapapun majikannya... hanya tandatangan, tidak perlu dibaca... Lantas, selepas itu kita akan sombong dan mendabik dada, aku sudah punya jawatan itu, jawatan ini.... lebih baik daripada kamu, ataupun dia... Sebab apa? Pendidikan aku lebih tinggi daripada dia, maka aku sekarang berada di sini... Biarpun dia lebih lama dan berpengalaman, apa gunanya? Kerana dengan kelayakan aku ini aku sudah berada di takuk yang lebih tinggi daripada mereka...
Namun.... mana pergi sedar? Mana hilangnya kerendahan hati? Mana pula lenyapnya 'kepandaian' itu... hanya kerana tidak ikhlas untuk jawatan itu.... yang sebenarnya tanggungjawab itu!
Amanah bererti kepercayaan
Keyakinan bermakna keyakinan
Keyakinan bersinonimkan keimanan...
Kerana percaya itu, maka kita diberi tanggungjawab
Kerana keyakinan itu, kita diberi tauliah
dan kerana kepercayaan itu dan keyakinan itu juga.... inti sebuah keimanan..
Segalanya mudah....
Ikhlas dengan kepercayaan itu.... menjadi kelapangan yang tiada taranya
Ikhlas dengan keyakinan itu.... menjadi keringanan dan kemudahan tiada bandingnya
Ikhlas dengan keimanan itu..... menjadi kebahagiaan yang luarbiasa...
Ikhlas asas Taqwa
Ikhlas ubat yang mujarab bagi hati dan jiwa yang sakit
Ikhlas tapak kesejahteraan
Genggamlah dunia itu.... sehebat mana kita menggenggamnya... ia masih bersifat fana'...
Sebaik mana seseorang itu, ia masih bersifat dengan banyak kekurangan.
JELAS, JELAS, JELAS....
Aku ingin menjurus catatan ini kepada tanggungjawab sebagai seorang guru.... 16 Mei, setiap tahun ucapan akan sampai kepada suatu golongan yang dipanggil guru.... sebab ia diisytiharkan pada tarikh itu sebagai Hari Guru... Namun, apakah ruh yang ada hanya pada ucapan "Selamat Hari Guru..." setiap 16 Mei itu? SEDANGKAN guru ada guru pada setiap masa, setiap ketika.... Hanya kepada mereka yang bergelar guru dengan jiwa yang ikhlas dengan niat yang ikhlas... menjadi guru. Maka tidak timbul, "Kenapa aku tidak mendapat sebarang hadiah pada Hari Guru ini? Kenapa tiada sesiapa daripada kalangan pelajar mengucapkan selamat kepada aku? Mengapa mereka mendapat lebih banyak hadiah dan ingatan? Mengapa itu? Mengapa ini? Kenapa begitu? Kenapa begini?". SEDANGKAN jika dia guru, dengan apa gelaran pun... teacher, sir, ustaz, ustazah, cikgu.... atau apa sahaja panggilan... Dia akan berasa bangga kerana dia guru, biarpun tiada yang mengucapkannya, tiada apa-apa hadiah, tiada sebarang ucapan selamat atau terima kasih.... Cukuplah dia berasakan dia guru, kerana di hatinya ada ikhlas sebagai guru.... dan DIA (GURU YANG MAHA MENGETAHUI) itu pasti mengerti dan memahami cahaya yang luhur dan ikhlas dari hati seorang guru.... Berkorban demi didikan yang benar... jika bukan di dunia, pasti di akhirat ada ganjarannya... YA, Jika dia guru yang Benar dan Benar di jalan yang benar....
Sebut tentang ibu dan bapa, selesaikah tanggungjawab kita memberikan nama kita sebagai ibu, emak, umi dan nama kita sebagai ayah, bapa, papa, abah dan seumpamanya.... sedangkan dalam masa yang sama kita tidak jelas dengan peranan kita... anak-anak mencari haluan sendiri, seusia empat lima tahun perlu mandiri dan berdikari.... sedangkan kita, orang tua berkata... semua sudah ada, semua sudah tersedia.... maka semua mesti seperti yang terencana.... Sedangkan kita pula adalah guru yang pertama buat mereka.... yang lahir dengan segala kesucian, kerana kita lah orang tua yang bakal mencorakkannya sama ada menjadi majusi, yahudi atau nasrani.... sedangkan kita bertanggungjawab menjadikan mereka Islam sejati...
KEMBALI kepada topik asal perbincangan aku dalam catatan ini.... ikhlas menerima amanah dan tanggungjawab dan melaksanakannya dengan seupaya mungkin, kerana dalam masa yang sama kita pasti menemui ilmu...... pengetahuan, pengalaman dan nasihat yang benar....dan menjadikannya ibadah yang sempurna.
Aku berasa pelik dengan 'attitude' sebilangan kita yang sangat 'sombong' dengan apa sahaja yang dimiliki, padahal bukan sehebat mana pun.... Berasa teraniaya diberi tanggungjawab, berasa hina diberi kepercayaan.... Semua tidak boleh dan segalanya tidak kena... Berfikir secara positif, mungkin ia lebih membantu....lantas ikhlas dalam mencuba sebaik mungkin akan menjadi ubatnya... Rasa takut, rasa bimbang, rasa khuatir... maka semua akan berlalu dengan sesempurna mungkin...
Mungkin Malas,
mungkin sombong,
mungkin benci,
mungkin tekanan,
mungkin perasaan tidak ikhlas itu...akan berlalu?
Usah merendahkan keupayaan dengan menolak kepercayaan orang
Usah menafikan kemampuan dengan sentiasa mengatakan tidak
Usah menurunkan kredibiliti dengan bertanggapan semua tidak boleh....
USAH sampai suatu ketika kita terpaksa 'meminta-minta'
Aku teringat lagu ini.... aku tak ingat keseluruhan liriknya... mungkin banyak yang tidak suka untuk melagukannya.... jika dalam hati mereka berprasangka....
'Anak kecil main api,
terbakar hatinya yang sepi....
airmata darah bercampur keringat...
bumi dipijak milik orang...
Nenek moyang kaya raya....
tergadai seluruh harta benda..
akibat sengketa sesamalah kita...
Cinta lenyap di arus zaman..
Kini kita cuma tinggal kuasa..
yang akan menentukan bangsa...
Bersatulah hati, bersama berbakti...
pulih kembali harga diri....
Kita sudah tiada masa...
Bangunlah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha..
Melayu akan gagah di nusantara....
Aku sering melagukannya sambil berkompang dengan kumpulan kompang di kampung dulu... maka aku tidak prejudis dengan lagu ini.... walaupun aku kira tidaklah lengkap liriknya....
BUKAN lagu ini ingin aku perkatakan, CUMA lagu ini ada inti yang ingin aku tautkan...
Hidup kita, jika sering berkata tidak boleh... pastinya kita tidak akan maju. Apapun fahaman atau ideologi seseorang, mempertahankan negara dan agama adalah perjuangan yang tidak akan putusnya, maka apakah nilai kita dengan tanggungjawab yang sedikit pun kita sentiasa menolak, dan mengesahkan kita tidak boleh... sedang kita belum mencuba... Dalam alam siber, pelbagai hal bergerak pantas meninggalkan kita.... dan di mana kita setahun,dua tahun, tiga tahun..... dan seterusnya jika kita sentiasa kata tidak boleh????
Aku berasa kesal dengan sikap bangsa aku yang semua hal dipandang mudah.... sedangkan mudah itu yang akan membuatkan kita lemah.... berbeza dengan pelbagai tanggungjawab yang dipermudah kerana kita ikhlas, berfikiran positif, ingin berjaya dan berjaya.... berubah kepada yang baik kepada yang lebih baik.... bersedia mempelajari sesuatu..... kita akan menjadi kuat dan kaya....
Aku bimbang dengan sikap anak-anak muda golongan aku, dengan segala kemudahan, kekayaan dan keselesaan... tetapi sentiasa takut, tidak suka dan lemah dengan segala ujian dan cabaran.... Apakah masa depan yang kita ada kelak? Apa kualiti generasi yang kita milik kelak? Aku menjadi takut sendiri... Ilmu yang tinggi yang tercatat di kertas, tidak membuktikan ketinggian orang yang berilmu itu..... maka akhirnya kita akan menghancurkan diri kita sendiri kerana kita TIDAK BOLEH....
Emosiku sudah semakin stabil, tidak seperti awal aku mencatat tadi.... walaupun bukan semua aku luahkan tetapi banyak yang ada dalam hati dan minda ini aku lemparkan ke paparan ini... Jika kalian sudi berfikir bersama aku.... maka selaminya yang tersirat, semoga kita dapat mengubah sesuatu, InsyaALLAH..
Wassalam.