Isnin, Ogos 27, 2012

YANG TERSURAT TAK JELAS, TERSIRAT TIADA TAFSIRANNYA

 Pagi ini aku terjaga dengan pelbagai keresahan dalam hati... bermimpi lagi. Mimpi yang menimbulkan tanda tanya. Sepanjang Ramadan lalu, alhamdullillah tiada sebarang keresahan yang sebegini.. Entah apa yang tersirat. 

        Sebelum itu, dalam kesempatan kita masih berada dalam bulan Syawal ini, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf zahir dan batin. Setakat keikhlasan yang ada ini, aku memaafkan kesalahan-kesalahan semua orang di sekelilingku. Sama ada disedari mahupun tidak, sebenarnya setiap hari pula kita melakukan kesalahan dalam hidup kita sama ada kesalahan dalam diri sendiri mahupun dengan orang lain. 

       Syawal ini amat bermakna bagi setiap insan dengan tafsirannya sendiri. Begitu juga aku, biarpun bukan semua perkara memberikan kesan yang mendalam sekurang-kurang ada sahaja pengalaman dan kisah baru yang mewarnai hidupku dengan indah. Banyak dalam kalangan keluarga membawa kisah dan cerita baru dalam Eidulfitri tahun ini.  Ada yang menerima orang baru, ada yang berpisah, ada yang mendapat laba, ada yang mendapat musibah dan seumpamanya.  Ada kalanya aku merasakan betapa tidak indah dan malangnya hidup aku ini pada waktu-waktu tertentu melaluinya dengan segala kesunyian, kehampaan dan rasa hambar. Namun Eid kali ini aku bersyukur dengan hidupku dan pencapaianku setakat ini, apatah lagi apabila ada dalam kalangan keluarga mengalami period atau tempoh masa bersedih atas berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini. Berasakan diri ini masih jauh beruntung dan bahagia. Semoga saudara-mara dan sahabat handai yang melalui saat getir dan payah dalam hidup mereka dapat melalui dengan tabah dan cekal. Ingatlah Allah tidak akan menguji hambaNYA di luar kemampuan seseorang dan setiap kali ujian itu diberikan kepada kita, bermakna Allah ingin kita sentiasa dekat kepadaNya. 

 Berbalik kepada mimpi aku beberapa hari sejak menjelang 1 Syawal yang lalu, sehingga hari ini sudah 10 Syawal, dengan mimpi yang aku sendiri amat sukar mentafsirkannya. Memandangkan aku sering sahaja sebenarnya mentafsir mimpi-mimpi orang lain, namun untuk hari ini aku serasa tidak mampu untuk mentafsir mimpi-mimpiku sendiri.

       Selang satu hari aku pasti bermimpi bersusah payah memanjat untuk sampai ke tempat tinggi dan akhirnya aku sampai ke tempat yang dituju dengan selamat. Di atas gunung, bukit, bangunan, kawasan tinggi dan seumpamanya aku pasti melihat banyak kebaikan, kehebatan dan pelbagai hal yang indah dan hebat. Walaupun bukan tafsiran yang buruk di sebalik mimpi-mimpi itu, namun ada juga sedikit kegusaran dalam hati ini. Laba dan kebaikan apakah yang akan aku perolehi.
     Selama 10 hari ini, aku biarkan sahaja semua itu berlaku dan ketika sedarku aku sering kelelahan melalui semua itu dalam mimpi-mimpi itu.  Semoga tiada keburukan di sebalik mimpi-mimpiku itu. Bermimpikan arwah bapak juga memberikan aku tafsiran tersendiri. Alhamdullillah, bapaku begitu tenang dan wajahnya bersinar dalam pakaian putih bersih.  Ketika aku bersusah payah mendaki itu, beliau akan memberikan semangat yang membolehkan aku mencapai ke tahap yang sepatutnya. Beliau hanya akan memberikan senyuman apabila aku sampai ke tahap yang sepatutnya. 

     Aku juga bermimpikan beberapa orang yang lain. Entah kenapa mereka perlu hadir dalam mimpiku lagi. Dengan adanya wajah-wajah itu dalam mimpiku, dadaku juga mengalami keresahan yang dulunya pernah hadir dan membuatkan aku tidak selesa. Sejujurnya aku tidak mahu hadir atau ada dalam hidup mereka lagi seperti keberadaan aku dalam hidup mereka ketika dahulu. Ya Allah, ampunkan aku kerana bukanlah aku tidak suka dengan silaturahim ini namun tidak mahu hadir dalam fitnah yang mungkin akan menjerat aku kembali kepada kepayahan dan kesusahan.  Buat dia yang satu itu, aku tidak akan berbuat apa-apa yang berkaitan dirimu lagi. Jika dulu walau seketika dikau hadir dalam mimpiku pasti aku akan memberikan perhatian buatmu.... Kini, aku hanya akan mendoakan yang terbaik buatmu... semoga Allah akan melindungimu walau dalam keadaan apa sekalipun. "SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN.... SEMOGA UKHUWAH KITA AKAN TETAP DALAM REDA ALLAH...'Abid"
 
       Mimpi dinihari hari ini begitu meresahkan sepanjang pagiku ini sehinggalah aku mencatat ketika ini.
Mimpi aku ingin membeli beras dan beberapa keperluan harian yang utama, setelah mengambil semua yang perlu sebelum aku ke kaunter bayaran, ada seseorang yang menahan aku  untuk memulangkan beras, kentang, minyak dan sabun yang aku ambil. Dakwaannya aku akan tertipu dan meminta aku meneliti bahan-bahan itu dengan rapi. Tanpa banyak bicara aku melihat semula barang-barang itu dan didapati beras yang aku ambil dan gula serta sabun telah rosak. Karungan beras telah terbuka, beras telah kembang, setengah hitam dan bercendawan.. begitu juga gula yang sudah bercampur minyak dan ada yang mencair. Sabun juga dalam keadaan yang sangat teruk. Aku berfikir sendiri.... kenapa tadi masa mengambilnya aku tidak nampak semua itu.. aku mengembalikan semua bahan utama itu ke tempat itu semula dan apabila aku berpaling hendak mengucapkan terima kasih, lelaki yang juga pekerja pasar raya itu sudah tiada.  Sementelaah troli yang kosong aku mencari-cari lauk di bahagian basah dan terpandang kerang yang saiz agak besar namun seperti sangat terhad dalam tempatnya... aku berniat untuk mengambilnya namun ketika menghampir tempat itu aku teringat bahawa aku ingin pergi ke bagan tempat kerang dibawa naik oleh para nelayan yang pulang dari laut, maka niat itu aku batalkan.
        Seterusnya setelah menyimpan semua barang aku ingin berjalan ke bagan namun ada seorang gadis ingin menumpangkan aku. aku bersetuju dan dia menunggang motorsikalnya laju.. melepasi kawasan bagan aku hairan kenapa dia tidak memberhentikan aku.... lalu memberitahu aku hala tuju ku ke bagan membeli kerang. Namun dia menawarkan aku ke tempat kakaknya yang juga menjual kerang. namun sebelumnya dia memarahi aku kerana tidak memberitahunya tujuan aku sebenarnya sewaktu dia menumpangkan aku. Untuk mengelakkan ketegangan aku meminta dia menghantarku ke tempat yang dimaksudkan. Sesampai di tempat tujuan, aku turun dan menuju ke arah yang ditunjuki. Aku melihat seorang perempuan muda yang mungkin kakak gadis yang tidak aku kenali itu...seorang kanak-kanak perempuan sedang menangguk air di perairan pantai (bukan laut tetapi pinggir sungai) yang terletak di bawah satu bangunan rumah anak-anak yatim. Di sisi mereka pula ada seorang tua memerhati semua aktiviti di situ. Aku menghampiri mereka dan bertanya tentang kerang itu adakah untuk dijual dan dijawab memang untuk dijual, lalu bertanyakan harganya. Wanita muda itu mengira butir kerang yang ada... tidak begitu banyak. Kemudian aku mendengar dia mengira jumlah bilangan anak yatim yang ada di atas...14 orang semuanya dan seorang kanak-kanak yang bersamanya.Katanya setiap orang anak yatim itu pemilik dua butir kerang itu dan jumlah untuk 30 butir kerang itu ialah RM50... aku terdiam. "Kenapa mahal sangat?" aku mempersoalkannya. Katanya tidak mahal jika dibanding dengan sedekah yang bakal aku berikan melalui bayaran yang akan aku buat. Lalu dia memberikan sedikit tazkirah tentang sedekah untuk anak-anak yatim...serta keutamaan dari sudut ibadah dan menjelaskan apa yang dia lakukan untuk menanggung hidup anak-anak yatim itu. Namun aku menyatakan sedekah itu perlu ikhlas dan bukan secara paksaan seperti itu...malahan dalam jual beli itu juga tidak perlu ada paksaan (memandangkan sebelum itu dia memaksa aku membayar bayaran yang diminta sedangkan dalam tanganku hanya ada kira-kira RM2.50, itupun dalam bentuk wang syiling)
     Wanita itu terus memberikan pelbagai alasan dan kebaikan kenapa aku mesti membeli kerang itu dengan harga itu. Akhirnya aku berterus-terang bahawa dalam tanganku hanya ada sejumlah wang yang jauh sangat sedikit berbanding jumlah yang dia minta dan kemudian menjelaskan bahawa wang yang ada itu aku gunakan sebagai modal untuk membeli bahan untuk aku berniaga bagi menampung hidup beberapa ahli keluargaku yang teraniaya hidupnya dan hidup dalam serba kekurangan. Aku menjelaskan bahawa aku lebih bertanggungjawab berusaha dalam bentuk apa sahaja untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara golongan ini, biarpun mereka bukan anak yatim bagi menyelamatkan mereka terjerumus ke kancah yang tidak sihat.... Tanpa aku menduga wanita itu tersenyum... dan berkata " Itu adalah lebih baik buatmu dan saya tidak akan menjualkan kerang-kerang ini kepadamu kerana wang yang kamu ada adalah lebih baik digunakan ke jalan yang menjadi keutamaan bagimu....carilah erti sedekah dan kenapa perlu kita menjaga anak yatim....namun carilah juga kenapa kamu lebih berkeutamaan untuk melaksanakan tanggungjawabmu daripada bersedekah dan menjaga-jaga mereka anak-anak yatim ini. " 
      Lalu wanita muda itu mengambil semula kerang-kerang yang ada dalam tanganku dengan wajahnya yang manis... begitu juga dengan perempuan tua itu yang memberikan senyuman buatku.... dan aku tersedar! Apakah makna semua ini.... Inilah mimpiku yang tersirat namun aku tidak dapat menafsirkannya, cuma aku akan menelusuri saranan wanita muda itu, demi ilmu kerana Allah..  

       Bukanlah aku sengaja menwara-warakan mimpiku ini dengan tujuan memperlihatkan kebaikan yang ada dalam mimpi itu... apatah lagi disarankan kepada kita oleh pentafsir mimpi yang dikenali sebagai Ibnu Sirin bahawa sesuatu mimpi itu tidak perlu diceritakan kepada umum apatah lagi jika bermimpi buruk. Jika bermimpi baik, bimbang akan menimbulkan rasa tidak senang orang lain dan terhasilnya fitnah.. 
      Namun aku kongsikan mimpi ini sebagai satu perkongsian agar dapat dimanafaatkan. Maka benarlah tanda-tanda hari kiamat itu yang antaranya melibatkan mimpi itu akan sampai secara terus dan kebanyakan benar pada akhir zaman ini. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada setakat hidup aku ini, aku percaya ada suatu kebenaran yang tersirat dalam mimpi ini... dan aku juga pasti mimpi ini merupakan ingatan buat diriku sendiri tentang amanah, tanggungjawab, keikhlasan, bersedekah, keutamaan memelihara anak yatim dan banyak lagi hal yang dipandang remeh akhir-akhir ini.  Hal ini menjelaskan tiada jalan mudah untuk mencapai sesuatu, semuanya berserta niat dan usaha serta keredaan Allah ke atas kita untuk melakukan sesuatu perkara...
        Keberkatan bersedekah itu pula tidak terletak kepada banyak atau sedikitnya pemberian... tidak boleh dipaksa dan ditetapkan... dan keutamaannya mengikut tartil yang digariskan dalam Islam. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.... dan sedekah itu perlulah dirahsiakan dan disembunyikan untuk memastikan tiada rasa riak kerananya... Subhanallah, aku bersyukur aku diberikan peringatan melalui mimpiku ini, biarpun aku masih samar-samar dengan pengertiannya itu, namun aku yakin ingatan ini aku terima kerana aku dalam keadaan keterlupaan... Terima kasih Allah memberikan aku nasihat ini dengan cara yang tersendiri, yang aku selalu fahami dan mengerti..... Masyaallah, alhamdullillah....