Jumaat, Februari 19, 2016

REDHA ITU TIDAK MUDAH walaupun TIDAK MUSTAHIL

Assalamualaikum...
Setelah kira-kira lima bulan menyepi, aku kira sudah agak lama juga sebenarnya aku dilambung kesibukan dan kesempitan ruang masa yang terhad. Menulis dan mencatat bukan lagi menjadi habit dan kebiasaanku. Keluangan masa yang ada juga bukan milikku lagi. Dan, aku perlu menerima hakikat itu dengan sesungguhnya. Adakalanya aku terasa yang urusan dunia ini tidak pernah habis-habis. Maka aku akur juga sebab dalam urusan dunia ini jugalah sebenarnya ada urusan akhiratku. Dengan niat kerana Allah Taala dan cita-cita ingin menjadi insan bertaqwa aku meneruskan perjalanan ini dengan kekuatan yang ada dan kesabaran yang masih bersisa. Sesungguhnya, berikanlah diri ini Ya Allah ketabahan untuk menjadi hambaMU yang diredhai. 

Teringat aku akan suatu hadis, mafhumnya:
Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara.
Lapang sebelum sempit
Senang sebelum susah
Muda sebelum tua
Sihat sebelum sakit 
dan Hidup sebelum mati..

Hadis yang selalu kuulang-ulang. Mengingatkan diri sendiri bahawa segala-galanya daripada Maha Penciptaku. Atas dasar cintaku kepadaNYA dan Rasul SAW...aku teruskan kehidupan ini biarpun adakalanya akan ada banyak duri dan onak yang perlu kulalui... Sesungguhnya segala yang berlaku itu adalah daripada kasih-sayangNYA juga...



        Buat masa ini, aku kira perjalanan hidup ini telah diatur indah oleh Allah. Semua peringkat hidup kulalui dengan pelbagai nasihat buat diri ini. Cuma, mungkin aku tidak berpeluang untuk melalui hidup sebagai seorang isteri dan ibu sepertimana yang diimpikan oleh setiap wanita di dunia ini. Bukan rezeki bagi diri ini, mungkin.
Aku memilih imamku, namun Allah tidak memilih dia buatku. Betapa aku kasih sekalipun akan dirinya, jika tidak dia buatku...jalan yang kupilih pasti buntu. Menghadapi pelbagai bentuk cinta dalam hidupku ini menjadikan aku lebih bersyukur. Bersyukur kerana aku mengerti akan betapa Allah masih memberikan perasaan ini kepadaku sebagai nasihat.
          Biarpun sebenarnya hati ini sedih melepaskannya namun aku akur. Dia telah menentukan pilihannya. Tiada satu pun isyarat bagiku untuk aku terus menunggu dan menghancurkan kebahagiaannya. Dan, bukan aku mengganggu kebahagiaan orang lain. Apatah lagi si dia yang lain itu telah mengenali dia, imam yang KAU ilhamkan dalam mimpi-mimpiku selama ini. Kenapa aku perlu menghancurkan kebahagiaan lain.

          Jika aku menjadi dia dalam membuat pilihan pasti aku memilih gadis itu... Jauh berbanding dengan diri ini juga. Demi kelangsungan hidup serta memenuhi sunnah, pastinya gadis itu lebih layak. Serba-serbi lebih baik dan lebih sempurna daripada diri ini.

Aku mencintainya, dalam ertikata cinta sesama manusia ini atas fitrah yang ada. Biarpun dia bukan sempurna di mataku, tidak tersenarai dalam katogeri lelaki pilihan hatiku, namun aku bersyukur kepada Allah mempertemukan aku kepada dia. Kontra sekali dia, namun anggun sekali dia di mata dan hatiku ini ketika ini. Dan ketika aku masih mengasihi ini dan dengan sangka baik dan doa aku berusaha mengikhlaskannya. 

           Aku tertanya-tanya apakah yang membolehkan aku mencemburukan gadis itu sekiranya dia dapat membahagiakan dan menggembirakan insan yang aku kasihi. Dulu memang sangat mencurigainya....dulu, ketika aku berasakan aku tidak bertepuk sebelah tangan. Sewaktu dia masih sekurang-kurangnya berinteraksi dengan diriku ini biarpun secara agak formal dan bersebab.Kini, doaku sahaja mengiringinya... semoga mereka dapat mengecapi kebahagiaan di syurga dan akhirat kelak. Aku perlu akur, aku perlu ikhlas.

         Pernah aku bertanya kepada diriku ini, apakah prinsip hidup aku ini menyebabkan aku tidak pernah berjaya dalam hubungan cinta dengan pasanganku. Aku sememangnya menetapkan untuk tidak keluar bersama-sama dengan seseorang ajnabi dan bukan mahramku berdua-duaan tanpa teman yang betul. Aku tidak berinteraksi  dan berbual-bual dalam telefon juga, aku lebih selesa mencatat dan menjauhkan diri daripada pasanganku sekiranya hati teruja kepada seseorang itu. Dahulu ada juga yang menyatakan aku kolot kerana berpegang dengan semua itu. Semua tidak boleh bagiku, hanya selepas nikah sahaja. Hari ini, aku berasakan bahawa aku tidak pernah salah. Biarpun aku hanya insan biasa dan bukanlah seorang dalam golongan agamawan...aku rasa bersyukur dengan tekadnya diri ini akan pendapatku ini.  Rasanya tidak senang juga orang yang berkawan denganku tetapi inilah aku. Aku yang kekurangan tetapi sentiasa cuba memperbaiki kelemahanku.


          Rasanya hampir tiga tahun aku mengejarnya. Mengejar lelaki yang kupilih menjadi imamku itu, malah aku pernah mengajaknya bernikah, dan kini aku ingin berhenti mengejarnya kerana di sisinya sudah punya seseorang yang mungkin sangat menyayanginya sepenuh hati. Seseorang yang lebih awal hadir dalam hidupnya. Untuk apa aku menghalangnya lagi. Seseorang wanita itu wajar dipilih sebagai seorang isteri dilihat daripada 4 aspek, Kecantikannya, Keturunannya, hartanya dan paling utama agamanya. Dan dia punyai kesemua itu, pakej lengkap aku kira... berbanding aku. Jadi bagaimana mungkin aku perlu menyingkirkan dia dalam hidup lelaki yang aku kasihi itu. 

         Ya Allah tabahkanlah hatiku ini. Mungkin kerana aku tidak benar-benar ikhlas, maka berasakan kesakitan ini. Ikhlas itu, umpama semut hitam di atas batu pada malam yang gelap. Semoga aku akan berasakan nikmat bagi pengorbanan ini. Sesungguhnya aku ini insan yang lemah sehinggakan dugaan sekecil ini terasa berat bagiku. 

           Ya Tuhanku, ketika ini airmataku tetap mengalir.. lagi dan lagi. Entah mengapa aku perlu menangis lagi sedangkan orang yang aku kasihi itu sedang menuju jalan jaya dan bahagia...
Redha itu tidak mudah rupa-rupanya, walaupun redha itu bukan mustahil.  Ya Allah, bahagiakan dan gembirakanlah hati ini dengan nikmatMU buat hambaMU itu...


           Ya Allah, aku berdoa...sekiranya inilah jodoh mereka maka permudahkan urusan perkahwinan mereka dan bahagiakanlah kehidupan mereka dengan keredhaanMU. 
Entah mengapa sebenarnya aku berasa marah dengan mereka. Hubungan mereka terbiar begitu lama tanpa ikatan yang sah. Sombongnya aku, kononnya sebab hadirnya perasaan ini. Sepertinya aku begitu hebat dalam mempertahankan hukum agama. 

           Mereka ke sana ke mari, mereka mungkin berhubung dan sentiasa berkasih-kasihan dalam media yang ada, namun mengapakah mereka tidak menghalalkan hubungan mereka. Allah, baru-baru ini aku ingin sahaja meluahkan perasaan marah ini. Bukan mereka tidak mampu, bukan sukar untuk merealisasikannya dengan adanya restu keluarga yang saling mengenali. Bukan banyak halangan lain tapi mengapakah perlu untuk melengah-lengahkan perkara yang baik. Aku?? Cuma tidak mahu orang-orang yang aku sayangi memanjangkan dosa-dosa dengan sengaja sedangkan mereka boleh menghindarkannya dengan hubungan halal.. Ya Allah, mungkin aku bersangka-sangka. Ampunkanlah aku. Berikanlah hidayah buat mereka dan mudahkanlah perjalanan hidup mereka dalam melestarikan hubungan yang KAU redhai. Aku hanya dapat mendoakannya. Aku tidak punyai hak mencampuri kisah cinta mereka. Jika mereka ditakdirkan bersama, mudahkanlah segalanya dan semoga hidup mereka lebih berkat dan KAU rahmati.


           Aku ingin terus berhenti daripada mereka...melepaskan mereka dengan ikhlas. Walaupun kadang-kadang aku tidak pasti sama ada aku benar-benar redha dengan semua ini. Aku ingin sekali ukhuwah fillah ini berterusan, maka aku ingin menjauhi dia. Aku ingin dia terus menjaga ukhuwah dengan keluargaku ini.  Sesi 'pertunangan' kami sudah sampai ke penghujungnya, dan aku tidak mengenali dia sebenarnya biarpun aku selalu senang untuk bercerita dan mengadu pelbagai hal kepadanya. Aku yang memutuskannya, kerana dia tidak punya jawapan untukku dalam membuat keputusan ini. Aku yakin KAU pasti telah mengatur segala-galanya dengan baik. Tidak terbuka hatinya untukku, namun aku bersyukur mengenali dan bersyukur kerana dia sering ada ketika aku memerlukannya. Airmata ini masih tetap mengalir seiring dengan rasa hatiku ini. Sedih atau gembira aku sendiri tidak pasti. Aku ingin menjadi wanita yang tabah. Aku ingin teguh dalam kasih sayang ini, ya Allah. Kasih sayang sesama insan. maka KAU berikanlah aku kekuatan yang sebenarnya melalui semua ini..

        " Nikmat Alllah yang manakah, yang engkau dustakan?" ayat daripada Surah Ar-Rahman yang sering aku ingat dan tanamkan dalam diri ini.
Ya Allah, tiada satu nikmatMU yang aku dustakan.. itulah juga peganganku. 

Jika aku sakit hari ini, itulah nasihat buatku.
Jika aku senang, gembira, mewah, itu juga nasihat buatku..
dan hari ini hati ini berasa sedih kerana dia yang kucintai itu pergi dariku...segalanya nasihat buatku. Ampunkan aku, andai aku alpa dan lalai dalam menjalani rasa cinta yang KAU campakkan dalam hati ini. 

         Kini, aku ingin menulis semula. Bukan sebab aku tiada dia, tempatku mengadu. Cuma aku ingin mengelakkan mengadu kepadanya lagi. Dia berhak hidup dengan dunianya tanpa aku yang selalu menyusahkan hidup.. tanpa aku yang seumpamanya bayang-bayang mengekorinya. Yang penting, aku tidak mahu ada dalam suatu ikatan yang bahagia itu sebagai gangguan. Cukuplah aku tahu kasih sayang ini terus kekal dalam redhaMU.


             Aku akan berkarya semula kerana melaluinya aku boleh berkongsi segala-galanya. Dan dia mungkin dapat melupakan yang aku pernah hadir dalam hidupnya. Allah, berikanlah dia rezeki yang baik juga. Semoga dia bisa menjalankan amanah di muka bumi ini dengan baik juga. Aku tidak pernah ada ketika susahnya, dan aku juga mungkin tidak berhak ada ketika senangnya. 

        Aku rindu dia, itulah hakikatnya. Tetapi aku sudah tidak boleh untuk meneruskannya. Maka, dengan rasa rindu dalam hati ini, kupanjatkan doa semoga dia, KAU jaga dengan baik.
Biarpun redha itu tidak mudah, cekalkanlah hatiku ini dengan sebenar-benar tabah dan rasa bersyukur.

Wassalam..