BERAWALKAN SESUATU DENGAN....

Rabu, Februari 01, 2012

JIKA CATATAN INI TIDAK BERJUDUL...

Sengaja aku mencatat sesuatu yang tidak berjudul. Maka apakah isi kandung itu juga bukan apa-apa. Tidak juga mencampuri urusan sesiapa juga.
    Namun catatan tidak berjudul seperti sesuatu yang tidak berasas dan tidak dapat dibuat sebagai pergantungan. Ke atas tidak, ke bawah bukan.. ke depan ke belakang jauh sekali. Namun aku akan terus mencatat, terpulang kepada sesiapa untuk meletakkan judulnya kelak. Ada ketika dan ada masa-masanya kita seakan-akan tidak punya apa-apa tujuan hidup. Dan, adakala sehingga kita tidak tahu untuk berbuat apa. Sedangkan di sekeliling kita terlalu banya yang boleh, dapat dan mungkin mesti kita lakukan. Kita tidak  punya hati untuk melakukannya, maka kita tidak akan melakukannya. Hidup terasa hambar dan menjemukan sedang setiap saat masa itu berharga.

    Ada waktunya, kita terasa sunyi di tengah-tengah keriuhan. Terasa sedih di tengah-tengah kegembiraan, terasa gembira di tengah-tengah kesedihan... melampau dan tidak sepatutnya dalam batas hidup yang tidak kita sedar tujuannya sepertinya suatu catatan tanpa tajuk.  
     Seperti mana hari ini. aku sengaja mencatat tanpa tajuk dan jalan cerita dalam apa yang aku catat ini juga mungkin tidak mempunyai sebarang maklumat.
      Menyebut tentang hati, hati ini sering berkata-kata sendiri, sedangkan seringkali kita mengungkapkan kata ikhlas di bibir tetapi dalam masa yang sama menghadirkan rasa ketidakikhlasan itu sendiri dalam hati. Hati kita ini tidaklah terduga. Seketika kita merasakan begitu membenarkan atas segala yang berlaku... redha, gembira. Namun sekelip mata semua itu bisa berubah. Menjadi marah dan terkilan... malah boleh dalam sekejapan itu gembira menjadi gundah gulana. Itulah yang dikatakan hati... hati kita sendiri kadangkala kita abaikan untuk menjaga hati orang lain. Namun pastikah hati yang kita jaga itu pasti tidak akan sedih, marah, kecewa dan sebagainya. Dan, kita sebenarnya tidak pernah tahu.... jadi jagalah hati kita sendiri agar hati kita bahagia dan seterusnya membahagiakan orang lain.
       Dalam catatan ini juga aku ingin menyentuh tentang rezeki.  Rezeki yang kita perolehi boleh datang dalam pelbagai bentuk termasuklah kebahagiaan dan ketenangan hati. Bagi aku, aku sering kekurangan dalam segi kewangan...walaupun rasanya gaji aku besar berbanding dengan rakan lain mahupun ahli keluargaku yang berkerja... namun aku mengakui, aku tidak pernah ada wang yang banyak untuk diriku ini. Setiap sen yang aku ada aku belanjakan untuk oranglain. Sehingga kadangkala aku sendiri tertanya-tanya ke mana semua wang yang ada. Tidak aku ketahui, namun setiapkali aku memerlukan wang, pasti ada sahaja yang mencukupkan untukku. Alhamdullillah... Apakah itu juga rezeki? Tentu sekali kerana Allah( Ar Razak) Pemberi Rezeki memberikan rezeki dalam pelbagai bentuk yang tidak pula kadang-kala kita terduga
       Jika rezeki aku itu setakat yang aku dapat itu, alhamdullillah... sekurang-kurangnya aku masih mampu melihat senyuman di bibir orang lain.  Rezeki dalam bentuk wang masih boleh dicari, namun rezeki dalam bentuk doa yang sentiasa dimakbulkan bukan semua orang bertuah meraih. Entahlah adakah catatan tanpa tajuk ini difahami atau sebaliknya. 


        Hidup kita ini seharusnya bersempadan saranan syariat. Adakah kerana budi kita menggadaikan maruah diri. Bukankah ini sesuatu yang sering diperkatakan... namun wajarkah pula dipersoalkan. Budi tidak semestinya dibalas dengan budi juga, budi yang diberikan tidak sepatutnya minta dibalas. Itu menandakan segala yang dilakukan itu bukan budi. Budi tidak berkehendakkan balasan... cukuplah sekadar dihargai. Benarkah semua itu? Benarkah setiap budi itu mesti dibalas. Aku tiada jawapan tentang semua itu. 
    

Banyak pantun budi yang kita sering dengar antaranyanya:


Pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti;
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.


Di sana padi di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
di sana budi di sini budi,
barulah boleh dipanggil orang (Budiman)


      Daripada pantun di atas, yang sering sahaja kita dengar terutama seseorang yang baru mengenali pantun..  Dalam pantun itu dikatakan budi itu adalah sesuatu yang tidak boleh dibalas, sama ada tidak perlu dibalas, tidak sepatutnya mengharapkan balasan, tidak disyaratkan untuk dibalas... malahan jika dikatakan berhutang, kita boleh membawa mati. 
      
        Pantun kedua pula  menjelaskan bahawa seseorang itu hanya boleh dipanggil orang budiman apabila seseorang itu banyak menabur budi... dalam pelbagai bentuk budi... dan apabila berbudi itulah juga seseorang itu menjadi orang budiman.. orang budiman pula merupakan seseorang dihormati.
        Maka sepatutnya tidak sewajarnyalah seseorang itu perlu menggadaikan maruah diri hanya untuk membalas budi. Malah kerana budi itulah sepatutnya maruah pasti akan terpelihara. Orang yang budiman itu juga bermaksud orang yang berakhlak.. maka dengan akhlak yang baik itu berserta dengannya ikhlas dan reda akan segala sesuatu yang diberikan... tidak perlu dan tidak seharusnya dibalas dengan menggadaikan maruah orang lain.



         Tidaklah salah jika kita kaitkan orang yang budiman itu adalah seorang yang dikurniakan hati yang baik dan mulia. Setiap apa yang tersirat di hatinya terpancar di wajahnya.  Nur budi di hatinya akan menjernihkan airmukanya dengan ketenangan. Dan ketenangan hati itu hadir  terutamanya apabila seseorang itu menjaga solatnya.  Semua itu berkaitan. Solat membentuk peribadi dan akhlak yang mulia dan hatinya akan sentiasa mencintai Allah dan RasulNYA... seorang yang budiman yang sentiasa memelihara hatinya agar sentiasa bersih dan menjaga kesucian hatinya sentiasa.

Kini catatan ini seperti berjudul akhirnya... Penting suatu judul itu kerana menentukan hala tuju sesuatu catatan itu, sehingga membawa kepada maksud atau mesej yang ingin disampaikan. Jika tiada berjudul, kita boleh berbicara atau mencatat tentang apa sahaja namun setiap yang kita bicarakan itu tidak tersusun atau teratur. Kepastian yang kabur dan mesej yang pudar... maka jika catatan ini tidak difahami usahlah berasa gusar... tiada yang khusus hendak diperjelas.. semua sudah terbentang luas dalam minda, cuma aku ingin mengeliru dan menguji diriku ini adakah bisa aku mencatat sesuatu tanpa tajuk... yang jelas boleh tetapi masih punya tema dan idea utama.  Pentingkah tajuk atau judul? Penting untuk menjurus dan mengkhusus. dan kerana orang berbicara tanpa tajuk, judul, tema itu umpama orang gila yang berbicara tanpa berfikir atau tanpa sebarang rasa hati... Monolog yang kadang-kadang dirinya sendiri tidak ketahui.
       Baiklah, cukuplah setakat ini dulu.... kesibukan sudah melanda diri, aku akan mencatat lagi jika ada rezeki, kelewahan masa dan idea... pasti aku akan hadir lagi... Insyaallah.

Jumaat, November 18, 2011

PADA SAAT ITU.... PADA SAAT INI...

Apabila membaca tajuk catatan ini, mungkin sahaja akan terbayangkan kepada dua perbezaan dan perbandingan.. iaitu dulu dan sekarang. Tajuk yang mudah tetapi boleh sahaja menjadi satu persoalan yang rumit.

      Mungkin ada tersirat di sebaliknya. Aku ingin berkongsi sedikit rasa hati dan pendapat berserta tajuk yang satu ini. Seperti lazimnya tentang diri aku dan berkisar hidup orang lain di sekitarku dan masyarakat umum di sekeliling. Hanya mereka yang terasa dirinya diperkatakan dalam catatan ini sahaja yang lebih mengerti. Selain itu, sekadar menyampaikan sedikit pengalaman dan pendapat yang aku kira dapat dimanafaat oleh orang lain yang menerima teguran dan catatan ini dengan hati dan minda terbuka.. Insyaallah, aku pasti seboleh-bolehnya menjaga aib sesiapa yang diperkatakan dalam kisah dan pengalaman aku ini sebaik mungkin.
       Beberapa waktu ini aku berasakan ada seseorang yang mungkin asyik melarikan diri daripadaku. Entah mengapa aku tidak tahu. Namun sememangnya aku juga tidak memberikan ruang untuk dia hadir dan rapat dalam hidupku. Bukan mudah bagi aku menerimanya dengan pendapat peribadiku dan tanggapan awalku kepadanya apatah lagi dengan status diri aku ini yang rasanya akan memberi fitnah kepada kedua-dua pihak. Luka lama itu sebenarnya belum lagi sembuh sepenuhnya, Aku masih sakit merasakan bahang fitnah dan tanggapan orang kepada aku ini. Apatah lagi apabila maruah dan harga diri aku diperkatakan. Sedang aku dalam hatiku dan niatku tidak pernah sesekali dengan sengaja atau merancang memperkotak-katik maruahku. Hanya mereka yang sentiasa berasa tidak senang selalu mencari kelemahan aku ini. 
          Betapa kita terpaksa mendiamkan diri untuk membolehkan hal ini semakin mereda tetapi dalam masa yang sama semakin memberi ruang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab berleluasa menyebarkan fitnah itu sendiri. Jika ingin diperkatakan di sini pastinya aku akan terus mencatat berjam-jam lamanya.

        Kini mungkin ada sebahagian kisah itu berulang lagi. Apatah lagi mereka yang terlibat tidak mengetahui sejarah aku dulu. Entah mengapa hatiku ini berasa akan ada sejarah yang akan berulang. Semoga tidak akan berlaku sejarah itu.
        
       Teringat kisah aku dan 'Abid dulu. Aku tidak pernah menyukai dia suatu masa dulu. Tiada satu pun yang lekat di hati ini berkaitan dengannya. Dia juga sering sahaja menundukkan pandangannya, lalu aku tidak pernah kisah.  Banyak sikapnya tidak aku gemari. Banyak nasihat yang menyuruh aku menghindarinya sedangkan pada masa yang sama aku tidak pernah menyukainya. Namun membenci jauh sekali. Namun ALLAH palingkan hati aku ini, dengan tanpa terduga dan tanpa aku sedari.. Bukan hanya menyukainya malah kagum, bangga dan menyintainya sekaligus. Apa ada pada 'Abid, mengapa aku mengasihinya, aku tidak pernah ada jawapannya hingga kini. Walaupun kini aku sudah mengikhlaskannya pergi dari hidupku ini, namun aku tidak pernah pasti apa jawapan semua persoalan itu. Tidak juga dia, aku kira kenapa dia membenci aku.. tiada jawapan pasti. Biarpun pada anggapan aku dia sentiasa menganggap aku seseorang yang tidak tahu menjaga harga diri aku ini sejak dulu.. buruknya aku menjadi seseorang yang merayu dan meminta-minta kerana rasa kasih dalam hati aku ini. Hendak buat macam mana 'Abid? Dalam hatiku ini aku menganggap aku lah seseorang yang amat dikau benci dan perlu dikau hindari. Sebab itu, selain urusan yang perlu diuruskan secara profesional aku tidak akan menegurmu, waima untuk mendekatimu lagi.

        Kini aku berasa ada sejarah antara aku dan Abid bisa berulang lagi. Dan untuk itu aku tidak akan mengulanginya lagi. Biarpun ini hanya telahan aku sahaja. Dia sering memandang secara curi-curi seperti Abid dulu. Dia akan kelihatan gugup dan tidak bersedia untuk berbicara denganku. Dia akan berasa janggal apabila aku ada. Dia tidak gemar jika sesuatu aktiviti melibatkan aku... banyak lagi, seperti Abid dulu. Aku pasti tahu apa yang aku rasa, tetapi tidak akan tahu dan mengagak-agak apa yang dia rasa. Kerana aku tidak mampu menanggung perjalanan sejarah itu lagi. Apa yang pernah tidak aku sukai pada Abid dulu, ada pada dia, dan yang nyata aku tidak sukai keadaan itu. Aku sentiasa berdoa menjauhkan dia daripada aku.  Biarpun beberapa kali dia memberikan pandangan tersirat setiap kali melihatku. Beberapa kali kebetulan itu berlaku dan untuk ketika ini aku berani menegurnya, bercakap dengannya. Itupun kerana aku mengetahui bahawa dia sudah punyai pilihan hati. Selalunya apabila seseorang itu sudah berpunya, dia tiada rasa segan untuk berbicara atau berurusan dengan lawan jenisnya terutama orang-orang yang berstatus seperti aku. Dan kerana itu juga aku bisa berurusan dengannya. 

         Malangnya ruang itu dia gunakan untuk memandang aku dengan pandangan yang sangat tidak aku sukai... pandangan seperti Abid yang 'membenci' aku dulu. Tindakan seperti Abid pada awal dulu ketika aku tidak menyukainya itu. Pandangan dan tindakan yang mendatangkan curiga dalam hatiku.

      Mungkin aku tersalah anggap... tetapi aku memang tidak senang mendekatinya. Biarpun beberapa waktu belakang ini banyak pujian kepadaku namun dia bukanlah sehebat pujian yang diterima. Dan terasa sukar untuk aku setuju dengan pemimpin seperti itu. Seorang pemimpin yang mengutamakan melakukan hanya tugas dan kerja-kerja yang disukainya. 

      Sekiranya tidak disukai, beliau mengabaikan atau tidak mengambil berat malahan mencari-cari alasan untuk tidak mengambil bahagian dalam tugas itu. Seorang pemimpin yang mengamalkan keputusan mengikut pandangan peribadinya. Hitam katanya, maka hitamlah keputusan itu, Jika putih katanya maka putihlah keputusannya.. serta sangat sukar untuk mengalah atau memikirkan semula keputusannya itu. Elok jika pemimpin itu tetap pendirian namun perlu ada keseimbangan ketegasan itu berserta keputusan yang berhemah. Pemimpin yang fleksibel.  Padaku hanya hukum syariat Allah sahaja yang tidak boleh dipinda, selaras dengan Al-Quran dan Sunnah. Selain itu ada cara dan kaedah penyesuaiannya.


            Sepertimana yang dibicarakan oleh Ustaz Azizee dalam penulisannya di laman webnya: http://maalimfitariq.wordpress.com/ yang menjelas 15 ciri pemimpin unggul seperti berikut :
  1. Mahir dalam menguasai seni berinteraksi dan kemahiran berkomunikasi
  2. Berkerja berdasarkan  prinsip-prinsip unggul bagi mencapai kejayaan dan memahami bagaimana berinteraksi dengan kegagalan.
  3. Memiliki bakat semulajadi yang bersifat kulli (merangkum) dan realistik.
  4. Fokus pada hasil (output) bukan pada aktiviti.
  5. Mampu mengimbangi antara kepentingan kerja (amal) dan para petugas.(amilin)
  6. Mengetahui keupayaan manusia dan perbezaan tahap kebolehan individu yang pelbagai.
  7. Menyakini kepentingan Syura.
  8. Bekerja dengan semangat berpasukan .
  9. Mahir dalam seni dan kemahiran memotivasikan  orang lain.(proses menjana & mempengaruhi).
  10. Memiliki pengalaman, ilmu yang secukupnya bagi mengatasi segala kesilapan.
  11. Menyakini kepentingan berperancangan dan melihat hasilnya (produk).
  12. Memiliki jiwa yang tinggi (berjiwa besar).
  13. Mengetahui bila, bersama siapa dan bagaimana bergurau yang sebenarnya.
  14. Mengimbangi peranannya yang berbagai-bagai.(pemimpin organisasi, bapa, suami dsb)
  15. Mengambil kira faktor-faktor sebab dan bertawakal kepada Allah.
        Mungkin hanya dia sedikit berbeza dengan Abid, maka aku berasa agak selesa. Sedangkan sikapnya tidak jauh beza daripada Abid itu sendiri. Punya kesombongan dan keangkuhannya sendiri. Penat untuk memikirnya lagi. Cukup aku menghadapi keadaan Abid yang lalu, dan aku tidak mahu menghadapi seorang lagi Abid yang baru.

       Sukar untuk aku menyatakannya, entah apa perasaan aku ini ketika ini. Pelbagai prasangka ada dalam minda walaupun aku akan selalu berhosnuzon dengan banyak perkara. Namun siapa tahu apa rahsia yang disembunyikan daripada aku ini. Maka aku cuba menyeimbangkan sebaik mungkin. 
Bukanlah aku menolaknya seratus peratus kerana dalam peribadinya dia memang menjaga solatnya, dapat melakukan banyak perkara dan lebih fleksibel daripada Abid sendiri namun ia tidak menjanjikan apa-apa daripada aku ini. Masih lagi aku melihat kekurangan dirinya itu yang satu, tetapi yang ada dalam pandangan aku sahaja. Orang lain menyanjungi dan kagum kepadanya . 

       Sungguh jelas dan ketara semua itu. Sehingga sering bertanyakan dia tentang status dirinya dan siapakah gerangan orang yang istimewa di hatinya. Sementelaah dia mengakui ada seseorang di hatinya maka membolehkan aku berurusan dengannya tanpa rasa segan mahupun bersalah, apatah lagi jika dalam urusan kerja. Aku tidak prejudis mungkin kerana dia boleh menjadi imam yang baik, insyaallah.


"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil". (Riwayat Tarmizi)
Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-imam Hasan al Basri kepada Amirul Mukminin –Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat islam dengan katanya,


" Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi. Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."
Hampir keseluruhan intipati di atas merupakan apa yang dimiliki dia. Jika dia sebaik itu, mesti ada yang bertanya mengapa aku berasa tidak selesa dan sesuai dengannya. Jawapannya ialah bayangan dan sikap Abid ada dalam dirinya. 

         Jika Abid dulu sering menghampiri aku dengan memberikan salam di sisi telingaku ini. Dia tidak jauh bezanya. Dia memberikan perhatian yang tidak aku sukai. Sebagai seorang yang beriman, soleh.. aku kira dia tidak seharusnya ada sikap seperti itu kepada aku. Apatah lagi usianya yang lebih muda daripada Abid sendiri. Adakah selayaknya aku menerimanya, melayannya kerana dia mirip Abid? Bukan dari segi rupa dan penampilan tetapi dari segi sikap, dan nilai yang diamalkan mereka. Jika aku ingin Abid menjadi pemimpin hebat, aku ingin juga melihat anak muda lain turut menjadi pemimpin hebat. Insyaallah dia ini juga akan menjadi pemimpin hebat, namun sebolehnya bukan imam atau pemimpin dalam hidupku ini. Kenapa aku tidak ada jawapannya.


“Dan orang-orang yang menerima seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian rezeki yang kami berikan kepadanya”. (Surah Asy-Syura, ayat 38).


        Aku juga hairan kenapa harus ada orang lain yang agak merestui aku dan dia. Walaupun aku tahu mungkin tanggapanku ini salah namun aku dapat merasakannya. Kebersamaan dalam beberapa perkara yang berlaku antara aku dan Abid tidak menyenangkan aku akhir-akhir ini. Namun rasa tidak senang berkaitan dengan dia seorang ini lagi memeritkan dapat aku rasakan. Aku rasa sedikit tertekan. Apabila aku memanggil atau mencarinya kerana sesuatu urusan, ada kalangan mereka yang beriya-iya memastikan aku bertemu dengannya, sedangkan dengan oranglain tidak pula begitu. Aku sedikit resah mengenangkan hal itu. Sudah beberapa kali kali aku rasa sangat malu dengan beberapa insiden melibatkan aku dan dia. 


      Belumpun sempat aku menolak atau menafikan, digiat oleh kelompok rakannya tiba-tiba dia boleh melompat dari tempat duduknya dan meluru kepada aku. Sedangkan pada ketika sama aku sudah tidak punya urusan dengannya. Dia akan meluru kepadaku dan menyambut tugasan atau apa-apa urusan untuk orang lain. Dia sanggup untuk menjadi orang tengah asalkan aku berurusan dengan. Dan apa yang aku rasa, hanyalah malu yang teramat apatah lagi melihat rakan-rakannya masing-masing tersenyum dengan penuh makna tersirat. 


      Semoga aku tidak terjebak lagi dalam fitnah... jika dulu dikaitkan bersama Abid, kini mungkin dilkaitkan bersama dia. Aku sudah sangat letih. Lirikan matanya, lebar senyumnya.. penuh makna buat aku yang sudah perasan ini. Sebenarnya sakit untuk memikirkan jika ada fitnah melibatkan kami yang bakal aku lalui kelak. Semoga aku tidak melaluinya lagi. 


      Ya ALLAH berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi dugaan ini lagi. Yang penting menghindar titik-titik awal fitnah ini lagi. Dulu mungkin aku mampu melaluinya. Usia yang semakin pendek dan senja ini, aku sudah terasa ingin mengalah. Biarlah dia bersama dengan wanita yang seusianya terutama seseorang yang ada dalam hatinya itu. Semoga aku dijauhkan daripada sebarang fitnah lagi.


       Keresahanku semakin menjadi-jadi apabila aku sudah mula mimpi akan dia yang agak kerap belakangan ini. Hadirnya dalam mimpi mengajakku berwudhu', mengajak aku solat, meletakkan dirinya sebagai imam dan seumpamanya. Dalam mimpiku itu tidak sedikitpun dia memalukan aku.. malah ada mimpi, dia melakukan segala-galanya untuk aku ini. Apabila terbangun, aku tidak tahu sama ada aku harus senyum senang, atau aku harus sesali kehadirannya dalam mimpiku. Dan agak sukar apabila aku mula mimpikan Abid dan dia sama-sama hadir serta berbaik-baik dan berusaha melindungi aku bersama-sama. Sesungguhnya mimpi itu mainan tidur, namun aku tahu sebahagian besar mimpiku yang lalu adalah benar. Ya ALLAH, semoga apa yang aku lalui ini, bukan musibah buatku.

        Dulu aku tabah melalui segala-galanya kerana aku yakin semua itu ujian buatku. Kini bukan aku tidak kuat, cuma aku berasakan banyak sesalan atas pengalaman dulu. Aku tidak mampu menerima dia seperti Abid. Aku melepaskan Abid dulu untuk dia mendapatkan kebahagiaan. Namun aku tidak mahu berdamping dengan seorang lagi Abid dalam hidup aku ini. Tiada dua Abid dalam hidup ini. Aku bimbang jika benar tautan ini ada, semoga ia tidak dibayangi Abid yang dulu itu.

         Dan menjelang berlakunya semua ini, dia di utara itu sudahpun menghilangkan diri secara tiba-tiba. Aku tidak tahu mengapa. Namun aku yakin semua ini dipengaruhi oleh suri hidup. Aku tahu dia menyayangi mereka yang berhak kepadanya. Dan aku tidak punyai apa-apa kaitan dengannya malah aku tidak ingin punya apa-apa kaitan dengannya. Alhamdullillah, satu persoalan dalam hidupku ini sudah menghindar.


         Aku berharap masalah dia ini juga seperti itu. Persoalan satu ini yang sukar untuk aku leraikan. Aku sebenarnya tiada sebab untuk menolaknya. Aku tidak ada halangan untuk meneruskannya, walaupun sebenarnya aku memang tidak mahu terlibat dengannya. Insyaallah, perpisahan sebulan ini dapat mengubah pandangan dia kepada aku dan begitu juga sebaliknya. Semoga dia boleh lupakan aku ini.


        Agak menghairankan dia yang aku kasihi itu tidak menghubungi aku lagi. Sudah bencikah sebenar-benarnya dia kepada aku. Sudah dia membuat keputusannya. Jika benarnya maklumkanlah aku... aku tidak mahu tertunggu-tunggu jawapan daripadamu setelah lebih tiga bulan membiarkanmu untuk mencari jawapan itu. Berilah makluman itu segera supaya aku boleh membuat keputusan untuk hidupku ini. 

         Duhai dikau yang aku kasihi, jika dikau mengulang membaca catatan ini... aku mohon kepastianmu. Lepaskan aku dengan baik dan perjelaskan keputusan itu dengan berani. Aku tidak mahu menyusahkanmu lagi memikirkan masalah kita ini. Dikau juga tidak terikat dengan aku ini. Malah aku juga boleh menentukan hidupku. Selama ini dikau membiarkan aku tergantung tidak bertali, sehingga aku terpaksa menolak permintaan orang kepada diriku. Bukan aku tidak mahu setia, namun jika dikau bukan lagi bergelar suami... dikau tidak layak untuk aku cintai kerana ALLAH, apatah lagi untuk setia kepadamu. Semoga dikau memahami.. Aku juga tidak mahu menjadi seseorang yang tidak tahu malu, merayu dan mengharap kepadamu. Cubalah fahami aku ini. Aku masih  punya banyak tanggungjawab. Dan aku akan memegang tanggungjawab itu sehingga aku punya sebab meninggalkannya...yang mungkin untuk dikau. Sekali lagi fahamilah aku..

         Cukuplah setakat ini, aku sudah sedikit lega kerana mampu untuk melahirkan luahan rasa hati ini. Pada yang boleh menjadikan iktibar, berfikirlah untuk menilai apa yang tersirat dalam kisahku ini. Jagalah maruah diri dan berjalan dalam landasan syariat yang betul. Perjuangkanlah keimanan kerana ALLAH...

Ahad, November 13, 2011

CATATAN BUATMU YANG KUSAYANGI.... Lepaskan jika itu lebih membahagiakannya..

Catatan ini aku tujukan buat seseorang yang aku kasihi. Kerana dia merupakan cucu sulung emakku dan bermakna dialah permata hati pertama dalam keluarga kami. Buatmu anakanda yang kami kasihi, tiada catatan yang menarik untukmu namun sedikit kata-kata yang lahir ikhlas daripada hati umi ini, semoga dapatlah juga kiranya  kau  mengurai kesedihan di hatimu itu. Ketahuilah  olehmu.. bukan sahaja mama, bapak dan adik-beradikmu merasaikan bahang kesedihanmu itu, malah kami semua turut merasakannya. Ketika mendengar khabar dari mama tempohari, hati kami turut merasai kesayuan atas apa yang berlaku. Adik-adik juga sering bertanya tentang abang yang seorang ini. Macammana? Kenapa? Sedihnya.... Abang ??? ok kah? Bertalu-talu walaupun kami tidak bercerita apa-apa yang spesifik tentang anakanda. Bersabarlah anakanda... biarpun beban itu lebih berat di hatimu berbanding di hati kami.

       Buatmu anakanda.. Ikhlaskan semua yang berlaku ini. Mungkin umi tidak berada di tempatmu maka kesakitan itu tidaklah dapat dirasakan sepenuhnya oleh oranglain. Namun selama hidup yang telah dilalui ini, banyak peristiwa yang menyayat hati dan mengguris hati kecil ini.  Mungkin kita tidak berpeluang untuk bahagia dan gembira ketika ini. Namun rasanya, cukuplah kita berasa bahagia apabila orang yang kita sayangi itu bahagia. Kerana DIA lebih mengetahui apakah nilai bahagia buatmu, dan buat dia itu. Kita akan merasai bahagia itu bersama-sama, jika mengikhlaskan segala berlaku. Memang berkata-kata itu mudah, namun lebih mudah pula untuk terus merasa bahagia itu.. kerana bahagia itu bukan ada pada dia, tetapi ada dalam hati kita ini... Redalah.. sekurang-kurangnya buat dirimu itu.
          Mungkin kau akan berkata bahawa yang datang tidak akan sama yang telah pergi dan hilang... namun usahlah pula dikau lupa bahawa janjiNYA, sekiranya kita ikhlas dan sabar menghadapi akan sesuatu kehilangan itu maka gantinya akan lebih baik. Baru-baru ada terdengar bahawa semakin banyak yang datang untuk menjadi ganti akan kehilangan itu.. alhamdullillah. Namun janganlah dikau terlupa wahai anakanda, bahawa ada kalanya mungkin itu adalah ujian bukan sekadar pemberian yang semuanya bersifat fana. Dikau perlu bijak memilih. Mengikut landasan syarak dan iman yang ada.


       Mungkin dalam mencari ganti sesuatu kehilangan itu, kita akan terburu-buru membuat keputusan dan pilihan juga, maka dalam segala hal dan keputusan beriskhtiharahlah kepada ALLAH. Semoga pilihanmu akan menjadi yang terbaik. Mungkin kerana akan ada dendam mahupun keinginan yang melonjak mencari pengganti sekadar membuktikan bahawa kita boleh dapat yang lebih baik daripada apa yang kita lepaskan. Berusaha, bertawakkal dan reda; yang berkaitan dan berjalan seiring diikat oleh doa yang tidak pernah putus. Berusahalah untuk menjadi mukmin yang lebih baik.

       Sebagai seorang lelaki, dikau bisa menangis untuk meluahkan rasa.. namun dikau juga berhak untuk melindungi keresahan dan kegusaran hatimu. Namun kami dapat melihat kesedihan dalam matamu itu.  Tentu dikau menghitung hari sebagaimana dia menghitung harinya menjadi tanggungjawab dan bertanggungjawab kepada orang lain. Ikhlaskanlah. Kami tahu dia menjemputmu hadir dalam majlis itu, namun sekiranya lebih baik untuk dikau tidak hadir, maka elakkanlah untuk hadir. Jika hatimu kuat, mungkin hatinya tidak kuat. Kami inginkan anak kami ini menjadi seorang yang bersikap adil dengan oranglain. Cuba memahami akan segala yang berlaku ini adalah ketentuan ALLAH. Maka semoga inilah yang terbaik untuk kalian. 

       Jika inilah erti sebuah pengorbanan buatmu, kami mendoakan kalian kuat untuk melalui. Bersabarlah anakanda-anakanda kami, semoga pengorbanan itu dihargai dan membawa kalian ke jalan syurga biarpun tanpa hidup bersama. Akan ada yang lebih baik di hadapan kelak kerana restu kedua-dua orang tua adalah penting. Jika kita tidak dapat mengubah sesuatu hari ini, semoga kita akan mengekalkan sesuatu yang baik dengan bersungguh-sungguh. Pasti kita tidak akan berasa rugi. Mungkin dengan restu itu pula akan datang kepada kalian suatu nilai kasih sayang yang sebenarnya. Hidup berkeluarga tanpa restu pasti akan ada kekurangan. Mungkin tidak kita sedari hari ini... tetapi akan meninggalkan kesan pada masa hadapan.

        Buatmu anakanda (MJM)... tahniah, kerana menjadi anak yang solehah.. semoga ALLAH memberikanmu keberkatan hidup dan kebahagiaan... biarpun bukan bersama anakanda kami. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik buatmu. Cintailah suamimu dan lupakanlah anakanda kami yang pernah hadir dalam hati dan hidupmu. Kami sentiasa mendoakanmu menjadi isteri dan ibu yang solehah. Jadilah mentari yang menyinari hidup mereka yang lain. Dengan jodoh ini mungkin hidupmu akan lebih baik. DIA Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk kalian. Pilihan orangtua dan restu yang ada akan membimbing hidupmu kelak dan akan memastikan jalan-jalan bahagia itu akan kalian selusuri juga.



         Bersama-sama ini didoakan semoga dikau anakanda-anakanda kami akan menjadi anak-anak soleh dan solehah. MJM usah lupakan keluarga kami yang pernah hadir dalam hidupmu.  Secara jujurnya, kehadiranmu memberi warna-warna indah dalam hidup anakanda kami dan hidup kami ini. Ayahanda dan ibunda lebih utama berbanding kami maka kami sentiasa mendoakan segalanya akan berjalan lancar dan mendapat keredaan dan keberkatan daripadaNYA... kerana ketaatan, kepatuhan dan rasa hormatmu kepada orang tuamu.  Kami bersyukur mengenalimu.  Nasihat kami, semoga usahlah dibandingkan anakanda kami juga. Setiap seseorang itu punya kelebihan tersendiri.. maka ikhlaskanlah melepaskan anakanda kami untuk hidupmu yang baru..

       Selamat Pengantin Baru, anakanda... Semoga kalian berbahagia hingga ke akhir hayat... jadilah isteri yang solehah, semoga syurga menjadi tempatmu kelak, insyaallah.


       Buat anakanda kami, permata hati kami, buah kasih sayang kami... semoga dikau kuat melaluinya. Sememangnya soal hati ini sukar untuk dimengertikan. Namun jika kita kembali kepadaNYA, kita sebenarnya tidak pernah hilang apa-apa. Mencintai  bukan semesti memiliki.  Kerana cinta itu juga sebenarnya bukan milik kita. Cinta hanya dipinjam kepada kita agar kita dapat membezakan pelbagai perkara, dan akhirnya mengembalikan kita kepada pemilik cinta itu, jika kita menyedarinya kelak.

                Cukuplah rasanya catatan ini untuk menggambarkan segala rasa yang terpendam di hati umi. Semoga segala-galanya berjalan lancar dan diberikan ketenangan buat kalian dan masa depan kalian... Tiada apa yang lebih baik selain menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH pemilik segala-galanya...