Jumaat, November 10, 2017

KIRANYA ADA WAKTU UNTUK MEMULAKANNYA SEMULA

Assalamualaikum.....
Setelah sekian lama tidak mencatat dalam blog ini. Wajah-wajah haiwan kesayangan ku ini sudah tiada lagi. Telah meninggalkan aku agak lama jua. Semua itu hanya pinjam-pinjaman. Alangkah rindu dengan si kecil yang kupanggil Lion ini. Mungkin nama besar yang kuberikan kepadanya yang kecil itu agak berat maka tidaklah tertanggung olehnya bebanan nama itu. Hmmmm, hanya kata-kata orang tua-tua berdasarkan pengalaman mereka.

 Hari ini atau lebih tepat dinihari ini aku tidak pun bercadang untuk mencatat namun setelah membaca entri-entri yang pernah aku catat, terpanggil aku mencatat dan memulakan semula catatan ini. 
Membaca beberapa entri yang lalu, menjadikan aku tertanya-tanya benarkah semua catatan dalam blog ini aku yang menulisnya. Begitu baik susunan tulisannya dan jelas isi kandungnya, sebaik itukah aku dulu?? Tersenyum sendiri jadinya. Sudah lama aku tidak 'berbicara' seperti itu. Kini, bolehkah aku untuk mencatat lagi.Hah, kali ini aku mencabar diri ini sendiri. Menyahut cabaran untuk mencatat aktif dalam blog ku ini. Insya-Allah akan aku buktikan dengan pengalaman alami ini aku tetap punya 'suara' yang berdikari, mandiri, bernas dan berkredibiliti.

           Aku pasti lebih hebat kelak. Hahahaha, pujian untuk diriku sendiri. Yang pergi biarlah pergi, usahlah ia ditangisi lagi. Pujuklah hatiku ini. Allah pasti ada di sisi ini.

           Jatuh bangun seseorang bergantung kepada dirinya sendiri. Kita pasti tahu kelemahan diri sendri tetapi masih tidak mahu cuba membaiki kelemahan diri sendiri, malah sanggup membiarkan terpendam terlalu lama. Ketika parah kita pasti sudah terlambat. Namun, terlambat itu tetap lebih baik daripada tiada.


           Sudah di pertengahan usia ini malah mungkin sudah dekat dengan penghujungnya hati ini terlalu cepat terasa. Terasa dipinggir, terasa diabai, terasa disingkir, terasa dianiayai.....malah macam-macam lagi yang terasa di hati ini. Itu tandanya sudah tua. orang tua akan selalu sensitif dan merajuk, waima dengan diri sendiri pun boleh merajuk. 
          Semoga hati ini masih kuat, masih ada di jalan benar dan lurus, dikuatkan iman dan dicekalkan hati. Kini, kita sudah jadi tempat rujuk buat orang lain. sepatutnya kita sudah pasti hebat berbanding generasi yang ada ini. semoga aku akan terus kuat.


 Untuk tempoh 9 bulan tanpa mencatat ini, ada pelbagai pengalaman dan kisah yang aku dan mereka di sekelilingku lalui, Yang berat, yang ringan, yang elok dan bagus, yang buruk dan keji, yang samar-samar, pahit, manis masin...
Akan kukongsikan kelak dengan caraku sendiri kelak. Semoga ia bisa menjadi nasihat, ibrah dan iktibar buat yang lain. Yang mungkin melintas-lintas di salah satu blog aku yang tujuh.  Buat kali ini, cukuplah catatan ini memulakannya semula... Semoga aku tekal menetapkan tekadku.



Jadikanlah diri menjadi seseorang yang berguna dan bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain,

seperti menjadi benih yang baik itu...
Dicampak ke laut menjadi pulau,
Dicampak ke darat menjadi gunung,
Dicampak ke langit pastilah menjadi bintang kejora. 
Sesungguhnya kelemahan yang ada ini adalah daripada diriku sendiri, yang baik itu daripada Allah. maka sebaik-baik perancangan dan kejadian itu jua daripada Allah        

Cukuplah buat kali ini. Wallahualam bissawab.
#nasihatuntukhidupkuyanghidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan