Jumaat, Disember 28, 2012

LUAHAN HUJUNG TAHUN

Sengaja aku mencatat tentang tajuk ini. Ingin meluahkan rasa hati ini sekadar untuk menjadikan diri ini stabil semula. Hujung tahun bagi aku memang sangat kalut. Entah mana masa yang ada. Rasa 24 jam ini terlalu pendek. Lenaku pun hanya 2-3 jam sahaja apabila menjelang hujung tahun begini. 
     Akauntibiliti dan kredibiliti dan disambung kepada integriti sering tercabar apabila menjelang akhir tahun begini... Namun hari ini aku mendapat perkhabaran yang baik dan menggembirakan. Ada yang berkata kepadaku, senyumlah sedikit dengan berita ini, namun entah ke mana senyuman aku ini pergi dalam kesibukan ini. Hendak mengungkit pun buat penat mulut sendiri sahaja, tetapi hati tidak sesenang mana pun. semoga aku dapat mengharungi semua ini dengan cekal dan tabah. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan melalui semua ini.
 
       Hidup aku waktu ini terasa sedikit sesak sebab semua kerja bertimpa-timpa. Orang kata, buat kerja awal-awal apa-apa hal kemudian nanti senang tapi aku ini bagaimana pula. Memang buat kerja awal-awal tetapi terhad kerana aku buat kerja bergantung maklumat daripada orang lain. Jika tengok kerja aku macam excellence saja tapi sebenarnya banyak yang tertangguh. 
       Akhir tahun ini lagilah banyak kerja yang kena ditanggung. Bukan apa kerana aku ini mungkin tidak menyusun kerja itu secara terancang. Banyak sangat adhokrasi yang tiba-tiba menjelma dan menambunkan lagi kerja-kerja yang ada.
Apabila dapat gaji, sebahagiannya aku belanjakan untuk kerjaku dan bidang tugas aku itu. Rasanya macam tidak pernah cukup namun alhamdullillah sentiasa ada dan kekal, terus kekal sehingga aku rasa tidak kekurangan dalam kekurangan.  
   
      Sebut tentang kecukupan pendapatan ini, teringat aku kepada seorang kenalan. Selama ini aku tidak ambil endah dengan apa yang berlaku. Takut-takut khabar-khabar angin yang boleh meregangkan hubungan aku dengannya. Namun aku sudah dapat pengesahan daripada orang-orang yang rapat dengannya. Nauzubillah.. aku sedih sekali mendengarnya. Mengabaikan suami dengan menundukkannya dengan cara yang salah dan berdosa, dan kemudian mencari lelaki-lelaki kaya untuk menampung kehidupannya. Tidak hairan jika aku melihat dia berbelanja  dan hidup mewah selama ini walaupun gajinya aku rasa hanya satu pertiga daripada gajiku ini. Namun kehidupannya melewah berbanding aku yang sering sahaja ada kurangnya dan kena berjimat.. Aku melihat bukti, aku mendengar cerita tentang dia yang berlaku sumbang dengan orang lain termasuk bekas rakan sekerja. Manalah hilang harga diri dan maruah seorang isteri dan wanita muslimah yang patut dibanggakan dan dipelihara. 
 
         Yang aku sedih lagi, apabila bukan dia seorang yang bersikap begitu, ada beberapa orang lagi kawan-kawan yang mengambil tindakan seperti itu. Sengaja mencari dan berhubungan dengan lelaki lain yang lebih mampu menaburkan wang untuk kemewahan. Aku bersyukur kerana KAU berikan aku tanggungjawab yang banyak sehingga aku tidak menganggapkan keperluan nafsu itu wajib aku penuhi. Biarlah semua itu aku dapati dalam ukuran halal yang sahih. Aku masih mampu berkerja dan bersusah- payah asalkan aku tidak melakukan semua kerja-kerja maksiat itu. Aku sentiasa akan berdoa semoga kawan-kawan aku itu akan insaf dan kembali ke pangkal jalan. Mencari yang halal itu wajib bagi kita umat Islam. Aku mencatat hal ini bukan untuk membuka keaiban yang dilakukan oleh kawan-kawanku itu.... namun hanya sebagai peringatan buat diriku ini bahawa rezeki itu kadang-kala menjadi ujian kepada kita ini.
 
      Biarpun kita ini dilahirkan dalam keluarga beragama, alim ulama.. namun iman itu tidak diwarisi. Taufiq dan hidayah Allah akan berjalan serentak. Tanpa salah satunya pasti ada kepincangan dalam kesempurnaan. Bercakap hal-hal berkaitan agama ini aku tidaklah begitu pandai, namun aku belajar dan mencari. Biarpun aku tidak sehebat mereka di sekelilingku ini rasanya aku lebih bersikap bertenang dan bukan orang yang nampak berkeyakinan namun sebenarnya sombong. 

      Allahu Akbar, teringat seorang sahabat.. aku dengar dia keguguran lagi. Allah memberikannya nikmat yang banyak di dunia kecuali suatu yang dipanggil zuriat di dunia ini, namun semoga dia akan mendapat ganjaran daripada kesabarannya itu di akhirat kelak. Aku kira ini kegugurannya yang kelapan. Mereka akan menunggumu di sana nanti.. Cuma aku rasa ada yang perlu dia muhasabahkan tentang sikap dirinya, salah satu rasa 'sombong' dengan apa yang dimilikinya dan usah memperlekeh orang lain. Jagalah bicaramu,adik.. semoga tidak ada lagi yang mendoakan kehancuranmu. 
 
        Lihat gambar bunga-bungaan, hati kita pun berbunga-bunga. Aku dalam kesibukan ketika ini tidak menafikan aku sesekali leka dengan pelbagai kehidupan selain apa yang sedang aku lalui. Terutamanya menyentuh soal hati. Seperti sebelum ini aku ada menyatakan hubungan mimpi dan pengaruhnya dalam hidupku ini. Akhir-akhir ini aku sering bermimpi lelaki-lelaki yang tidak aku kenali datang dan memberikan banyak benda kepadaku. Rumah, kemewahan, harta, barang kemas, tanah dan macam-macam lagi. Kadang kala aku rasa kerana terpengaruh oleh perasaan di luar mimpi itu sehingga terbawa-bawa dalam tidurku.. Banyak hal yang mengelirukan sehingga lena yang tinggal 2-3 jam itu diganggu oleh lelaki-lelaki yang tidak dikenali dalam mimpiku. Aku hanya mampu berdoa, jika apa yang dihadirkan untuk aku itu membawa kebaikan dalam hidupku, mahupun matiku kelak... semoga dipermudahkan semua urusan itu. Jika sebaliknya, aku berlindung daripada segala keburukan itu dan aku serahkan segalanya kepada Allah yang Maha Pengasih.
 
     Selain mimpi-mimpi lelaki tidak dikenali, aku juga bermimpi mereka yang telah aku lepaskan daripada hidupku ini. Aku tidak mampu untuk menghalangnya apapun tindakan mereka namun aku rayu, jika aku dirindui... lepaskanlah rindu itu kepada yang lebih berhak. Jangan curi-curi pandang kepadaku dan usah memberikan senyuman jika itu akan mengundang sesuatu  yang tidak wajar. Ingatlah, aku ikhlas melepaskanmu... dan aku tidak mahu kau hadir lagi dengan godaan itu.. Bukan aku tidak mampu bertahan tetapi aku semakin benci dan marah... maka semoga kita dapat menjalinkan hubungan sebagai sahabat, rakan yang berada pada landasan yang sepatutnya. Alasan aku mencintaimu tidak akan menjadikan aku seorang yang tidak tahu diri. Bahagialah dikau dengan doaku yang selalu mengiringimu... 
 
    Macam orang perasan, namun itulah hakikatnya. Allah selalu memberikan peringatan kepadaku melalui mimpi-mimpiku.. apatah lagi dikatakan pada akhir zaman ini, selalunya mimpi-mimpi itu benar.
Jujur aku katakan tidak suka dengan sebarang pandangan mata yang mengharapkan pengertian daripadaku. Biarpun wanita itu lemah, namun aku yakin kelemahan itu adalah kekuatan buat aku. Aku sangat menyayangi kalian...dulu, dan mungkin masih kini.. tetapi aku tidak suka melangkau batas-batas yang perlu aku jaga. Semoga godaan pandangan dan senyuman itu akan hilang. Semoga hidupku dan kalian juga tenang. Bersyukurlah dengan segala yang ada dan kita miliki ketika ini. Biarlah yang berlalu itu kita jadikan sempadan untuk kita dapat melangkah dengan bermaruah pada masa-masa akan datang.
  
       Meluahkan tidak semestinya membuangkan segala beban yang kita tanggung. Begitu juga aku.. Aku hanya ingin meluahkan. Tak pasti sama ada difahami mahupun tidak. Kekalutan dalam menyiapkan kerja-kerja yang ada ini sudah cukup membuatkan hidupku penuh... aku perlu menjaga banyak hati, terutama emak. Namun dengan kesibukan yang ada mustahil aku dapat memberikan perhatian dengan baik. Semoga setelah aku mencatat ini, sedikit keresahan dalam hati ini dapat aku lepaskan. Cukuplah dengan catatan ini mengisi diari hidupku dalam halaman ini... jika ada yang dimanafaatkan alhamdullillah... jika tidak semoga menjadi bahan yang menghiburkan untuk dibaca..insyaallah.

Jumaat, November 09, 2012

Menjejak mereka yang terluka, MAAF KUPINTA...

Alhamdullillah, biarpun sebenarnya aku terikat dengan kekangan kerja yang ada ini, aku masih berkesempatan mencatat lagi. Cara ini salah satunya dapat memberikan kelegaan dan mengisi masa senggangku kini. Kalau diturutkan hati, mungkin boleh sakit jiwa juga dirasakan. Maka apabila aku menulis dan meluah sesuatu di sini sekurang-kurangnya hati ini tidak bertambah sakit dengan pelbagai rasa; marah, sakit hati, cemburu, bengang, bosan dan sesuatu yang seangkatan dengannya. Semoga dengan cara ini juga hati dan fikiran aku tidak "Jahat" dan dosa yang ada tidak ditambah.


     Untuk kali ini juga, aku ingin sekali mencatat tentang mereka atau dia yang mungkin terluka kerana aku.. sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan mahupun yang disedari atau tidak disedari. Sebelum itu aku ingin memohon maaf kerana berkongsikan kisah hidupku ini dengan orang lain. Aku ingin memohohn maaf kepada mereka itu. Sesungguhnya aku adalah insan yang lemah dan sentiasa punyai kekurangan. Malahan kekurangan itu mungkin sukar untuk aku mengatasinya.
Sebut tentang melukai, dilukakan, melukakan terutama hati seseorang itu, walaupun tidak aku akui tetapi tidak juga aku nafikan. Hidup kita ini akan sentiasa diuji tanpa kita pinta. Siapa yang akan memintanya? Tiada siapa pun. Namun ujian dan dugaan itulah yang membuat kita sedar bahawa kita disayangi oleh cinta  teragong dalam hidup kita. DIA maha pencipta yang hebat, yang mengisi hidup kita dengan pelbagai warna yang indah serta mengesankan.
        Ingin aku ungkapkan satu persatu mereka yang aku lukai itu, biarpun kini mereka berbahagia.. namun aku tahu kisah mereka dan aku masih erat dalam lipatan sejarah dalam ingatan mereka. Maka secara terbuka ini aku ingin memohon kemaafan kerana sikapku dulu. Fitrah dalam hidup aku ini belum memberikan aku peluang memiliki sesiapa sebagai teman hidup namun aku berterima kasih dan bersyukur ke hadrat Illahi  dengan segala apa yang aku lalui ini.
           Ketika aku muda belia dahulu, lingkungan belasan tahun, aku dikasihi oleh banyak lelaki, remaja mahupun dewasa. Aku rapat dengan beberapa orang daripada mereka. Dia yang aku kasihi itu hadir dalam hidupku seawal usiaku lingkungan 8 tahun, hadir sebagai seorang budak lelaki yang berusia belasan tahun. Biarpun kecil ketika itu aku menyayanginya, menjadikan tempat bergantung di samping mendapatkan perhatian. Aku membesar dalam kalangan dia yang hadir di rumahku atau kehadiranku dalam  keluarga kerana persahabatan dengan adiknya.. sehingga aku meningkat remaja. Ketika itu yang datang kepadaku dia, Zaki Malasie(nama yang selalu digunakan dalam surat-suratnya) dan MUIS (Nama samaran untuk aku gunakan) serentak memohon kasihku. Namun aku sebenarnya telah lama hidup 'bergantung' harap kepada Zaki Malasie... dan bukan itu sahaja, aku merasakan dialah lelaki yang pertama hadir dan lelaki yang mengajarku mengenal lelaki. Aku ingin bermohon maaf kepada Muis kerana aku sebenarnya memang memilih Zaki Malasie, sewaktu Muis mendambakan aku sebagai teman wanitanya. Aku sebenarnya tidak mempunyai pilihan  kerana ruang hati dan hidupku selalu bersama Zaki Malasie, sama ada percaya atau tidak.. rasa itu telah ada dalam diriku sejak kecil. Apatah lagi kebanyakan hidupku bersamanya bukan bersama adiknya temanku itu. Maafkan aku Muis... Sesungguhnya tidak pernah aku membandingkan antara Zaki Malasie itu dengan Muis. Aku mohon maaf bukan sebab Muis itu kecil, rendah dan kurang kacak, aku memilih Zaki Malasie... sebabnya kerana Zaki Malasie telah hadir lama sebelum yang lain hadir dalam hidupku. 
        Teringat kata-kata Muis ketika Zaki Malasie itu bertunang, "Yalah aku ini siapa dalam hidup kau.. Aku tak tinggi dan kacak macam Zaki Malasie.. aku tidak sebaik dia.. CUMA aku ini tidak pernah akan melukakan hati kau... Kalau kau terima aku dahulu, aku akan pastikan kau bahagia... sekarang, baharu pada muka kau, Zaki mengecewakan kau dengan memilih orang lain." Ketika itu di bawah pohon mangga di hadapan rumahku. Namun apa yang dapat aku katakan, aku reda dengan apa yang ditakdirkan kepadaku. Buat Muis, biarpun kau menyimpan dendam itu jika ada... dalam hatiku ini tidak akan ada dendam lain buatmu mahupun Zaki Malasie. Aku memilih dia berbanding Muis tanpa sebab. Walapun aku tahu aku berebut Zaki dengan orang lain. Adik Muis salah seorangnya begitu mengharapkan Zaki. Jadi aku sebenarnya tidak tahu bagaimana ingin memohon maaf kepada Muis kerana menghancurkan hatinya dulu... Muis kata aku cinta pertamanya... Lucu, dalam usia semuda 16 tahun aku dicintai lelaki itu sehingga membawa kekecewaan cintanya..Maafkan aku Muis.
 
       Buat Zaki Malasie juga aku ingin bermohon maaf. Kerana aku sangat mengasihinya Zaki Malasie itu. Dia lelaki pertama dalam hidupku ini. Maaf kerana aku tidak pernah memberikan ruang kepadanya itu bersama-samanya. Untuk bertemu dengannya pun , pasti ada bapak yang akan menemani kami sepanjang pertemuan itu. Biar berapa lama pun kami berbual, berbincang... ada kalanya Zaki Malasie akan berjumpaku pada malam selepas solat Isyak di surau sehingga mencecah jam 4-5 pagi. Kerja gila ketika itu.. dan apabila Zaki Malasie tidak mengakui perasaannya kepada aku ketika itu, aku akur.. memang ditakdirkan aku seumpama bertepuk sebelah tangan. Zaki Malasie kata dia tidak berperasaan sepertimana berperasaan kepada aku.. dan aku seperti penghalang dia dengan kehidupan bersama perempuan lain. Entah manalah salahku, jika tanpa berbuat apa-apa aku menjadi penghalang dia dengan wanita lain. Kebetulan, antara pasanganku berkasih itu hanya dua orang yang mempunyai tautan naluri yang kuat dengan aku. Satunya Zaki Malasie dan satu lagi 'Abid. Kebetulan dan tautan naluri yang menyekat Zaki Malasie berhubung atau menjalinkan hubungan dengan perempuan lain, kerana aku cepat tahu dan dapat menelah. Aku mohon maaf kerana segala itu bukan sesuatu yang aku pinta. Aku tidak pernah rasa kesal memiliki semua itu namun bukan kepada  Zaki Malasie... itu menjadi beban kepadanya, tanpa aku berbuat apa-apa.
          Dan satu soalan Zaki Malasie selepas tiga bulan perkahwinannya ketika aku menghubungi untuk memohon maaf sebelum aku menunaikan haji di Tanah Suci Mekah. Memohon maaf atas segala perasaan yang pernah aku dan dia kongsikan, dan kerana aku telah menunaikan janjiku untuk menunaikan haji walaupun tanpa dia. Zaki Malasie bertanya kepadaku, "Mengapa ketika (abang) berkahwin, (adik) tidak menangis? Mengapa (adik) tidak pernah menghalang? Mengapa masa peristiwa itu (adik) tidak memberontak? Mengapa (adik) biarkan hidup (abang) seperti tidak disayangi dan dihargai? Mengapa (adik) tidak ada perasaan cemburu? (Abang) terpaksa meneruskan agenda ini, kerana (adik) sebenarnya tidak pernah sayang (abang). Sedangkan (adik) tahu dalam hidup (abang), tiada seorang pun yang dapat menggantikan adik.. abang tidak akan berjumpa dengan perempuan lain sebaik (adik) dalam hidup (abang)".. Ketika itu Zaki Malasie tidak mendapat apa-apa jawapan daripadaku ini kerana aku tidak mahu menjawab, bukan kerana aku tidak punya jawapan.
          Maafkan aku Zaki Malasie, ketika aku diminta untuk tidak melupakanmu dan terus menyayangimu oleh adikmu dulu: mana tau apabila Zaki Malasie bercerai ataupun isterinya meninggal dunia lalu aku boleh kembali kepadanya... sebahagian rasa cinta itu telah aku buang.. dan apabila Zaki Malasie memperlekeh isterinya itu dengan mempersoalkan keputusanku yang dianggap tidak wajar kerana tidak menghalang perkahwinannya, semua harapan atau rasa hormat itu aku buang terus daripada diriku ini. Sepenuhnya.... sehingga yang tinggal kerana menjaga hubungan sesama manusia dan kerana aku menganggapmu sebagai seorang abang yang amat aku hormati, bukan lagi kerana aku mengasihimu sebagai seorang kekasih lagi. Aku mohon maaf buat Zaki Malasie yang bertindak melulu pada fikiranku ini, waima ketika itu lagi... kerana dia melukakan banyak hati terutama keluargaku sendiri.
           Walaupun hingga sekarang aku bisa melayannya dengan baik, namun aku sebenarnya masih rasa terkilan dan marah dengannya. Memang dahulu aku pernah mengikut kata seorang kawan untuk 'mengguna-guna'kannya, namun aku sebenarnya tidak reda. Maafkan aku kerana tidak meneruskannya sekadar untuk mengembalikan Zaki Malasie dalam hidupku ini.. kerana aku tahu dan reda dengan takdir Allah. Buat Zaki Malasie, untuk pertanyaan dahulu itu.. aku tidak menangis biarpun dia tidak berjodoh denganku kerana aku yakin Allah telah menentukan yang terbaik buat dia... aku sudah menjawabnya dalam surat terakhir aku kepadanya. Kenapa aku tidak cemburu kerana dia bukan sesiapa denganku dan dia bebas menentukan pilihan. Dia pemimpin masyarakat, dia orang yang menjadi kepercayaan... tidak ada sebab bagiku untuk mengikat hidupnya dan mengongkongnya hanya untuk aku. Zaki Malasie ketika itu milik masyarakat, semua orang menyayanginya... dan Zaki Malasie sendiri pernah menidakkan rasa cemburu aku itu sebelum itu... dia tiada perasaan denganku dan aku wajar menerima kata-kata itu dengan ikhlas walaupun aku sangat menyayanginya. Dan kerana rasa kasih itu, aku ingin sekali Zaki Malasie berbahagia dengan pilihan. Bukan salah aku jika mengambil tindakan tangkap muat (seperti alasannya) dahulu itu.  Maafkan aku membebaskannya dari tautan naluri hatiku itu. Ketika semua ahli keluargaku bersedih dan beberapa keluarga serba salah apabila dia membuat keputusan bertunang dengan oranglain setelah perutusan lamaran kepadaku ada kesilapan itu, aku berusaha untuk melepaskan dengan reda. Pada aku tidak akan ada orang lain yang menangisi keadaan aku ini.
        Aku tidak boleh menangis kerana orang yang aku kasihi mengecapi kebahagiaan dengan pilihannya. Aku tidak memberontak ketika peristiwa itu berlaku kerana semua itu fitnah dan aku menyakini kasihku dan kasih sayang Zaki Malasie itu benar. Dan aku tidak mempersoalkan apa-apa kerana aku yakin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.Aku tidak pernah menghalang perkahwinan itu kerana aku tidak mahu lebih banyak hati yang sakit dan terluka. Semoga Zaki Malasie memahaminya.  Aku ada banyak jawapan lain namun cukuplah jawapan ini. Biarlah aku meletakkan kesalahan itu atas kelemahanku sendiri. Aku juga ingin memohon maaf  kepada Zaki Malasie kerana membawa ABB ke majlis perkahwinannya dahulu.. agar menampakkan bahawa aku engkar dengan hubungan yang ada. Untuk menunjukkan bahawa sebenarnya aku yang curang bukan Zaki Malasie yang salah membuatkan keputusan meninggalkanku. Dan maaf kerana ketika itu aku tidak menjawab siapa ABB dalam hidupku. Yang waktu itu ABB sebagai seorang kawan yang membantu, dan selepas itu ABB telah menjadi seseorang dalam hidupku untuk beberapa waktu sebelum ABB juga membuat keputusan yang sama seperti Zaki Malasie.  

         Rentetan hal Zaki Malasie, aku semakin rapat dengan ABB, mungkin kerana sikap ABB yang memang sangat baik dan memberikan lebih perhatian kepadaku maka hatiku juga tertarik dengannya. Ketika ABB menyambung pelajarannya ke utara, aku ABB serahkan kepada ABY namun aku sudah memilih ABB, mustahil aku menerima orang lain sewenang-wenangnya. Sekali lagi aku diuji apabila ABB memberikan kata dua untuk mencari orang yang lebih baik daripadanya. Aku pasti ABB ingin aku menerima ABY. Semua itu sukar bagiku, entah mengapa mereka tidak memahami. Pada aku sekali aku membuat pilihan aku akan setia. Dan tergamakkah kita apabila kita berkasih dengan sahabat-sahabat yang menganggap aku ini seperti piala.  Begitu juga ketika MKm mendekatiku. Mereka bersahabat, wajarkah aku melayan semua mereka sekaligus. Maafkan aku ABY, membuatkan kau kecewa dengan tidak menerimamu. Aku sebenarnya marah dengan semua mereka itu, menjadikan aku seperti bola... semua mengejar aku dan aku digolek ke mana sahaja yang mereka ingin. Bukan aku yang difikirkan tetapi hati mereka. Tamatnya pengajian ABB, mereka seperti biasa. dan aku menjadi mangsa. Setiap orang memberikan perhatian dengan cara mereka sendiri sedangkan mereka tahu aku telah memilih ABB. Aku ingin memohon maaf kepada ABY.. Aku tahu dia banyak berkongsi kisah hidupnya dengan aku, sebagai sahabat kepadanya aku ikhlas mendengarnya. Mungkin kerana keperihatinan yang aku berikan sewaktu mendengar kisah hidupnya yang agak sedih itu dia memendam rasa kepada aku. Maaf aku tidak dapat menduga semua itu berlaku kepada ABY. Jika dia menaruh perasaan dan harapan kepada aku, aku tidak boleh menghalang. 
        Ketika ABB kembali ke tempat kami bertugas, semua seperti biasa. Aku sahaja sebenarnya yang tidak tahu apa yang berlaku dalam kalangan mereka namun aku berterima kasih dengan MHH sebab dia telah membuka kebenaran di depan mata. Aku kesal ABB mengecewakan aku kerana persahabatannya dengan ABY dan ABY pula tahu kedudukan sebenarnya antara kami. ABB berkawan dengan salah seorang staf baru dan aku akur. Tiada aku lagi di hati ABB. Majikanku juga pada masa yang sama menaruh hati kepadaku. Malangnya dia cuba memisahkan aku dengan ABB dan ABY. Sudah macam sebuah cerita dalam novel cerita aku ini. Aku mohon maaf juga pada majikanku USM kerana aku tidak boleh terima tawarannya untuk hidup bersamaku. Bukan wang ringgit aku dambakan. Aku minta maaf kerana bukan kerana ABB mahupun ABY aku menolak USM. Hanya kerana aku tidak mahu melukakan hati isterinya yang sememangnya aku kenali. Dan walaupun aku tahu USM memang mengasihiku dan boleh bersikap adil dalam rumahtangga, aku tidak mahu menjadi isteri kedua.
  
      Aku ingin memohon maaf kerana aku pernah membenci ABB seketika, apabila akhirnya dia sendiri memberitahu apa hubungannya dengan staf baharu yang dipilihnya untuk membolehkan aku menerima ABY. Maafkan aku ABY, kau sangat baik tetapi aku sudah tidak dapat memuatkan kau dalam hatiku.. aku lebih senang kau menjadi kawan. Maaf ABB, aku tercalar rasa apabila kau memperlekehkan seorang wanita yang kau dampingi apabila kau ingin mendapatkan perhatian aku  kembali. Agaknya memang malang orang-orang yang mengasihi aku, kerana jika aku cemburu, mahupun sayang, apatah lagi rindu... aku tidak pernah menunjukkannya sama ada secara lisan atau  perlakuan. Bagiku selagi tidak dinikahi, lelaki itu betapa aku sayangi sekalipun tidak berhak untuk aku rasakan perasaan sebegitu kepadanya. Tindakan itu, perasaan itu hanya satu dosa.. entah daripada manalah aku warisi perasaan dan pegangan seperti itu. Rahsia ABB dibocorkan oleh dua orang sahabatnya MHH dan SAB yang pada masa yang sama berasa kasihan melihat aku dijadikan seperti bola oleh pemain-pemain handalan itu... Akhirnya ABB membuat keputusan besar dalam hidupnya untuk berkahwin dengan perempuan yang diperkenalkan oleh adiknya. Mungkin itulah jodohnya, dengan bangganya dia mengatakan perempuan itu kelas atau kategorinya dalam kumpulan A atau terbaik. Aku? Entah kelas berapa, aku sendiri tak tahu.
       Pada petang sebelum perkahwinannya aku menelefonnya. Aku hanya hairan dan khuatir kenapa waktu-waktu terakhir sebelum pernikahan dia masih berada di tempat kerja. Dan aku teringat kata-katanya ketika itu : "Kenapa awak tidak berkata sesuatu untuk menghalang saya? Katakanlah walaupun sekali yang awak sayangkan saya. Jika awak kata tidak, saya tidak akan pergi ke majlis pernikahan itu.. katakanlah bahawa awak akan menerima saya. Saya akan membatalkan perkahwinan ini."
        Maafkan aku, ABB sebab aku ini wanita yang kejam menidakkan perasaan kasih orang lain kepadaku ini. Maaf kerana aku menolak permintaan awak, ABB.. malah maaf kerana menyatakan jika awak tidak pergi ke majlis itu, saya akan menolak awak sepenuhnya. Maafkan saya kerana melukakan hati orang tua awak. Sedih rasa hati ini apabila didakap oleh orang tua ABB, sewaktu majlis resepsinya dahulu. Orang tua itu memelukku dan berbisik kepadaku, "Maafkan ABB kerana melukai hati anak. Anak akan selalu dikenang."  dan aku cuma boleh berkata, "Maafkan saya." Itulah kali kedua aku ke rumah ABB dan mungkin kali terakhir bertemu orangtuanya itu. Namun sekarang aku bahagia kerana ABB bahagia dengan perkahwinan  itu. Biarlah dia  kecewa kerana aku sepertimana Zaki Malasie kecewa dengan apa yang aku lakukan itu... hasilnya membahagiakan aku. Aku bahagia kerana ABB dan Zaki Malasie adalah seorang yang matang, bertangungjawab dan dapat berfikiran wajar menerima perkahwinan yang mereka cipta pada awalnya untuk menguji aku. Itulah doaku sehingga kini. ABY juga sudah berkahwin dan mempunyai keluarga bahagia setelah berpindah selepas perkahwinan ABB dan kasihnya aku tolak. Kahwin dengan pilihan keluarga dengarnya. Alhamdullillah, aku sentiasa mendoakannya juga sebagai sahabat dan seseorang yang pernah menyayangi aku.

                 Aku ingin kembali sebelum aku mengenali ABB dan masih mengasihi Zaki Malaysie. Pertamanya, aku ingin sekali memohon maaf daripada MPz. Maaf kerana aku tidak pernah menyangka bahawa usikan-usikan aku menjadikan dia seorang pencinta tegar. Siapa sangka seorang lelaki yang pemalu itu begitu setia mengasihi aku walaupun ungkapannya dia mencintai aku. Aku tahu aku yang silap. Maafkan aku menggodamu, MPz. MPz, seseorang yang masih lagi dalam pencarianku kini, untuk aku menghulurkan salam kemaafan ini. Sehingga kini aku belum pernah bertemu lagi. Aduh, entah bagaimana aku dapat memohon maaf itu. MPz aku sememang amat terkejut dengan semua tindakannya pada malam itu. Lelaki itu menangis memikirkan andaian dan apa yang bakal kami hadapi pada masa hadapan sedangkan aku hanya berdiam diri mendengar dan melihatnya duduk meneleku di hadapanku sambil menyatakan perasaannya, perancangannya dan kebimbangannya. MPz telah memikirkan terlalu jauh tentang aku dan dia. Maafkan aku, kerana melukakan hatimu. Tentu luka hatinya sangat dalam ketika aku menyatakan bahawa aku tidak pernah ada rasa cinta dalam hatiku ini. Aku sememang berprinsipkan bahawa cinta itu hanya perlu hadir selepas perkahwinan dan yang berhak dicintai itu adalah seorang suami. Maafkan aku kerana ketika itu aku sangat menyayangi Zaki Malasie dan aku ingin terus setia dengannya walaupun tanpa sebarang ikatan.
          Kegembiraan dan keceriaan MPz telah aku renggut ketika itu, sewaktu aku menyatakan peganganku itu. Maafkan aku kerana hanya mampu menerimanya sebagai kawan. Aku juga minta maaf kerana aku sebenarnya sangat pelik bagaimanakah cinta itu boleh berputik di hatinya hanya kerana usikan-usikan nakal yang sesekali aku lakukan kepadanya. Maafkan aku dan kerana itu juga salah sebab mengapa aku telah menjadikan diriku seorang yang kasar kini. Suaraku sudah tiada kelembutan apatah lagi untuk seorang yang bernama lelaki, tidak lagi lentuk liuk sewaktu remajaku dulu.  Walaupun telah berubah ketika itu namun ABY masih pernah menyatakan bahawa dia terpikat denganku kerana kelembutanku. Pelik.
 
         Aku sebenarnya merasakan kesakitan lama itu, apatah lagi ketika mendengar beberapa lagu yang didendang sewaktu pertandingan menyanyi dahulu berkumandang di corong-corong radio. 
       Lirik  : Kini baru kau sedar, permata yang kau miliki bukan permata asli.... engkau cerca dan kau hina diriku... diriku kau lupakan...
       Sememangnya laguku seperti ditujukan kepada aku namun aku dengan ikhlas dan yakin, permata yang aku pilih itu adalah permata asli, termasuklah MPz yang pernah hadir dalam hidupku dulu, namun permata itu tidak dapat aku miliki. Dan aku tidak pernah mencerca apatah lagi menghina dirinya... biarpun ketika itu MPz menyatakan bahawa dia sememangnya bukan orang senang, dan apa pula bezanya dengan diri aku ini. Kami keluarga golongan sederhana. Aku mahu MPz tahu, aku cuma ingin setia pada yang satu ketika itu, dan aku tidak mahu dia mengharapkan aku lalu menyebabkan dia menaruh harapan. Biarlah dia kecewa ketika itu, akhirnya aku dengar dia mempunyai teman baharu selepas itu. Kata orang, MPz ingin menunjukkan kepada aku bahawa dia tidak sesekali tewas dan kalah denganku.
         Seterusnya aku ingin memohon maaf kepada seorang insan istimewa yang pernah hadir dalam hati ini walaupun ketika itu aku punyai Zaki Malasie. Jika aku tidak punyai sesiapa pasti KZH adalah pilihan terbaikku.. aku akan menerimanya dengan ikhlas. Entah mengapa kekasarannya begitu mendera hatiku. Dalam aku ingin membalas dendam atas kekasarannya dan kejujurannya memarahi, menengking dan mengejek aku, rupanya hatiku amat tertarik kepadanya. Maafkan aku KZH, sebab sewaktu kau beriya-iya mengikut balik ke rumah orang tuaku di kampung... ketika itu aku membawa lebih kurang lapan orang calon yang menyatakan rasa hati mereka untuk mengenali keluargaku dan mengisi tempat di hatiku. Dan maafkan aku, wahai calon-calon suamiku ketika itu kerana sebenarnya kepulangan aku ke kampung hari itu kerana ingin menyampaikan berita kepada orang tua aku tentang pilihanku yang telah aku pastikan ketika itu dan kerana Zaki Malasie telah menyatakan hasratnya melamar aku. Dan aku ingin memohon maaf sekali lagi, kerana pada masa yang sama aku telah membuat pilihan bahawa jika bukan Zaki Malasie orangnya, KZH adalah pilihan terbaikku.
  
           Maafkan aku KZH kerana aku tidak pernah memberitahu bahawa kau tidak pernah bertepuk sebelah tangan. Cuma aku ingin setia dan tidak mahu mengkhianati Zaki Malasie. Maafkan aku kerana mengasihi dirimu secara diam-diam. Namun seperti aku nyatakan, KZH bukan sesiapa denganku. Tindakannya memilih junior kami, amat aku hargai. Maafkan aku kerana ketika kau di Pulau Borneo dahulu aku masih mengutusi surat buatmu walaupun aku tahu kau sudah punyai dia. Maafkan aku kerana menyemai rasa kasih di hatimu.. maafkan aku kerana menyenangi dan membuatkan kau akhirnya sangat selesa dan tidak panas lagi ketika kita di dewan kuliah atau di mana-mana kita berada bersama. Maafkan aku kerana aku selalu senang jika KZH membantu aku dalam banyak hal. Terima kasih kerana kau memberikan aku rasa bahagia dan gembira di sampingmu. Ketika bertemunya dahulu selepas 20 tahun, dia masih seperti dulu... matanya berkaca-kaca, bersinar di sebalik kaca matanya. Dia masih senyum dengan penuh makna, dan KZH aku senang kau masih seperti itu. Semoga kebahagiaanmu akan sentiasa berkekalan hingga ke akhirat nanti. Maafkan aku kerana KZH masih kuat dalam ingatanku dan rasa gembira sentiasa ada ketika mengingatinya, tiada yang buruk pada pemuda itu dulu dan tiada yang menyedihkan pada lelaki itu kini. KZH terima kasih dengan semua itu walaupun kau mulai perasaan itu dengan kasar dan menjelekkan.

    Aku ingin memohon jutaan kemaafan buat RzS kerana menolakmu secara tidak berhemah. Mulut RzS memang celupar tetapi aku tahu dia bercakap jujur. Namun sejak kecil senakal mana sekalipun aku, bapa telah mendidik aku menghormati kata-kata orang lain. Aku sudah 'bertemu' kembali dan aku mohon maaf masih lagi ada perasaan tidak senang di hatiku ini. Ayat-ayat yang keluar daripada mulutnya dulu ketika mengajak aku  berkahwin dengannya masih aku ingati. Maafkan aku RzS sebab ketika itu aku memang marah kepadamu. Marah-marah sangat. Marah kerana ayat-ayat yang aku anggap lucah daripada mulutmu itu begitu menghampakan aku. Aku kenali RsZ begitu-begitu sahaja namun semudah itu kata-kata itu meluncur daripada bibirnya yang sentiasa menguntum senyumannya. Wajah kacak itu terus aku anggap sebagai wajah paling gerun dan buruk. Maaf kerana aku tidak mengerti ketulusan kata-kata itu. Aku ingin berterima kasih buat RzS kerana selepas itu aku tidak memakai pakaian yang boleh merangsangkan dan langkah lengkukku lebih aku kakukan. Biarlah macam robot asal tidak merangsang naluri seorang lelaki.
        Ketika aku bertemunya kembali, pandangan masih sayu dan lembut kepada aku. Matanya berkaca-kaca dan nafasnya agak celaru sedikit. Mungkin kerana gementar. Maafkan aku kerana tidak berani mendekatimu walaupun sekadar bertanya khabar lebih jauh. Kerana aku takut... takut kenangan lalu mengganggu. Biarpun kini aku tidak punya sesiapa yang mendampingi, namun aku masih gerun mengingati bicaranya dahulu. Adakah sekarang ini segala aku ini masih menggoda dan merangsang RzS? Aku tidak dapat memikirkan apatah apabila dia sering menarik nafas ketika merenung. Maafkan aku masih melarikan diri. Kau terlalu berani dan jujur menyatakannya. Rasa tertarik kepada penampilan dan keperibadian punah dengan kata-kata itu. Aduh, aku memang amat sukar untuk mengingati saat itu. Walaupun kita ini semakin tua dan aku bukan seperti pandangan RzS masih mengancamku. Dia seperti mengotakan kata-katanya, bahawa sehingga bila-bila pun aku akan menggoyah kelelakiannya. Fuh, pertemuan itu membuktikan kata-katanya. Dengan postur aku sekarang ini pun pandangan masih pandangan yang menyeramkan seseorang seperti aku ini.
Rz, aku minta maaf kerana meragui orang sejujurmu... dan aku minta maaf kerana sukarnya aku menerima hakikat bahawa kau adalah antara mereka yang selalu aku ingat dalam bermuhasabah diri dan membetulkan hidupku ini. Tiada celanya bicaramu itu namun aku gagal mentafsirnya dengan jujur... Doa aku semoga kau berbahagia ketika ini.
  
           Masih banyak orang yang perlu aku pohon maaf kerana aku pernah melukai mereka dahulu. Antaranya Zkyd. Aku bermohon maaf kerana tidak pernah memahami dahulu. Tetapi aku bahagia melihat kehidupanmu kini. Kau tambah hebat dan aku gembira dengan kejayaan demi kejayaan yang kau kecapi. Aku ingat lagi kata-kata Zkyd ketika konvokesyen lama dahulu. " Kau apa khabar? Kau tak kahwin lagikan? Mana pergi buah hati (Zaki Malasie yang sudah berkahwin ketika itu) kau yang kau sayang sangat itu? Itulah...aku hendak kau, kau tak hendak.. aku sampai putus tunang, tapi kau buat tak layan sahaja. Baharulah padan dengan muka kau. Tunggu sangatlah buah hati kau itu, kan sudah kena tinggal." Amboi mulut dia ketika itu rasa aku hendak cili-cilikan sahaja. Bukan sebab dia padankan muka aku tetapi sebab dia meletakkan aku sebagai sebab dia putus tunang. Aku minta maaf Zkyd sebab aku juga tidak pilih kau. Aku minta maaf kerana tidak sedar kau ada hati kepada aku. Aku minta maaf kerana aku fikir kau ada hati dengan kakak angkatku. Siapa tahu akulah orangnya yang menyebabkan kau berubah hati dan memutuskan pertunanganmu itu.  Aku benar-benar minta maaf kerana tidak nampak semua itu. Aku minta maaf sebab tidak menyedari pesona diri aku ini sebegini dahsyat rupanya. Dan aku juga minta maaf dan selalu memaafkan diriku ini kerana mendera hatimu dan membiarkan aku sebagai satu item yang mengguggat keharmonian dan ketenangan orang lain. Aku juga minta maaf mungkin kerana wajahku ini, isteri yang kau pilih sedikit mirip denganku namun aku sangat kagum denganmu... kau berhak bahagia Zkyd. 

        Sememangnya ketika Zkyd beriya-iya memperkenalkan isterinya kepada aku berkata-kata sendiri, macam aku sahaja. Alhamdullilah, Zkyd kini bahagia. Putus tunang, kemudian putus harap dengan aku tidak menjadikan dia kalah... malah terus gah.
Aku memang sangat gembira dan ceria dengan dia, rupa-rupanya dia yang sebenarnya rasa bahagia, gembira dan ceria ketika bersama-sama aku. Maaf aku tak perasaan langsung sebab kakak angkat aku itu lebih menyerlah rapat dengan Zkyd... rupa-rupanya dia cuma ingin menemankan sahabat baiknya itu bersama-sama aku untuk pelbagai aktiviti dan keraian. Pergi makan bersama-sama, belajar bersama-sama, dalam kumpulan yang sama, keluar bergembira bersama-sama... dan mendengar aku bercerita tentang Zaki Malasie bersama-sama juga. Zkyd, terima kasih menemani aku dan maaf kerana aku tak tahu tentang perasaan kau itu.


         Sudah banyak aku mencatat sebenarnya... namun masih banyak insan yang mengindahkan perjalanan hidupku ini. Aku ingin memohon maaf kepada WSWO, RbMk, ZZ, UMh,SMs dan beberapa orang lagi yang mungkin tergoda kepada aku ini. Untuk mereka ini, termasuk MFR dan 'Abid akan aku sambung pada catatanku seterusnya. Sesungguhnya aku bersyukur menjadi seorang wanita... dan aku bersyukur menjalani hidup yang indah ini. dan aku sedar sesungguhnya sebagai wanita aku perlu menjadi adab sopan, akhlak kerana aku wanita boleh menggoncang keimanan seorang lelaki tanpa berbuat apa-apa dan dengan  sekadar tersenyum. Maka wajarlah Islam melindungi wanita dengan pelbagai cara dan antaranya, menentukan batas aurat seorang wanita dan pergaulan. Tidak salahlah juga peribahasa yang mengungkapkan "Menjaga anak perempuan seorang lebih susah daripada menjaga lembu sekandang.." Orang terdahulu lebih berpengalaman dan lebih bijaksana dalam berpesan-pesan. Wallahualam bi sawab..