Selasa, September 20, 2011

ADUHAI, YANG MANA SATU PULA INI??

 Hari ini aku hendak mencatat beberapa perkara yang berlaku dalam hidup aku akhir-akhir ini. Pening-pening, tidak tahu yang mana satu yang hendak difikirkan.

       Sengaja pula aku masukkan gambar-gambar yang aku ambil daripada web: iluvislam.com. untuk penghias laman catatan aku ini. Mungkin gambar-gambar ini dapat mengiplementasikan apa yang tersirat dalam catatan aku ini. Selebihnya sebagai hiasan sahaja, namun rasanya masih berkaitan. Cukuplah rasanya catatan ini sebagai luahan rasa hatiku ini. Hush, memang akhir-akhir ini banyak yang mengelirukan dan membuatkan aku rasa jemu. Itulah yang aku bimbangkan selamanya ini, apabila mengambil keputusan untuk menyelesaikan satu masalah yang ada. Bukan tidak suka, sukalah sangat tetapi apabila datang mendadak, payah pula aku dibuatnya. 
            
            Ada sahabat kata, blog aku ini banyak sangat gambar, susah hendak akses.. tak apalah kawan-kawan, sebab aku tulis dalam blog ini pun untuk kebajikanku sendiri, menyenangkan hatiku tanpa bertengkar mahupun bertelingkah dengan orang lain. Sebab aku tidak letak pun nama sesiapa yang terlibat itu kecuali jika tidak ada kontroversi yang bakal timbul. Sesiapa yang baca pun tidak akan tahu bahawa si polan, si polan yang aku maksudkan. Tetapi kalau empunya diri baca mungkin akan terasa jugalah pedas cili yang digigit itu, walaupun sedikit.
          Kasihan juga, tetapi dengan tidak mengaibkan orang itu lebih baik bagiku. Sesiapa yang aku marah atau aku bebelkan, atau mungkin yang aku kutuk dan maki tidak tahupun mereka yang aku maksudkan. Namun sebenarnya tidak mustahil sebenarnya banyak juga yang membaca catatan ini akan memahami, terutama mereka yang rindu itu dengan catatan aku ini yang merapu-rapu dan menyakitkan hati, mungkin!
          Kasihan juga aku kerana sebenarnya hanya akan melegakan hatiku ini seketika sahaja, namun apabila terfikir, datang lagi keresahan yang entah  datang dari mana. Kerana cara yang betul adalah dengan bersemuka untuk berbincang dengan mereka yang ada dalam masalah dengan aku. Aku tidak berani? Berani sebenarnya, cuma aku juga takut kehilangan sedangkan aku sedar jodoh pertemuan, ajal maut semua dalam kuasa Allah.
              Orang kata, menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Hal Itu kalau pasu itu kecil separas lengan sahaja. kalau tempayan itu besar, mahukah sampai ke pangkal lengan? Silap-silap kita pula yang tersungkur, terjelungkup ke dalam tempayan atau pasu itu.  Apapun memang betullah, hendak berbuat sesuatu itu mestilah berusaha bersungguh-sungguh dan yang penting istiqamah, untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Maka peribahasa itu masih relevan digunakan dalam kehidupan kita seharian. Cukup untuk menjelaskan kesungguhan seseorang dalam menentukan matlamat dalam hidup masing-masing.
        Wah, panjangkan mukadimah  catatan hari ini! Sahaja hendak gimik. Aku inipun baru habiskan bacaan satu novel tulisan Wan Azlan, tajuk 'Golek tergolek'. Sempoi sahaja bahasanya. Berkisahkan bagaimana seorang lelaki itu yang memulakan hidup berumahtangga dengan pelbagai pengalaman yang 'mengharu'. Puas juga aku gelak seorang tetapi tidaklah sampai tergolek. Ada beberapa kisah yang pernah aku dengar digarapkan penulis dalam cerita ini, contohnya bagaimana sembahyang dengan bacaan qunut panjang dan qunut pendek, dan pengalaman akad nikah yang berkali. Nampaknya sensitiviti penulis ini boleh tahan juga, guna bahasa mudah dengan cerita yang sedia ada dalam alam realiti ke dalam cerita novel. Ada juga lawak bodoh yang sukar diterima logik akal.  Sebagai orang yang terlibat dalam sesuatu bidang profesional dan menjaga kualiti bahasa, bahasanya tidaklah menarik sangat dan plotnya muda namun kalau hendak santai dan gelak menghibur hati okaylah.  Namun sebenarnya siapa yang boleh faham, yang tersirat itu lebih menyakitkan.

       Okay, boleh masuk tempo yang sebenar ingin aku catatkan. Dari tadi asyik guna tempo orang lain, menari pun naik canggung. Tiada istimewa pun, sahaja aku hendak menyenangkan sedikit hati ini. 

        Aduhai, seminggu ini aku 'dikunjungi' oleh beberapa sistem pesanan ringkas daripada beberapa orang yang aku ingat sudah terputus perhubungannya dengan aku. Gembira sebenarnya namun sedih pun ada juga. Namun apa yang lebih selain ukhuwah yang terpisah dan terlerai sebelum ini masih dapat dirapatkan semula.  Rapat macam mana? Itulah pula persoalannya. Insyaallah sebagaimana hubungan yang lama dijalin semula. Atau  hubungan lama yang ingin disambung semula, atau juga menghubungkan yang jauh menjadi lebih dekat, atau mengembalikan hubungan lama yang tidak jadi.

          Inilah yang susahnya jika aku bersetuju untuk berubat dan membuang sihir yang ada ini. Aku yang kena tanggung risiko. Patutlah yang mengubat aku kata, haah banyaknya.. Yang mana cepatlah agaknya ini. Kata-kata yang merisaukan  aku dan sudah pun menunjukkan riak untuk menjadi kenyataan. Tetapi aku juga tidak akan meminta DIA palingkan mereka daripada aku. Cuma aku akan memohon yang terbaik antara mereka untuk aku, duniaku, hidupku, ibadahku, hidupku, matiku dalam menuju cinta ILLAHI.
        Apa hendak buat ya? Adik angkat aku ini tawarkan abangnya. Masih inginkan aku jadi kakak iparnya juga. Biar semakin dekat katanya.  Ayah angkatpun tawarkan anaknya yang menduda sejak beberapa lama itu. Tidak jumpa orang baru dan dah lama pula berkenan dengan aku, cuma keadaan yang tidak mengizinkan, katanya.  Ya Allah, mereka ini pun belum bertemu jodoh dengan orang lain kah.. Dari segi rupa dan agama, alhamdullillah. Kategori orang yang hampir sempurna, insyaallah. Tapi aku sendiri macam mana pula, ya? Pening itu hendak memilih. Hendak ditolak, tidaklah patut  sebab  orang berhajat. Hendak diterima, aduhai yang mana satu pula ini, banyaklah pula. Kalau boleh empat tidak mengapalah, macam orang lelaki. Tapi mena boleh langgar hukum agama pun. Nauzubillah.
        Dua hari lepas, abang aku pula bertanya aku untuk kawannya. Entah mana datanglah makhluk yang satu ini tiba-tiba hendak tengok aku. Habis itu apa lagi aku hendak kata, hendak tengok, tengoklah,kan.. bukan luak sekadar tengok. Tetapi yang satu ini nampak serius sahaja, aduhai mana tahan hendak buat pilihan. Kalaulah orang tahu apa dalam hati aku ini! Huh, bercelaru dan keliru, haru!  
            Abang aku ini pun satulah, dia suka-suka hendak 'offer' aku pada orang, kenapa pula. Tahulah aku tidak bertemu jodoh lagi.  Dia ingat adik dia ini apa, bendakah hendak buat macam itu. Entah apa cerita yang keluar daripada mulut satu-satu abang aku ini, sampai yang seorang itu berminatlah pula. Tambah-tambah tengah aku keliru pula itu. Ya Allah, bantulah hambaMU ini menentukan pilihan yang terbaik.  Belum apa-apa sudah cakap sejelas-jelasnya pada aku. Kadang-kadang terfikir juga, buatlah dengan cara berhemah dan berlapik-lapiklah sedikit. Tidak pandai mengayat betul abang aku ini.  Mentang-mentanglah dia itu wali aku dan boleh nikahkan aku, ikut suka dia sahaja promote adik dia ini.  Bawalah orang itu tengok aku diam-diam ke, tidak susah  hati aku ini digugat dengan banyak tawaran ini, dalam masa yang sama, serentak pula. Silap-silap aku pagar dan kunci hati aku tak buka untuk sesiapa. Kalau hendak kecewa, biar semua orang kecewa.. Boleh begitu?
          Beberapa malam pula, seorang ini datang dalam mimpi aku ini. Alahai mesra melampau itu, mujurlah dalam mimpi,kan.  Di alam nyata ini, malulah konon. Hendak pandang aku pun curi-curi. Macamlah aku ini kemaruk sangat. Tiada apa pun niat aku hendak menganiayai anak orang. Pemalu! Mungkin itulah kenyataannya. Dia pemalu! Aku ini bukanlah macam dulu itu. Sudah tua-tua ini, malas hendak cintan-cintun lagi.. tidak ada maknanya pun. Siapa hendak aku, 'be gentleman', aku sudah malas hendak fikir. Aku yakin Allah sudah memberikan laluan buatku tapi pengalaman lama sudah menyebabkan aku serik. MPz dan Aha, dua insan yang pernah aku 'aniaya' (jika perkataan ini sesuai digunakan), aku goda-goda, akhirnya malu itu entah terbang ke mana dengan karenah aku ini, memberontak akhirnya.
            Bezanya satu itu aku tidak ada perasaan padanya, tidaklah memberikan kesan apa sangat, cuma dia pula sakit hati dan meng'aniayai' aku kembali. Seorang itu pula sangat memberikan kesan besar dalam hidup aku, kerana merasakan perasaan aku kepadanya adalah terbaik setakat ini dalam hidup aku. Jika Zaki Malasie itu menjadikan aku serba boleh, si Aha ini pula menjadikan aku solehah dan berkredibiliti. (Hmm, insyaallah... Solehah itu akan aku kekalkan selepas apa sahaja gelaran yang akan aku sandang sekarang dan esok lusa.. siapa tahu,Allah masih memberikan aku peluang yang lebih baik). Ceh, kalau dia baca ini tentu dia bangga dapat membentuk aku ini yang dulunya gedik, manja, menggoda dan apa-apa sahajalah; menjadi seorang yang solehah! Kononlah, sebab aku sebenarnya memang menjaga keyakinan dan kepercayaan bapak kepadaku agar menjaga nama baik dan maruah diri. Alhamdullillah, bapak.. anak perempuanmu ini masih dalam menjaga semua batas yang telah bapak bimbing dan ajar dahulu.
           Yang seorang ini pula, malu tidak bertempat. Tengok sahaja perbezaan antara kita. Semua sudah membolehkan kau menolak aku dari hidupmu. "Carilah orang yang lebih baik. Kau ada segala-gala ciri yang baik". Itu kata-kata orang yang pernah aku kasihi dulu. Kebanyakan si dialah itu. Tetapi kali ini aku hendak tujukan kepada seseorang ini yang agaknya ada kelainan kalau nampak aku. Meronalah wajahnya yang putih jika kebetulan aku terpandangkan dia curi-curi pandang aku atau terserempak secara tidak sengaja. Aduhai, penat aku hendak melayannya. Aku sudah cuba mengelak daripada berurusan denganmu...semoga janganlah tunjukkan sikap yang hendak 'cover macho' itu.. susahnya hendak sorok, apabila merah sudah merona di wajah.
        Yang jelas tidak ada sebarang debaran dalam hati aku ini, berbanding ketika aku melihat Aha dulu. Sekarang dengan Aha pun, semua okay-okay sahaja. Maknanya hati ini sudah redhalah itu. Aku sendiri kena faham dan sedar diri. Doa aku untuk Aha, Aby, Abb dan beberapa orang lain Allah sudah makbulkan, aku hendak apa lagi. Insyaallah aku sentiasa mendoakan mereka bahagia.
          Cik abang seorang ini pun entah apa sebab membisu sahaja beberapa waktu ini. Kalau bukan kerana aku sudah memilih dia untuk menjadi pilihan utama, tidak kuasalah aku hendak menunggu. Sms tidak, telefon apa lagi. Tengah main kayu tiga lagikah? Nanti sudah tiada siapa hendakkan awak itu, datanglah pula hendakkan kita ini. Ceh, macam mak neneklah hendak 'demand'! Kali ini peluang terakhir,ya.. Awak tidak bersungguh, saya terima sahaja orang lain. Awak itu segak dan bergaya, tentu dapat cari orang lain yang lebih baik daripada saya. Carilah puas-puas, esok lusa kalau sudah tidak jumpa orang lain, perhatian itu untuk saya sahajalah,kan. Kalau tidak pun saya ikut jalan lain,lah.  Macam sudah ada jalan lain sahaja saya ini,kan? Ya, kan! Yang datang satu lepas satu bertanya saya itu, siapa? Bukan jalan lainkah. Jika bukan awak terbaik untuk saya dan di sebaliknya, saya redha sahaja. Tidak mustahil kan!  Yang kita sukai, gemari, cintai tidak semestinya baik untuk kita dan begitulah sebaliknya. Sekarang ini, saya bagi awak peluang terakhir, tetapi jangan lambat sangat,ya. Takut masa itu, saya sudah terima oranglain, baharulah tahu macammana awak hendak buat.. tapi tidak akan jadi masalah, sebab orang lelaki pada usia awak ini, saham tinggi.. hidup awak pun stabil dan segak, agaknya petik jari semua datang berlumba-lumba. Pelikkan, dengan apa yang ada pada awak, kenapa hendak berbalik kepada saya,kan? Tetapi siapa tahu apa yang tersembunyi dan menjadi rahsia Allah dengan pertemuan semula kita ini, kan..
         Untuk yang seorang lagi ini, aku rasa dia patut rasa jeranlah. Penat aku hendak melayan ratu hatinya lagi.Dulu seorang. Sekarang ini seorang lagi. Aku sudah kata, tiada jalan atau pintu yang boleh kau masuk dalam hidupku. Maka muktamad. Aku pun muda sikit sahaja darimu, dua tiga tahun lebih muda. Maknanya kita sama-sama sudah di ambang senja. Tidak perlulah rasanya aku hendak habiskan masa untuk kau. Kita kawan sahaja. Kadang-kadang kawan itu lebih membahagiakan kita dan kau serta pasanganmu.  Aku ini tahu bagaimana sakit hati kaum sejenisku setelah berbelas tahun berkongsi hidup dengan kasih sayang dengan kau.. tiba-tiba ada aku menjadi pengacau pula. Sebenarnya aku tidak kacau sesiapa pun. Isteri kau sahaja yang kata aku begitu. Rasanya macammana aku ini? Bengang tau! Sedangkan aku tidak ada dan tidak sepatutnya ada pun dalam ini gambar. 
            Maka aku rasa lebih baik kita ambil jalan selamat,ya. Kau jangan cuba hendak mendekati aku lagi. Sejarah biarlah berlalu, jika dulu kau memang suka aku sangat, dalam diam-diam.. Nama pun sejarah, maksudnya sudah berlalu. Kalau kau tidak ungkit sekarang lebih bagus. Duduk sahaja diam-diam dalam hati. Kenapa lah pula sekarang ini yang kau hendak menghubungi aku dengan ayat-ayat cinta  yang mengancam itu. Aku pun tidak akan tergoda, itu janjiku, insyaallah selagi aku ingat. Aku senang hati dan kau serta keluargamu pun senang hati. Dan semoga kali ini, isteri  kau yang tercinta  tidak tahu dan tidaklah hendak serang aku tidak menentu. Okay, kan.. Jelas atau tidak? Aku harap semua akan jelas. Aku cuma hendak memohon kemaafan sebab mungkin kata-kataku ini menyakitkan hati.  Aku sebagai kawan gembira kalau kau dan keluarga bahagia. Maka jika kita hanya menjadi kawan bolehlah aku tumpang bahagia dan gembira dengan kehidupan kau sekarang yang jauh berbeza daripada dahulu, ya. Maafkan aku kawan, sekali lagi.
            Yang Pak Dud... inipun masalahlah juga. Semoga dia berputus asalah dengan aku ini. Keluarga pun macam tidak berapa suka dengan dia yang dalam hatinya ada taman dengan penuh bunga-bunga yang mekar itu. Emak pun ada tanyalah pulak pasal pak dud ini. Hish, peninglah aku apabila memikirkan hal ini. 'Dia itu tak seriuslah, mak. Asyik nak 'control' orang sahaja. Rimas tahu, mak. Terima orang seadanyalah, kalau hendak kita. Ini tidak, suruh itu ini. Belum apa-apa ini, baik angkat kakilah dulu... betul tak emak!". Memanglah dia kira alimlah juga, tapi tak pastilah. Tak pernah tengok pula dia mengimamkan solat depan aku. Mana tidak, apabila jumpa sahaja, dia kata sudah solat. Tetapi tidak boleh hendak salahkan dia pun. Lagipun aku pun tidak yakin anak-anak dia boleh menerima aku ini. Mesti ada yang sebaya atau lebih tua daripada aku kot. Anak bongsu pun dah 17 tahun.
          Rasa-rasa aku hendak larilah cepat daripada dia. Rimas juga tanya itu ini, kenapa tidak buat, kenapa buat macam itu. Kenapa tidak ingat dosa pahala.. Mak ai, ampun! Kalau jadi, mahu aku duduk rumah sahaja melayan itu boleh, ini tidak boleh, itu kena buat, yang ini jangan sekali-kali buat. Kenapalah aku boleh jumpa Makhluk macam ini? Tetapi sebenarnya aku menyakini DIA lebih mengetahui hikmah dipertemukan dengan lelaki ini.  Kalau jadi, pakej aku jadi isteri, ibu dan nenek sekaligus. Memang aku senang apabila dengan dia, boleh ketawa tidak putus.. tapi laratkah pula aku semua benda ada syarat.
          Bukankah dia sudah pergi dulu, kenapa lah pula datang bertandang lagi. Peninglah!  Lagilah pening kalau dia terus minta daripada emak aku, lagipun dia sudah tahu rumah aku. Aisyeh... tambah pening ini! Tetapi aku rasa macam emak tidak akan terimalah.. lainlah kalau-kalau dia hendak pinang emak aku pula kan.. Aku setuju sahaja. Layaklah itu. Jadi keluarga aku bolehlah berkembang. Semua status yang tiga tadipun memang emak sudah sandang lama, mesti tidak kekok. 9 orang adik-beradik aku campur 7 orang anak-anak pak Dud... 16 orang, mesti meriahkan. Ya Allah, Yang Maha Penyayang , Maha Mengetahui.. perkenanlah yang terbaik untuk kami.
            Hah, rasa lega sangat sudah meluahkan sedikit kekalutan dalam benak fikiran dan hati aku ini. 97% cerita ini benar. 3 % ada sedikit auta. Mana boleh hendak cerita semua perkara. Jika tiada rahsia, tentu tiada yang menarik,kan. Buat aku ada beberapa orang yang ada dalam hatiku ini tetapi tidak aku kongsikan. Aku pun bukan hendak main-mainkan hati orang. Biarlah aku simpan sendiri. 3% itu termasuklah tentang nama, dan beberapa perkara yang berkaitan. Aib orang pun kita kena jaga. Begitu aku! Aku sebenarnya tahu kelemahan aku ini. Pantang ada hal yang tidak berapa elok orang kepoh-kepoh. Aku ini suka cerita tentang diri aku sendiri, biarlah orang kata bodoh, cerita hal sendiri tidak memudaratkan pun. Tetapi kalau aku asyik membebel sahaja, nanti orang marah pula.
          Sudah panjang rasanya mencatat di sini. Dan aku ingin bermohon maaf kepada semua sahabat, terutama orang yang suka menjelajah di laman /blog ini. Terima kasih kerana membaca artikel-artikel dalam blog ini. Kisah ringkas tentang pengalaman hidup dan kitaran hidup orang lain. Orang kata bersabar dan menyahut salam terutama kepada musuh itu baik.
        Sebelum aku mengakhiri catatan aku ini.. kini aku rasa aku setuju dengan apa yang  tercatat dalam dua gambar akhir ini, menilai semula dan menghitung kekhilafan untuk diperbaiki kelemahan dan kekurangan.  Semoga ada rezeki buat aku ini, insyaallah. Ya Allah, jangan dipalingkan hatiku ini kepada sesuatu yang bukan hakku dan jangan jauhkan aku dari MU dalam aku bertatih pada usia ini kepada MU juga.

Rabu, September 14, 2011

WAHAI HATI DAN JANTUNGKU, USAHLAH BERUBAH LAGI, TETAPLAH MENJADI PADU..

        Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak memulakan catatan aku hari ini. Namun debaran dalam hati ini perlu aku perjelaskan. Semoga selepas catatan ini aku akan lebih lega dan tenang. Setiapkali berasa seperti ini aku lebih gugup dan lebih terasa kesesakan. Aku sebenarnya pun terasa gugup sejak akhir-akhir ini. Bagaimana agaknya aku ingin melepaskan rasa kebimbangan ini. 
            
        Sementelaah inilah sahaja cara aku meluahkan sedikit apa yang aku rasakan ini, semoga usaha aku ini akan berjaya melegakan hatiku ini. Riuh-rendah di sekeliling aku ketika ini menambah rasa sesak dalam dadaku ini.  Semoga kali ini aku berharap hati ini akan teguh dan tidak goyah lagi. Berkait soal hati, segalanya aku serahkan kepadaNYA untuk melorongkannya.

120- اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ.


120. "Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu (Hawa). Ubun-ubunku di tanganMu, keputusan-Mu berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau gunakan untuk diriMu, yang Engkau turunkan dalam kitabMu, Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang Engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu, hendaknya Engkau jadikan Al-Quran sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku." [137]

        Buat beberapa minggu belakangan ini, aku juga sering terjaga pada waktu malam. Sayu rasa hati beberapa malam lalu. Entah kenapa aku terasa-rasa ada yang sedang 'mengharapkan' sesuatu dari aku.  Mungkin juga berkait dengan hati dan perasaan seseorang. Namun aku rasa sudah letih dengan semua ini. Aku sudah tiada berharap apa-apa lagi. Apatah lagi dengan usiaku sekarang ini. Hatiku sayu juga apabila didatangi seseorang dalam mimpi-mimpiku yang lalu. Kenapa dia perlu hadir , aku tidak tahu akan rahsiaNYA. Semoga munculnya dia dalam mimpiku belakangan ini bukan suatu yang akan membebani diri dan hati ini sekali lagi.  Terus terang aku tidak mahu lagi terlibat dalam urusan yang melukakan hatiku ini lagi. Ataupun mungkin hati orang lain lagi. Ya Allah. kuatkan hatiku ini! Tetapkanlah menjadi satu dan yakin serta reda. Yang jelas aku tidak boleh menolak jika itu yang baik untuk agamaku hidupku dan matiku. Selalu aku mendengar, jika kita reda dengan sesuatu kehilangan itu, Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik seandainya segala kita lalui dengan sabar dan bersyukur.

          
          Majlis yang satu itu juga aku nanti. Mungkin keresahan ini hadir kerana pertemuan yang bakal dilalui. Namun tidak ada apa-apa terniat dalam hatiku ini.  Aku cuma ingin berjumpa rakan-rakan lama. Namun beranikah aku menghadapinya kini. Adakah debaran ini berkaitan juga dengan pertemuan itu. Beranikah aku menghadapi beberapa orang daripada rakan-rakanku itu. Adakah pertemuan ini akan meneruskan perjalanan ku bersama dia yang satu itu. Entahlah.. yang jelas aku berdoa dia tidak hadir ke majlis itu, kerana dia sibuk dan jarang untuk ambil tahu tentang kami.  Namun jika dia hadir bagaimana? Aku sudah pun beriskhtiharah dengan seikhlas hatiku. Semoga yang terbaik akan terlaksana dan disegerakan dalam hidup aku ini.  Aku juga akan bertemu dia, dan isterinya. Aku hanya berkawan, namun suatu masa dulu aku pernah diancam oleh seseorang yang menyayanginya, yang berkongsi dengannya. dan dia sudah mengesahkan kehadirannya. Beranikah aku bertemunya. Semoga  akan ada hubungan baik dengannya dan keluarganya sebagai kawan baik. Aku tidak berniat apa-apa selain itu. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku.  Jika aku ikhlas aku perlu hadirinya dan berkenalan dengan keluarganya tetapi bagaimana jika dia bersendirian tanpa keluarga. Ya Allah berikan isyarat, apa yang perlu aku lakukan?



121- اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحُزْنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ.

121. "Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang." [138]

Ya Allah, KAUlah penentu segalanya.  Tersimpan segala sesuatu rahsia itu dalam arasy MU.. Berikanlah aku tanda untuk melalui semua ini.

        Cuma mungkin ini hanya perasaanku melalui pengalaman lalu yang pernah aku harungi. Semoga akan ada penyelesaian atas segala itu.

          Ketika melihat dia, aku melihat dia yang satu lagi itu dulu. Dia yang pernah hadir dalam hidupku dulu. Dia yang rasa terganggu dengan segala apa aku lakukan. Dia yang menafikan kewujudanku dalam  kekalutannya itu. Dia yang pernah melahirkan rasa gembira dan yang menyebabkan senyumanku terukir tiba-tiba mengingatinya. Biarpun tiada jawapan pasti, aku yakin dia yang dulu itu ada aku dalam ruang hatinya dan pernah berasa bagaimana rasa kasih, sayang dan cinta aku kepadanya.


         Kini aku melihat seorang lagi dia seperti dia yang dulu. Dia yang tiba-tiba hadir dalam mimpiku akhir-akhir. Aku tidak akan menganggap apa-apa selain yang ditentukan Allah buatku. Aku bersyukur dengan apa yang aku miliki dan siapakah diriku yang sekarang ini. Namun aku tidak mahu hati aku ini 'sakit' lagi seperti dulu. Dan aku juga tidak mahu ada lagi 'sakit' di hati orang lain. Aku harap dan berdoa rasa hati aku kepada perkara ini tidak benar dan tanggapan aku ini salah sama sekali. Ya Allah, selamatkan dia daripada terjebak daripada keadaan yang menyesakkan ini. 


           Semoga dia akan terus 'takut' kepada aku. Semoga dia akan terus 'malu' denganku. Itu sahaja harapanku. Semoga dia akan jauh dari aku.  Aku sudah merasakan hal ini sejak awal tahun lalu. Status aku ini mungkin menakutkannya, tetapi aku bukan seorang yang tidak tahu malu atau tidak tahu diri. Maka aku berdoa semoga dia tidak sesekali terjebak denganku. Aku sudah tidak mahu melayan resah itu lagi. 


           Sebelum ini aku bersyukur seorang dia sudah jauh daripadaku. Tiada sebab untuk aku bertemunya. Tiada alasan untuk aku berurusan dengannya. Cukup senang hatiku kini. Sesudah dia tidak lagi akan hadir dalam hidupku atau sebaliknya. Walaupun pada ketika-ketikanya sesekali aku bertemunya, matanya akan memandang dengan penuh pengertian. Aku sudah menafikannya. Dia berhak mendapat orang yang lebih baik.

Tiada siapa akan mengerti. Mereka yang bersama-samaku menghadapi hidup sukar sebelum ini juga pasti tidak akan faham dan mengerti. Jalan hidupku sebenar mula tenang kini telah terkeliru kembali. Entah jalan mana yang akan ku pilih lagi kini. Hatiku juga mula keliru lagi.

“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”. (Surah al-An’am: 162-163)

         Jika  pengalaman lalu itu akan kembali lagi aku tidak dapat menolaknya. Aku sering memerhatikan dia, sejak dia hadir dalam mimpiku. Kenapa dia aku memang tidak pasti. Aku tidak pernah memasukkan sesiapa pun dalam hatiku ini lagi. Untuk memulakan secara perlahan-lahan. Untuk bertatih-tatih lagi. Aku tidak mengharapkan begitu banyak perkara dalam hatiku ini lagi.

             Sesekali aku lihat dia tertangkap ketika melihatku, aku berasa kasihan. Sesekali ketika ada aku dalam lingkungannya dia diam membisu, aku berasa simpati. Sesekali aku melihat dia malu dan melarikan diri daripada aku pada satu-satu masa, hatiku berasa sayu.  Semoga tidak akan hadir sesuatu apapun detikan rasa di hatinya.  Seperti dia yang dulu.. awalnya aku memang tidak pernah ingin dia ada dan hadir dalam hidupku ini.. namun Allah lebih mengetahui. Terkesan dia dalam hati ini lama dan dalam. Dia pernah memintaku mencari yang lain yang lebih baik daripadanya.  Namun siapa pula aku yang mengharapkan seseorang yang baik sedangkan aku bukan pun sebaik mana.

           Yang jelas dalam hatiku ini.. tiada dia. Apapun dalam hati dia aku tidak mahu ambil tahu. Bagaimanapun dia mengelak dan melarikan diri daripadaku, aku akan membiarkan. Kerana sememangnya aku ingin dia pergi. Pergi mencari seseorang yang lebih sepadan dengannya. Yang akan menjaga dan menyayanginya lebih baik daripadaku. Pergi seperti dia yang aku kasihi. Dia yang kuharapkan bahagia sentiasa.

           Aku tahu dia yang satu ini tidak mengetahui sejarah aku dan dia dahulu. Jika dia mengetahuinya, pasti dia akan membenciku. Membenci siapa aku. Dan pada ketika itu, dia tidak akan mencuri-curi pandang lagi. Dia tidak akan malu-malu dan cuba mengelak dariku lagi. Dia tidak akan mahu ambil tahu tentang aku lagi.


          Ya Tuhan.. KAU mengetahui keresahan hatiku ini. Tutuplah hatiku dan hatinya jika hidup yang seterusnya tidak baik dan sesuai dengan kami.. Bukakan lah hati kami jika segalanya berketentuan dariMU.. dan permudahkan segala urusan kami ini. 


           Ya Allah, aku juga berdoa kepadaMU, semoga keresahan, kebimbangan dan kerisauan yang kadang-kadang hadir dalam dadaku ini  tidak langsung berkait dengan seseorang lain, apatah lagi dia. Bantulah hambaMU ini melalui semua ini. Semoga hati ini tekal dan tetap.. usahlah berubah-ubah lagi,  Usahlah aku dibiarkan berada dalam prasangka yang panjang. Tolonglah aku hambaMU yang lemah ini.


         Si dia yang aku kasihi itu juga sudah ada kelainan pada dirinya. Mungkin hanya pada tanggapanku sahaja. Namun sikapnya kini aku bimbangi. Cara bercakap dan memandang juga. Ya Allah , hindarkanlah dia daripada pesona dan auraku yang suatu masa pernah menyusahkannya. Hindari dia dari kembali kepada kekaguman kepadaku. 

           Hijabkan aku daripada terlihat oleh pandangannya yang satu lagi itu. Semoga dia akan teguh dan tabah, melawan segala pesona daripada aku jika pesona itu masih ada. tetapkan hati mereka daripada terjebak kepada sesuatu yang tidak membawa kebaikan kepada mereka.


        Apabila seorang rakan melihatku dengan satu pandangan pelik, dalam hatiku timbul suatu kekhuatiran. Apa pula sebab, dia meneliti aku sebegitu rupa. Ada juga yang sering menguntum senyum berpanjangan melihatku.  Entah apa yang pelik ada pada diriku lagi. Sehingga begitu banyak yang memandangku lama. Maafkan aku, jika aku perasaan bagus, kan... aku hanya mencatat melalui pengalaman dan gerakkan hati dan naluri ini. Tiada pula terniat lebih daripada itu. Ya Allah, tutuplah pandangan mereka kepada aku ini walau dengan niat apa sekalipun.. bantulah aku ini. Janganlah hati ini berubah lagi.


       Hemmm, sebahagian yang ada di benak dan hatiku ini sudah aku luahkan. Semoga kelegaaan ini akan berpanjangan. Semoga kedamaian ini akan berterusan. Ya ALLAH, yang baik itu datang daripadaMU. KAU yang Maha Mengetahui apa yang baik untukku.. Semoga KAU berikan apa yang terbaik buatku.

Selasa, September 06, 2011

KENAPA BERUBAH ERTI APABILA ADA SAKIT DI HATI?


Cinta Sejati menurut Islam:
  1. Tidak rela yang dicintai menderita
  2. Rela berkorban apapun demi yang dicintai
  3. Memenuhi segala keinginan dari yang dicintai
  4. Tidak pernah memaksakan kehendak kepada yang dicintai
  5. Berlaku sepanjang masa
Cinta tersebut hanya ada antara Khalik dan Makhluk, cinta antara makhluk harus ditambah syarat-syarat berikut:
  1. Cintanya tersebut karena Alloh S. W. T.
  2. Harus memenuhi segala aturan yang dibuat oleh Alloh S. W. T.
  3. Seks bukanlah cinta dan cinta bukanlah seks, tetapi seks adalah bunga-bunga dari cinta dan hanya ada dalam pernikahan dan hanya dengan yang dinikahi
  4. Cinta bukan wang atau harta atau duniawi, tetapi cinta membutuhkan wang, harta dan duniawi.

         Catatan yang aku petik tentang cinta daripada tak pasti blog siapa. Kebetulan aku sememangnya ingin mencatat sesuatu perkara yang juga ada sedikit kaitan dengan perkara yang dipetik di atas. 

       Banyak perkara yang tidak terduga berlaku dalam hidup biarpun ada antaranya telah pun dirancang dengan sebaik  mungkin. Tidak sesiapa pun yang dapat menjangka dan menduga sesuatu hal yang akan mahupun atas sesuatu yang pernah berlaku. Sikap kita yang kadang kala tidak bersyukur menjadikan kita selalu alpa dengan apa sahaja hikmah yang diberikan kepada kita, sama ada bersyukur (berterima kasih) kepada manusia apatah lagi kepada yang Maha Esa, pemilik segala alam semesta ini.

Firman Allah yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman! Makanlah di antara rezeki yang baik yang kami berikan kepadamu. Dan bersyukurlah kepada Allah jika memang hanya dia saja yang kamu sembah. (Al-Baqarah: 172)
          Untuk menunjukkan rasa kesyukuran itu banyak pula caranya dan melaluinya kita akan menghayati dan mengenal akan apa yang dinamakan cinta itu. Setiap apa yang kita cintai, akan kita jagai dengan sebaik mungkin dan salah satunya adalah melalui bersyukur itu sendiri. Rasa kecintaan dan bersyukur itu sebenarnya jelas terpancar melalui keperibadian seseorang itu secara semulajadi. tiada akan ada kedengkian dan kebencian kepada sesama insan mahupun terhadap makhluk yang lain.

Pada ayat lain bersyukur bermaksud bukti kehambaan kita kepada Allah subhanawataala yang bermaksud:
Baik kepadamu maupun kepada nabi sebelummu telah diwahyukan: "Jika engkau mempersekutukan Tuhan, maka akan terbuang percumalah segala amalmu dan pastilah engkau menjadi orang yang merugi. Karena itu sembahlah Allah olehmu, dan jadilah orang yang bersyukur (Az-Zumar: 65-66)

          Namun ada kemungkinan bahawa setiap rasa cemburu disertai sesuatu nafsu yang sukar diperjelas iaitu rasa cemburu. Cemburu yang berlebihan menimbulkan kesan buruk. cemburu yang tiada langsung melahirkan kehancuran. Tiada pula salahnya jika cemburu itu hadir dalam diri seseorang. Semua orang memiliki rasa cemburu itu, namun rasa bersyukur akan menyeimbanginya dengan wajar dan segala yang kalut akan lebih tenang, segala yang bergelora akan menjadi aman.

"Kemudian akan syaitan itu memperdayakan mereka dengan mendatanginya dari muka, dari belakang, dari kanan dan dari kiri. Dan Engkau tidak akan menemui lagi kebanyakan mereka sebagai golongan orang-orang yang bersyukur. (Al-A'raf: 17)
         Jelas sebenarnya, agak sukar untuk membiarkan hati itu terkawal daripada rasa cemburu dan iri hati dalam kalangan individu. Malah cemburu untuk diri sendiri. 

         Semoga sedikit penjelasan tentang cinta dan rasa bersyukur  di atas ini akan lebih difahami bahawa manusia ini tidak akan puas dengan segala apa yang mereka milik sehingga ada kalanya memakan diri mereka sendiri.

         Hal ini lah juga sebabnya aku ingin membawa kisahku dalam catatan ini, yang aku campuradukkan kisah-kisah lama mahupun baru untuk tatapan umum. Benar semua ini daripada pengalaman diri ini yang aku eleberasikan secara rawak, seterusnya menyampaikan rasa hati ini yang kadang kala tidak bersetuju dengan beberapa tindakan mahupun perlakuan mereka di sekelilingku yang aku rasakan sangat tidak wajar.

       Semalam seseorang itu datang ke kawasan taman perumahan tempat tinggal aku ini. Entah mengapa, tidak sedikit rasa untuk aku ambil tahu atau mempelawanya ke rumah atau ada sebarang komunikasi aku dan dia. Biarlah, bukan dia ada apa-apa kaitan dengan aku. Memang dia pernah membantu ku namun aku tidak tahu untuk menilai sama ada pertolongan itu ikhlas ataupun tidak. Kerana hal-hal yang aku rasakan remeh dia marah kepada aku. Mungkin disebabkan cemburu. Aku tidak marah jika dia ada hati sekalipun denganku. Aku suka dia akan hadir ketika aku mengharapkan bantuannya. Bukan dekat dia hendak datang untuk menjengahku untuk membantuku. Namun hanya kerana aku bertukar untuk memohon bantuan dia yang dekat dengan aku membantuku, dan aku memaklumkan kepadanya, dia menjadi tidak senang mungkin. Dia mula marah dan akhirnya tidak mempedulikanku. Padaku pengalaman lalu banyak mengajarku. Dia tidak seharusnya begitu. kenapa jadi marah, aku sendiri tidak faham. Mungkin dia rasa begitu tercabar atau mungkin dia takut untuk bersaing. Dan sepertinya, aku pula menjadi mangsa. Apa yang boleh dibuat lagi, jika dia ingin pergi... semoga dipadamkan rasa sakit hati dan cemburu itu dari dalam hatinya. Semoga dia akan terus bahagia.

Kini aku ingin merakamkan rasa tidak puashatiku kepada seseorang. Entah mengapa aku berasa sayu ketika rakan ini berkata-kata. Dahulu rakan ini sangat baik dengan dia yang aku kasihi, namun sehingga kini aku masih tertanya-tanya mengapakah hubungan mereka semakin renggang, malahan ia merupakan sesuatu yang di luar dugaku. Sepatutnya aku berasa akulah yang patut berasa sakit hati dengan dia yang sering menolakku dan telah meninggalkan aku ini, dan mencari kebahagiaan. Dahulu rakan ini merupakan sahabat baik si dia yang aku kasihi. Entah apa sahaja yang tersirat... berita yang dengar melaluinya amat menyakiti hati ini. Aku yang mengikhlaskan dia pergi daripada hidupku ini dan aku tidak pernah menyesalinya sehingga kini. Bukan dia yang seorang itu sahaja, malah beberapa dia yang pernah hadir dalam hidup aku ini. Semoga semua dia yang aku sayangi itu akan hidup sesejahtera mungkin. Itulah doaku berserta keikhlasan hati ini.

Cinta pada bunga, bunga kan layu,
Cinta pada manusia, manusia kan mati..
Cinta pada Allah, kekal selamanya..


Antara kata-kata intro sesuatu ucapan mahupun persembahan. Itulah hakikatnya. Jika benarlah aku begitu mencintai seseorang, aku perlu menerima hakikat bahawa manusia itu sesuatu yang lemah.. dan mungkin akan pergi meninggalkanku.  Aku rasa semua orang juga perlu menanamkan keikhlasan mencintai seseorang itu kerana Allah bukan kerana nafsu semata-mata.


Cinta akan kecantikan, kecantikan itu akan pudar...
Cinta akan kebeliaan, yang belia itu akan menjadi tua...


        Inilah hakikatnya... maka cintailah kerana Allah, maka tiada akan ada kekesalan dalam hati kita. Cinta bukan untuk memiliki, mungkin cinta hanya untuk memberi... 

       "Sesuatu yang sangat kita gemari dan sukai, tidak semestinya akan kita miliki... dan tidak semestinya baik untuk kita." 


         Nasihat yang selalu orang lain berikan kepada aku dan sering aku ingat sebagai nasihat dalam menjalani kehidupan ini, maka aku selalu reda dan rasa berterima kasih itu pula sering DIA balas dengan lebih baik kesenangan. Itulah hakikat yang aku ingin kongsikan. Hidupku ini sebenarnya tidak banyak kerenah dan aku juga tidak pernah meminta banyak. Aku belajar daripada dia untuk bersifat zuhud dan kerana teladan itu aku mengasihinya sehingga kini. Bukan kerana aku ingin memilikinya. Apatah lagi jika dia kini sudah menjadi hak orang lain.

         Aku tidak mahu menyakiti  orang lain kerana aku takut untuk disakiti lagi. Namun kesakitan itu sebenarnya membuat aku bersabar dan menahan keperitan itu bersandarkan keyakinan bahawa DIA tidak akan menguji dan menduga aku lebih daripada kemampuan. Maka dengan segala ini aku reda, sehingga kini.


       Mungkin orang menyangka apabila aku menjauh dan aku mendiamkan diri aku diselubungi kekecewaan maka pelbagai berita tentangnya sampai ke telinga aku ini. Sebenarnya tanggapan itu salah... terutama itu buat rakan itu yang sering berkisah tentangnya. 

          Jika kau sakit hati dengan dia, aku tidak... dia sangat menyenangkan hatiku ini.

          Jika kau cemburu akan dia, dan pilihannya.... dia tidak pernah menimbulkan sedikit pun rasa itu dihati ini... malahan aku akur dengan pilihannya dalam menentukan hidupnya.

         Jika kau rasa dia tidak tergolong dalam golongan orang yang bertuah... aku tidak pernah menyetujuinya... kerana aku sentiasa mengasihinya dan mendoakan yang terbaik untuknya... maksudnya dia bertuah kerana ada orang yang seperti aku ini sentiasa mengasihinya dan mendoakan kesejahteraannya... sedangkan yang kau ada dan miliki itu pun meraguimu.

.       Jika kau anggap dia lemah dan tidak hebat... aku tidak pernah sekalipun bersetuju dengan itu kerana walaupun kau sudah menjadi rakan rapatnya suatu masa dahulu,,, kau tidak pernah tahu betapa tabahnya dia ketika melawan dugaan daripada semua godaan yang aku ciptakan. Betapa dia begitu teguh dengan prinsip dan tanggapannya, dia tidak pernah goyah... dan paling utama dia sentiasa mempertahankan maruah dan menjaga aibku walaupun dia tidak pernah menyukaiku seperti katamu ketika itu.  Kau tidak akan faham dengan segala itu kerana kau tidak pernah melaluinya. Kau tidak pernah tahu seberapa tabahnya melalui semua tohmahan hanya kerana menjaga harga diriku dengan menjauhkan aku dari keegoan dan tidak pernah mengikut kehendakku hanya kerana ingin mendidikku,,, dan kau tentu tahu keadaan aku sekarang bagaimana... sebahagiannya adalah hasil didikannya yang konsisten... maka bagaimana kau, rakan aku dan dia... memperlekehkan dia seperti itu,
 


            Jika kau merasakan pilihannya tidak secantik dan sesempurna dirimu.... kau mungkin silap kerana dia tidak pernah memperlekehkan pilihanmu, maka pilihannya akan lebih baik daripada apa yang kau pernah miliki.... sekurang-kurang dia pernah memiliki hatiku buat seketika yang ikhlas kepadanya... dan aku sendiri mengakui pilihannya mungkin jauh lebih baik daripada kau sendiri wahai rakan yang sering memuji dia dulu dan sering mempertikaikan dia kini... sedarlah, tidakkah kita ini angkuh dengan menyatakan kita lebih baik daripada orang lain.
      
          Dan aku kira kau akan sentiasa silap kerana kau tidak melihat senyuman pada wajah pilihannya itu amat manis seperti kau sendiri... wajahnya tenang dan sejuk memandang... seperti mu juga, kebanyakan ciri yang ada pada pilihannya lebih kepada  ciri dirimu juga... yang dulu kau katakan lebih kepada aku... tidak rasanya, kerana melihat pilihannya, aku lebih melihat dia  berbanding aku... dan apabila kau mengejek pilihannya, sebenarnya kau mengejek dirimu sendiri....  Maafkan aku jika salah.... tetapi kau sendiri bersetuju dengan pilihannya dulu... waktu itu kau perlekehkan aku. Namun aku hanya mendoakannya, dan aku yakin dia bahagia dengan pilihannya itu. CUKUPlah jangan kau pertikaikan lagi.  aku tidak ada sedikit pun rasa sakit hati sehingga mendendaminya... kerana sering gembira jika dia gembira... dan itulah pula beza aku dan kau.  Aku yang pernah dia benci satu masa dulu dan kau, yang dia sayangi pada waktu yang sama itu.
 
           Hanya sekadar ini catatanku kini.... walaupun aku tahu kau tidak tahu kau aku perkatakan dalam catatan ini tetapi aku yakin dia akan sangat memahami catatan ini. Aku tidak mahu dia sakit hati dan terkilan. Aku juga tidak mahu dia berasa sayu mahupun terharu... aku cuma mahu dia menjalani hidupnya bahagia dan gembira.

          Jika si dia yang aku maksudkan dalam catatan ini membaca... aku hanya mampu memohon maaf... aku berasa terkilan, entah apa lagi fitnah untuk dirimu disampaikan ke pendengaran aku ini. aku tidak redha tetapi aku tiada kuasa mengubahnya... aku telah menasihatinya berkali-kali tetapi siapa pula aku ini menasihatinya, sepatutnya dia lebih arif... jodoh itu rahsia dan ketentuan Allah. Aku tidak sesekali mahu mengganggu hidupmu lagi. Tetapi banyaknya fitnah yang keluar daripada mulutnya tentang dikau dan pasanganmu tidak menyenangkan hati ini.  Cubalah dikau perbaiki kesilapan ini... cubalah dikau usahakan menjaga hubungan baik dikau dan dia... mungkin dia terasa hati kerana dikau sudah 'melupakannya', biarpun sebenarnya dikau melaksanakan tanggungjawabmu dan menjaga amanah yang diberikan kepadamu... 

         Aku tidak mempersoalkan apa-apa tentang apa yang berlaku. Namun apabila kita tiba-tiba kehilangan sesuatu yang pernah kita miliki kita akan tercari-cari. Cuma aku rasa dia menemui jalan salah... dia sesat seketika kerana dikau meninggalkannya begitu sahaja.. dikau melupakannya yang selalu membantu dan bersama ketika susah dan senang.... walaupun aku tidak pernah bersetuju dengan hubungan baik dikau dan dia, yang dikau tahu sebabnya mengapa... aku berasa dikau tidak bersikap adil kepadanya... Pastinya dikau faham. Hanya nasihat mudah kepadamu.... Hargailah segala hubungan baik yang diniatkan kerana Allah, dikau akan mendapat hikmahNYA... Dikau tentu faham... Maafkan aku menegurmu dengan cara ini... tetapi aku tidak punya cara lain.  Hanya dikau yang faham bahasaku walau sebagaimana pun berselirat bahasanya, aku yakin dikau memahami.... dan aku tahu bahawa dikau selalu ingat, untuk membaca catatanku jika dikau....... Aku ikhlas dan berusahalah membaiki keadaan itu. Semoga dikau akan berjaya dalam usaha itu. Maafkan aku sekali lagi...  Selamat hari raya Aidilfitri minnal aidil wa faizin buatmu dan isteri, sekeluarga... maaf zahir batin....