Jumaat, Disember 28, 2012

LUAHAN HUJUNG TAHUN

Sengaja aku mencatat tentang tajuk ini. Ingin meluahkan rasa hati ini sekadar untuk menjadikan diri ini stabil semula. Hujung tahun bagi aku memang sangat kalut. Entah mana masa yang ada. Rasa 24 jam ini terlalu pendek. Lenaku pun hanya 2-3 jam sahaja apabila menjelang hujung tahun begini. 
     Akauntibiliti dan kredibiliti dan disambung kepada integriti sering tercabar apabila menjelang akhir tahun begini... Namun hari ini aku mendapat perkhabaran yang baik dan menggembirakan. Ada yang berkata kepadaku, senyumlah sedikit dengan berita ini, namun entah ke mana senyuman aku ini pergi dalam kesibukan ini. Hendak mengungkit pun buat penat mulut sendiri sahaja, tetapi hati tidak sesenang mana pun. semoga aku dapat mengharungi semua ini dengan cekal dan tabah. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan melalui semua ini.
 
       Hidup aku waktu ini terasa sedikit sesak sebab semua kerja bertimpa-timpa. Orang kata, buat kerja awal-awal apa-apa hal kemudian nanti senang tapi aku ini bagaimana pula. Memang buat kerja awal-awal tetapi terhad kerana aku buat kerja bergantung maklumat daripada orang lain. Jika tengok kerja aku macam excellence saja tapi sebenarnya banyak yang tertangguh. 
       Akhir tahun ini lagilah banyak kerja yang kena ditanggung. Bukan apa kerana aku ini mungkin tidak menyusun kerja itu secara terancang. Banyak sangat adhokrasi yang tiba-tiba menjelma dan menambunkan lagi kerja-kerja yang ada.
Apabila dapat gaji, sebahagiannya aku belanjakan untuk kerjaku dan bidang tugas aku itu. Rasanya macam tidak pernah cukup namun alhamdullillah sentiasa ada dan kekal, terus kekal sehingga aku rasa tidak kekurangan dalam kekurangan.  
   
      Sebut tentang kecukupan pendapatan ini, teringat aku kepada seorang kenalan. Selama ini aku tidak ambil endah dengan apa yang berlaku. Takut-takut khabar-khabar angin yang boleh meregangkan hubungan aku dengannya. Namun aku sudah dapat pengesahan daripada orang-orang yang rapat dengannya. Nauzubillah.. aku sedih sekali mendengarnya. Mengabaikan suami dengan menundukkannya dengan cara yang salah dan berdosa, dan kemudian mencari lelaki-lelaki kaya untuk menampung kehidupannya. Tidak hairan jika aku melihat dia berbelanja  dan hidup mewah selama ini walaupun gajinya aku rasa hanya satu pertiga daripada gajiku ini. Namun kehidupannya melewah berbanding aku yang sering sahaja ada kurangnya dan kena berjimat.. Aku melihat bukti, aku mendengar cerita tentang dia yang berlaku sumbang dengan orang lain termasuk bekas rakan sekerja. Manalah hilang harga diri dan maruah seorang isteri dan wanita muslimah yang patut dibanggakan dan dipelihara. 
 
         Yang aku sedih lagi, apabila bukan dia seorang yang bersikap begitu, ada beberapa orang lagi kawan-kawan yang mengambil tindakan seperti itu. Sengaja mencari dan berhubungan dengan lelaki lain yang lebih mampu menaburkan wang untuk kemewahan. Aku bersyukur kerana KAU berikan aku tanggungjawab yang banyak sehingga aku tidak menganggapkan keperluan nafsu itu wajib aku penuhi. Biarlah semua itu aku dapati dalam ukuran halal yang sahih. Aku masih mampu berkerja dan bersusah- payah asalkan aku tidak melakukan semua kerja-kerja maksiat itu. Aku sentiasa akan berdoa semoga kawan-kawan aku itu akan insaf dan kembali ke pangkal jalan. Mencari yang halal itu wajib bagi kita umat Islam. Aku mencatat hal ini bukan untuk membuka keaiban yang dilakukan oleh kawan-kawanku itu.... namun hanya sebagai peringatan buat diriku ini bahawa rezeki itu kadang-kala menjadi ujian kepada kita ini.
 
      Biarpun kita ini dilahirkan dalam keluarga beragama, alim ulama.. namun iman itu tidak diwarisi. Taufiq dan hidayah Allah akan berjalan serentak. Tanpa salah satunya pasti ada kepincangan dalam kesempurnaan. Bercakap hal-hal berkaitan agama ini aku tidaklah begitu pandai, namun aku belajar dan mencari. Biarpun aku tidak sehebat mereka di sekelilingku ini rasanya aku lebih bersikap bertenang dan bukan orang yang nampak berkeyakinan namun sebenarnya sombong. 

      Allahu Akbar, teringat seorang sahabat.. aku dengar dia keguguran lagi. Allah memberikannya nikmat yang banyak di dunia kecuali suatu yang dipanggil zuriat di dunia ini, namun semoga dia akan mendapat ganjaran daripada kesabarannya itu di akhirat kelak. Aku kira ini kegugurannya yang kelapan. Mereka akan menunggumu di sana nanti.. Cuma aku rasa ada yang perlu dia muhasabahkan tentang sikap dirinya, salah satu rasa 'sombong' dengan apa yang dimilikinya dan usah memperlekeh orang lain. Jagalah bicaramu,adik.. semoga tidak ada lagi yang mendoakan kehancuranmu. 
 
        Lihat gambar bunga-bungaan, hati kita pun berbunga-bunga. Aku dalam kesibukan ketika ini tidak menafikan aku sesekali leka dengan pelbagai kehidupan selain apa yang sedang aku lalui. Terutamanya menyentuh soal hati. Seperti sebelum ini aku ada menyatakan hubungan mimpi dan pengaruhnya dalam hidupku ini. Akhir-akhir ini aku sering bermimpi lelaki-lelaki yang tidak aku kenali datang dan memberikan banyak benda kepadaku. Rumah, kemewahan, harta, barang kemas, tanah dan macam-macam lagi. Kadang kala aku rasa kerana terpengaruh oleh perasaan di luar mimpi itu sehingga terbawa-bawa dalam tidurku.. Banyak hal yang mengelirukan sehingga lena yang tinggal 2-3 jam itu diganggu oleh lelaki-lelaki yang tidak dikenali dalam mimpiku. Aku hanya mampu berdoa, jika apa yang dihadirkan untuk aku itu membawa kebaikan dalam hidupku, mahupun matiku kelak... semoga dipermudahkan semua urusan itu. Jika sebaliknya, aku berlindung daripada segala keburukan itu dan aku serahkan segalanya kepada Allah yang Maha Pengasih.
 
     Selain mimpi-mimpi lelaki tidak dikenali, aku juga bermimpi mereka yang telah aku lepaskan daripada hidupku ini. Aku tidak mampu untuk menghalangnya apapun tindakan mereka namun aku rayu, jika aku dirindui... lepaskanlah rindu itu kepada yang lebih berhak. Jangan curi-curi pandang kepadaku dan usah memberikan senyuman jika itu akan mengundang sesuatu  yang tidak wajar. Ingatlah, aku ikhlas melepaskanmu... dan aku tidak mahu kau hadir lagi dengan godaan itu.. Bukan aku tidak mampu bertahan tetapi aku semakin benci dan marah... maka semoga kita dapat menjalinkan hubungan sebagai sahabat, rakan yang berada pada landasan yang sepatutnya. Alasan aku mencintaimu tidak akan menjadikan aku seorang yang tidak tahu diri. Bahagialah dikau dengan doaku yang selalu mengiringimu... 
 
    Macam orang perasan, namun itulah hakikatnya. Allah selalu memberikan peringatan kepadaku melalui mimpi-mimpiku.. apatah lagi dikatakan pada akhir zaman ini, selalunya mimpi-mimpi itu benar.
Jujur aku katakan tidak suka dengan sebarang pandangan mata yang mengharapkan pengertian daripadaku. Biarpun wanita itu lemah, namun aku yakin kelemahan itu adalah kekuatan buat aku. Aku sangat menyayangi kalian...dulu, dan mungkin masih kini.. tetapi aku tidak suka melangkau batas-batas yang perlu aku jaga. Semoga godaan pandangan dan senyuman itu akan hilang. Semoga hidupku dan kalian juga tenang. Bersyukurlah dengan segala yang ada dan kita miliki ketika ini. Biarlah yang berlalu itu kita jadikan sempadan untuk kita dapat melangkah dengan bermaruah pada masa-masa akan datang.
  
       Meluahkan tidak semestinya membuangkan segala beban yang kita tanggung. Begitu juga aku.. Aku hanya ingin meluahkan. Tak pasti sama ada difahami mahupun tidak. Kekalutan dalam menyiapkan kerja-kerja yang ada ini sudah cukup membuatkan hidupku penuh... aku perlu menjaga banyak hati, terutama emak. Namun dengan kesibukan yang ada mustahil aku dapat memberikan perhatian dengan baik. Semoga setelah aku mencatat ini, sedikit keresahan dalam hati ini dapat aku lepaskan. Cukuplah dengan catatan ini mengisi diari hidupku dalam halaman ini... jika ada yang dimanafaatkan alhamdullillah... jika tidak semoga menjadi bahan yang menghiburkan untuk dibaca..insyaallah.