Ahad, Mac 29, 2009

10 HADIAH ALLAH DI DUNIA


Dipetik daripada Majalah Anis.

Kehidupan orang-orang bertakwa sangat indah dan penuh keberuntungan. Di dunia lagi ALLAH telah janjikan pelbagai 'Hadiah', sebagaimana di gambarkannya di dalam alQuran:

1. Sentiasa Mendapat petunjuk

"Mereka itu (orang-orang yang bertakwa) yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan mereka orang-orang yang beruntung" (al Baqarah:5)

2. Diberi penyelesaian daripada Masalah

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan diberikan kepadanya jalan keluar." (at-Thalaq :2)

3. Dipermudahkan segala urusan

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan memudahkan baginya segala urusannya." (at-Thalaq:4)

4. Mendapat rezeki dari sumber yang tidak terduga

".... dan memberinya (orang-orang bertakwa)rezeki dari sumber yang tidak terduga" (at -Thalaq: 3)

5. Dikasihi Allah (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia)

"Dan sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa" (Ali- Imran :76)

6. Mendapat keberkatan dari langit dan bumi

"Jika seluruh penduduk di sebuah negeri itu beriman dan bertakwa,nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi." (al-A'raf :96)


7. Mendapat keselamatan, pertolongan dan perlindungan daripada Allah

"Dan kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertakwa .."( al-Fussilat : 18)..... dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah beserta (menolong dan melindungi) orang-orang yang bertakwa." (al-Baqarah :194)


8. Mendapat kemenangan


"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan." (an-Naba: 31)


9. Terpelihara daripada tipu daya musuh


"Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu." (Ali Imran : 120)


10. Diberikan 'furqan' (petunjuk untuk membezakan yang benar dan salah)


"Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepada Furqan." (al-Anfal: 29)

Jumaat, Mac 20, 2009

YANG MENGGEMBIRAKAN DAN YANG MENYEDIHKAN

ALHAMDULLILLAH, Aku bisa mencatat lagi hari ini. Biarpun bukanlah satu kemestian untukku mencatat. Mungkin ini adalah satu pelarian untukku...biarlah kusimpan sebabku itu. Hanya mereka yang terlibat sahaja tahu kenapa aku perlu menjadi pelarian itu. Ini adalah usahaku untuk menghentikan satu tindakan yang dianggap sebagai tidak bermaruah.. Aku tidak pernah mengizinkannya berlaku kepadaku. Walaupun aku punyai sebab dan aku tahu apa niatku...tapi aku perlu menerima sesuatu nasihat yang baik itu dengan ikhlas. Sesuatu yang benar itu selalunya pahit. Namun biar pahit mana sekalipun, jika ia benar akan tetap benar. Hanya ALLAH sahaja sebagai tempat untuk aku mengadu. Semoga usaha aku ini difahami..dan ketahuilah aku ikhlas, kata dan janji aku benar dan aku amat memahaminya. Usahlah dipertikaikan..kerana aku ingin mendapat keredhaan dan keberkatan ALLAH dalam hidupku ini...semoga aku sentiasa sedar bahawa solatku, ibadahku..hidupku dan matiku kerana ALLAH TAALA.

Namun, ketika ini aku ingin kembali kepada tajuk catatan aku hari ini. Pertama, yang menggembirakan. Saat gembira, bahagia, tenang...tidak selalu atau tidak sentiasa berlaku dalam hidup kita. Hidup ini umpama roda yang berpusing, kadang-kadang kita di atas. Ada kalanya kita di bawah. Itulah fitrah.

Buat teman yang amat ku kasihi, Tahniah... Inilah ucapan yang terbaik daripada teman yang satu ini. Aku bahagia melihat dikau bahagia. Hari ini aku menerima khabar bahagia dengan penuh rasa terharu,gembira yang amat sangat. Suatu perasaan yang amat sukar untuk kugambarkan. Mengalir airmataku. Bukan kerana aku sedih, bukan kerana aku berasa sakit..tapi kerana ALLAH sangat menyayangimu. Mempermudah untukmu ke jalan yang pilih ini. Rasanya ingin sahaja kukhabarkan kepada dunia..tapi apakan daya cerita dan kisah yang berlalu itu hanya milik kita, dan milik sebilangan dalam kalangan kita.

Inilah ucapan-ucapanku untukmu... SELAMAT PENGANTIN BARU,TEMANKU...SAHABATKU.

Jika mereka tahu betapa banyak keperitan yang perlu kalian lalui.

Semoga perkahwinan kalian kali ini merupakan perkahwinan hingga ke akhir hayat. Semoga kebahagiaan yang kalian kecapi akan berkekalan dunia dan akhirat. Tentu syaitan-syaitan itu menangis temanku.. dengan kegembiraan kalian hari ini.

Temanku, kesabaranmu melalui ujian-ujian, fitnah demi fitnah..memberikan aku keinsafan bahawa hidup ini pasti tidak akan lengkap tanpa perit-jerih, penat-lelah, tanpa usaha...

Aku berasakan suatu nikmat yang amat besar telah kau raih dalam hidupmu. Semoga dikau tidak akan menangis lagi. Binalah rumahtanggamu dengan penuh ketaqwaan dan gunakanlah ilmu dan pengalaman lalu sebagai batas dan panduan meniti hidupmu akan datang. Saat ini sudah lama kunantikan..

ALHAMDULLILLAH... kerana KAU mendengar permintaanku... Terima kasih ALLAH, KAU menyelamatkan temanku itu daripada sebarang kemungkinan kemungkaran....juga kerana melimpahkan kepadanya kebahagiaan berlipat ganda. Bahagiakanlah mereka dengan sesungguhnya kebahagiaan daripada kasih sayang MU yang maha banyak.

Sahabatku... Kau sudah terlalu banyak menangis. Aku kira tentu airmata mu sudah 'kering'. Aku kagum dengan kekuatanmu. Selama bertahun menjanda, kau masih kuat melawan arus kepincangan dan kemudaratan daripada menghampirimu. Aku sentiasa melihatmu dalam keadaan yang bertenang...namun aku tahu hatimu. Aku tahu betapa di hatimu ada luka-luka yang tidak dapat kau tanggung. Sahabatku, aku menghormatimu sebagai seorang yang mukminah. Betapa orang mengejekmu, mentertawakanmu tapi kau tetap tabah. Aku tahu pasti kau akan mengotakan kata-katamu. Sahabat..Aku bangga bersaudara denganmu...aku bangga dengan kekuatanmu. Kekuatan yang orang lain tidak pernah nampak. Biarpun air mata mu mudah mengalir tetapi ketabahan berlipat ganda. Aku kagum kau tidak dibawa arus dek godaan-godaan lelaki-lelaki yang menggilaimu. Tahniah, sahabatku.. Tahniah, kerana kau sentiasa menjaga akhlak dan maruahmu. Aku sentiasa ingin menjadi sebahagian daripada hidupmu.

Aku akan sentiasa tersenyum dengan berita gembira ini. Mungkin ada yang hairan, apakah yang hebat dengan temanku itu?

Dia punyai segala-galanya bagi seorang wanita. Punyai rupa paras yang cantik, senyum yang menarik. Aku kenalinya agak lama...sebelum menjadi begitu rapat,aku memang mengkagumi kecantikan dan peribadinya. Apatah lagi kini, dia begitu dekat dengan aku. Kisah hidupnya panjang dan penuh ranjau duri. Dia tidak pernah memperlihatkannya. Dia pandai mengatur hidupnya. Banyak yang irihati kepadanya. Aku? Rasanya tidak. Tidak kubudayakan dalam hidup aku ini beriri hati, berdendam dan berdengki. Namun dengan kebaikannya, dia sering difitnah. Entah di mana salahnya. Setiap kali dia mengadu kepadaku, aku pasti memujuknya dengan mengatakan tentu ALLAH begitu menyayanginya sehingga dia diuji sedemikian rupa. Semoga pernikahannya kali ini adalah yang terakhir dan yang terbaik. Semoga dia tidak akan teraniaya lagi. Inilah yang menggembirakanku. Gembira kerana ALLAH memberikan dia kegembiraan di dunia ini untuk dia dan suaminya meraih kegembiraan di akhirat kelak. Semoga Kebahagiaan akan menjadi milik mereka selamanya, di dunia dan akhirat.AMIN...


Yang menggembirakan telah aku catatkan. Ia berlaku hari ini 20Mac, 2009.

Namun semalam aku mendengar berita yang menyedihkan. Berita tentang hidup seorang kenalan. Walaupun aku tidak begitu mengenalinya. Hidup mudanya musnah kerana kealpaan dan kelalaiannya sendiri. Mungkin dia tersilap pertimbangan. Mungkin keasyikan dan keseronokan menyebabkan dia lupa batas-batas yang sepatutnya.


Seseorang dalam hidupku ini pernah berkata kepadaku... seorang lelaki itu, sebaik manapun dia, sealim manapun seorang ulama itu....pasti akan tewas kerana seorang perempuan. Begitu juga sebaliknya. "La taqrabul zina...Usah mendekati zina" waimah di minda. Pelihara mata, lidah, mindamu daripada perbuatan-perbuatan yang menghampiri zina. Aku bukan arif, namun aku sentiasa melihat sesuatu itu secara mendalam,lebih jauh mungkin.

Bukan tiada pengalamanku bersama-sama teman-teman yang lalu. Umpama bersubahat kurasakan. Melihat teman-teman berpegangan tangan menyusuri pantai. Saling memeluk pinggang menaiki bas. Saling bersandar di bahu ketika berbincang dan duduk minum semeja. Berlaku di hadapan mataku sendiri. Aku memang tidak suka. Bukan kerana aku tidak punyai pasangan sendiri untuk berbuat perlakuan yang sama. Tapi cukuplah aku dengan pendirianku. Semua itu haram sebelum bernikah. Kenapa dia mungkin yang pertama dalam hidupku itu tidak pernah mempersoalkannya. Kerana aku sudah memberi kata... Jika seseorang itu sayang akan aku, maka ikutlah cara yang dibenarkan syariat. Jika tidak masakan setiap kali dia datang ke rumah aku, untuk berbicara dengan aku..dia bapaku itu akan sentiasa menemani.. Bukan aku bangga dengan semua itu tapi aku kira tidak salah kita menolak perbuatan itu jika ia boleh memelihara diri daripada terjerumus ke kancah maksiat. Aku masih ingat suatu masa dulu, ketika seorang ustaz memberi ceramah tentang penggunaan minyak wangi oleh golongan wanita. Bukan aku seorang yang begitu taat tetapi aku menjadi takut untuk menggunakan minyak wangi kerana ia akan menggalakkan seseorang tertarik kepada aku. Mungkin itu agak berat untuk kutinggalkan tetapi aku perlu berusaha supaya aku tidak terjebak dalam keasyikan perhatian kepada aku. Dan yang paling jelas, aku tidak mahu menganiaya diriku sendiri dengan keasyikan dunia yang ada itu...Hah!! Aku sudah tersasar jauh daripada tujuan asalku mencatat kali ini.

Kenalan aku itu, gadis muda yang berpotensi dalam pelbagai bidang. Namun susuk tubuhnya agak gempal.. Tetapi dia bukan tidak cantik. Cantik itu subjektif. Setahun lalu, dia gadis itu menjalani rawatan untuk melangsingkan badan dan usahanya itu berjaya. Keseronokan itu bertambah apabila banyak jejaka yang mendekatinya. Nasihat yang datang dianggap sebagai penghalang dan dikatakan dek perasaan irihati dengan penampilan barunya. Beberapa bulan berlalu, aktiviti luarnya berkurangan. Malah dia seperti tidak begitu ambil berat lagi dengan keadaan tubuhnya yang kembali seperti asal. Dan akhirnya semalam , berita sedih yang kudengar... Dia selamat melahirkan seorang anak lelaki tanpa ayah yang sah..tanpa pernikahan yang sah. Anak yang lahir hasil perzinaan. Kasihan anak kecil itu tidak mengetahui apa-apa. Tidak berdosa...tetapi akan menanggung keaiban akibat dosa kedua-dua orangtuanya. Yang Lupa, yang membenarkan nafsu menguasai diri, yang tidak mengira halal haram..yang membiarkan syaitan ketawa gembira kerana berjaya memperdayakan bani Adam.

Apalagi yang boleh dibuat..nasi sudah menjadi bubur. Kekesalan sudah tidak berguna lagi. Banyak peristiwa sedemikian berlaku dalam kalangan kenalan. Dulu ketika aku bersekolah menengah. Aku kerap melihat seorang kenalan yang bertudung labuh pulang dari tempat kerja. Beberapa ketika dia sering mengasingkan diri. Dan akhir yang sedih juga kerana dia melahirkan anak sendirian di dalam biliknya..bayi perempuan. Mujur lelaki itu bersetuju untuk bertanggungjawab. Tetapi aibnya sentiasa berpanjangan apatah lagi bayinya perempuan. Seorang kenalan lagi sentiasa kelihatan langsing. Dihantar pulang oleh seorang lelaki saban petang. Namun usaha untuk membunuh bayi dalam kandungannya gagal. Betapa ketat pun bengkung digunakan supaya sentiasa kelihatan langsing. Betapa banyakpun ubat yang dimakan... bayi itu tetap lahir. Allah maha Besar, maha berkuasa.
Biar bagaimanapun ditutup, disembunyikan...bangkai yang busuk itu kelama-lamaan akan berbau juga. Inilah pula kesedihan aku. Dunia ini indah, terlalu indah sebenarnya...hanya jika kita menghargai apa yang kita miliki, hak kita...yakni harga diri kita. Wahai wanita-wanita di luar sana, biarlah susahnya hidup kita untuk menjadi wanita solehah,berusahalah bersungguh-sungguh...supaya ada tempat untuk kita di syurga kelak..bukan di neraka kerana sedikit keseronokan di dunia yang melalaikan.
Satu khabar lagi yang aku tidak tahu sama ada menggembirakan atau menyedihkan. Kembalinya seorang kenalan ke rahmatullah kerana melahirkan seorang bayi ke dunia. Bayi tersebut juga mengikuti ibunya. Pengorbanan seorang isteri muda untuk melahirkan zuriat untuk suami tercinta. Suami itu tentu bersedih namun semoga dia meredhai isterinya...agar ditempatkan di sisi mereka yang soleh.


Rasanya cukuplah catatanku kali ini. Mungkin aku akan berhenti mencatat seketika. Kegembiraan dan kesedihan aku ini kupaparkan untuk tatapan umum. Sekadar berkongsi sesuatu. Sebagai hamba yang lemah sentiasalah kita bermohon agar tidak kecundang dalam meniti kehidupan di dunia...Semoga kita tidak menjadi orang yang rugi.
Ilmu yang sedikit sekalipun jika diamalkan pasti membuahkan hasil yang baik di dunia..waimah di akhirat kelak. Kita akan sentiasa terlupa....semoga akan ada yang memberi pesanan dan peringatan yang benar dengan sabar.
Jujur dan ikhlaslah dengan diri kita sendiri.. sayangilah diri sendiri dan sebelum berbuat sesuatu, berfikirlah.....natijahnya, kesannya, hukumnya... berfikir sejenak itu lebih bermakna. Semoga kita akan sentiasa ingat ALLAH dalam hidup kita...dalam setiap hembusan nafas kita di dalamnya ada DIA yang kita cintainya. Kita tidak akan tahu nilai cinta kita jika tidak diuji. Ujian itu pula bukan hanya berbentuk, kesukaran, kesakitan, kepayahan, keperitan, kekurangan dan kelemahan...tetapi juga berbentuk, kegembiraan, keseronokan, kebahagiaan, kasih sayang, kekayaan....Semoga kita sentiasa muhasabah sama ada kita dalam golongan bersyukur atau kufur... Segala yang baik itu datang daripada ALLAH, biar dalam bentuk apapun.... Kita akan tahu jika kita sentiasa ingat dan mengerti... Wassalam.

Sabtu, Mac 14, 2009

KISAH AKU DAN DIA (YANG PERTAMA?)



Aku ingin berkisah lagi tentang dia, mungkin bukan dia yang selalu kuceritakan. Memang banyak dia dalam hidupku mengajarku mengenali dia.

Aku kira aku bukanlah seorang yang hipokrit tentang dia. Aku selesa dengan seorang dia dalam hidupku. Seusia lapan tahun aku mengenali dia, yang bukan dalam kalangan keluargaku. Dia sangat kuhormati walaupun pada usiaku semuda itu. Aku sebenarnya tidak ingat pasti bagaimana aku bisa mengenali dia dalam hidupku. Mungkin dia orang pertama di hatiku, mungkin tidak. Tapi yang pasti bukan dia cinta yang unggul dalam hidupku biarpun dia mungkin yang pertama. Kata orang, cinta pertama akan diingati selamanya. Adalah segala-galanya tentang cinta. Yang itu tidak dapat kubuktikan, kerana aku tahu apa, untuk siapa, bagaimana melestarikan cintaku. Pengakhiran cinta itu juga berbeza-beza.

Dia enam tahun lebih tua daripada aku. Maksudnya pada ketika aku berusia lapan tahun, tentunya dia berusia 14 tahun. Tapi, wajarkah pada usia itu hubungan itu dipanggil cinta. Dia sangat baik kepadaku. Dia selalu ada bersama-sama aku, menyediakan banyak ruang dan masa untuk aku. Mungkin tidak keterlaluan jika aku kata dia adalah permulaan aku mengenali dia, dia, dia dan dia....dalam hidup aku. Aku sangat senang dengan dia. Dia sentiasa menjaga aku dengan baik dan ada, ketika aku memerlukan seseorang. Dia seorang yang begitu lembut, prihatin. Dia akan mengambil aku di sekolah rendah, membonceng di basikalnya. Kemudian aku pula akan menemaninya menunggu bas untuk dia ke sekolah menengah. Setelah dia menaiki bas, aku lantas bergegas ke sekolah agama. Rumahnya mungkin tidak jauh dari rumahku kerana kekerapan aku menyelusur jalan berulang-alik, berbasikal dan kadangkala berjalan kaki. Belum aku terasa penat, aku pasti sudah sampai ke rumah. Apatah lagi adiknya juga adalah kawanku. Ada yang kata aku dan adiknya seperti kembar..tetapi adiknya lebih tua setahun daripada aku. Malah lebih cantik berbanding aku..lebih cerah, semestinya lebih segala-galanya daripada aku. Al-maklum, aku bersekolah aliran Melayu sedangkan mereka bersekolah aliran Inggeris; yang pada pandangan masyarakat lebih bagus.

Dia anak ke enam daripada sembilan adik beradik. Aku? Anak ke lima daripada 10 adik-beradik. Keluarga besar kami tentu memberi pengalaman pelbagai kepada aku dan dia. Namun dia hidup dalam kalangan keluarga yang hampir keseluruhannya lelaki. berbanding aku lebih terdiri daripada perempuan. Perwatakan kami berbeza..dia lebih lembut dan penyayang sedangkan aku lebih keras dan pemberontak. Namun kedua-dua kami masing-masing, punyai sifat-sifat kelelakian dan kewanitaan sebagaimana sepatutnya. Mungkin keberuntunganku ialah aku tinggal dalam kasih sayang datuk dan nenekku, serta punyai emak dan bapa. Tapi dia dibesarkan dalam keluarga ibu tunggal. Namun itu bukan alasan untuk mereka tidak boleh hidup dalam kasih sayang dan berjaya dalam hidup.

Begitu lama aku membesar bersama dia. Ketika dia menghadapi peperiksaan aku berhenti sebentar, aku kurang mempedulikannya. Begitu juga dia. Usai dia menduduki SPM, kami sering bersama kembali. Cuma sebenarnya aku lebih kerap bersama adiknya, kawan baikku. Cukup menyenangkan ketika itu. Aku kagum dengannya. Aku sering cemburui kemesraannya sekeluarga. Petang-petang aku akan berbasikal keliling kampung, dengan adiknya. Bersama-sama dia. Aku tidak sehebat adik-beradik itu, namun aku tidak mahu kalah. Selalu ketika pertandingan musabaqah Al-Quran, dia dan adiknya pasti jadi juara. Aku? Keempat, ketiga...itupun jika ada nasib juga. Jika bukan dia, pasti dia yang satu lagi. Saudara sepupunya yang tidak kurang hebat darinya. Aku kira dia dan dia adalah pesaing yang hebat. Pernahkah seorang itu terfikir... datangnya lamaran dari seorang bapa yang membawa pinangan daripada anaknya, dan daripada anak saudaranya dalam masa yang sama. Tapi itulah yang aku alami. Yang akhirnya kedua-dua lamaran itu terpaksa dia tolak demi memikirkan kebajikan aku anaknya ini. Yang memaksa dia, yang kucintai itu merahsiakan sesuatu yang sangat penting dalam hidupku ini. Hingga akhir hayatnya, dia tidak pernah tahu yang aku anaknya ini mengetahui rahsianya itu..kerana aku mendengar secara curi-curi. Buat dia yang kurindui...terima kasih kerana merahsiakannya daripadaku, mungkin kerana dia tidak mahu aku bersedih dengan keputusan itu. Kerana dia tahu aku sangat menyayangi lelaki itu, dia yang pertama kusayangi dalam hidupku itu.

Mengenangkan itu, aku selalu bersedih..melayan rasa sayu melanda hatiku. Dan semua itu membuat aku lebih rapat dengan DIA. Aku bukan daripada golongan perempuan yang cantik. Mungkin sederhana. Aku bukan lincah tapi lasak. Aku bukan cergas walau aku memang ingin menjadi atlit. Cuma aku tidak mampu jadi seperti orang lain. Dia tidak pernah memberi peluang kepada aku untuk itu. Untuk bermain bola jaring, dia pasti menunggu. Dari awal hingga akhir. Dulu aku selalu protes. Tapi setelah aku tahu sebab dia berbuat begitu..aku berterima kasih dengannya. Biarlah aku sahaja yang tahu sebabnya. Aku juga bukan kategori orang yang tidak tahu apa-apa dalam hidupku..cuma kadang-kadang kawalan yang begitu ketat daripada dia sebabkan aku rasa rendah diri. Kerana ketidakpercayaan kepadaku, aku memang rasa aku sentiasa tidak boleh. Tapi tidak mengapa kerana itulah aku berada dalam cara hidupku yang kulalui sekarang ini. Ada orang kata aku terlalu baik hati, sehingga memudaratkan diriku sendiri. Masih tidak akan apa-apa kerana ALLAH sentiasa ada bersamaku. DIA maha mengetahui, dan setiap yang berlaku itu tentu ada hikmahnya..segala kebaikan itu tentu datang daripadaNYA. Sama ada sebagai anugerah, bakat, atau ujian...segalanya pasti bersebab dan akhirnya kembali kepadaNYA, yang Rahman.

Kembali kepada kisahku dengan dia. Pergaulan aku dengan keluarganya, merapatkan aku dengannya. Adik lelakinya yang lebih tua empat tahun daripadaku, memanggilku dengan gelaran kakak. Kami saling usik-mengusik. Aku tahu dia dapat merasakan jenis hubungan aku dengan dia, abangnya..cuma sayang sekali hal yang sama tidak dapat dijangka oleh teman baikku itu. Sehingga pada ketika teman baikku itu tahu, semua itu menjadi tekanan kepadanya. Aku tidak berniat menipu mahupun membohongi tapi aku sendiri tidak tahu apakah jenis hubungan aku dengan dia. Yang jelas, dia tidak pernah mengizinkan aku menganggapnya sebagai abang...walaupun aku ini sudah terlalu rapat dengannya, dengan keluarganya.

Ketika ibunya mengetahui juga merupakan tamparan hebat buatku. Apabila jiran-jiran, atau saudara mara mengusik-usik ibu itu, ibu itu pasti menafikannya. Aku menerima hakikat itu. Sebenarnya dia tidak pernah mengakui sangat menyukai aku. Suatu ketika apabila aku bertanya kepadanya sejauh mana hubungan ku dengan dia. Dia berhenti membalas surat-surat ku untuk tempoh lebih setahun. Apabila aku meminta bertemu dengannya..bertanya persoalan yang sama. Dia berkata, tidak ada sekelumit perasaan pun buat aku. Malah dia rimas kerana ke mana dia pergi, dengan siapa dia berhubung, apa saja yang dia buat...pasti ada aku. Dia kata dia benci aku kerana aku sentiasa ada dalam hidupnya. Aku pernah bertanya, salah aku kah jika keadaan itu berlaku kepadanya. Aku tidak perlukan simpati. Aku sebenarnya sudah bersedia untuk itu. Dia tidak sekali-kali menyukai, menyayangi malah mencintaiku. Itulah kata-kata yang keluar daripada mulutnya, dan aku mendengar dengan sepasang telinga ini. Aku bukan sesiapa kepadanya. Selama ini, segala yang berlaku hanya kebetulan. Setiap kali pulang ke kampung dari Kuala Lumpur, pasti dia akan datang ke rumahku. Alasannya, untuk membaca akhbar..sedangkan akhbar di rumahnya tidak pernah putus atau kurang. Kata abang-abangnya, semua itu alasan. Mungkin kerana aku sudah bersedia menerima hakikat itu pada ketika ibunya berkata di hadapan khalayak, di depan emakku...jika aku ingin menjadi menantunya maka aku perlu tunggu dia mengandungkan anak lain dalam kandungannya. Mana mungkin! Ibu itu sudah berusia, ibu tunggal... Itulah luka hatiku yang pertama. Hari ini kucatatkan untuk pengetahuan semua. Setiap apa yang berlaku, sebenarnya Allah telah memberikan petunjukNYA. Aku sudah punya tanda-tanda itu sejak awal. Tapi aku sentiasa tidak serik, walaupun keluargaku turut diperkatakan kerana hal itu. Aku sebenarnya amat rela untuk melepaskan dia kerana aib keluargaku jauh lebih penting buatku. Aku tahu dia dan emak sedih melihat nasibku. Aku tidak akan menangis untuk seorang yang bernama lelaki yang aku belum pasti tempatnya di sisiku. Tentu prinsip ku ini juga membuatkan dia rasa aku tidak menyayangi dia. Setiapkali ada orang lain mendekati dia, aku tidak akan memperlihatkannya kerana padaku dia adalah milik umum, milik ibunya, milik keluarganya. Aku pula bukan sesiapa. Sedangkan sebenarnya aku sangat mencemburuinya.

Ketika aku di Institusi Perguruan, aku punyai banyak pilihan. Dia, dia, dia dan beberapa dia lagi. Kelak akan kuceritakan tentang semua dia itu. Setiap dia ada keistimewaannya tersendiri. Tapi aku tidak boleh menerima semua dia kerana dia. Mungkin Allah memberiku banyak pengalaman untuk aku gunakannya sebagai satu contoh untuk anak-anak didikku kelak. Bahawa hidup ini sebenarnya terlalu indah sekiranya kita menikmatinya. Sekali itu aku dipanggil balik ke kampung oleh teman baikku.. adik dia. Dia teraniaya oleh seorang gadis. Teman dan kenalanku juga. Mungkin kerana dia mengetahui tentang aku dalam hidupnya, aku dimusuhi oleh teman-teman yang menyukai dia. Apa yang aku perlu tahu dan apa yang patut aku pertikaikan dengan siapa dia berhubung, berkawan.. aku terangkan kepada adiknya, aku tidak punyai apa-apa hubungan dengan dia. Sejak hari itu lagi. Oranglain tidak pernah tahu. Aku cuma ambil tahu dan menjaganya jika boleh dikatakan begitu hanya kerana satu sebab, dan biarlah sebab itu aku sahaja yang tahu.

Pada ketika itu aku tahu hinanya seorang perempuan yang menyukai lelaki itu. Gadis itu, temanku sangat menyukai dia. Padaku apalah salahnya menyukai seorang lelaki itu dengan cara betul. Adiknya bertanya aku..salahkah dia berkawan dengan gadis itu..tetapi dia tidak pernah berbuat apa-apa dengan gadis itu. Dia tidak pernah memeluknya, menciumnya... ber'dating' pun dia tidak. Apa yang hendak dihebohkan oleh gadis itu? Hingga memaksa dia berkahwin dengannya. Aku hanya mampu tersenyum.. Malangnya teman gadisku itu. Dia menyukai lelaki yang salah. Lelaki yang sangat baik, sangat mulia, sangat hebat... Dia, lelaki yang tidak pernah boleh didampingi oleh orang seperti aku, dia dan gadis-gadis sebarangan.



Tapi buatmu gadis yang juga temanku..ALLAH telah memberikanmu jodoh yang terbaik..walau bukan dia yang kita kasihi. Aku sendiri bersyukur dan kagum dengan dia, suamimu kini.. kerana dia telah menyelamatkan maruahmu sebagai seorang perempuan..berbanding dia yang melukakan hatimu. Aku bersyukur bukan kerana dikau temanku tidak merampas dia daripadaku tapi aku bersyukur kerana dikau terlepas daripada satu kisah sayu yang mungkin lebih melukakanmu.

Selesai kisah itu, aku kembali ke menyambung pengajian aku. Aku meneruskan dengan dia. Masih menyayangi dia namun kerana satu sebab yang hanya aku yang tahu. Dia menyambung pelajarannya ke ITM, bekerja sambil belajar. Kasihan dia, aku ini tidak setaraf dengannya. Bukan begitu, dia merasakan tidak setaraf bagiku. Mungkin aku salah..tapi dia pernah menyatakan larangannya ketika aku ingin melanjutkan pelajaranku. Dia memberiku pilihan, sama ada berkahwin atau meneruskan pelajaran yang menjauhkan jarak kami. Dia kata mahu isterinya tinggal di rumah, sebab dia akan tanggung segalanya. Tapi aku tidak terfikir untuk berkorban sebesar itu..apatah aku tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Sekali lagi aku dipanggil balik.. Kali ini kerana dia hendak bertunang. Kecoh semua orang dibuatnya. Abang iparku bertanya kakakku, ada apa-apa majlis di rumah kami. Tiada. Adiknya yang memanggilku kakak bertanya kepadaku, benarkah kami akan bertunang, Tiada. Adiknya teman baikku itu bertanya adakah dia memberitahuku apa-apa. Tiada. Itulah hakikatnya. Tiada. Tiada apa-apa yang berlaku pada hidupku. Hanya berlaku dalam hidup dia. Semua orang bertanya aku bagaimana? Semuanya baik-baik sahaja. Kakak-kakakku, adik-adikku menangis memeluk aku sebaik tahu berita itu... tapi aku? Tidak sekali-kali menangis hanya kerana dia memilih seseorang yang lain dalam hidupnya. Dulu lagi dia sudah meminta..Dulu lagi dia sudah memberitahu. Aku sudah maklum.. Dia benci aku ada dalam hidupnya, menghalangnya kepada orang lain. Aku? Sudah melepaskannya..sekian lama. Walaupun sebenarnya aku sudahpun menyediakan satu set hantaran untuk pertunangan kami..dia sudah mengajakku bertunang sebelum itu...Sebelum dia melarangku ke Terengganu untuk projek Bakti guru, kerana takut aku bertemu oranglain. Tapi aku mengingkari dia. Siapa dia untuk menghalangku. Bukan sesiapa sebelum aku dan dia berijab kabul. Dia yang berhak kepada aku tidak melarangku, sedangkan jika wali aku itu melarang...aku pasti mentaatinya. Bukan dia. Berapa banyak aku perlu berkorban? Tiada siapapun tahu.. Persiapan itu kubuat senyap-senyap sebab aku sudah mengiyakannya. Aku sudah setuju. Tiada hitam putih, tiada saksi...namun keingkaranku ketika itu mengubah keputusan dia. Aku tidak tahu mengapa tapi aku mungkin tahu sebabnya. Alhamdullillah, DIA lah kekuatan aku ketika itu. Terima kasih juga kepada dia yang membesarkanku dan mengajar erti kesabaran, ketabahan dan redha dengan ketentuan qadak dan qadar ALLAH.

Kusimpan semua persiapan yang kebeli untuk dia. Untuk pertunangan kami. Tapi dia bertunang dengan orang lain. Aku simpan. Mungkin masih ada yang tersimpan.. mungkin telah lama musnah. Aku tidak tahu apa yang ingin dia buktikan. Biarlah itu berlalu.. Kisah ini juga telah lama berlalu. Berlalu dengan baik, insya Allah. Aku masih sayang akan dia. Tapi cukuplah sekadar kerana ALLAH.. kerana ukhwah yang manis dan menyatukan aku dan dia dalam kasih sayang ALLAH yang maha hebat. Cuma aku ingin memohon maaf kepada wanita yang kini di sisinya, menjadi teman hidupnya. Hargailah dia..Dia banyak berkorban untukmu.. Dia juga telah mengorbankan aku. Sayangilah dia, kerana dia adalah pemberian Allah kepadamu.. Hormatilah dia kerana dia adalah pemimpin terbaik dalam hidupmu..pemimpin yang menaungi hidupmu. Lelaki hebat yang berjaya dikau miliki. Maaf kerana satu ketika dulu, aku pernah ada di hatinya. Mungkin... atau mungkin tidak sama sekali. Jangan diragui kasih sayang dan kejujurannya.. kerana dia yang ada dalam hidupku suatu ketika dulu sebenarnya sangat ikhlas kepadamu. Aku pernah mendengar daripada bicaranya sendiri. Terimalah dia seadanya, kerana dia adalah dia yang patut dikau cintai dunia dan akhirat..Suamimu, ayah kepada anak-anakmu...dan Syurgamu..wahai isteri yang amat dia sayangi.

Cukuplah bicaraku ini tentang dia. Pastinya dia banyak mengajarku erti sayang, cinta, hidup, pengorbanan. Pasti dia sering menunjukkanku jalan kebenaran menuju Dia yang satu, juga. Dia menjadikan aku pandai dalam banyak hal. Mencuba dalam pelbagai bidang. Untuk pengetahuanmu...Dia yang unggul dalam hatiku. Suatu ketika aku pernah menjahitkan pakaian untukmu.....semua itu hasil kisah aku dan dia. Aku belajar kerana dia, suami emakku berkata...Setiap jahitan untuk membuat pakaian seorang suami adalah pahala untuk isterinya. Maka untuk mendapatkan kebaikan itu, aku belajar menjahit pakaian lelaki untuk dia. Kuharap jika dia menjadi suamiku..pasti setiap pakaian di badannya adalah hasil tanganku sendiri. Tapi dia hanya satu wahana ALLAH untuk menambah ilmu dan kemahiran untukku. Alhamdullillah. Dan aku akan menggunakan kemahiran itu untuk tujuan yang sama, biarpun bukan lagi dia, atau tidak mungkin sekali-kali dia..suamiku.

Kupaparkan kisah ini bukan untuk melukakan hati sesiapa..Cuma aku sudah terlalu lama menyimpannya... buat aku, aku, aku yang membaca catatan ini, sedarlah... apa yang kita sukai bukan semestinya terbaik untuk kita. Belajarlah untuk redha kerana kesakitan itu akan berlalu.. dendam tidak menyelesaikan sebarang masalah. Ikhlaskanlah...jika dia bukan untuk kita.

Jumaat, Mac 13, 2009

KISAH AKU DAN DIA (1.1)

Assalamualaikum.... Mungkin aku dah mencatat tentang dia dalam hidupku pada catatanku yang lalu. Masih banyak yang ingin aku kongsikan tentang kisah dia dan aku. Dia amat kusayangi. Aku gembira lahir dalam keluarga yang dia sebagai pemimpinnya. Aku harap suatu hari aku akan dapat mengenali seseorang dia sebagai teman hidupku dunia akhirat seperti dia. Cukuplah jika ada beberapa sifat dan sikap seperti dia. Dia melayan ibuku, mengajar, mendidik dan menjadi penaung yang terbaik untuk ibuku. Biar apapun keadaannya, dia tidak pernah memperlihatkannya sehingga aku, ibu dan keluargaku tidak berasa kekurangan dalam keadaan kami yang kekurangan. Untuk dia, terima kasih kerana menyayangi kami.
Dia sering menjadi pelita ketika kami kegelapan. Dia pasti memberikan suasana tenang ketika kami kegelisahan. Dia membentuk kekuatan yang tersendiri ketika kami kebimbangan, ketakutan. Aku sangat mengkagumi dia. Dia mungkin tidak sehebat orang lain. Dia mungkin tidak setampan, sesegak orang lain. Tapi dia punyai naluri yang sangat erat denganku. Kadang kala ketika aku kesedihan, dia pasti dapat menerkanya. Sungguh dia mengambil berat tentang aku..biarpun aku tidak tinggal serumah dengannya tapi sentiasa berasakan dia selalu ada ketika aku perlukan dia. Dia bukan hanya ada di hati ku sahaja tapi di hati kakak-kakakku, abangku, adik-adikku...pastinya di hati ibuku. Untuk selama-lamanya. Dia tetap unggul dalam hati kami.
Walaupun dulu semasa aku dan adik-beradikku kecil, kami sering didenda, dirotan...bukan kecil dendaan tapi dia tetap mulia di hati kami. Teringat aku ketika aku bergaduh dan lewat pulang ke rumah, dia akan mendenda aku, kami....tunggu di luar, di beranda rumah sehingga larut malam. Kata dia itik pun akan pulang berderet-deret apabila senja menjelang. Burung akan terbang berkawan-kawan pulang ke sarang. Kambing, lembu akan masuk ke kandang apabila hari semakin gelap. Ayam akan masuk ke reban....tapi sayangnya, anak-anak manusia pula yang tidak mengenal hari senja. Sehingga maghrib sudah tidak ada, wajah anak-anak tidak kelihatan. Alang-alang terlepas waktu maghrib, dia akan biarkan aku, kami tidak masuk rumah hingga ke subuh. Jika kami tahu waktu, tentu semuanya tak akan berlaku. Tapi yang degil itu aku...mula-mula aku takut tapi akhirnya alah bisa tegal biasa. Yang tak seronoknya....dah ada keberanian, aku dapat upah yang lain. Rotan bertalu-talu. Namun aku masih bertahan, aku tak apa-apa, biar belakangku, kakiku birat..hingga aku terlena. Apa yang lekat di hatiku...betapa kejam pun dia pada orang lain mungkin, pada aku ada yang tersimpan di hati. Aku sering mengharapkan kejadian itu berlaku berkali-kali. Kerana tika aku sedar daripada lena..pastinya aku sudah ada di tempat tidur yang selesa. Pakaianku telah bertukar. Birat di belakang kaki dan badan sudah disapu ubat. Aku pula sering berpura-pura tidur sementara ibu menguruskan aku dan kami...sedang dia melihat dengan sayu. Dia akan menarikkan selimut menutupi tubuh kami daripada kedinginan malam...mencium pipi dan dahi kami satu persatu.. Membantu isterinya memasang kelambu untuk melindungi kami daripada gigitan nyamuk dan serangga lainnya. Yang nakal itu aku, yang degil itu juga aku...semuanya kerana aku ingin dia dan isterinya membelai aku, menjaga aku, mengasihi aku. Kerana aku berpeluang menikmati kasih sayang itu sekali sekala ketika aku berada di rumahnya. Jika aku di rumah mentuanya, aku akan dapat kasih sayang juga daripada dia mentuanya itu, namun pasti ada kekurangan, pasti ada yang lebih. Kata orang cucu lebih disayangi oleh datuk berbanding sayang seorang bapa. Mungkin benar...tetapi bagiku, dia dan dia adalah sama walau tidak serupa. Sehingga umurku remaja ketika dia sudah tiada, aku kembali ke rumah dia..dan aku terasa kekurangan yang tiada kekurangan.. kerana kedua-dua dia amat penyayang. Dia memastikan aku tidak akan kekurangan apa-apa walaupun aku dan dia, kehilangan dia. Semoga Allah merahmati di sana. Al-Fatihah. Aku dan dia tidak melupakan dia.

Sabtu, Mac 07, 2009

BICARAKU HARI INI.

Aku hanya ingin berbicara menggunakan gambar-gambar ini sahaja. Semoga apa yang tersirat akan sampai dengan sesungguhnya..









KEINDAHAN CINTA ALLAH TIADA TANDINGAN
TIADA YANG DAPAT MENDOAKAN KECUALI ANAK-ANAK SOLEH.




KEPADAMU, YA ALLAH KUPOHON KEKUATAN IMAN
JIKA AIRMATA INI MENGALIR , BIARLAH KERANA CINTAMU

BIARPUN KEGAGALAN SENTIASA KUNJUNG TIBA, NAMUN TIADA ISTILAH PUTUS ASA DALAM MENGEJAR CINTA YANG MAHA ESA..

HASBUNALLAH WA NIKMA WAKIL.... CUKUPLAH ALLAH BAGIKU, SESUNGGUH DIA ADALAH PELINDUNGKU..

SEMOGA KAMI SALING MENCINTAI KERANA UKHUWAH FILLAH... SEMOGA CINTA KITA DIBERKATI, DIRAHMATI OLEHNYA..
SEMOGA DENGAN CINTA INI KITA DAPAT MELAHIRKAN LEBIH BANYAK PEMIMPIN MUSLIM YANG MUKMIN

MUHASABAH MEMBAWA BANYAK KEMANAFAATAN DAN KEMASLAHATAN DI DUNIA DAN AKHIRAT.

SELAWAT DAN SALAM KEPADA RASULLULLAH S.A.W





SELAMAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL 1430 HIJRAH
KESABARAN, KEIKHLASAN DAN KETAQWAAN ASAS KEIMANAN


JAZAKUMULLAH.....WASSALAM

Jumaat, Mac 06, 2009

KISAH AKU DAN DIA (1)

Dalam meniti hidup, aku sentiasa ada dia di sisiku. Menemaniku tanpa jemu. Mengajarku erti kehidupan yang sebenar. Hidupku di samping dia amat membahagiakanku. Disebabkan dia, aku menjadi aku hari ini. Dia melatihku bertatih, memimpinku berjalan, mengarahku ke jalan ini. Aku redha dan aku tahu dialah yang terbaik untuk ibuku dan untukku melayari bahtera kehidupan ini dengan selamat.
Aku masih teringat, dia mengajarku erti ketabahan. Segala-galanya kukongsikan dengan dia. Suka dukaku, senyum tangisku. Dia mengajarku mengenali alif, biar berapa banyak pun rotan yang hancur, betapa degil pun aku mengetapkan bibir supaya tidak bersuara, betapa laju air mataku mengalir....namun dia tidak pernah berputus asa mengajar alif itu satu permulaan menuju Allah. Dia akan kata jika aku membaca setiap huruf itu dengan sengau, makna ayat terkandung firman Allah pasti akan bertukar maknanya. Maka dia berkata lagi, jadilah aku orang yang rugi. Ketika itu aku berfikir, buat apa mempelajari semua itu..membaca muqqadam naik alQuran. Menghafal semua surah-surah lazim. Membaca doa-doa yang aku tak fahami maknanya. Kata dia, belajar jangan jemu akhirnya aku menemui sesuatu. Sesuatu yang bererti, tiada kepincangan, tiada kecacatan... dia memintaku untuk terus berusaha.
Ketika aku pulang ke rumah, dengan tangis kerana didenda oleh dia di sekolah mahupun sekolah agama...pasti dia akan bertanya mengapa? Jika aku menyembunyikan aku pasti kena sekali rotan di tangan. Dia tega. Jika aku mengaku dan berterus-terang dia akan tanya apa sebabnya? Jika dia tahu akan sebabnya, dia akan berkata..belajar perlu pengorbanan, sesuatu itu pasti ada sebab. Lalu aku akan terima rotannya berkali-kali. Sehingga kadang kala aku tidak boleh berhenti. Berhenti daripada menangis. Jika aku berterus-terusan menangis, dia akan membawa ke kolah. Jirusan demi jirusan. Hingga akhirnya aku terdiam. Namun aku tetap aku yang nakal. Apabila aku mempersoalkan kenapa dia menghantarku ke rumah mertuanya untuk dijaga. Dia menjawab. Suatu masa, suatu ketika..aku akan tahu. Ketika itu aku akan mampu mengerti. Saban hari dia berulang ke rumah dia, mertuanya. Antara maghrib dan isyak, atau selepas sholat isyak, atau pada awal pagi selepas subuh..tengahari waktu perantaraan dua sekolah. Dia akan membawa masakan yang dibuat oleh isterinya. Biarpun dia tahu aku membenci isterinya. Apabila aku mendapat adik baharu, dia akan memberitahuku. Tetapi dia tak pernah memaksaku. Sama ada melihat adik baru mahupun menjenguk ibuku. Apabila aku bertanya kenapa aku dihantar ke rumah mertuanya, dia akan menjawab. Bersabarlah suatu masa kelak, aku akan mengerti. Apabila aku tanya sampai bila? Dia akan menjawab, sehingga suatu ketika yang aku akan mengerti. Tapi bila? Sehingga suatu masa aku boleh mengerti.. Akan tibakah waktu itu atau adakah aku masih berjaya. Katanya, tunggulah sedikit masa lagi, pasti ketika itu belum dia berterus terang, pasti aku mengerti.
Ketika aku sukar menyelesaikan masalah hingga ada terdetik untuk membiarkann ya, atau lari daripadanya. Dia mengajarku suatu saat aku akan menhadapi masalah, aku perlu segera menyelesaikan. sekiranya aku terasa berat, berdoalah, bersabarlah..jangan lari. Kerana jika hari ini aku lari, aku akan menghadapi masalah berkali-kali sehingga aku menyelesaikan. Satu masalah yang sama..tetapi ada pelbagai dugaan yang menguji kesabaran ada.