Sabtu, Mac 14, 2009

KISAH AKU DAN DIA (YANG PERTAMA?)



Aku ingin berkisah lagi tentang dia, mungkin bukan dia yang selalu kuceritakan. Memang banyak dia dalam hidupku mengajarku mengenali dia.

Aku kira aku bukanlah seorang yang hipokrit tentang dia. Aku selesa dengan seorang dia dalam hidupku. Seusia lapan tahun aku mengenali dia, yang bukan dalam kalangan keluargaku. Dia sangat kuhormati walaupun pada usiaku semuda itu. Aku sebenarnya tidak ingat pasti bagaimana aku bisa mengenali dia dalam hidupku. Mungkin dia orang pertama di hatiku, mungkin tidak. Tapi yang pasti bukan dia cinta yang unggul dalam hidupku biarpun dia mungkin yang pertama. Kata orang, cinta pertama akan diingati selamanya. Adalah segala-galanya tentang cinta. Yang itu tidak dapat kubuktikan, kerana aku tahu apa, untuk siapa, bagaimana melestarikan cintaku. Pengakhiran cinta itu juga berbeza-beza.

Dia enam tahun lebih tua daripada aku. Maksudnya pada ketika aku berusia lapan tahun, tentunya dia berusia 14 tahun. Tapi, wajarkah pada usia itu hubungan itu dipanggil cinta. Dia sangat baik kepadaku. Dia selalu ada bersama-sama aku, menyediakan banyak ruang dan masa untuk aku. Mungkin tidak keterlaluan jika aku kata dia adalah permulaan aku mengenali dia, dia, dia dan dia....dalam hidup aku. Aku sangat senang dengan dia. Dia sentiasa menjaga aku dengan baik dan ada, ketika aku memerlukan seseorang. Dia seorang yang begitu lembut, prihatin. Dia akan mengambil aku di sekolah rendah, membonceng di basikalnya. Kemudian aku pula akan menemaninya menunggu bas untuk dia ke sekolah menengah. Setelah dia menaiki bas, aku lantas bergegas ke sekolah agama. Rumahnya mungkin tidak jauh dari rumahku kerana kekerapan aku menyelusur jalan berulang-alik, berbasikal dan kadangkala berjalan kaki. Belum aku terasa penat, aku pasti sudah sampai ke rumah. Apatah lagi adiknya juga adalah kawanku. Ada yang kata aku dan adiknya seperti kembar..tetapi adiknya lebih tua setahun daripada aku. Malah lebih cantik berbanding aku..lebih cerah, semestinya lebih segala-galanya daripada aku. Al-maklum, aku bersekolah aliran Melayu sedangkan mereka bersekolah aliran Inggeris; yang pada pandangan masyarakat lebih bagus.

Dia anak ke enam daripada sembilan adik beradik. Aku? Anak ke lima daripada 10 adik-beradik. Keluarga besar kami tentu memberi pengalaman pelbagai kepada aku dan dia. Namun dia hidup dalam kalangan keluarga yang hampir keseluruhannya lelaki. berbanding aku lebih terdiri daripada perempuan. Perwatakan kami berbeza..dia lebih lembut dan penyayang sedangkan aku lebih keras dan pemberontak. Namun kedua-dua kami masing-masing, punyai sifat-sifat kelelakian dan kewanitaan sebagaimana sepatutnya. Mungkin keberuntunganku ialah aku tinggal dalam kasih sayang datuk dan nenekku, serta punyai emak dan bapa. Tapi dia dibesarkan dalam keluarga ibu tunggal. Namun itu bukan alasan untuk mereka tidak boleh hidup dalam kasih sayang dan berjaya dalam hidup.

Begitu lama aku membesar bersama dia. Ketika dia menghadapi peperiksaan aku berhenti sebentar, aku kurang mempedulikannya. Begitu juga dia. Usai dia menduduki SPM, kami sering bersama kembali. Cuma sebenarnya aku lebih kerap bersama adiknya, kawan baikku. Cukup menyenangkan ketika itu. Aku kagum dengannya. Aku sering cemburui kemesraannya sekeluarga. Petang-petang aku akan berbasikal keliling kampung, dengan adiknya. Bersama-sama dia. Aku tidak sehebat adik-beradik itu, namun aku tidak mahu kalah. Selalu ketika pertandingan musabaqah Al-Quran, dia dan adiknya pasti jadi juara. Aku? Keempat, ketiga...itupun jika ada nasib juga. Jika bukan dia, pasti dia yang satu lagi. Saudara sepupunya yang tidak kurang hebat darinya. Aku kira dia dan dia adalah pesaing yang hebat. Pernahkah seorang itu terfikir... datangnya lamaran dari seorang bapa yang membawa pinangan daripada anaknya, dan daripada anak saudaranya dalam masa yang sama. Tapi itulah yang aku alami. Yang akhirnya kedua-dua lamaran itu terpaksa dia tolak demi memikirkan kebajikan aku anaknya ini. Yang memaksa dia, yang kucintai itu merahsiakan sesuatu yang sangat penting dalam hidupku ini. Hingga akhir hayatnya, dia tidak pernah tahu yang aku anaknya ini mengetahui rahsianya itu..kerana aku mendengar secara curi-curi. Buat dia yang kurindui...terima kasih kerana merahsiakannya daripadaku, mungkin kerana dia tidak mahu aku bersedih dengan keputusan itu. Kerana dia tahu aku sangat menyayangi lelaki itu, dia yang pertama kusayangi dalam hidupku itu.

Mengenangkan itu, aku selalu bersedih..melayan rasa sayu melanda hatiku. Dan semua itu membuat aku lebih rapat dengan DIA. Aku bukan daripada golongan perempuan yang cantik. Mungkin sederhana. Aku bukan lincah tapi lasak. Aku bukan cergas walau aku memang ingin menjadi atlit. Cuma aku tidak mampu jadi seperti orang lain. Dia tidak pernah memberi peluang kepada aku untuk itu. Untuk bermain bola jaring, dia pasti menunggu. Dari awal hingga akhir. Dulu aku selalu protes. Tapi setelah aku tahu sebab dia berbuat begitu..aku berterima kasih dengannya. Biarlah aku sahaja yang tahu sebabnya. Aku juga bukan kategori orang yang tidak tahu apa-apa dalam hidupku..cuma kadang-kadang kawalan yang begitu ketat daripada dia sebabkan aku rasa rendah diri. Kerana ketidakpercayaan kepadaku, aku memang rasa aku sentiasa tidak boleh. Tapi tidak mengapa kerana itulah aku berada dalam cara hidupku yang kulalui sekarang ini. Ada orang kata aku terlalu baik hati, sehingga memudaratkan diriku sendiri. Masih tidak akan apa-apa kerana ALLAH sentiasa ada bersamaku. DIA maha mengetahui, dan setiap yang berlaku itu tentu ada hikmahnya..segala kebaikan itu tentu datang daripadaNYA. Sama ada sebagai anugerah, bakat, atau ujian...segalanya pasti bersebab dan akhirnya kembali kepadaNYA, yang Rahman.

Kembali kepada kisahku dengan dia. Pergaulan aku dengan keluarganya, merapatkan aku dengannya. Adik lelakinya yang lebih tua empat tahun daripadaku, memanggilku dengan gelaran kakak. Kami saling usik-mengusik. Aku tahu dia dapat merasakan jenis hubungan aku dengan dia, abangnya..cuma sayang sekali hal yang sama tidak dapat dijangka oleh teman baikku itu. Sehingga pada ketika teman baikku itu tahu, semua itu menjadi tekanan kepadanya. Aku tidak berniat menipu mahupun membohongi tapi aku sendiri tidak tahu apakah jenis hubungan aku dengan dia. Yang jelas, dia tidak pernah mengizinkan aku menganggapnya sebagai abang...walaupun aku ini sudah terlalu rapat dengannya, dengan keluarganya.

Ketika ibunya mengetahui juga merupakan tamparan hebat buatku. Apabila jiran-jiran, atau saudara mara mengusik-usik ibu itu, ibu itu pasti menafikannya. Aku menerima hakikat itu. Sebenarnya dia tidak pernah mengakui sangat menyukai aku. Suatu ketika apabila aku bertanya kepadanya sejauh mana hubungan ku dengan dia. Dia berhenti membalas surat-surat ku untuk tempoh lebih setahun. Apabila aku meminta bertemu dengannya..bertanya persoalan yang sama. Dia berkata, tidak ada sekelumit perasaan pun buat aku. Malah dia rimas kerana ke mana dia pergi, dengan siapa dia berhubung, apa saja yang dia buat...pasti ada aku. Dia kata dia benci aku kerana aku sentiasa ada dalam hidupnya. Aku pernah bertanya, salah aku kah jika keadaan itu berlaku kepadanya. Aku tidak perlukan simpati. Aku sebenarnya sudah bersedia untuk itu. Dia tidak sekali-kali menyukai, menyayangi malah mencintaiku. Itulah kata-kata yang keluar daripada mulutnya, dan aku mendengar dengan sepasang telinga ini. Aku bukan sesiapa kepadanya. Selama ini, segala yang berlaku hanya kebetulan. Setiap kali pulang ke kampung dari Kuala Lumpur, pasti dia akan datang ke rumahku. Alasannya, untuk membaca akhbar..sedangkan akhbar di rumahnya tidak pernah putus atau kurang. Kata abang-abangnya, semua itu alasan. Mungkin kerana aku sudah bersedia menerima hakikat itu pada ketika ibunya berkata di hadapan khalayak, di depan emakku...jika aku ingin menjadi menantunya maka aku perlu tunggu dia mengandungkan anak lain dalam kandungannya. Mana mungkin! Ibu itu sudah berusia, ibu tunggal... Itulah luka hatiku yang pertama. Hari ini kucatatkan untuk pengetahuan semua. Setiap apa yang berlaku, sebenarnya Allah telah memberikan petunjukNYA. Aku sudah punya tanda-tanda itu sejak awal. Tapi aku sentiasa tidak serik, walaupun keluargaku turut diperkatakan kerana hal itu. Aku sebenarnya amat rela untuk melepaskan dia kerana aib keluargaku jauh lebih penting buatku. Aku tahu dia dan emak sedih melihat nasibku. Aku tidak akan menangis untuk seorang yang bernama lelaki yang aku belum pasti tempatnya di sisiku. Tentu prinsip ku ini juga membuatkan dia rasa aku tidak menyayangi dia. Setiapkali ada orang lain mendekati dia, aku tidak akan memperlihatkannya kerana padaku dia adalah milik umum, milik ibunya, milik keluarganya. Aku pula bukan sesiapa. Sedangkan sebenarnya aku sangat mencemburuinya.

Ketika aku di Institusi Perguruan, aku punyai banyak pilihan. Dia, dia, dia dan beberapa dia lagi. Kelak akan kuceritakan tentang semua dia itu. Setiap dia ada keistimewaannya tersendiri. Tapi aku tidak boleh menerima semua dia kerana dia. Mungkin Allah memberiku banyak pengalaman untuk aku gunakannya sebagai satu contoh untuk anak-anak didikku kelak. Bahawa hidup ini sebenarnya terlalu indah sekiranya kita menikmatinya. Sekali itu aku dipanggil balik ke kampung oleh teman baikku.. adik dia. Dia teraniaya oleh seorang gadis. Teman dan kenalanku juga. Mungkin kerana dia mengetahui tentang aku dalam hidupnya, aku dimusuhi oleh teman-teman yang menyukai dia. Apa yang aku perlu tahu dan apa yang patut aku pertikaikan dengan siapa dia berhubung, berkawan.. aku terangkan kepada adiknya, aku tidak punyai apa-apa hubungan dengan dia. Sejak hari itu lagi. Oranglain tidak pernah tahu. Aku cuma ambil tahu dan menjaganya jika boleh dikatakan begitu hanya kerana satu sebab, dan biarlah sebab itu aku sahaja yang tahu.

Pada ketika itu aku tahu hinanya seorang perempuan yang menyukai lelaki itu. Gadis itu, temanku sangat menyukai dia. Padaku apalah salahnya menyukai seorang lelaki itu dengan cara betul. Adiknya bertanya aku..salahkah dia berkawan dengan gadis itu..tetapi dia tidak pernah berbuat apa-apa dengan gadis itu. Dia tidak pernah memeluknya, menciumnya... ber'dating' pun dia tidak. Apa yang hendak dihebohkan oleh gadis itu? Hingga memaksa dia berkahwin dengannya. Aku hanya mampu tersenyum.. Malangnya teman gadisku itu. Dia menyukai lelaki yang salah. Lelaki yang sangat baik, sangat mulia, sangat hebat... Dia, lelaki yang tidak pernah boleh didampingi oleh orang seperti aku, dia dan gadis-gadis sebarangan.



Tapi buatmu gadis yang juga temanku..ALLAH telah memberikanmu jodoh yang terbaik..walau bukan dia yang kita kasihi. Aku sendiri bersyukur dan kagum dengan dia, suamimu kini.. kerana dia telah menyelamatkan maruahmu sebagai seorang perempuan..berbanding dia yang melukakan hatimu. Aku bersyukur bukan kerana dikau temanku tidak merampas dia daripadaku tapi aku bersyukur kerana dikau terlepas daripada satu kisah sayu yang mungkin lebih melukakanmu.

Selesai kisah itu, aku kembali ke menyambung pengajian aku. Aku meneruskan dengan dia. Masih menyayangi dia namun kerana satu sebab yang hanya aku yang tahu. Dia menyambung pelajarannya ke ITM, bekerja sambil belajar. Kasihan dia, aku ini tidak setaraf dengannya. Bukan begitu, dia merasakan tidak setaraf bagiku. Mungkin aku salah..tapi dia pernah menyatakan larangannya ketika aku ingin melanjutkan pelajaranku. Dia memberiku pilihan, sama ada berkahwin atau meneruskan pelajaran yang menjauhkan jarak kami. Dia kata mahu isterinya tinggal di rumah, sebab dia akan tanggung segalanya. Tapi aku tidak terfikir untuk berkorban sebesar itu..apatah aku tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Sekali lagi aku dipanggil balik.. Kali ini kerana dia hendak bertunang. Kecoh semua orang dibuatnya. Abang iparku bertanya kakakku, ada apa-apa majlis di rumah kami. Tiada. Adiknya yang memanggilku kakak bertanya kepadaku, benarkah kami akan bertunang, Tiada. Adiknya teman baikku itu bertanya adakah dia memberitahuku apa-apa. Tiada. Itulah hakikatnya. Tiada. Tiada apa-apa yang berlaku pada hidupku. Hanya berlaku dalam hidup dia. Semua orang bertanya aku bagaimana? Semuanya baik-baik sahaja. Kakak-kakakku, adik-adikku menangis memeluk aku sebaik tahu berita itu... tapi aku? Tidak sekali-kali menangis hanya kerana dia memilih seseorang yang lain dalam hidupnya. Dulu lagi dia sudah meminta..Dulu lagi dia sudah memberitahu. Aku sudah maklum.. Dia benci aku ada dalam hidupnya, menghalangnya kepada orang lain. Aku? Sudah melepaskannya..sekian lama. Walaupun sebenarnya aku sudahpun menyediakan satu set hantaran untuk pertunangan kami..dia sudah mengajakku bertunang sebelum itu...Sebelum dia melarangku ke Terengganu untuk projek Bakti guru, kerana takut aku bertemu oranglain. Tapi aku mengingkari dia. Siapa dia untuk menghalangku. Bukan sesiapa sebelum aku dan dia berijab kabul. Dia yang berhak kepada aku tidak melarangku, sedangkan jika wali aku itu melarang...aku pasti mentaatinya. Bukan dia. Berapa banyak aku perlu berkorban? Tiada siapapun tahu.. Persiapan itu kubuat senyap-senyap sebab aku sudah mengiyakannya. Aku sudah setuju. Tiada hitam putih, tiada saksi...namun keingkaranku ketika itu mengubah keputusan dia. Aku tidak tahu mengapa tapi aku mungkin tahu sebabnya. Alhamdullillah, DIA lah kekuatan aku ketika itu. Terima kasih juga kepada dia yang membesarkanku dan mengajar erti kesabaran, ketabahan dan redha dengan ketentuan qadak dan qadar ALLAH.

Kusimpan semua persiapan yang kebeli untuk dia. Untuk pertunangan kami. Tapi dia bertunang dengan orang lain. Aku simpan. Mungkin masih ada yang tersimpan.. mungkin telah lama musnah. Aku tidak tahu apa yang ingin dia buktikan. Biarlah itu berlalu.. Kisah ini juga telah lama berlalu. Berlalu dengan baik, insya Allah. Aku masih sayang akan dia. Tapi cukuplah sekadar kerana ALLAH.. kerana ukhwah yang manis dan menyatukan aku dan dia dalam kasih sayang ALLAH yang maha hebat. Cuma aku ingin memohon maaf kepada wanita yang kini di sisinya, menjadi teman hidupnya. Hargailah dia..Dia banyak berkorban untukmu.. Dia juga telah mengorbankan aku. Sayangilah dia, kerana dia adalah pemberian Allah kepadamu.. Hormatilah dia kerana dia adalah pemimpin terbaik dalam hidupmu..pemimpin yang menaungi hidupmu. Lelaki hebat yang berjaya dikau miliki. Maaf kerana satu ketika dulu, aku pernah ada di hatinya. Mungkin... atau mungkin tidak sama sekali. Jangan diragui kasih sayang dan kejujurannya.. kerana dia yang ada dalam hidupku suatu ketika dulu sebenarnya sangat ikhlas kepadamu. Aku pernah mendengar daripada bicaranya sendiri. Terimalah dia seadanya, kerana dia adalah dia yang patut dikau cintai dunia dan akhirat..Suamimu, ayah kepada anak-anakmu...dan Syurgamu..wahai isteri yang amat dia sayangi.

Cukuplah bicaraku ini tentang dia. Pastinya dia banyak mengajarku erti sayang, cinta, hidup, pengorbanan. Pasti dia sering menunjukkanku jalan kebenaran menuju Dia yang satu, juga. Dia menjadikan aku pandai dalam banyak hal. Mencuba dalam pelbagai bidang. Untuk pengetahuanmu...Dia yang unggul dalam hatiku. Suatu ketika aku pernah menjahitkan pakaian untukmu.....semua itu hasil kisah aku dan dia. Aku belajar kerana dia, suami emakku berkata...Setiap jahitan untuk membuat pakaian seorang suami adalah pahala untuk isterinya. Maka untuk mendapatkan kebaikan itu, aku belajar menjahit pakaian lelaki untuk dia. Kuharap jika dia menjadi suamiku..pasti setiap pakaian di badannya adalah hasil tanganku sendiri. Tapi dia hanya satu wahana ALLAH untuk menambah ilmu dan kemahiran untukku. Alhamdullillah. Dan aku akan menggunakan kemahiran itu untuk tujuan yang sama, biarpun bukan lagi dia, atau tidak mungkin sekali-kali dia..suamiku.

Kupaparkan kisah ini bukan untuk melukakan hati sesiapa..Cuma aku sudah terlalu lama menyimpannya... buat aku, aku, aku yang membaca catatan ini, sedarlah... apa yang kita sukai bukan semestinya terbaik untuk kita. Belajarlah untuk redha kerana kesakitan itu akan berlalu.. dendam tidak menyelesaikan sebarang masalah. Ikhlaskanlah...jika dia bukan untuk kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan