Jumaat, Mac 20, 2009

YANG MENGGEMBIRAKAN DAN YANG MENYEDIHKAN

ALHAMDULLILLAH, Aku bisa mencatat lagi hari ini. Biarpun bukanlah satu kemestian untukku mencatat. Mungkin ini adalah satu pelarian untukku...biarlah kusimpan sebabku itu. Hanya mereka yang terlibat sahaja tahu kenapa aku perlu menjadi pelarian itu. Ini adalah usahaku untuk menghentikan satu tindakan yang dianggap sebagai tidak bermaruah.. Aku tidak pernah mengizinkannya berlaku kepadaku. Walaupun aku punyai sebab dan aku tahu apa niatku...tapi aku perlu menerima sesuatu nasihat yang baik itu dengan ikhlas. Sesuatu yang benar itu selalunya pahit. Namun biar pahit mana sekalipun, jika ia benar akan tetap benar. Hanya ALLAH sahaja sebagai tempat untuk aku mengadu. Semoga usaha aku ini difahami..dan ketahuilah aku ikhlas, kata dan janji aku benar dan aku amat memahaminya. Usahlah dipertikaikan..kerana aku ingin mendapat keredhaan dan keberkatan ALLAH dalam hidupku ini...semoga aku sentiasa sedar bahawa solatku, ibadahku..hidupku dan matiku kerana ALLAH TAALA.

Namun, ketika ini aku ingin kembali kepada tajuk catatan aku hari ini. Pertama, yang menggembirakan. Saat gembira, bahagia, tenang...tidak selalu atau tidak sentiasa berlaku dalam hidup kita. Hidup ini umpama roda yang berpusing, kadang-kadang kita di atas. Ada kalanya kita di bawah. Itulah fitrah.

Buat teman yang amat ku kasihi, Tahniah... Inilah ucapan yang terbaik daripada teman yang satu ini. Aku bahagia melihat dikau bahagia. Hari ini aku menerima khabar bahagia dengan penuh rasa terharu,gembira yang amat sangat. Suatu perasaan yang amat sukar untuk kugambarkan. Mengalir airmataku. Bukan kerana aku sedih, bukan kerana aku berasa sakit..tapi kerana ALLAH sangat menyayangimu. Mempermudah untukmu ke jalan yang pilih ini. Rasanya ingin sahaja kukhabarkan kepada dunia..tapi apakan daya cerita dan kisah yang berlalu itu hanya milik kita, dan milik sebilangan dalam kalangan kita.

Inilah ucapan-ucapanku untukmu... SELAMAT PENGANTIN BARU,TEMANKU...SAHABATKU.

Jika mereka tahu betapa banyak keperitan yang perlu kalian lalui.

Semoga perkahwinan kalian kali ini merupakan perkahwinan hingga ke akhir hayat. Semoga kebahagiaan yang kalian kecapi akan berkekalan dunia dan akhirat. Tentu syaitan-syaitan itu menangis temanku.. dengan kegembiraan kalian hari ini.

Temanku, kesabaranmu melalui ujian-ujian, fitnah demi fitnah..memberikan aku keinsafan bahawa hidup ini pasti tidak akan lengkap tanpa perit-jerih, penat-lelah, tanpa usaha...

Aku berasakan suatu nikmat yang amat besar telah kau raih dalam hidupmu. Semoga dikau tidak akan menangis lagi. Binalah rumahtanggamu dengan penuh ketaqwaan dan gunakanlah ilmu dan pengalaman lalu sebagai batas dan panduan meniti hidupmu akan datang. Saat ini sudah lama kunantikan..

ALHAMDULLILLAH... kerana KAU mendengar permintaanku... Terima kasih ALLAH, KAU menyelamatkan temanku itu daripada sebarang kemungkinan kemungkaran....juga kerana melimpahkan kepadanya kebahagiaan berlipat ganda. Bahagiakanlah mereka dengan sesungguhnya kebahagiaan daripada kasih sayang MU yang maha banyak.

Sahabatku... Kau sudah terlalu banyak menangis. Aku kira tentu airmata mu sudah 'kering'. Aku kagum dengan kekuatanmu. Selama bertahun menjanda, kau masih kuat melawan arus kepincangan dan kemudaratan daripada menghampirimu. Aku sentiasa melihatmu dalam keadaan yang bertenang...namun aku tahu hatimu. Aku tahu betapa di hatimu ada luka-luka yang tidak dapat kau tanggung. Sahabatku, aku menghormatimu sebagai seorang yang mukminah. Betapa orang mengejekmu, mentertawakanmu tapi kau tetap tabah. Aku tahu pasti kau akan mengotakan kata-katamu. Sahabat..Aku bangga bersaudara denganmu...aku bangga dengan kekuatanmu. Kekuatan yang orang lain tidak pernah nampak. Biarpun air mata mu mudah mengalir tetapi ketabahan berlipat ganda. Aku kagum kau tidak dibawa arus dek godaan-godaan lelaki-lelaki yang menggilaimu. Tahniah, sahabatku.. Tahniah, kerana kau sentiasa menjaga akhlak dan maruahmu. Aku sentiasa ingin menjadi sebahagian daripada hidupmu.

Aku akan sentiasa tersenyum dengan berita gembira ini. Mungkin ada yang hairan, apakah yang hebat dengan temanku itu?

Dia punyai segala-galanya bagi seorang wanita. Punyai rupa paras yang cantik, senyum yang menarik. Aku kenalinya agak lama...sebelum menjadi begitu rapat,aku memang mengkagumi kecantikan dan peribadinya. Apatah lagi kini, dia begitu dekat dengan aku. Kisah hidupnya panjang dan penuh ranjau duri. Dia tidak pernah memperlihatkannya. Dia pandai mengatur hidupnya. Banyak yang irihati kepadanya. Aku? Rasanya tidak. Tidak kubudayakan dalam hidup aku ini beriri hati, berdendam dan berdengki. Namun dengan kebaikannya, dia sering difitnah. Entah di mana salahnya. Setiap kali dia mengadu kepadaku, aku pasti memujuknya dengan mengatakan tentu ALLAH begitu menyayanginya sehingga dia diuji sedemikian rupa. Semoga pernikahannya kali ini adalah yang terakhir dan yang terbaik. Semoga dia tidak akan teraniaya lagi. Inilah yang menggembirakanku. Gembira kerana ALLAH memberikan dia kegembiraan di dunia ini untuk dia dan suaminya meraih kegembiraan di akhirat kelak. Semoga Kebahagiaan akan menjadi milik mereka selamanya, di dunia dan akhirat.AMIN...


Yang menggembirakan telah aku catatkan. Ia berlaku hari ini 20Mac, 2009.

Namun semalam aku mendengar berita yang menyedihkan. Berita tentang hidup seorang kenalan. Walaupun aku tidak begitu mengenalinya. Hidup mudanya musnah kerana kealpaan dan kelalaiannya sendiri. Mungkin dia tersilap pertimbangan. Mungkin keasyikan dan keseronokan menyebabkan dia lupa batas-batas yang sepatutnya.


Seseorang dalam hidupku ini pernah berkata kepadaku... seorang lelaki itu, sebaik manapun dia, sealim manapun seorang ulama itu....pasti akan tewas kerana seorang perempuan. Begitu juga sebaliknya. "La taqrabul zina...Usah mendekati zina" waimah di minda. Pelihara mata, lidah, mindamu daripada perbuatan-perbuatan yang menghampiri zina. Aku bukan arif, namun aku sentiasa melihat sesuatu itu secara mendalam,lebih jauh mungkin.

Bukan tiada pengalamanku bersama-sama teman-teman yang lalu. Umpama bersubahat kurasakan. Melihat teman-teman berpegangan tangan menyusuri pantai. Saling memeluk pinggang menaiki bas. Saling bersandar di bahu ketika berbincang dan duduk minum semeja. Berlaku di hadapan mataku sendiri. Aku memang tidak suka. Bukan kerana aku tidak punyai pasangan sendiri untuk berbuat perlakuan yang sama. Tapi cukuplah aku dengan pendirianku. Semua itu haram sebelum bernikah. Kenapa dia mungkin yang pertama dalam hidupku itu tidak pernah mempersoalkannya. Kerana aku sudah memberi kata... Jika seseorang itu sayang akan aku, maka ikutlah cara yang dibenarkan syariat. Jika tidak masakan setiap kali dia datang ke rumah aku, untuk berbicara dengan aku..dia bapaku itu akan sentiasa menemani.. Bukan aku bangga dengan semua itu tapi aku kira tidak salah kita menolak perbuatan itu jika ia boleh memelihara diri daripada terjerumus ke kancah maksiat. Aku masih ingat suatu masa dulu, ketika seorang ustaz memberi ceramah tentang penggunaan minyak wangi oleh golongan wanita. Bukan aku seorang yang begitu taat tetapi aku menjadi takut untuk menggunakan minyak wangi kerana ia akan menggalakkan seseorang tertarik kepada aku. Mungkin itu agak berat untuk kutinggalkan tetapi aku perlu berusaha supaya aku tidak terjebak dalam keasyikan perhatian kepada aku. Dan yang paling jelas, aku tidak mahu menganiaya diriku sendiri dengan keasyikan dunia yang ada itu...Hah!! Aku sudah tersasar jauh daripada tujuan asalku mencatat kali ini.

Kenalan aku itu, gadis muda yang berpotensi dalam pelbagai bidang. Namun susuk tubuhnya agak gempal.. Tetapi dia bukan tidak cantik. Cantik itu subjektif. Setahun lalu, dia gadis itu menjalani rawatan untuk melangsingkan badan dan usahanya itu berjaya. Keseronokan itu bertambah apabila banyak jejaka yang mendekatinya. Nasihat yang datang dianggap sebagai penghalang dan dikatakan dek perasaan irihati dengan penampilan barunya. Beberapa bulan berlalu, aktiviti luarnya berkurangan. Malah dia seperti tidak begitu ambil berat lagi dengan keadaan tubuhnya yang kembali seperti asal. Dan akhirnya semalam , berita sedih yang kudengar... Dia selamat melahirkan seorang anak lelaki tanpa ayah yang sah..tanpa pernikahan yang sah. Anak yang lahir hasil perzinaan. Kasihan anak kecil itu tidak mengetahui apa-apa. Tidak berdosa...tetapi akan menanggung keaiban akibat dosa kedua-dua orangtuanya. Yang Lupa, yang membenarkan nafsu menguasai diri, yang tidak mengira halal haram..yang membiarkan syaitan ketawa gembira kerana berjaya memperdayakan bani Adam.

Apalagi yang boleh dibuat..nasi sudah menjadi bubur. Kekesalan sudah tidak berguna lagi. Banyak peristiwa sedemikian berlaku dalam kalangan kenalan. Dulu ketika aku bersekolah menengah. Aku kerap melihat seorang kenalan yang bertudung labuh pulang dari tempat kerja. Beberapa ketika dia sering mengasingkan diri. Dan akhir yang sedih juga kerana dia melahirkan anak sendirian di dalam biliknya..bayi perempuan. Mujur lelaki itu bersetuju untuk bertanggungjawab. Tetapi aibnya sentiasa berpanjangan apatah lagi bayinya perempuan. Seorang kenalan lagi sentiasa kelihatan langsing. Dihantar pulang oleh seorang lelaki saban petang. Namun usaha untuk membunuh bayi dalam kandungannya gagal. Betapa ketat pun bengkung digunakan supaya sentiasa kelihatan langsing. Betapa banyakpun ubat yang dimakan... bayi itu tetap lahir. Allah maha Besar, maha berkuasa.
Biar bagaimanapun ditutup, disembunyikan...bangkai yang busuk itu kelama-lamaan akan berbau juga. Inilah pula kesedihan aku. Dunia ini indah, terlalu indah sebenarnya...hanya jika kita menghargai apa yang kita miliki, hak kita...yakni harga diri kita. Wahai wanita-wanita di luar sana, biarlah susahnya hidup kita untuk menjadi wanita solehah,berusahalah bersungguh-sungguh...supaya ada tempat untuk kita di syurga kelak..bukan di neraka kerana sedikit keseronokan di dunia yang melalaikan.
Satu khabar lagi yang aku tidak tahu sama ada menggembirakan atau menyedihkan. Kembalinya seorang kenalan ke rahmatullah kerana melahirkan seorang bayi ke dunia. Bayi tersebut juga mengikuti ibunya. Pengorbanan seorang isteri muda untuk melahirkan zuriat untuk suami tercinta. Suami itu tentu bersedih namun semoga dia meredhai isterinya...agar ditempatkan di sisi mereka yang soleh.


Rasanya cukuplah catatanku kali ini. Mungkin aku akan berhenti mencatat seketika. Kegembiraan dan kesedihan aku ini kupaparkan untuk tatapan umum. Sekadar berkongsi sesuatu. Sebagai hamba yang lemah sentiasalah kita bermohon agar tidak kecundang dalam meniti kehidupan di dunia...Semoga kita tidak menjadi orang yang rugi.
Ilmu yang sedikit sekalipun jika diamalkan pasti membuahkan hasil yang baik di dunia..waimah di akhirat kelak. Kita akan sentiasa terlupa....semoga akan ada yang memberi pesanan dan peringatan yang benar dengan sabar.
Jujur dan ikhlaslah dengan diri kita sendiri.. sayangilah diri sendiri dan sebelum berbuat sesuatu, berfikirlah.....natijahnya, kesannya, hukumnya... berfikir sejenak itu lebih bermakna. Semoga kita akan sentiasa ingat ALLAH dalam hidup kita...dalam setiap hembusan nafas kita di dalamnya ada DIA yang kita cintainya. Kita tidak akan tahu nilai cinta kita jika tidak diuji. Ujian itu pula bukan hanya berbentuk, kesukaran, kesakitan, kepayahan, keperitan, kekurangan dan kelemahan...tetapi juga berbentuk, kegembiraan, keseronokan, kebahagiaan, kasih sayang, kekayaan....Semoga kita sentiasa muhasabah sama ada kita dalam golongan bersyukur atau kufur... Segala yang baik itu datang daripada ALLAH, biar dalam bentuk apapun.... Kita akan tahu jika kita sentiasa ingat dan mengerti... Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan