Jumaat, Mac 13, 2009

KISAH AKU DAN DIA (1.1)

Assalamualaikum.... Mungkin aku dah mencatat tentang dia dalam hidupku pada catatanku yang lalu. Masih banyak yang ingin aku kongsikan tentang kisah dia dan aku. Dia amat kusayangi. Aku gembira lahir dalam keluarga yang dia sebagai pemimpinnya. Aku harap suatu hari aku akan dapat mengenali seseorang dia sebagai teman hidupku dunia akhirat seperti dia. Cukuplah jika ada beberapa sifat dan sikap seperti dia. Dia melayan ibuku, mengajar, mendidik dan menjadi penaung yang terbaik untuk ibuku. Biar apapun keadaannya, dia tidak pernah memperlihatkannya sehingga aku, ibu dan keluargaku tidak berasa kekurangan dalam keadaan kami yang kekurangan. Untuk dia, terima kasih kerana menyayangi kami.
Dia sering menjadi pelita ketika kami kegelapan. Dia pasti memberikan suasana tenang ketika kami kegelisahan. Dia membentuk kekuatan yang tersendiri ketika kami kebimbangan, ketakutan. Aku sangat mengkagumi dia. Dia mungkin tidak sehebat orang lain. Dia mungkin tidak setampan, sesegak orang lain. Tapi dia punyai naluri yang sangat erat denganku. Kadang kala ketika aku kesedihan, dia pasti dapat menerkanya. Sungguh dia mengambil berat tentang aku..biarpun aku tidak tinggal serumah dengannya tapi sentiasa berasakan dia selalu ada ketika aku perlukan dia. Dia bukan hanya ada di hati ku sahaja tapi di hati kakak-kakakku, abangku, adik-adikku...pastinya di hati ibuku. Untuk selama-lamanya. Dia tetap unggul dalam hati kami.
Walaupun dulu semasa aku dan adik-beradikku kecil, kami sering didenda, dirotan...bukan kecil dendaan tapi dia tetap mulia di hati kami. Teringat aku ketika aku bergaduh dan lewat pulang ke rumah, dia akan mendenda aku, kami....tunggu di luar, di beranda rumah sehingga larut malam. Kata dia itik pun akan pulang berderet-deret apabila senja menjelang. Burung akan terbang berkawan-kawan pulang ke sarang. Kambing, lembu akan masuk ke kandang apabila hari semakin gelap. Ayam akan masuk ke reban....tapi sayangnya, anak-anak manusia pula yang tidak mengenal hari senja. Sehingga maghrib sudah tidak ada, wajah anak-anak tidak kelihatan. Alang-alang terlepas waktu maghrib, dia akan biarkan aku, kami tidak masuk rumah hingga ke subuh. Jika kami tahu waktu, tentu semuanya tak akan berlaku. Tapi yang degil itu aku...mula-mula aku takut tapi akhirnya alah bisa tegal biasa. Yang tak seronoknya....dah ada keberanian, aku dapat upah yang lain. Rotan bertalu-talu. Namun aku masih bertahan, aku tak apa-apa, biar belakangku, kakiku birat..hingga aku terlena. Apa yang lekat di hatiku...betapa kejam pun dia pada orang lain mungkin, pada aku ada yang tersimpan di hati. Aku sering mengharapkan kejadian itu berlaku berkali-kali. Kerana tika aku sedar daripada lena..pastinya aku sudah ada di tempat tidur yang selesa. Pakaianku telah bertukar. Birat di belakang kaki dan badan sudah disapu ubat. Aku pula sering berpura-pura tidur sementara ibu menguruskan aku dan kami...sedang dia melihat dengan sayu. Dia akan menarikkan selimut menutupi tubuh kami daripada kedinginan malam...mencium pipi dan dahi kami satu persatu.. Membantu isterinya memasang kelambu untuk melindungi kami daripada gigitan nyamuk dan serangga lainnya. Yang nakal itu aku, yang degil itu juga aku...semuanya kerana aku ingin dia dan isterinya membelai aku, menjaga aku, mengasihi aku. Kerana aku berpeluang menikmati kasih sayang itu sekali sekala ketika aku berada di rumahnya. Jika aku di rumah mentuanya, aku akan dapat kasih sayang juga daripada dia mentuanya itu, namun pasti ada kekurangan, pasti ada yang lebih. Kata orang cucu lebih disayangi oleh datuk berbanding sayang seorang bapa. Mungkin benar...tetapi bagiku, dia dan dia adalah sama walau tidak serupa. Sehingga umurku remaja ketika dia sudah tiada, aku kembali ke rumah dia..dan aku terasa kekurangan yang tiada kekurangan.. kerana kedua-dua dia amat penyayang. Dia memastikan aku tidak akan kekurangan apa-apa walaupun aku dan dia, kehilangan dia. Semoga Allah merahmati di sana. Al-Fatihah. Aku dan dia tidak melupakan dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan