Rabu, Februari 17, 2010

TIDAK BERJAYA ORANG YANG TIDAK BERJAYA MENANGANI KEKECEWAAN

Membaca catatan anak-anak muda rakan-rakan blog dan anak buah, aku begitu insaf dan bersyukur adanya banyaknya catatan yang begitu menarik dan membawa manafaat. Semuda usia 20 tahun, ada kalangan mereka yang mempunyai catatan yang begitu bernas dan bersih daripada pelbagai propaganda... Semoga mereka meneruskan usaha menelusuri ilmu dan mengamalkannya, seterusnya mengajarkannya kepada orang lain. Mungkin ini dianggap usaha mudah, namun secara bersantai 'mendekati' orang lain dengan cerita ringkas tetapi bermakna sebenarnya bukan mudah. Apatah sekarang ini, rata-rata masyarakat yang tidak pandai berkias bahasa, bersopan bicara.. Kebanyakan rakan yang begitu aktif dalam laman sesawang ini, golongan muda yang masih menuntut, mencari ilmu dan masih mencari-cari identiti mereka... sedangkan mereka telah dengan sendirinya beridentiti dalam catatan mereka. Mereka hadir dengan berwatak....satu pengenalan ikhlas.


Sewajarnya begitulah generasi yang kita harap. Bukan hanya tahu berhibur dan berlibur....tetapi dalam setiap langkahnya ada hikmah... Aku kira aku ingin sekali mengucapkan tahniah buat mereka yang begitu komited dengan amanah dan tanggungjawab mereka, sehinggakan tergambar watak peribadi mereka... terutama mereka yang tidak menjadikan laman sesawang ini sebagai suatu medan membicarakan politik, mereka yang bersikap terbuka, walaupun mereka kebanyakannya merupakan pengamal politik tertentu yang aktif.. Aku tahu, mereka juga tahu....namun mereka tidak mencampur adukkan, dunia yang bergelora dengan akhirat yang sedamai-damai jiwa.

Ada ketikanya aku terasa begitu kerdil berada dalam kalangan anak-anak muda yang berjiwa besar... sehinggakan aku terasa ingin lebih banyak belajar daripada mereka... kerana mereka mempunyai peluang dan ruang yang lebih luas daripada aku ini...

Berkisah tentang anak-anak muda, aku ingin sekali menyentuh beberapa kisah di sekeliling aku ini... tentang anak-anak yang secara tidak langsung terlibat dengan aku. Ada kalanya apabila kita berasa segala kehebatan ada di sekeliling kita.. kita akan terlupa yang kita sentiasa terbendung dengan rasa keegoan yang tinggi.. Ketika itu kita terlupa yang apa sahaja di sekeliling kita bersifat sementara.


Sehinggakan pada suatu ketika berlaku senario yang tidak seperti kita harapkan, kekecewaan yang melampaui melanda diri, dan menjadi diri kita tidak lagi tabah melalui segala-galanya di hadapan. Namun kita tidak mengaku sebenarnya kita berada dalam rasa hampa dan berputus asa. Sedangkan DIA lebih mengetahui akan segalanya, apa yang terbaik untuk kita biarpun ia sesuatu yang tidak kita sukai.

" Ambil beratlah dan lakukan apa yang anda suka, jika tidak anda akan dipaksa menyukai apa yang anda lakukan ". ( George Bernanrd Shaw )

Itulah hakikatnya, kita sepatutnya mengambil berat dan melakukan apa yang kita suka, TETAPI kadangkala kita terpaksa juga menyukai apa yang kita lakukan.


Dalam melestari cita-cita dan impian , kita terpaksa melalui pelbagai kekecewaan, namun ke mana perginya jati diri kita hanya kerana sedikit kehampaan kita sudah tertewas dan terbukti kalah... Kalah sebelum kita berjuang semula..

Buat anak-anak yang punyai harapan menggunung, mendaki lah perlahan-lahan, jika kalian jatuh pun, tergelincir pun sewaktu mendaki... itu adalah pengalaman. Pengalaman itulah pula mengajar erti tabah dan cekal... Jika itu berlaku, kuatkan semangat agar pendakian seterusnya berjalan lancar.. Ada kalangan kalian, berasakan orang lain meniti kejayaan disebabkan mereka bersama kalian.. ALLAH sudah menentukannya, jika kita menerima ujian, sentiasa diuji.... DIA sangat menyayangi kita... Itulah cara kita untuk bersyukur.

Jika selama ini kita berasa kita sentiasa bagus dan betul.... telitilah semula, mungkin ada lubang-lubang kecil yang mengurangkan kesempurnaan itu. Kita mungkin petah berpendapat, namun adakalanya bicara kita menyakiti orang lain. Kita mungkin tegas dengan pendirian, namun ada ketikanya ketegasan kita itu tidak berada pada tempatnya, tidak adil.. sama ada untuk oranglain mahupun diri kita sendiri. Itulah hakikatnya bahawa manusia itu, hamba itu..yakni kita tidak ada yang sempurna. Sebagai apa sekalipun.

Jika hari ini, ada dalam kalangan kita yang berjaya... walaupun dengan usaha kita, bersyukurlah. Mungkin kita tidak seharusnya berada di takuk itu, namun sebenarnya kita sudah berjaya... dalam ertikata menjadi mereka lebih hebat daripada kita yang pada suatu ketika menjadi pendukung kepada mereka supaya mereka dapat bangun. Mungkin mereka bangun dengan suara kita. Mungkin mereka berjaya menjadi mereka hari ini disebabkan sedikit bantuan kita. Seperti mana kita, pasti ada ketika mereka berasakan situasi yang sama kelak... maka berdoalah dan berdoalah untuk diri kita dan mereka.... berjaya bersama-sama biarpun bukan pada satu jalan yang sama.

" Bersyukurlah kepadaKU dan kepada kedua-dua orang tuamu (Ibu bapamu)" (Luqman :14)

Percayalah bahawa kita sentiasa akan melalui pelbagai rintangan dan ujian, namun kita masih boleh berjaya. Fikirlah dengan positif dalam setiap perkara, sedarlah bahawa tiada apa yang mustahil dicapai jika kita berusaha. Binalah kepercayaan yang boleh mengukuhkan diri anda pada setiap masa. Hindarkan diri daripada kepercayaan yang melemahkan. Program diri anda dengan santapan minda yang memberi rangsangan yang kuat ... serta gunakanlah teras kepercayaan diri untuk melakukan perubahan diri yang hebat.

"Setiap orang mempunyai keupayaan sebenarnya untuk melakukan apa yang telah oranglain lakukan dan lebih daripada itu. Sesetengah daripada individu akan melakukannya dan sesetengah lagi tidak. Bagi yang tidak melakukannya, ia disebabkan oeleh diri mereka sendiri yang menghalangnya. Bukan kerana dunia itu tidak membenarkannya."-Warren Buffet.

" Keunggulan kita yang teragung bukanlah kerana tidak pernah terjatuh tetapi bangun kembali setiap kali kita gagal." -Confucius.

" Nilai menjadikannya berbeza. Anda tidak boleh mewujudkan lebh masa, tetapi anda boleh menjadi lebih bernilai" -Jim Rohn (7 Strategies for wealth & happines)


" Makna kejayaan tidak sama kepada dua orang .... tetapi prosesnya tetap sama kepada sesiapa pun." -John.C.Maxwell

Buat anak-anak, kalian pasti tahu bahawa kita hanya bisa merancang sebaik mungkin, berusaha melaksanakan namun jaya atau tidak bukan kita menentukannya. Kadangkala kita lupa segalanya itu. Kita menangis ketika apa yang kita impikan tidak tercapai. Kita merintih apabila apa yang kita cintai diambil oleh orang lain. Kita mengeluh apabila usaha kita tidak mencapai apa yang kita matlamatkan.

Hidup kita ini bukan sentiasa indah... namun yang pahit dan menyakitkan menjadikan hidup kita indah dan menarik. Maka tidak seharusnya sedikit kegagalan dan sedikit ketidakpercayaan mengguggah hati dan keimanan kita dalam perjalanan yang pelbagai ragam ini. Maka belajarlah menerima hakikat dan redha dengan ketentuan yang ada... usah berputus asa, teruskan niat murni dan baik itu kerana ALLAH, dan hatimu akan menjadi tenang.