Isnin, Mei 17, 2010

KAGUMNYA MENDENGARNYA BERKATA-KATA...

Berburu ke padang datar,
tampak rusa belang kaki...
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi..

Dialah pemberi paling setia,
tiap akar ilmu miliknya
pelita dan lampu segala
untuk manusia sebelum dewasa..

Dia ibu dialah bapa juga sahabat
alur kesetiaan mengalirkan nasihat
pemimpin yang ditauliahkan segala umat
seribu tahun katanya menjadi hikmat...

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama' mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca...

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
menjadi kenangan ke akhir hayat..

USMAN AWANG
1979

Seorang temanku pernah berkata..." Tugasku memanusiakan manusia... menginsankan manusia, mengkamilkan insan.... membudimankan seseorang...."

Guru pernah mengajarku melalui serangkap pantun yang aku sandarkan usahaku ke arah itu... selaras dengan kata-kata temanku itu..

Pelbagai ungkapan yang berkaitan dengan kata-kata dan pantun di bawah ini... yang menjadi pengajaran buat aku dan mereka yang lainnya...


Di sana padi, di sini padi..
barulah boleh dipanggil bendang;
di sana budi di sini budi..
barulah boleh dipanggil seseorang'..

Maksudnya orang yang budiman.... Dalam susun atur kata-katanya pasti sekali mengandungi hikmah. Aku sentiasa kagum dengan ungkapan kata mereka yang bergelar budiman itu... Budiman daripada pelbagai aspek. Menyeluruh dan memberikan kekesanan dalam kehidupan mereka yang mendengarnya..
Pada usia muda, zaman kanak-kanak yang menggembirakan ... aku punya dia yang begitu menarik hatiku... Dia begitu arif dan petah berkata-kata... Dikisahkan olehnya kepada aku tentang Adam a.s, tentang keanggunan Yusuf a.s, tentang Isa al-masih dan banyak lagi. Aku begitu kagum. Dia begitu arif dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman... dan hidupnya sentiasa bersama kitab dan naskah suci al-quran. Waima ketika pergi memetik buah kopi dan koko, mulutnya tidak henti berkumat-kamit... kadang kala dia tetap bercerita.. tentang adat, tentang resam, tentang budaya, tentang akhlak... tentang rasa hormat, tentang kasih-sayang. Macam-macam lagi... semua. Dan aku membesar di sampingnya tidak pernah jemu mendengar dan belajar... Sesungguhnya aku kagum ketika dia mengungkapkan kata... mendengarnya berkata-kata. Dia tidak pernah jemu mengajar ku... pertama mengenal 'alif', 'ba'. 'ta' dan seterusnya memulakan bacaan itu, memulakan perbuatan itu.... memulakan segala sesuatu itu dengan bismillahirahmanirrahim.... semoga setiap apa yang kita lakukan itu ibadah dan berkat.

Tentu sekali setiap aku berasa bangga apabila dia berkata-kata, seperti mana aku bangga dan kagum apabila dia, bapaku berkata-kata... Ayatnya mudah, namun banyak yang tersirat.. Hidup bersama mereka yang pintar, tahu dan bijak berkata-kata, tentu menberikan aku bonus... namun aku tidak mewarisi kepetahan mereka berkata-kata dengan hebat itu...

Pada alam persekolahan awal aku pula, aku mengenali beberapa orang lagi yang apabila mereka berkata-kata, aku sangat kagum dan bertenang.. Biarpun aku tidak seperti mereka, tetapi aku yakin setiap kata yang mereka lafazkan berserta dengannya pentakrifan yang munasabah, berserta dengannya juga ilmu dan pengalaman yang banyak.. Cuma aku rasa bertuah, rasa kekaguman aku itu mendekatkan aku kepada mereka.. biarpun pada oranglain, pada pandangan sahabat-sahabatku... dia,dia, dan dia itu garang seperti singa lapar... mengaum sepanjang masa. Sedangkan aku sering ingin mendengar lagi, dan lagi ...kata-kata yang keluar dari mulut mereka... Terima kasih kerana sering memberi dendaan dan hukuman jika aku ingkar dan leka.. malas dan alpa... Omelan kalian kini menjadi aku seseorang. Walaupun tidak sehebat kalian dalam berkata-kata...

Pada zaman remaja aku ini, aku mengenali dia.... mengajar aku menyusun seni bunyi tepukan kompang ... prang, ding... prang, ding.. zikir yang dialunkan dari bibirnya, mengasyikkan... Namun bukan itu sahaja, kerana aku sebenarnya kagum setiap kali dia berkata-kata.... kata-katanya tersirat sesuatu yang bermakna dan tersirat ajaran yang tidak langsung... Dalam kata-katanya ada gurauan bernas dan nasihat berguna... Dalam sendanya dia selitkan kasih sayang dan pengertian...

Menginjak aku ke usia baru, aku mengenali banyak lagi mereka yang begitu aku kagumi... Dia sering 'menganiaya' aku pada asalnya.... namun akhirnya, aku sedar... dia banyak mendidikku berhati cekal dan berjiwa waja. Ada kalanya aku ingin sekali mengulangi masa itu... agar aku bisa mendengar dia berkata-kata, lembut namun mengesankan... tegas tetapi menenangkan..
Beralih hidupku ke dunia lebih mencabar... rupanya banyak dalam kalangan seusia aku ini yang bisa berkata-kata dengan ungkapan dan ilmu yang bernilai dan bernas... banyak sekali, termasuk dia yang aku anggap sebagai musuh untuk mencapai cita-cita aku menuju kecemerlangan. Yang jika ketika bersama aku dia akan terasa 'panas', 'rimas' dan seumpamanya. Itu katanya, bukan kata aku... biar aku jauh, aku pasti akan memerhati, mengikuti dan mendengar... setiap kali dia berkata-kata.. sama ada menunjukkan cara.. sama ada membicarakan tugas.. sama ada mengagihkan tanggungjawab... Dia punyai strategi, dia ada keistimewaan, dia ada keterampilan... sebagai pemimpin, terutama ketika dia berkata-kata.. Kagum aku mendengarnya setiap kali berkata-kata.

Berikutan masa berlalu dengan pantas, sekali lagi aku bertemu dia... sederhana, tenang, tekal, tegas dan taqwa... satu yang utama, setiapkali dia berkata-kata, sama ada dalam urusan rasmi atau sebaliknya... aku sering tertegun. Namun, mungkin sahaja dia tidak tahu. Menginjak dia ke pentas pembicaraan... isu-isu mudah, isu-isu berat, isu-isu panas... mahupun mengendalikan majlis, apatah menegaskan pendirian dan menyampaikan hujah dan nasihat... hatiku, mindaku ...emosiku tertumpu kepada dia. Kagum aku dengan pertuturannya. Tentu sekali dia seorang pemimpin yang hebat... bukan sahaja bicara pasti beralasan bernas. Malah setiap kata-kata yang keluar ada aturan rigid daripada ilmu dalam mindanya... Itulah telahan aku ini. Doa aku akan sentiasa mengiringi dia... jika aku berpaling dari melihatnya berkata-kata... sepasang telinga ini akan sentiasa pula mendengar bicaranya...
Kata dia, jika ingin berilmu... bacalah sesuatu, setiap masa... jangan dilupa, ilmu sentiasa ada... Kata dia, dia lebih suka menulis , mencatat dan berdiri di sebalik tabir untuk apa sahaja tugasan.. Namun aku tahu dia pasti sedar.... dia lebih hebat jika berkata-kata....
kerana dia pembaca yang setia...
kerana dia pendengar yang tekun..
kerana dia pemerhati yang teliti...
bukan hanya dalam bidangnya..
tetapi selagi ada dan termampu olehnya...
Dia tentu sekali pemberi pendapat yang berguna..
Pada usia muda, bukan ukuran kehebatan seseorang...
Usia bukan ukuran...apatah lagi jika ilmu yang disandar...
Satu hal yang dia tidak sedar...
bukan hanya aku, malah banyak yang lain
akan KAGUM MENDENGARNYA BERKATA-KATA.

Maka dengan catatan ini, semua mereka itu ingin aku dedikasikan ucapan "Selamat Hari Guru"... sama ada guru atas pengiktirafan umum, mahupun guru pada tanggapan aku...
Kini gelaran itu turut aku sandang... semoga jika tidak dikagumi segala bicara, akan ada juga yang tersemat di jiwa.... semoga ada yang menjadi pengajaran dan dijadikan tauladan... biar sedikit daripada tiada... Insyaallah.

Selasa, Mei 11, 2010

TATKALA RENTAK DEBARAN TERASA ANEH

Inilah bicara ku kali ini... Tatkala rentak debaranku terasa aneh....

Mungkin suatu yang tidak memberi erti kepada orang lain... namun bagi aku situasi itu membawa makna...

Baru sahaja berlalu sambutan Hari Ibu yang rasmi disambut oleh semua orang, mungkin ..pada 9Mei, setiap tahun... Biarpun bagi aku, hanya dia tempat aku mencurahkan segala bakti selagi hayatku masih dan hayatnya masih ada.. Tidak juga aku, dia atau sesiapa sahaja yang tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.. maka selagi ada hayat ini, aku cuba sebaik mungkin untuk menggunakan masa dan keluangan yang ada untuk ibu...

Hari ini 17 Mei, aku menyambung catatan di atas yang hanya sempat aku catat sebanyak itu sahaja... kebetulan hanya setakat itulah keluangan masa yang aku ada untuk mencatat. Aku punyai sedikit masa hari ini untuk mencatat... semoga masa ini cukup untuk aku perkatakan apa yang aku alami ini...

Tatkala rentak debaran dalam dada aku terasa aneh... Suatu masa dahulu jika itu berlaku.. aku tahu kepada siapa yang perlu aku tuju selain daripada ahli keluarga.. Kerana rentak debaran aku itu memang berkaitan rapat dengan tautan naluri dan hati aku ini. Aku sedar semua itu sudah berlalu... dan aku redha dengan segala yang berlaku.

Namun ketika ini rentak debaran yang aneh itu datang lagi... Entah atas alasan apa. Cuma ketika ini, sedang catatan ini aku paparkan...hati ini sudah kembali tenang cuma ada sedikit kesayuan yang tersayat ; yang tidak aku ketahui dari manakah hadirnya. Mungkin disebabkan beberapa perkara yang berlaku, yang sebenarnya tidak aku tahu kebenarannya.

Aku kini berasa kegusaran dengan beberapa perkara... Beberapa minggu sebelum ini , aku berasa mual-mual, sering sahaja muntah-muntah seperti orang hamil layaknya. Kerja gila, aku bertanya kepada banyak kenalan aku tentang mereka, adakah antara mereka yang hamil atau adakah antara isteri-isteri mereka itu pula yang hamil...dan aku hampa. Sehingga suatu ketika pula seorang teman bergurau, dan tersilap sangkaan aku bahawa isterinya hamil.... namun rasa mual, kemabukan 'morning sick' dan rasa loya itu masih ada... Sahabat itu menafikannya.. Namun aku pasti tentu ada dalam kalangan mereka yang agak rapat atau yang ada tautan hati dengan aku, akan menerima 'orang baru' dalam hidup mereka... Alhamdullillah jika itu benar! Jika tidak, mungkin ada 'kebahagiaan' yang kan muncul dalam hidup seseorang antara kami.

Akan tetapi hari ini ada kesedihan dalam hati ini, yang hadir dalam hati ini tiba-tiba... menyebabkan aku teringatkan seseorang.. Aku berasa mungkin ada yang telah 'kehilangan orang baru' itu... memandangkan pada hari jumaat yang lalu aku menanggung kesakitan yang aku kira keterlaluan.. sehingga aku tidak mampu untuk melakukan sebarang kerja berakibatkan kesakitan itu... Dan, aku juga kira... sekiranya kesakitan sebegitulah yang dialami oleh para ibu.. Allah pasti telah menyediakan kekuatan yang luarbiasa dalam jiwa setiap ibu... maka sebab itulah sabda Rasullullah SAW, seorang ibu itu perlu ditaati tiga kali berbanding seorang bapa...
DIA belum memberikan aku peluang menjadi seorang ibu, dan jika kesakitan sebegitulah waima ketika seorang ibu itu keguguran, pastinya akan lebih lagi apabila seorang ibu itu melahirkan...


Rezeki itu telah berlalu... Sahabat, jika benar itulah yang berlaku kepada mu.. Aku hanya mampu mendoakan dikau dan pasangan bersabar menghadapi dugaan itu. Mungkin ada hikmah di sebalik segalanya itu... DIA akan memberikan yang lebih baik, insyaALLAH. Dan akan ada lagi rezeki itu menjengah kalian lagi... Aku akan sentiasa mendoakan kalian.. Biarpun tiada aku di hati kalian lagi, aku tetap akan 'bersama' kalian sekiranya termampu.

Bukan semua aspek kehidupan itu dapat kita rancang dan laksanakan seperti apa yang kita harapkan. Jika ia sesuatu yang tidak baik untuk kita, mungkin segalanya tidak seperti dirancang, atau akan tertangguh. Aku pernah mendengar kata-kata bahawa kitalah yang menentukan apa yang akan kita perolehi...
Mungkin ia satu motivasi atau pendorong semangat yang baik untuk mereka yang berfikiran negatif agar boleh berfikir secara rasional...
Sepertimana kata-kata "jika kau kata kau boleh.... kau pasti boleh melakukan" yang menjadi perangsang kejayaan seseorang... Hakikatnya, mendapat atau menjadi apa yang kita harapkan tidaklah semudah mengungkapkan kata-kata itu... Sehebat manapun kita di dunia ini, tidak dengan izinNYA segala tidak akan berlaku. Janganlah kita lupa akan ketentuan itu... Itulah iman kita, percayakan qada' dan qadar...
Perbuatan baik hari ini, adakala dibalas baik hari ini juga.... namun tidak kurang mendapat balasan buruk.... tetapi akhirnya akan ada banyak kebaikan di sebalik semua itu.... Perbuatan jahat dan khianat juga sama... Ada kala yang berbuat jahat dan khianat itu akan mendapat balasan baik ketika itu... Hanya mereka yang mengetahui dan hikmah sahaja mengetahui.

Sahabat, ada kala kita berasa kita akan boleh menghadapi apa sahaja kemungkinan... tetapi apabila ketika itu tiba, kita seolah-olah tewas dan gagal... maka dengan keimanan dan kekuatan taqwa di hatimu itulah yang akan membuatkanmu lebih kuat..
Maaf, jika aku tersalah duga... cuma hatiku kuat mengatakan rentak debaran aneh yang berlaku dalam dada ku ini masih kuat kaitannya dengan dirimu... Dan, aku sentiasa ingat kamu, terutama 'pengorbanan' dalam menentukan perjalanan hidup kita agar semuanya berjalan lancar... InsyaALLAH, masih ada kasih dan ihsan dalam hati ini, terutama buatmu sahabat yang amat aku kasihi...

Aku terfikir juga, jika kehilangan kandungan sesakit yang aku alami itu... maka sakit melahirkan akan menjadikan naluri keibuan itu semakin kuat dan akrab. Pastinya tautan hati ibu dan anak yang begitu suci terjalin setiap saat menanti kelahiran... Namun mengapa ada yang begitu tega untuk membuang anak atau bayi sesuka hati setelah menanggung kesakitan yang sebegitu perit...
Banyak antara mereka yang menginginkan cahaya mata tidak berpeluang untuk itu.. seperti aku ini.. tetapi mereka tergamak membunuh bayi yang tidak berdosa setelah bersusah payah melahirkannya...
Bersyukur aku, sekurang-kurang masih ada anak-anak tempat aku menumpang kasih sayang dan perhatian... Tiada akan terasa sedikit kesedihan waima ketika mereka menangis kerana meronta-ronta dan menimbulkan rasa kesakitan kepada kita... malah setiap satu sentuhan itu menambah benih kasih dan mencambah sayang sesama kita...

Aku ingin sekali melihatmu, apatah lagi apabila rentak debaran terasa aneh dan amat aneh.. berpanjangan dan berterusan... dan ketika malamku sering dikejutkan pada ketika dan saat yang sama setiap malam... mungkin sepatutnya ketika itu tahajjud mu kepada DIA menyebabkan aku terjaga... Aku tidak bisa untuk menjelaskan semua di sini... namun dengan segala kerendahan hati ini, aku bermohon kepadaNYA semoga apa yang terbaik untukmu akan dipermudahkan setiap masa dan ketika... Sudah setahun berlalu, semuanya dalam keadaan baik dan lancar... aku berasa gembira kerana itu dan aku berharap tahun-tahun yang mendatang akan lebih baik buatmu...

Cukuplah catatan aku tentang tajuk yang aku pilih kali ini... semoga catatan ini akan melenyapkan rentak debaran pelik itu.... seterusnya.