Selasa, Oktober 18, 2011

AKU BERSYUKUR KERANA AKU MASIH INGAT PADAMU...

Alhamdullillah, hari ini boleh mencatat lagi. Tidak ambil masa yang panjang pun sebenarnya. Penat sudah berfikir dan mengatur jadual dan takwim untuk tahun hadapan. Belum siap sepenuhnya kerana kepala sudah berdenyut-denyut tidak dapat berfikir lagi untuk hari ini. Cukuplah tugas itu, lagipun jam sudah menunjukkan ke angka lima petang. Cukuplah untuk hari ini. Rasanya beberapa hal dan tugas sudah aku selesaikan hari ini. Maksudnya sudah ada hasil dari tugasku untuk hari ini, alhamdullillah.
     Dalam catatan hari ini, aku muatkan gambar yang aku ambil dan rakamkan. Pada aku semua gambar ini cantik. Namun cantik itu sesuatu yang abstrak. Berbeza bagi setiap orang. Apapun aku sangat menghargainya, mungkin kerana ini adalah hasil kerjaku sendiri. Biarlah tiada siapa yang akan menghargai, asal aku berpuashati dengan segala apa yang aku lakukan. Setiap kali melihat gambaran yang terlakar di dada langit ini, aku sangat gembira dan senang dan ada juga kalanya aku merasakan kesayuan yang tidak terduga. Lakaran di dada langit yang kadang kala membawa 'berita' dan cerita-cerita sayu dan menghibakan.  Biarlah jika hanya aku yang mengerti.

     Kesakitan yang aku alami masih bersisa dan semalam aku terasa sakit seperti mengangkat benda berat namun hari ini telah berkurangan. Cuma apabila aku hendak bangun dari duduk yang lama, pinggang dan bahagian belikat kiri tetap terasa kesakitan. Begitu juga ketika menunaikan solat. Payahnya aku untuk bangun. Waktu Isyak semalam, ketika solat tiba-tiba kesakitan datang tiba-tiba. Masa itu sudah rakaat kedua, maka rakaat seterusnya aku hanya bersolat duduk. Entah bila kesakitan ini akan terus berkurangan. Malam Isnin semalam aku sudah mengurut diri sendiri (Bagaimana hendak urut diri terutama bahagian yang diurut di bahagian belakang badan?). Ada caraku dan kesakitan itu mengurang sedikit.

      Cuma ada sedikit lucu dalam kisah ini, sebab semalam aku mendapat khabar suami seorang rakan jatuh dan berasa sakit sehingga berjalan dengan bertongkat.  Ooops, mana silapnya ini? Berdebar-debar aku mendengar kisah sebabak itu. Betulkah, soal hatiku... Biar betul!!! Aku rasa gusarlah juga. Memang si isteri, kawan aku itu agak rapat denganku namun masakan aku hendak berkongsi rasa pula dengan suaminya. Ampun!!! mesti ada silap di mana-mana ini. Hish, aku kena bermadukah dengan kawan aku itu. Tidak, tidak, tidak!

        Aku mencari jalan untuk mengetahui cerita sebenar. Kebetulan kawan itu bertembung dengan aku. Tanpa berlengah aku menahannya untuk bertanya khabar suaminya (Hendak jadi madu lah kira-kiranya, hehehe). Dalam hati aku sahaja tahu apa niatku.. sekarang kalian juga tahu. Apabila kawan ini bercerita, sebenarnya suaminya itu sudah jatuh lama dulu.. tapi kebetulan pada hari Khamis itu dia terasa sakit pinggang dan kaki... sebelah kiri itu! Saspen betul aku. Katanya, suaminya sudah okay. Dan kesakitan itu sudah dialami, datang-datang katanya. Ceh, aku pun mengucapkan takziah dan mendoakan semoga suaminya cepat sembuh.. (Bab doa itu memang ikhlas).

        Berganda-ganda saspen berlaku pada aku sejak akhir-akhir ini. Macammanalah kalau semua berlaku itu sama dengan apa yang sedang aku alami ini? Memanglah haru... mujur aku tidak berkongsi 'kisah' ini dengan sesiapa di luar ruang  catatan ini. Kecuali jika ada rakan-rakanku yang membaca catatan ini, serta tahu cerita aku dan kawan aku itu, pasti mereka akan dapat menjangka. Malulah aku kan. Kesimpulannya, bukan suami kawan aku itu yang berkongsi dengan aku ini.

    Dan, yang jelas aku masih terasa sakit tetapi suami kawan aku itu sudah stabil dan okay. Isterinya itu sudah mengesahkannya.

    Satu lagi, ada kawan aku yang mengatakan dirinya sudah mengandung... dan aku macam tidak ada alahan dan mabuk-mabuk macam selalu. Cuma aku asyik teringin hendak makan sesuatu dan asyik hendak makan sahaja. Tidak mengapalah rasanya kalau aku mendapat tanda macam ini daripada asyik muntah sahaja...menyesakkan dada sahaja.

    Jika berterusan begitu, alhamdullillah 'penyakit' yang satu itu sudah terhindar dariku. Mungkin sudah sampai masanya untuk aku mabuk-mabuk untuk diri sendiri atau yang lebih baik sekiranya tiada langsung alahan. Heee, aku suka... hamil dengan tiada  masalah seperti itu. Ada aura yang baru dalam hati ini. 
     Namun tetap juga aku risau jika tidak aku ketahui siapa yang berkongsi sakit denganku ini. Ya Allah, berikan tanda atau isyarat agar aku mudah untuk mengenalpasti situasi aku yang sebenar sekarang ini.

       Sebenarnya aku sangat berharap, aku berkongsi sakit ini dengan orang yang menjadi pilihanku sekarang. Cuma aku tidak boleh mendesaklah pula. Entah kenapa aku terlalu sukar menjejaki. Entah kenapa dia merajuk dengan aku ini. Semoga akan ada jalan yang baik untuk kami. Hanya dia aku harapkan akan berkongsi rasa denganku. 
Agak sukar untuk menjejakinya ketika ini. Tiada orang yang dapat mencarinya. Entah kenapa dia berjauh hati dengannku. Aku hanya manusia biasa yang tidak mampu untuk menilai hati seseorang. Hanya akan mengetahuinya jika dia meminta, memberitahuku ini.

      Kisah ini tidak ada kalangan mereka yang sedar, sebab dia tidak obses pun untuk menguar-uarkan kisah kami ini. Begitu juga aku sendiri. Malu! Malu hendak menjelaskan keadaan aku ketika ini.

      Esok pula, hari ulangtahun kelahiran seorang lagi dia yang ada di utara itu. Wajarkah aku untuk mengucapkan doa dan harapan aku kepadanya.. bukan perasaanku. Hal ini kerana perasaanku ini tidak boleh dipaksa-paksa dan hatiku ini sudah ada pada dia yang satu lagi.

        Akan aku biarkan dia itu mencari jawapan atas kekeliruannya itu. Semoga dia dapat mencarinya dan akan kembali kepada aku. Namun aku redha jika dia tidak mahu meneruskan denganku. Dia berhak berbuat demikian. Kelukaan hatinya itu perlu dia ubati dahulu sebelum menerima aku dalam hidupnya. Mahupun sebelum dia menerima orang lain untuk berkongsi dengannya. Semoga Allah akan memberikan yang terbaik untuk aku dan dia.
   Jika aku diizinkan bersamanya, aku akan cuba untuk membahagiakannya dan membahagiakan diriku sendiri. Aku juga ingin merasakan kemanisan cinta selepas berkahwin seperti apa yang diperkatakan 'Abid  ketika waktu dahulu dan sekarang. Walaupun hidup aku dan dia tidak baik sewaktu dulu, dan menjadikan hubungan kami dingin ketika ini, aku yakin apabila Allah menemukan aku semula dengannya tentu ada hikmah di sebalik itu semua.

        Kita sebagai manusia itu tidak akan lari daripada masalah. Jika dia ketika ini menghadapi masalah, aku doakan dia akan dapat menyelesaikan masalah itu dengan sebaik mungkin. Semoga setelah selesai segala kesukaran itu, dia akan kembali kepadaku. Mungkinkah tindakannya itu kerana dia tidak mahu untuk memberikan peluang aku berkongsi dengannya. Mungkin dia tidak mahu aku susah. Mungkinkah? Setiap masa minda dan hatiku ini mencari jawapan ke manakah dia menghilang tiba-tiba? Tanpa khabar dan tanpa pamitan. Dan aku tercari-cari dia.
  Namun aku sedar, bahawa jika ada rindu dalam hati aku ketika ini dan mungkin kasih akan dia juga... semoga rindu dan rasa kasih itu tidak melebihi cinta, kasih dan rinduku kepada Maha Pencipta. Dan semoga akan ada jalan untuk kami yang membawa kami beriringan menyelusuri syurga dunia dengan segala reda dan berkah dari DIA yang Maha Pengasih dan Penyayang.  Semoga masih ada rasa kasih, sayang dan cinta antara aku dan dia. Walau di manapun dia berada ketika ini, aku berharap sangat dia akan membaca catatan ini. Semoga dia tahu kebimbangan dan keresahanku ini. Semoga dia sedar aku mengingatinya. Semoga dia tahu aku berasa kehilangan dia... secara tiba-tiba. Semoga dia ada jawapan yang paling baik buat aku untuk memahami segala tindakanku ini. Aku akan menanti saat itu datang dan akan cuba menjadi pendengar yang baik. Semoga segala kepayahan dan kesakitan yang dikau alami sekiranya ada akan dapat dikau lalui dan akan sembuh. Namun jika belum ada penyelesaiannya dan dikau ingin kembali ketika ini, aku akan menerimamu dengan hati yang terbuka. Aku akan cuba menjadi yang terbaik di sisimu...namun dengan batasan yang sepatutnya aku jaga. Aku yakin dikau sangat memahamiku dengan jelas...Kembalilah, usah pergi terlalu jauh...

Ahad, Oktober 16, 2011

SAKITNYA.... Masih terasa!! Kenapa sebenarnya??

Hari ini hari minggu/ahad. Hari untuk berehat dan bersantai melepaskan lelah seminggu bekerja untuk bersama keluarga. 
Sebenarnya aku ingin mencatat dalam ruangan ini semalam lagi, namun talian internet tidak begitu baik. Malamnya pula ada jamuan keraian sedikit. Keletihan sepanjang hari menjadikan aku malas pula untuk meneruskan agenda mencatat di halaman ini. Dan aku juga sebenarnya mempunyai beberapa tugasan yang perlu aku siapkan segera.
 Gambar-gambar dalam catatan kali ini merupakan album pertama aku sejak aku berminat merakamkan keindahan di langit sejak dua tahun lalu. Gambar yang mungkin kurang menarik dari lensa kamera digitalku yang sudah menjangkau usia lima tahun, tahun ini. Kamera yang sudah merakamkan pelbagai cerita kaku dan cerita bentuk video pendek yang memberikan aku sedikit keselesaan menjalani hidup dan penyelesaian berkaitan tugas dan tanggungjawab aku ini. Kamera yang kadangkala membuat aku menempah bahaya, merakamkan gambar ketika memandu, dan kadangkala membuat aku begitu leka sehingga terlupa masalah yang terbeban di minda seketika.
    Namun aku tidak mahu mencatat tentang kamera ini. Aku hanya akan mencatat tentang  tajuk hari ini.  Aku sendiri tidak mengerti apa berlaku sebenarnya kepada aku.  Sebahagian badanku dan pada bahagian-bahagian tertentu amat sakit dan menyukarkan aku untuk bergerak namun kugagahi juga agar aku tetap dapat menjalani hari-hariku dengan baik dan dapat melaksanakan tugas sesempurna mungkin. Jika ditanya mengapa boleh aku seperti ini sekarang aku tiada jawapan untuk itu. Jika boleh aku sendiri inginkan jawapan untuk kesakitan yang sedang aku alami ketika ini.  Sesuatu yang mungkin tidak dialami oleh orang lain. Sesuatu yang pelik dan mengelirukan.
         Dulu ketika aku sakit, atau mengalami suatu perasaan pelik dalam hati ini aku pasti akan bertanya kepada ZAK tentang dirinya. Memang pula secara kebetulan, kesakitan aku itu adalah bersebab musabab daripada kesakitan yang dia alami.  Pasti mengelirukann bukan? Aku terasa sakit badanku seperti terjatuh. Oleh sebab semua keluarga sudah aku tanyai, maka akhirnya ZAK lah yang aku tanyai. Maka jawapannya ketika itu ialah dia baru tergelincir di tempat wuduk dan sebahagian kanannya sakit terutama di bahagian bahu. Dia kata tidak tahu bagaimana dia boleh tergelincir, sedangkan dia sudah berhati-hati. Lalu ZAK bertanyakan aku kenapa?
        Aku jawab yang aku terasa sakit di bahagian kananku, tiada sebab dan tidak tahu kenapa aku berasa tidak selesa sehingga di fikiranku terlintas kepada ZAK ketika itu. Tetapi akhirnya aku berbohong mengatakan aku terlanggar dinding, mungkin itu menyebabkan aku rasa sakit. 
       Aku rasa hidup aku memang misterilah sedikit. Sejak aku tahu tautan hati aku itu agak rapat dengannya, aku sentiasa berwaspada juga. Tidak adil kan, dia tidak pula merasai apa yang aku rasai ini.
      Tambah menyukarkan apabila aku akan dapat mengenalpasti tindakan ZAK dengan gerak naluriku ini. Sehingga suatu masa ZAK berasa sakit hati kerana pergerakannya seperti aku kawal. Mana mungkinkan, aku berada jauh berpuluh-puluh kilometer darinya tetapi aku bisa mengongkongnya. Aku tidak mengongkongnya cuma aku silap ketika aku dalam keadaan itu, aku sering pula menelefonnya bertanya itu dan ini.. bukan yang pelik, cuma bertanyakan khabar tentang dirinya sahaja. Dan kebetulan pula, ketika aku menelefon itu dia baru berhubung dengan seseorang wanita lain. Aku tidak mengkatogerikan dia sebagai curang, namun itulah masalahnya, apabila dia hendak lebih rapat dengan wanita lain, aku pasti dapat menghidunya. Waktu itu juga sebenarnya aku sudah mencari-cari apakah sebenarnya keadaan ini, dan sehingga kini tidak dapat aku cari jawapannya yang sebenar. Dengan ertikata lain, tiada suatu jawapan yang bernas dapat aku jadikan pegangan mengatasi masalah ini.
         Kini aku dan ZAK hanya berkawan biasa. Sejak dia berkahwin terputuslah juga resa atau gerak naluri yang menghubungkan kami. Tiada apa-apa kesan yang masih tertinggal dalam hidupku ini. Dan aku dengan seikhlas hari melepaskannya mencari hidupnya sendiri. Sebenarnya tidak ada istilah cinta pertema dalam hidupku ini. Bagiku ZAK mungkin pertama hadir dalam hidupku sebagai kekasih, namun aku menemui banyak lagi cinta lain selepasnya. Orang kata cinta pertama akan diingati selamanya. Sebab itulah seorang lelaki itu akan menganggap wanita yang pernah memiliki cinta pertamanya tidak akan dapat mencintai orang seterusnya sepenuhnya. Satu jangkaan yang kurang tepat aku rasakan. Antara sebabnya adalah aku sendiri, aku punyai banyak cinta selepas cinta pertamaku... dan ada cinta yang jauh lebih baik daripada cinta pertamaku itu.
       Kali kedua aku alami keadaan ini, ketika aku mencinta seorang dia yang aku panggil 'Abid R' yang aku berikan buat dia sebagai doaku untuk seorang lelaki yang berwawasan dan bercita-cita tinggi dalam mendukung hasrat murni menjadi seorang yang beriman, kuat ibadah dan bertaqwa. Namun itu hanya panggilanku buatnya, tiada siapa yang jelas dengan semua itu. Namun panggilan itu sudah lama tidak aku sebut sama ada kepadanya mahupun sesiapa sahaja di sekelilingnya.  Panggilan itu akan sentiasa ada dalam hatiku. Terutama sewaktu-waktu aku sedih dan sewaktu-waktu aku 'berbicara' sendiri tentang dia. Kesakitan, kesedihan, kegembiraan yang hadir tanpa sebab pada diriku ini selalu sahaja berkebetulan dengan diri 'Abid. Dan ada ketikanya kini, apabila aku tidak berpuashati dengan sesuatu perkara, aku akan membisikkan bersama doa dalam hati ini: 'Abid, mengapa......., sepatutnya......... dan usahlah dikau...............' Itu sahaja yang bisa aku lakukan.
        Selain cara atau kaedah yang sedang aku lakukan sekarang. Dulu aku bisa menegur, menasihati, mengongsikan segala perasaan dan keresahanku melalui sistem pesanan ringkas, namun demi menunaikan janjiku kepadanya... maka kini aku hanya bisa berbisik kepadanya dan melalui cara ini aku juga terus memujuk hati ini reda dengan ketentuan Illahi. Aku sudah melepaskannya mengecapi kebahagiaannya dan aku akan terus mendoakannya sepanjang hidupnya.
        Seperti ZAK aku kira, aku akan mengalami kesakita, kesedihan dan apa sahaja kesakitan atau emosi yang berkaitan datang dari 'Abid. Mungkin jangkaan salah atau bodoh.. ada kalanya apabila aku terasa terlalu sakit kepala seperti menghadapi tekanan dalam tugas,sedangkan pada masa yang sama aku sedang bersenang-lenang dan berehat dan aku akan menjangkakan itu datang dari kesakitan 'Abid..
        Akan aku kirim sms, memintanya berhenti melakukan tanggungjawab itu dan berehat. Aku akan mengurut kepalaku dan apabila beberapa waktu, sakit itu akan hilang.  Begitu juga ketika aku tiba-tiba akan berasa sedih pada saat aku gembira, atau berasa berdebar-debar pada saat aku sedang sangat tenang.. akan aku hantar sms untuk mendekatinya dan menasihatinya, atau menuduh melulu serta memintanya melepaskan keresahan itu agar tidak berkait denganku. Sejurus sms aku hantar, keadaan biasanya akan tenang.
      Adakalanya aku seakan-akan terasa cemburu, takut, bimbang seakan-akan ada yang begitu curiga, dan aku pula tidak dalam keadaan yang sama..maka aku akan sms 'Abid memaklumkan aku tidak ada apa agenda dan seumpamanya, aku tidak bertemu lelaki lain atau tidak akan ada sesiapa yang buat aku terpikat atau seumpamanya, maka tidak lama dari sms itu dihantar, hati ini menjadi tenang semula. Sebenarnya mungkin kebetulan, tetapi yang pasti kelainan rasa itu hanya akan ada antara aku dan ZAK, buat kali pertama... dan antara aku dan 'Abid, buat kali kedua. Selain dua mukmin ini, tiada sesiapa pun akan 'berkongsi' rasa denganku.

      NAMUN, buat masa ini aku mengalami satu kesakitan yang sukar juga untuk aku gambarkan dan sukar juga untuk aku kaitkan dengan sesiapa. Entah kenapa sedang aku berbengkel dan bertaklimat dengan rakan-rakan sekerja, tiba-tiba aku berasa amat sakit di bahagian pinggulku dan  pinggang. Agak menghairankan kerana duduk di kerusi yang boleh dikatakan empuklah juga, dalam keselesaan pendingin hawa yang menyamankan itu, tiba-tiba aku terasa sakit seperti jatuh terduduk dan terhentak. Apabila aku luahkan kepada kawan di sebelah diketawakan pula aku. Dan sebermula itu, badan aku sebelah kiri ini pula terasa sakit. Memang benar-benar yang menyakitkan. Semua ahli keluarga tidak mengalami sintom yang aku alami ini, maknanya bukan daripada kalangan keluarga yang mengalami kemalangan atau kesakitan itu. Dan hingga hari ini, badanku terasa sakit akibat kesan 'jatuh' yang terhentak itu.  Apabila aku hendak bangun daripada tidur pagiku, aku amat sukar untuk berdiri dan badanku masih sakit di seluruh badan. 
            Aku berkira-kira siapakah antara beberapa orang yang sedang mendampingiku, cuba mendampingiku dan bercadang-cadang mendampingku yang mengalami kesakitan berganda daripada kesakitan yang aku alami ini. Aku tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya tidak mengetahui siapakah selepas dua orang lelaki dalam hidupku yang lalu itu, akan menjadi sebegini rapat denganku sehingga belum ada apa-apa ikatan ketika ini aku sudah merasai perkongsian ini. Pastinya hasratnya agak tulus dan benar-benar ingin berkongsi denganku. Hanya apabila hatiku ini mengizinkan sahaja, maka aku akan merasai sedikit perkongsian sedemikian. Aduhai, susah untuk aku membantunya jika aku tidak mengetahui siapa gerangannya.
      Mungkinkah antara dua orang insan yang sedang merajuk kepadaku ketika ini.. atau mungkin orang lain. Ya Allah, permudahkanlah aku mengenalpasti gerangan orang yang dekat hatinya dengan ku ini. Aku boleh membantu mengubatinya namun aku juga khuatir usaha itu tidak berjaya malah memudaratkan kehidupan kami berdua.
     Ya Allah sampaikanlah perkhabaran itu kepadaku ini. Semoga segala urusan antara kami akan seterusnya lebih mudah lagi. Jika ada yang mengalaminya dan sukar untuk mendekati dan berterus terang, kuatkanlah hatinya untuk kebaikan dirinya. Dan aku sendiri rasanya tidak mampu untuk menanggung semua ini tanpa mengetahui gerangan siapa yang berkongsi sakit denganku ini.
         Setiap kali membaca catatanku ini, mungkin ada yang tertanya-tanya kepelikan diriku ini. Ada yang bertanya sama ada aku punyai saka keturunan atau seumpamanya.. Dan jawabnya tidak. Tidak secara jelasnya aku sedar bahawa aku tidak mempunyai apa-apa kelebihan mahupun tidak juga apa-apa hubungan dengan makhluk-makhluk seperti jin dan seumpamanya itu. Aku cuma yakin bahawa itu adalah keadaan aku yang diberikan oleh ALLAH sedikit kepelikan berbanding orang lain. Jika hatiku reda, aku akan lebih mudah 'berkongsi' sesuatu dengan sesiapa sahaja. Ada seorang rakan sangat pantang apabila aku berkata dia pasti mengandung lagi, sedangkan dia sudah tidak mahu mengandung lagi.. sehingga kadang kala dia menutup mulutku agar tiada kata-kata seumpama doa boleh keluar daripada mulutku ini. Katanya mulutku ini 'masin'. Ya, mungkin kadang-kadang, tapi aku masih menafikan kebenaran itu sehingga kini. 
         Namun sememangnya jika hatiku terluka dan akhirnya melahirkan suatu kata-kata, segala yang aku ungkapkan akan tertunai dan terlaksana. Cuma pada aku, doa itu dimakbulkan kerana ketika itu aku adalah golongan orang teraniaya. Maka lebih cepat segala apa yang keluar daripada mulut ini dimakbulkan ALLAH.
         
Dan jika sesuatu itu berdetik dalam hatiku ini berserta kata-kata yang keluar daripada mulut ini juga akan dimakbulkan ALLAH, mungkin itu secara kebetulan.  Selagi tiada doa dan kata yang seiringan terluah di bibirku dan di mulutku  serentak, maka tiadalah menjadi sesuatu ini.. maksudnya kemasinan mulutku itu dinafikan.  Hmmm... semua itu mungkin kerana di bibirku ini jika tiada ada agenda yang ingin aku perkatakan, hanya akan ada ucapan "Subhanallah walhamdullillah walailahaillallah wallahu akbar...Walahaulawala quwataillah billahi alilazim...", dan Allah sering memberiku ingat, ketika aku leka dan alpa...
          Maka dengan ingatan yang diberikan kepada aku ini, aku bermohon dan berdoa... sesiapa pun dia yang sedang menderita sakit kesan daripada jatuh atau seumpamanya ketika ini, semoga akan sembuh dan dapat menjalani hidup seperti biasa. Dan aku akan cuba mengusahakan sesuatu agar kesakitan itu berkurangan, kerana mungkin ketika ini 'dia' tidak mempunyai masa untuk mengubati kesakitannya ini. Aku mendoakan juga segalanya dalam keadaan sempurna ibadah dan mendapat haji yang mabrur, insyaallah.  Aku sering merasakan 'dia' sedang mengingatiku dan aku juga selalu terdesak, seakan-akan 'dia' sedang selalu menyebutku.  "Semoga Allah juga akan menyebutmu, ketika kau menyebutku.."

Selasa, Oktober 11, 2011

ENTAH MENGAPA INGATAN KEPADANYA MENGGAMIT RASA???

  Gingerbread

Kucari Damai Di Hati

Mengapa kau tergamak sungguh
Memperdaya harapan ini
Tunas kasih yang aku semai
Racun berbisa yang kau sirami

Beginikah balasan cinta
Manis kata di bibir saja
Lembut lidah mengukir janji
Segunung mimpi berkecai kini

Sesalan tidak terucap
Bila kau berubah sikap
Ku sedar siapa diri ku
Kau buat tempat berteduh


Semoga engkau bahagia
Di samping kekasih baru
Andainya engkau kecewa
Janganlah kau cari aku

Biar saja aku sendiri
Yang mencari damai di hati
Airmata basah di pipi
Tak mungkin dapat membasuh luka


Dulu Dan Sekarang

Dulu engkau menyayangi diriku ini
Apa saja yang ku buat kau senangi
Bagimu akulah cahaya hidup
Menjadi penerang kegelapan mu


Engkau puja dan kau sanjung diriku ini
Tidak pernah kau menyinggung perasaaan ku
Hatiku kau belai bagai permata
Kau rela bersama dalam derita

Tapi kini engkau dah mula berubah
Tiada lagi mesra terhadapku
Mujur aku sedar tak lemas tenggelam
Dilautan madu yang beracun


Apabila kini diriku engkau benci
Apa saja yang ku buat salah belaka
Tiada lagi madah dan pujuk rayu
Hanyalah perpisahan yang kau pinta




 Lyrics to Kini Baru Kau Sedar:
Waktu engkau meninggalkan diriku
Kau sungguh bergaya dan amat berbangga
Dengan pemuda itu yang kau sanjung selalu
Kononnya dialah pilihan yang sesuai untukmu

Engkau cerca dan kau hina diriku
Namaku kau lupa dari ingatanmu
Seolah-olah aku tak pernah engkau kenal dulu
Harapan ku turut berkubur impian ku hancur lebur

Hidupmu bahgia disamping pasanganmu
Diriku yang menderita oleh perbuatanmu

Memang adat resam di dunia ini
Tiap perbuatan ada balasanya
Ku terima berita yang engkau kini menyesal
Jiwa tersiksa dan merana ditinggalkan sidia

Kini barulah kau mula menyedari
Permata yang kau miliki bukan permata asli

Engkau datang dengan rintihan pilu
Kau ingin kembali bersama ku lagi
Tiada guna kau rayu hatiku kini masih sayu
Mengenangkan sikapmu dulu yang menyiksakan batinku
Aku memulakan catatan kali ini dengan lirik tiga buah lagu yang menggamit rasa. Lagu ini aku terima dari seorang yang bernama MPz yang ditujukan untukku pada suatu masa dahulu ketika dia masuk pertandingan menyanyi kerana dicabar oleh rakan-rakannya.


         Semalam ketika memandu, dua lagu ini berkumandang di corong radio. Entah mengapa airmataku bergenang di kelopak mata dan akhir menitis juga ke pipi. Alangkah hiba terasa dalam hatiku ini. Sejak akhir-akhir ini aku sering mengingati lelaki itu. Lelaki yang pernah menyintaiku (mungkin), meluahkan rasa dan akhirnya kulukai hatinya secara tidak aku sengajakan. Maafkan aku dan aku tidak berniat dengan semua itu. Tidak pernah terlintas dalam hati ini untuk mengecewakan  hati sesiapa sekalipun. Hiba rasa hatiku ini.


        Meniti bait-bait lirik tiga buah lagu yang ada itu, aku tahu dia seperti menyalahkan aku mengakibat semua yang terjadi selama ini. Aku tidak berniat, itulah sesungguhnya. Tentu hatinya sangat mengharapkan aku ketika itu. Sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran aku ini betapa ada seorang lelaki yang menanggung kekecewaan sebegitu rupa dan akhirnya menimbul rasa dendam tidak berkesudahan.  Sejak aku mula berusaha berubat untuk membuang sihir dari diri ini, aku sering mengimbau kenangan lama. Terutama kepada dia yang aku lukai tanpa sengaja itu. Apakah yang mampu aku lakukan lagi.
            Semua itu sudah berlalu. Aku juga tidak mahu bersikap kejam dengan meletakkan semua kesilapan yang berlaku ini ke bahu dia semata-mata kerana walau sedikit masih ada salahku kepada dia. Aku bersalah menyemai rasa kasih dan sayang dalam hatinya. Aku silap memberikan lebih perhatian kepada dia.  Maafkan aku MPz..


         Agak lama aku cuba mengesan dan mencarinya namun sehingga kini tiada siapapun yang dapat mencari dia. Entah ke mana dia menghilang. Mengapa tiada petunjuk untuk aku dapat mencarinya kembali. Wahai hatiku yang resah ini, damailah untuk ke sekian kalinya. 


        Apabila dua lagu di atas berkumandang, aku berasa sangat hiba walaupun sebenarnya kandungan lirik dalam lagu-lagu itu tidak berkaitan dengan diriku, namun mungkin dia merasakan itulah yang berlaku dalam hidupnya, dan seburuk itu pula aku pada dirinya.
Aku tidak pernah menyemai cinta di hati mana-mana lelaki.. itulah hakikatnya. Kerana ketika itu DIA telah mencampakkan rasa sayang aku kepada seorang dia yang lain. Lelaki yang bersama aku ini sejak kecil dulu. Dan ketika aku bertemu dia MPz, dia masih ada dalam hati ini. Ketika itu juga aku sememangnya berharap akan hidup bersama dia hingga ke akhirat. Namun jodoh tidak menyebelahi kami, apabila waktu sepatutnya aku bertunang dengannya berlaku satu peristiwa yang tidak dapat dielakkan. 
            Dua pinangan dalam satu masa yang tidak memungkinkan aku membuat pilihan lantas menolak pinangan itu. Dan entah atas dasar apa, dia kemudian berkahwin dengan orang lain. Yang kononnya perkahwinan itu atas perancangan orang lain. Dia hanya membawa badan dan semuanya adalah mengikut kehendak yang merancang itu. Dan aku reda kerana semua itu urusan DIA yang maha kuasa. 


     Yang jelas, aku bukan bertemu kekasih lama, dan aku tidak memperdaya sesiapa. Sebagai seorang kawan aku hanya melayan dia seperti yang lain namun siapa pula sangka jika ada yang salah memahami. Aku sendiri hairan kenapa aura aku ini sedemikian. sedang 40 orang yang lain, merupakan wanita-wanita hebat, berbanding aku ini. Yang cantik macam model, yang cabi macam teddy bear, yang putih melepak, yang over manja (bukan mengada-ngada).. semua ada. 
Sedangkan aku ini sangat 'low-profile'. Tiada apa yang boleh menarik minat seseorang rasanya. Sebab itu juga aku tidak merasakan aku akan dapat menggoda sesiapa kerana sifat pendiamku. Kawan-kawan lain yang lebih menyerlah dan aku hanya ikut dan diam sahaja.  Contoh RzS itu, rakan sekelas MPz itu sendiri dengan berani menyatakan rasa berahi kepadaku, sedangkan ketika itu aku adalah antara orang yang paling tidak menyerlah, sama ada penampilan mahupun perwatakanku.  Itu aku akui sehingga kini. Aku tidak berani berhadapan dengan orang ramai.  Kenapa aku menjadi mangsa 'rasa cinta' orang lain, yang seterusnya menghukum aku dengan rasa sangat bersalah. Dan perasaan itu masih tersisa sehingga kini.


        Aku juga tidak pernah berpaling daripada sesiapa. Sedangkan dengan jelas tiada sebarang kata atau apa-apa yang boleh membuktikan kita punyai hubungan selain hubungan sesama manusia yang bergelar kawan. Maafkan aku MPz, kenapalah aku sangat mengingatimua ketika ini. Dan mengapakah dalam banyak-banyak kawan yang sudah aku temui itu bukan kau yang hadir sekali. Ya Allah pertemukanlah aku dengan dia... walau dalam keadaan apa sekalipun.. aku ikhlas berkawan dengannya. Bukakanlah hatinya untuk mencari aku juga, sama ada di alam maya seperti ini dan pada alam realiti ini. Aku juga tidak memohon untuk kembali kepada dia lagi. Cukup rasanya aku melihat dia melutut di hadapan aku ketika itu dan merayuku. Airmatanya menitis di hadapan aku ini. Aku sangat sedih juga mengetahui kebenaran itu, namun apa yang boleh dikatakan aku tersepit dalam banyak keadaan. Dan yang paling jelas ialah aku tidak mempunyai kebersamaan perasaaan buat dia yang bernama MPz itu.
  
Kau Ku Rindukan
Artist: Gingerbread
 
Telah lama ku pendam rindu
Dalam diamku
Menantikan ucapan
Mesra darimu
Hingga kini kau membisu
Seribu kata
Mata bertentang Mata
Oh... ku gelisah

Kini kau berjauhan
Seribu perjalanan

Hati merintih sedih
Tiada berairmata

Kian ingin kau ku lupakan
Kian kau ku rindui
Kesal bertahun lama
Kerna kau tiada

Hidupku kian hampa
Semenjak perpisahan
Hilang tanpa berita
Rindu pada mu jua

Di mana ku cari ganti
Serupa denganmu
Kesal bertahun lama
Kerna kau tiada
Kesal bertahun lama
Kerna kau tiada

Hilang bertahun lama
Kau ku rindukan


 Aku sudah melalui banyak perjalanan sukar. Bohong jika aku katakan aku tidak pernah mengingati mahupun merinduinya. Mungkin walau hanya sebagai seorang kawan, tidak lebih dari itu kerana dia pernah hadir dalam perjalanan hidupku yang lalu.  Aku ingin tahu khabar dirinya.  Semoga dia masih menganggap aku sebagai kawan.  

Dalam kebanyakan catatan aku ini, aku sering mengungkapkan tentang kawan-kawan lelaki. Mungkin menimbulkan rasa pelik pembaca, terutama anak-anak buahku yang ada kalanya membaca sekadar mencari suatu pengalaman di ruangan ini. Ada yang bertanya aku berkawan dengan lelaki sahajakah? Aku punyai ramai kawan malah sahabat baik perempuan yang sentiasa ada dalam hati ini. Namun belum masanya aku menceritakan tentang pengalaman bersama kawan perempuan dan aku masih banyak 'rahsia' yang tidak mahu aku kongsikan bersama orang lain... sebab ada antara kesakitan itu amat memilukan dan kegembiraan itu tidak disenangi. Dan ada antaranya menjatuhkan maruah seorang yang bernama wanita. 
 
        Aku berbalik kepada lirik dalam lagu yang ditujukan kepada aku. Terasa begitu kejamnya aku sebenarnya sehinggakan dia meletakkan aku yang dikaitkan dengan tanggapan-tanggapan negatif dirinya itu. Rakan-rakanku mengetahui dia amat ingin kepada aku, malah aku yakin banyak juga rakan-rakan lelaki yang mengetahui perjalanan kisah kami ini. Aku dapat merasakan beberapa orang daripada rakan-rakannya hanya mendekati aku apabila aku sudah memberikan kata dua kepada MPz. Dan sehingga kini, aku tidak dapat menjangkakan siapa antara kawan-kawannya yang dianggap sebagai kekasih baru ketika itu. Adakah kerana rakan-rakan dia yang mendekati aku ini maka dikatakan aku mencari kekasih baru? Sungguh dia sudah salah sangka kepada aku ini.

        Namun walau dengan hadirnya rasa tidak puashati berkaitan hal ini suatu masa dulu, aku masih tetap mengingati dia sebagai seorang kawan. Seorang lelaki yang tulus mengasihiku dalam diam-diam dan akhirnya terperangkap dalam perasaan aku sendiri. Ada dua  lagi lagu yang sering dia tujukan kepada aku.  Sewaktu salah seorang rakan kami mengwujudkan satu siaran untuk group kami. Ketika itu apabila kami ingin menghantar lagu permintaan maka akan ada bakul yang dihulur melintasi tingkat asrama kami. Kami akan masukkan lagu permintaan dan bakul itu akan ditarik hingga ke tingkat teratas. Dan antara yang banyak menerima lagu permintaan adalah aku sendiri. Bukan daripada MPz sahaja tetapi beberapa kawan lain.  Lagu yang sering diminta olehnya ialah "Fantasia Bulan Madu" dan "Isabella" nyanyian kumpulan Search. Jika lagu itu berkumandang, pastinya banyak untuk aku ini.  Aku sangat terharu, tetapi apakan dayaku, sudah ada dia yang lain dalam hatiku ini.

       Ada suatu waktu itu, dia melaung dari tingkat atas asrama namaku ini... dan menyanyikan sekuat hati lagu Fantasia Bulan Madu itu.. Memang kerja gila.. tapi itulah hakikatnya dia memang sangat gilakan aku. Jika tidak masakan dia menangis sedemikian rupa apabila aku menjelaskan pendirian dan keputusan itu dulu.

     Aku menulis dalam ruang ini dengan harapan dia akan membacanya dan memahami keresahan hatiku ini. Aku tidak mengharapkan apa-apa lagi selain itu. Semoga MPz akan membaca catatanku ini dan semoga dia tahu aku tidak pernah marah atau membuangnya dari hidup aku ini walaupun apapun yang pernah berlaku sebelum ini.

        Tentang dia di utara yang merajuk itu, sehingga kini aku tak menghubungi dia. Lazimnya pun dia yang akan menghubungi aku. Ketika itu mungkin rajuknya sudah hilang. Tak tahulah kali ini berapa lama pula rajuknya kelak. Dua minggu sudah berlalu. Mungkin sebulan, enam bulan, setahun.. siapa tahu? Namun aku tidak akan memujuknya dan semoga dia sedar diri sendiri. Tidak perlu aku ada dalam hidupnya lagi. Dan dia juga sudah punya tempat untuk bermanja dan mencurah kasih dengan sebenar-benarnya. Aku sentiasa mendoakanmu.

      Yang seorang lagi ini, aku tiada hendak komen apa-apa. Mungkin rajukmu kali ini rajuk yang panjang, aku pasti. Selepas ini aku rasa dia tidak akan merajuk lagi, harap-haraplah. Semoga aku masih ada peluang untuk bersamamu kelak. Aku juga ingin merasa untuk merajuk tetapi aku sedar siapa pula aku hendak merajuk. Merajuk pada yang sayang. Sudah lama dia tidak menghubungiku. Mungkinkah sudah melupai aku ini? Dan mungkin tiada sayang untuk aku lagi. 
           Tidak mengapa aku  faham, aku bukan pilihan dia pun sebenarnya. Kebetulan kami bertemu semula dan kami sama-sama punyai sejarah yang hingga sekarang masih bersendirian. Semua itu kebetulan, kebetulan yang tidak boleh menjanjikan apa-apa. 

           Setiap kali aku teringatkan dia, aku akan menarik nafas panjang. Entah kenapa aku tidak mahu menaruh harapan lagi. Semoga kembalinya dia dari Tanah suci selepas menunaikan rukun Islam kelima kelak dia akan menjadi orang baru yang kuat semangat dan jiwanya akan terubat. Luka hatinya juga terubat. Aku juga reda jika ketika itu dia sudah semakin jauh dariku. Dia masih mencari sesuatu yang dia sendiri tidak ketahui. Semoga ketika berada di bumi keamanan hati dan kelewahan iman itu dia akan dapat mencari apa yang diingini selama ini. Aku cuma menumpang kasih. Sekiranya tiada akan ada hubungan antara kita kelak. Aku akan menerimanya ketentuan itu dengan ikhlas. Dan bermakna inilah rajukmu yang paling panjang dan terakhir padaku. Semoga perjalanan dan ibadahmu diterima Allah dan mabrur..

          Aku sendiri sebenarnya tidak tahu hatiku hiba kerana dia yang satu itu melalui ingatan tentang lagu itu, atau sebenarnya aku hiba kerana dia masih merajuk, rajuk yang panjang, dan akan meninggalkan aku sementara waktu; atau akan meninggalkan aku terus. Ya Allah, kuatkanlah hatiku ini. Berikan ketabahan menerima takdirMU ini sekali lagi. Jika dia terbaik buatku, dekatkanlah hatinya kepadaku dan permudahkanlah perjalanan dan urusan dalam hidup kami.  Allah, perkenankanlah doaku ini. Aku rindu dia, biarpun ini bukan dinamakan cinta kerana jika ini cinta sekalipun, ia adalah salah dan berdosa Dan jika rindu ini bernatijah dosa, tutuplah hati dan perasaan ini daripada terus merinduinya.  Semoga KAU jadikan rindu dan rasa kasih dan sayang dalam hati ini kepadanya, pahala suatu masa kelak...