Sabtu, Oktober 01, 2011

ALHAMDULLILLAH BERTEMU KAMI KEMBALI..

 Apabila melihat bunga yang berkembang; namun jarang diketahui bahawa pokok itu boleh berbunga, tentu sahaja menimbulkan keraguan dan keasyikan yang begitu menguja perasaan dan emosi seseorang. ketika melihat bunga-bunga dari pohon ini, aku berasa sangat pelik. Selama ini ada juga aku menanam pokok ini beberapa tahun, namun tidak sekalipun pokok seumpama ini akan berbunga. Dan entah kenapa aku tidak pernah menganggap bahawa ia adalah pokok yang sebegitu.  Kuasa Allah, dan DIA hanya ingin aku mengetahui pokok itu berbunga hanya pada hari gambar ini dirakamkan. Nama pokoknya sahaja aku tidak tahu dan memberikan namanya..Iaitu bunga kembang sejambak.  Mungkin ada banyak perkara yang DIA ingin aku mengetahuinya kemudian kerana ada tersembunyi banyak rahsia di sebaliknya. 
Kemungkinan dan kebetulan sering berlaku tanpa diduga dan seringkali pula sering berlaku ketika kita tidak bersedia menghadapi segala. Seperti aku ini, pertemuan kembali dengan beberapa orang yang pernah hadir dalam diari hidupku ini menjadikan hatiku ini berasa gembira. Biarpun pertemuan itu tidak terduga. Aku berasa senangnya dan tenang dalam hidup ini, biarpun aku tidaklah sebaik mana namun aku bersyukur sebab aku dapat melalui hidup ini sehingga kini sebaik mungkin.  Bukan kekayaan itu memastikan  kebahagiaan, banyak lagi hal-hal lain yang menjanjikan kebahagiaan itu dalam erti kata yang sebenar. Beberapa pertemuan yang aku lalui, melahirkan banyak kenangan yang mengusik kenangan lalu, namun tidak pula aku menyimpan dendam atau sakit hati kerananya. Terima kasih Allah membuatkan hatiku ini reda dan ikhlas melaluinya, walaupun terasa sakit sebelum ini.

Semalam aku bertemu dengan dia yang pernah hadir dalam hatiku ini. Rakan seperjuangan yang sering mencari gaduh denganku. Mencari alasan untuk menjauhi aku.
Aku tersenyum melihatnya. Allah menjadikan dia tanpa banyak perubahan sehingga kini. Setelah lebih 20 tahun tidak bertemunya.

Dia kelihatan awet muda dan aku jangka dia juga kelihatan tenang dan bahagia. Namun daripada riak wajahnya, pertemuan kami ini mungkin membuah ingatan lalu yang sukar dilupakan.  Aku tidak akan mengujanya, kerana azamku untuk mengenakannya sudah berlalu. Dulu dia akan sentiasa 'panas' ketika duduk berhampiran denganku, tetapi dia akan berusaha untuk selalu dekat denganku.  Kerana kesombongannya ketika itu, aku berazam untuk 'mengusik'nya sehingga akhirnya dia mengaku mengapa dia sangat 'panas' ketika di sisiku.

Hati seseorang itu sukar untuk kita baca. Namun ketika itu aku yakin dengan hatinya itu. Faham ketika dia berkata :"Aku 'panas'lah ada kau ada dekat dengan aku ini... tapi aku lagi 'panas' jika tidak dekat dengan kau.."

Jadi aku pula akan sering menjawab: "Kalau 'panas' janganlah mendekatiku, pergilah kau jauh-jauh... "

"Tapi aku rela berasa 'panas' bersama dengan kau, daripada aku berasa 'panas' ketika kau tiada..."

       Ketika itu aku hanya senyum dengan jawapannya yang dia ungkapkan secara tidak langsung. Aku selalu tersenyum apabila menghampiri dia ketika sedang berbincang dan mengulangkaji dengan kumpulannya, dia sering berkata dia 'panas'. Ada bahang yang menyemakkan fikiran dan ketenangannya. Aku akan terus berlalu... Begitu juga ketika dia membentangkan kertas kerja di hadapan dewan kuliah, dia akan menyuruh aku keluar daripada dewan kuliah ke tandas atau ke mana-mana kerana dia 'panas' kalau aku ada.

Hakikatnya dia hanya akan 'panas' kerana dia ada rasa yang pelbagai dalam hatinya. Dia malu aku melihat dia bercakap... takut dia tersalah cakap. Dia malu aku mendengar pendapat dan pandangannya... takut pandangannya dangkal. Dia takut ketika dia membentangkan kertas kerja, dia tidak melakukan  yang terbaik.  Itulah sebenarnya.. Seorang lelaki akan berasa bimbang jika dia tidak anggun di pandangan mata seseorang yang dikasihinya. Namun tidaklah pula boleh dikaitkan dengan cinta atau seumpamanya. Sewajarnya ada dalam kalangan lelaki yang menyatakan sebalik daripada kenyataan untuk melarikan diri daripada perasaan sendiri. Ketika itu sangat jelas.. setelah aku menjauhinya dan ketika selesai tugasan atau perbincangannya, dia akan datang mencari aku, duduk di sebelahku dan menganggu wacana perbincanganku, semata-mata tidak mahu aku terus jauh darinya. Aku akan pulang paku buah keras, bertanyanya.."Duduk dekat-dekat dengan aku ini, tidak 'panas'kah?"

       Seringkali dia tidak akan menjawab, kerana ketika santai begitu dia akan lebih berasa panas jika tidak dekat denganku. Manisnya wajahnya ketika itu, dan biasanya aku faham 'jawapan'nya hanya dengan menjawab dengan senyumannya.  Dia akan menukar jawapan dengan lawak dan gelak ketawanya.  Namun aku sudah ada dia ketika itu, maka dia mengawal keadaan itu dengan mengatakan dia 'panas' berada denganku. Aku tahu dia yang ini, seorang yang menyayangiku, kerana dia beralah dengan perasaan hatinya kerana dia berasa dia tidak berhak menganggu kebahagiaan aku ketika itu.  Dia lelaki 'gentleman' yang pertama dalam hidupku ini. Dia berkorban untuk melihat kebahagiaanku. Walaupun dia tidak pernah menyatakannya namun aku tahu.  Aku tahu nilai kasih sayangnya kepada aku, biarpun hanya sesekali secara bergurau dia akan menyatakan kerinduannya kepada. Dia juga mengetahui selain dia, banyak lagi dia dalam hidup aku ini.

         Semalam dia bertanya, di mana aku tinggal sekarang? Aku menjawab ikhlas.  Dia bertanya selalukah aku balik ke kampungku. Aku menjawab saban minggu. Kampungku setengah jam perjalanan daripada rumah tempat tinggalku, dan apakah alasan untuk aku tidak menjengah keluarga di kampung terutama emak? Hanya jika aku ada program yang tidak dapat dielakkan, aku akan menelefon emak memaklumkan namun aku akan cari satu masa untuk pulang ke kampung walaupun hanya berada selama satu jam menghadap wajah emak yang menenangkan hati kami itu. Dia mengingatkan aku tentang hari kedatangannya ke rumah emak di kampung. Dia tanya sudahkah aku lupa dengan hari di mana dia datang ke rumah emak ketika itu. Dan aku menjawab, tiada yang buruk untuk aku lupakan dan aku senang untuk mengingati saat itu.

       Allah, berubah sedikit wajahnya.. mungkin kerana kulitnya yang sawo matang, tidaklah pula aku lihat wajahnya memerah kerana malu bertanya soalan itu.  Aku tidak akan lupa kawanku, atau lebih tepat, sahabat yang aku sayangi. Mana boleh aku lupa pada hari aku membawa pula lebih daripada sepuluh orang calon lelaki yang berhajat menemani hidupku pada waktu-waktu mendatang. Emak sampai marah kerana tidak tahu hendak pilih yang mana satu untuk menjadi calon menantu, sedangkan semua mereka tahu di hati ini ada dia yang pertama ini. Dan mereka juga tahu dalam kalangan mereka yang turut serta dalam 'lawatan' ke rumahku itu, mempunyai hajat yang sama seperti setiap daripada mereka. Dia juga mengikut aku ke kampung ketika itu dengan 'muka tidak malu' menawarkan diri. Bagaimana aku boleh lupa dia dan peristiwa itu. Bagaimana pula aku boleh lupa jika kerana hal itu, arwah bapaku ketika itu memberikan ceramah dan syarahan yang panjang untuk aku.

       Terus terang, aku mengakui dia memang ada tempat yang istimewa dalam hati ini, walaupun aku sendiri tidak tahu apakah nama sewajarnya tempat itu dalam hati ini. Jika si dia yang pertama itu tidak ada dalam hatiku ketika itu, dialah tempat teratas dalam senarai pilihan utamaku. Ada satu yang istimewa tentang dia, kerana dia berjaya mengguggat kedudukan dia yang pertama itu dalam hati ini. Namun itu semua sudah tinggal sejarah.. sejarah yang tidak mahu aku ulangi, hanya mengingatinya. Aku sangat gembira kerana dia sekarang hidup bahagia bersama junior kami dan dia sebenarnya agak hampir denganku.. Terima kasih Allah, mempertemukan aku lagi dengan insan istimewa yang pernah hadir dalam hatiku ini... dan akan sentiasa hadir dalam hidupku seterusnya sebagai seorang sahabatku yang aku hormati dan sayangi.

            Pertemuanku dengan dia sebenarnya lebih menggembirakan dengan pertemuan dengan dia dan dia pada minggu yang sebelumnya pada majlis pertemuan itu. Walaupun aku tahu aku mengharapkan pertemuan dengan dia yang satu itu, namun kehampaan kerana tidak bertemunya itu masih dapat aku ubati dengan pertemuan-pertemuan lain.
          Ketika melihat dia masuk ke dewan, senyumku sudah terukir. Memang segak, lebih daripada apa yang aku lihat pada gambarnya. Dia nampak jauh lebih berseri berada di hadapan mata. Dia yang tidak pernah terfikir olehku akan menjadi satu kisah dalam hidupku dalam lima enam tahun ini. Walaupun melihatnya mengingatkan aku tentang satu peristiwa yang menjadi asam garam hidupku.  Aku tertipu dek satu maklumat dan dia hadir seketika dalam hidup ini. Aku ikhlas menerimanya dan berteman, walaupun kami sudah berkenalan lama.

        Aku terus mengukir kata-kata indah dalam sistem pesanan ringkas dan dia juga lebih memberikan perhatian kepadaku. Aku tidak sedikitpun rasa bersalah. Aku selalu berasa seronok jika dia merajuk.. namun aku juga jarang bersetuju untuk bertemu dengannya jika dia meminta. Dia tinggal jauh, beratus kilometer  namun jika aku setuju bertemuku, dia akan ada dengan segera. Aku menyenanginya. Namun siapa sangka aku pula sering diserang oleh sms pelik dan panggilan yang salah didail, sehingga suatu hari aku menerima layangan kad ucapan hari raya menjelaskan segala-galanya. Aku tidak marah kepadanya. Mungkin akulah yang bersalah sangka dengan segala kebaikannya. Setelah beberapa tahun dia minta bertemuku, dan akhirnya waktu itu sampai juga kerana satu majlis. Dia datang bersendirian tanpa pasangannya. Dia juga seorang yang sangat menjaga keperibadiannya, namun kami sempat berbicara juga. Aku memang seperti dulu yang dia kenali, bersahaja sedang yang lain sangat teruja dengannya.

  Entah sejak bila dia menyenangiku, aku tidak pasti. Namun ada beberapa rakan mengetahuinya dan menyembunyi kejap daripada aku. Aku melihat wajahnya yang sangat berseri ketika bercakap denganku. Rasanya aku tidak dapat menafikan juga rasa gembira dia turut hadir, walaupun pada awalnya dia tidak menegurku. Aku redha dengan apa yang berlaku. Namun aku tahu sesekali dia akan mencuri pandang dan cuba mencari ruang untuk bercakap denganku. Namun aku juga kalah dengan beberapa rakan yang tidak pernah lekang daripadanya.  Cuma ketika ingin mengambil makanan aku berkesempatan untuk berbicara dengannya. Sengaja melahirkan kekagumanku dengan kesudiannnya hadir, kemudian kembali ke tempatnya semula setelah majlis habis.

        Memang dia agak tampan sekarang namun dulu pun dia sangat segak. Sudah punyai kedudukan yang baik. Cuma aku tidak pernah menyedarinya kerana aku tidak berminat untuk melihat semua lelaki yang ada dan berminat kepadaku, mungkin.   Alhamdullillah, daripada selama ini hanya melihatnya dalam alam maya yang tidak bersempadan dan melalui telefon, kini aku dapat menatapnya dengan mataku sendiri.  Mujur aku ingat dia ketika awal-awal dia menghubungi aku kembali beberapa tahun lalu. Aku tidak menjangka juga, dia yang tidak pernah memperlihatkan sikapnya dan memang tidak pernah berbaik denganku itu akhirnya menjadi antara rakan yang sangat hampir denganku.

     Ada kalanya terfikir juga, adakah gejala pada alam remaja ku dulu akan berulang. Tiada apa yang aku lakukan, namun ketika ingin memperkenalkan 'calon menantu', banyak sekali golongan dia yang datang sendiri menawarkan diri untuk berkenalan dengan orangtua dan keluargaku.  Dan belum termasuk dia yang satu ini. Pernah dia bertanya tentang kampung dan keluargaku, namun aku tidaklah suka dengan kehadirannya jika itu berlaku kini.  Hal lalu biarlah berlalu.
         Sudah menjangkau seusia ini, bukan masanya untuk aku hendak bercinta seperti remaja-remaja yang asyik dengan mengamalkan budaya-budaya yang tidaka menyenangkan tanpa mempedulikan larangan syariat.  Maka aku akan melupakan semua itu dalam perjalanan ini. Aku pernah sahaja menemankan seseorang yang dua tiga tahun lebih tua daripadaku, bertemu janji dan bercinta sakan ala-ala remaja. Namun tidak pula aku setuju dengan segalanya itu.. sehingga kini aku cuba mengelakkan diri daripada bersubahat dengan gejala bercinta-cinta ini sepertinya aktiviti tersebut sangat tidak sihat pada pandanganku, apatah dilakukan oleh orang-orang yang sepatutnya ketika ini,membanyakkan ibadah dan berbuat hal-hal baik


           Dan suatu kes lagi, seorang lagi dia yang suatu masa dahulu sangat menimbulkan keresahan kepadaku. Terasa janggal apabila aku berbicara dan bercerita bersama-sama rakan lain, dia asyik merenungku tanpa berkelip dan tersenyum apabila melihatku tersenyum.  Namun sebenarnya tiada apa-apa tersirat dalam hatiku ini, walaupun setiap mata kami bertembung lalu bibir kami menguntum senyuman. Aku sebenarnya tidak berminat kepadanya. Kategori kacak namun ada sejarah antara kami, dan aku hanya bertindak menjaga nama baik dan aibnya.
           Dia hanya seorang yang mungkin pernah melakukan kesilapan kepadaku suatu masa dulu. Namun tanpa dia memohon maaf pun sudah aku maafkan dia itu. Ketika itu mungkin dia terlalu terikutkan darah muda dan mungkin dia teruja untuk melakukannya dalam berebutkan perhatianku... Siapa sangka aku bisa bertemunya kembali kini.

      Rasanya hampir sepuluh tahun lalu, kami bertemu kembali dan ketika itu aku sudahpun merasakan perasaan marah, jelek, menyampah dan rasa terhina itu sudah aku buang jauh-jauh daripada hatiku ini. Untuk apa menyimpannya lagi. Mungkin kerana itu dia begitu pelik aku bisa berbicara dengannya lancar.  Sejak dia melamarku di hadapan dewan kuliah pada 21 tahun lalu, pada hari dia menyatakan perasaan atas dasar berahi itu.. sejak hari itulah aku tidak lagi bercakap dengannya. Mungkin semua hairan kenapa melamar pun boleh membuatkan aku 'membuang'nya jauh daripada hati ini. Hanya kerana dia kurang adab dan hanya kerana dia terlalu berterus terang atas alasan lamarannya itu. Hatiku ketika terkejut dan merintih setiapkali terpandangkan dia. Dia pernah cuba melakukan sesuatu yang tidak sopan tidaklah begitu melukakan hatiku ini. Namun kata-kata itu lebih tajam daripada pedang. Kerana kata-katanya itu aku terluka. Begitukah cara seorang lelaki memandang seorang perempuan, memandang dengan pandangan nafsu. Ada antara kawanku yang berkata, untuk apa aku marah kerana jarang sekali kita akan bertemu dengan seorang lelaki yang begitu jujur, tetapi terkejutnya aku dengan pengakuannya itu menyebabkan aku begitu terluka ketika itu. Betapa hanya mendengar namaku disebut, melihat aku berjalan, melihat aku tersenyum, seorang itu boleh teruja dan terangsang. Memang pendek pelayaran akalku ketika itu yang menyebabkan aku tegas menolaknya ketika itu. Aku yakin dia juga menyimpan kenangan itu sehingga sekarang.

       Namun sehingga itu sebenarnya pandangannya kepada aku amat menakutkan. Sebagai kawan yang masih menjaga aibnya, aku masih melayannya dengan baik ketika pertemuan itu. Ya Allah, dengan pandangannya itu adakah dia membuktikan kata-katanya yang diucapkan lebih  21 tahun lagi. Adakah ketika itu dia mengucapkan dengan berahi seperti suatu masa itu. Berkaca-kaca matanya, dan mesra dan manis senyumannya menyebabkan aku menyimpan rasa yang pelik dalam hati ini. adakah dia masih menyimpan perasaan itu kepada aku ini. Adakah dia masih mengekalkan keinginan dan membuktikan kata-katanya pada lebih 21 tahun yang lalu.  Cahaya daripada matanya itu masih seperti dulu, seperti mengharapkan aku seperti dulu. Adakah setelah berpuluh tahun berlalu perasaannya masih seperti dulu. Ketika dia berdiri rapat denganku dan wajah begitu hampir dengan wajahku, aku melihat dia merenungku lama. Rindukah dia kepadaku? Aku sendiri?  Entahlah... benci? Meluat?  Namun wajah kacaknya itu memungkinkan dia mendapat seorang pasangannya yang lebih baik daripada diriku ini. Ya Allah ampunkanlah aku kerana rupanya masih lagi tersisa dalam hatiku ini kejengkelan yang sukar aku jelaskan. Kalahkah aku dengan kata dua yang aku berikannya kepadanya dulu.. ketika dia mengatakan dia akan tetap berahi kepadaku sehingga hayatnya dikandung badan. Cinta apakah itu? Adakan dia hanya bernafsu ketika melihat aku ini seperti katanya dulu dan perasaan itu kekal sehingga ini. Berdirinya dia di sisiku ketika itu dengan dia melepaskan beberapa kali nafas panjang sambil menatap mesra wajahku, sebenarnya menggusarkan hatiku ini. Ya Allah, KAU tutupkanlah rasa berahinya, rasa terangsang seorang lelaki ini kepadaku ini.. Memang segala perbualan, perbincangan dan lamaran itu hanya berlaku secara rahsia antara kami, namun itulah sebenarnya kali pertama aku menolak seorang lelaki yang berterus terang dan secara jujur meminta untuk hidup bersamaku, secara kasar. Siapa sangka sewaktu dalam riuh rendah kami berehat dan berbincang... di tengah keramaian sahabat-sahabat yang sedang menimba ilmu itu, kami ber'perang' dan mengalami konflik.. Kesalkah aku Tuhan? Dengan keputusanku itu dulu, kerana sehingga sekarang tiada seorang pun antara dia hidup bersamaku. 

Duhai hatiku,
Semoga akan sentiasa bertenang dengan segala dugaan ini. Aku mungkin boleh berinteraksi dengan semua orang yang melukakan dan dilukai aku dengan tenang secara zahirnya, namun sebenarnya aku tidak kuat untuk melaluinya. Hatiku yang berbelah bahagi untuk bertemu mereka dulu, rupanya membekalkan rasa keresahan dan ingatan yang sedikit 'menyakitkan'.

          Kejamkah aku ini? Persoalan yang aku tidak bisa jawab dalam hatiku ini. Namun mana mungkin akan ada lebih daripada seorang lelaki dalam hati seorang perempuan dalam satu masa.  Pengalamanku ini mungkin tidak pernah sama dengan pengalaman orang lain... dan aku kongsikan dalam  catatan ini kerana aku ingin menyatakan dalam setiap usaha kita membuat pilihan, kita mungkin seringkali tersilap pilih. Mungkinkah aku tersilap membuat keputusan, aku sendiri tidak tahu. Jika aku tidak prejudis dengan mana-mana lelaki ketika dulu, mungkin hidupku sudah berlainan ketika ini.. Jadilah kita orang yang redha.. Redha dengan takdir yang ditentukan. Itulah keimanan kita, dan menjadikan kita lebih taqwa.  Walaupun setiap berlaku itu hanyalah kesedihan dan kedukaan, namun percayalah setiap segala sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahNYA.. Jika tidak di sini, mungkin di sana... pada alam yang satu lagi, Insyaallah...


     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan