Selasa, September 20, 2011

ADUHAI, YANG MANA SATU PULA INI??

 Hari ini aku hendak mencatat beberapa perkara yang berlaku dalam hidup aku akhir-akhir ini. Pening-pening, tidak tahu yang mana satu yang hendak difikirkan.

       Sengaja pula aku masukkan gambar-gambar yang aku ambil daripada web: iluvislam.com. untuk penghias laman catatan aku ini. Mungkin gambar-gambar ini dapat mengiplementasikan apa yang tersirat dalam catatan aku ini. Selebihnya sebagai hiasan sahaja, namun rasanya masih berkaitan. Cukuplah rasanya catatan ini sebagai luahan rasa hatiku ini. Hush, memang akhir-akhir ini banyak yang mengelirukan dan membuatkan aku rasa jemu. Itulah yang aku bimbangkan selamanya ini, apabila mengambil keputusan untuk menyelesaikan satu masalah yang ada. Bukan tidak suka, sukalah sangat tetapi apabila datang mendadak, payah pula aku dibuatnya. 
            
            Ada sahabat kata, blog aku ini banyak sangat gambar, susah hendak akses.. tak apalah kawan-kawan, sebab aku tulis dalam blog ini pun untuk kebajikanku sendiri, menyenangkan hatiku tanpa bertengkar mahupun bertelingkah dengan orang lain. Sebab aku tidak letak pun nama sesiapa yang terlibat itu kecuali jika tidak ada kontroversi yang bakal timbul. Sesiapa yang baca pun tidak akan tahu bahawa si polan, si polan yang aku maksudkan. Tetapi kalau empunya diri baca mungkin akan terasa jugalah pedas cili yang digigit itu, walaupun sedikit.
          Kasihan juga, tetapi dengan tidak mengaibkan orang itu lebih baik bagiku. Sesiapa yang aku marah atau aku bebelkan, atau mungkin yang aku kutuk dan maki tidak tahupun mereka yang aku maksudkan. Namun sebenarnya tidak mustahil sebenarnya banyak juga yang membaca catatan ini akan memahami, terutama mereka yang rindu itu dengan catatan aku ini yang merapu-rapu dan menyakitkan hati, mungkin!
          Kasihan juga aku kerana sebenarnya hanya akan melegakan hatiku ini seketika sahaja, namun apabila terfikir, datang lagi keresahan yang entah  datang dari mana. Kerana cara yang betul adalah dengan bersemuka untuk berbincang dengan mereka yang ada dalam masalah dengan aku. Aku tidak berani? Berani sebenarnya, cuma aku juga takut kehilangan sedangkan aku sedar jodoh pertemuan, ajal maut semua dalam kuasa Allah.
              Orang kata, menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Hal Itu kalau pasu itu kecil separas lengan sahaja. kalau tempayan itu besar, mahukah sampai ke pangkal lengan? Silap-silap kita pula yang tersungkur, terjelungkup ke dalam tempayan atau pasu itu.  Apapun memang betullah, hendak berbuat sesuatu itu mestilah berusaha bersungguh-sungguh dan yang penting istiqamah, untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Maka peribahasa itu masih relevan digunakan dalam kehidupan kita seharian. Cukup untuk menjelaskan kesungguhan seseorang dalam menentukan matlamat dalam hidup masing-masing.
        Wah, panjangkan mukadimah  catatan hari ini! Sahaja hendak gimik. Aku inipun baru habiskan bacaan satu novel tulisan Wan Azlan, tajuk 'Golek tergolek'. Sempoi sahaja bahasanya. Berkisahkan bagaimana seorang lelaki itu yang memulakan hidup berumahtangga dengan pelbagai pengalaman yang 'mengharu'. Puas juga aku gelak seorang tetapi tidaklah sampai tergolek. Ada beberapa kisah yang pernah aku dengar digarapkan penulis dalam cerita ini, contohnya bagaimana sembahyang dengan bacaan qunut panjang dan qunut pendek, dan pengalaman akad nikah yang berkali. Nampaknya sensitiviti penulis ini boleh tahan juga, guna bahasa mudah dengan cerita yang sedia ada dalam alam realiti ke dalam cerita novel. Ada juga lawak bodoh yang sukar diterima logik akal.  Sebagai orang yang terlibat dalam sesuatu bidang profesional dan menjaga kualiti bahasa, bahasanya tidaklah menarik sangat dan plotnya muda namun kalau hendak santai dan gelak menghibur hati okaylah.  Namun sebenarnya siapa yang boleh faham, yang tersirat itu lebih menyakitkan.

       Okay, boleh masuk tempo yang sebenar ingin aku catatkan. Dari tadi asyik guna tempo orang lain, menari pun naik canggung. Tiada istimewa pun, sahaja aku hendak menyenangkan sedikit hati ini. 

        Aduhai, seminggu ini aku 'dikunjungi' oleh beberapa sistem pesanan ringkas daripada beberapa orang yang aku ingat sudah terputus perhubungannya dengan aku. Gembira sebenarnya namun sedih pun ada juga. Namun apa yang lebih selain ukhuwah yang terpisah dan terlerai sebelum ini masih dapat dirapatkan semula.  Rapat macam mana? Itulah pula persoalannya. Insyaallah sebagaimana hubungan yang lama dijalin semula. Atau  hubungan lama yang ingin disambung semula, atau juga menghubungkan yang jauh menjadi lebih dekat, atau mengembalikan hubungan lama yang tidak jadi.

          Inilah yang susahnya jika aku bersetuju untuk berubat dan membuang sihir yang ada ini. Aku yang kena tanggung risiko. Patutlah yang mengubat aku kata, haah banyaknya.. Yang mana cepatlah agaknya ini. Kata-kata yang merisaukan  aku dan sudah pun menunjukkan riak untuk menjadi kenyataan. Tetapi aku juga tidak akan meminta DIA palingkan mereka daripada aku. Cuma aku akan memohon yang terbaik antara mereka untuk aku, duniaku, hidupku, ibadahku, hidupku, matiku dalam menuju cinta ILLAHI.
        Apa hendak buat ya? Adik angkat aku ini tawarkan abangnya. Masih inginkan aku jadi kakak iparnya juga. Biar semakin dekat katanya.  Ayah angkatpun tawarkan anaknya yang menduda sejak beberapa lama itu. Tidak jumpa orang baru dan dah lama pula berkenan dengan aku, cuma keadaan yang tidak mengizinkan, katanya.  Ya Allah, mereka ini pun belum bertemu jodoh dengan orang lain kah.. Dari segi rupa dan agama, alhamdullillah. Kategori orang yang hampir sempurna, insyaallah. Tapi aku sendiri macam mana pula, ya? Pening itu hendak memilih. Hendak ditolak, tidaklah patut  sebab  orang berhajat. Hendak diterima, aduhai yang mana satu pula ini, banyaklah pula. Kalau boleh empat tidak mengapalah, macam orang lelaki. Tapi mena boleh langgar hukum agama pun. Nauzubillah.
        Dua hari lepas, abang aku pula bertanya aku untuk kawannya. Entah mana datanglah makhluk yang satu ini tiba-tiba hendak tengok aku. Habis itu apa lagi aku hendak kata, hendak tengok, tengoklah,kan.. bukan luak sekadar tengok. Tetapi yang satu ini nampak serius sahaja, aduhai mana tahan hendak buat pilihan. Kalaulah orang tahu apa dalam hati aku ini! Huh, bercelaru dan keliru, haru!  
            Abang aku ini pun satulah, dia suka-suka hendak 'offer' aku pada orang, kenapa pula. Tahulah aku tidak bertemu jodoh lagi.  Dia ingat adik dia ini apa, bendakah hendak buat macam itu. Entah apa cerita yang keluar daripada mulut satu-satu abang aku ini, sampai yang seorang itu berminatlah pula. Tambah-tambah tengah aku keliru pula itu. Ya Allah, bantulah hambaMU ini menentukan pilihan yang terbaik.  Belum apa-apa sudah cakap sejelas-jelasnya pada aku. Kadang-kadang terfikir juga, buatlah dengan cara berhemah dan berlapik-lapiklah sedikit. Tidak pandai mengayat betul abang aku ini.  Mentang-mentanglah dia itu wali aku dan boleh nikahkan aku, ikut suka dia sahaja promote adik dia ini.  Bawalah orang itu tengok aku diam-diam ke, tidak susah  hati aku ini digugat dengan banyak tawaran ini, dalam masa yang sama, serentak pula. Silap-silap aku pagar dan kunci hati aku tak buka untuk sesiapa. Kalau hendak kecewa, biar semua orang kecewa.. Boleh begitu?
          Beberapa malam pula, seorang ini datang dalam mimpi aku ini. Alahai mesra melampau itu, mujurlah dalam mimpi,kan.  Di alam nyata ini, malulah konon. Hendak pandang aku pun curi-curi. Macamlah aku ini kemaruk sangat. Tiada apa pun niat aku hendak menganiayai anak orang. Pemalu! Mungkin itulah kenyataannya. Dia pemalu! Aku ini bukanlah macam dulu itu. Sudah tua-tua ini, malas hendak cintan-cintun lagi.. tidak ada maknanya pun. Siapa hendak aku, 'be gentleman', aku sudah malas hendak fikir. Aku yakin Allah sudah memberikan laluan buatku tapi pengalaman lama sudah menyebabkan aku serik. MPz dan Aha, dua insan yang pernah aku 'aniaya' (jika perkataan ini sesuai digunakan), aku goda-goda, akhirnya malu itu entah terbang ke mana dengan karenah aku ini, memberontak akhirnya.
            Bezanya satu itu aku tidak ada perasaan padanya, tidaklah memberikan kesan apa sangat, cuma dia pula sakit hati dan meng'aniayai' aku kembali. Seorang itu pula sangat memberikan kesan besar dalam hidup aku, kerana merasakan perasaan aku kepadanya adalah terbaik setakat ini dalam hidup aku. Jika Zaki Malasie itu menjadikan aku serba boleh, si Aha ini pula menjadikan aku solehah dan berkredibiliti. (Hmm, insyaallah... Solehah itu akan aku kekalkan selepas apa sahaja gelaran yang akan aku sandang sekarang dan esok lusa.. siapa tahu,Allah masih memberikan aku peluang yang lebih baik). Ceh, kalau dia baca ini tentu dia bangga dapat membentuk aku ini yang dulunya gedik, manja, menggoda dan apa-apa sahajalah; menjadi seorang yang solehah! Kononlah, sebab aku sebenarnya memang menjaga keyakinan dan kepercayaan bapak kepadaku agar menjaga nama baik dan maruah diri. Alhamdullillah, bapak.. anak perempuanmu ini masih dalam menjaga semua batas yang telah bapak bimbing dan ajar dahulu.
           Yang seorang ini pula, malu tidak bertempat. Tengok sahaja perbezaan antara kita. Semua sudah membolehkan kau menolak aku dari hidupmu. "Carilah orang yang lebih baik. Kau ada segala-gala ciri yang baik". Itu kata-kata orang yang pernah aku kasihi dulu. Kebanyakan si dialah itu. Tetapi kali ini aku hendak tujukan kepada seseorang ini yang agaknya ada kelainan kalau nampak aku. Meronalah wajahnya yang putih jika kebetulan aku terpandangkan dia curi-curi pandang aku atau terserempak secara tidak sengaja. Aduhai, penat aku hendak melayannya. Aku sudah cuba mengelak daripada berurusan denganmu...semoga janganlah tunjukkan sikap yang hendak 'cover macho' itu.. susahnya hendak sorok, apabila merah sudah merona di wajah.
        Yang jelas tidak ada sebarang debaran dalam hati aku ini, berbanding ketika aku melihat Aha dulu. Sekarang dengan Aha pun, semua okay-okay sahaja. Maknanya hati ini sudah redhalah itu. Aku sendiri kena faham dan sedar diri. Doa aku untuk Aha, Aby, Abb dan beberapa orang lain Allah sudah makbulkan, aku hendak apa lagi. Insyaallah aku sentiasa mendoakan mereka bahagia.
          Cik abang seorang ini pun entah apa sebab membisu sahaja beberapa waktu ini. Kalau bukan kerana aku sudah memilih dia untuk menjadi pilihan utama, tidak kuasalah aku hendak menunggu. Sms tidak, telefon apa lagi. Tengah main kayu tiga lagikah? Nanti sudah tiada siapa hendakkan awak itu, datanglah pula hendakkan kita ini. Ceh, macam mak neneklah hendak 'demand'! Kali ini peluang terakhir,ya.. Awak tidak bersungguh, saya terima sahaja orang lain. Awak itu segak dan bergaya, tentu dapat cari orang lain yang lebih baik daripada saya. Carilah puas-puas, esok lusa kalau sudah tidak jumpa orang lain, perhatian itu untuk saya sahajalah,kan. Kalau tidak pun saya ikut jalan lain,lah.  Macam sudah ada jalan lain sahaja saya ini,kan? Ya, kan! Yang datang satu lepas satu bertanya saya itu, siapa? Bukan jalan lainkah. Jika bukan awak terbaik untuk saya dan di sebaliknya, saya redha sahaja. Tidak mustahil kan!  Yang kita sukai, gemari, cintai tidak semestinya baik untuk kita dan begitulah sebaliknya. Sekarang ini, saya bagi awak peluang terakhir, tetapi jangan lambat sangat,ya. Takut masa itu, saya sudah terima oranglain, baharulah tahu macammana awak hendak buat.. tapi tidak akan jadi masalah, sebab orang lelaki pada usia awak ini, saham tinggi.. hidup awak pun stabil dan segak, agaknya petik jari semua datang berlumba-lumba. Pelikkan, dengan apa yang ada pada awak, kenapa hendak berbalik kepada saya,kan? Tetapi siapa tahu apa yang tersembunyi dan menjadi rahsia Allah dengan pertemuan semula kita ini, kan..
         Untuk yang seorang lagi ini, aku rasa dia patut rasa jeranlah. Penat aku hendak melayan ratu hatinya lagi.Dulu seorang. Sekarang ini seorang lagi. Aku sudah kata, tiada jalan atau pintu yang boleh kau masuk dalam hidupku. Maka muktamad. Aku pun muda sikit sahaja darimu, dua tiga tahun lebih muda. Maknanya kita sama-sama sudah di ambang senja. Tidak perlulah rasanya aku hendak habiskan masa untuk kau. Kita kawan sahaja. Kadang-kadang kawan itu lebih membahagiakan kita dan kau serta pasanganmu.  Aku ini tahu bagaimana sakit hati kaum sejenisku setelah berbelas tahun berkongsi hidup dengan kasih sayang dengan kau.. tiba-tiba ada aku menjadi pengacau pula. Sebenarnya aku tidak kacau sesiapa pun. Isteri kau sahaja yang kata aku begitu. Rasanya macammana aku ini? Bengang tau! Sedangkan aku tidak ada dan tidak sepatutnya ada pun dalam ini gambar. 
            Maka aku rasa lebih baik kita ambil jalan selamat,ya. Kau jangan cuba hendak mendekati aku lagi. Sejarah biarlah berlalu, jika dulu kau memang suka aku sangat, dalam diam-diam.. Nama pun sejarah, maksudnya sudah berlalu. Kalau kau tidak ungkit sekarang lebih bagus. Duduk sahaja diam-diam dalam hati. Kenapa lah pula sekarang ini yang kau hendak menghubungi aku dengan ayat-ayat cinta  yang mengancam itu. Aku pun tidak akan tergoda, itu janjiku, insyaallah selagi aku ingat. Aku senang hati dan kau serta keluargamu pun senang hati. Dan semoga kali ini, isteri  kau yang tercinta  tidak tahu dan tidaklah hendak serang aku tidak menentu. Okay, kan.. Jelas atau tidak? Aku harap semua akan jelas. Aku cuma hendak memohon kemaafan sebab mungkin kata-kataku ini menyakitkan hati.  Aku sebagai kawan gembira kalau kau dan keluarga bahagia. Maka jika kita hanya menjadi kawan bolehlah aku tumpang bahagia dan gembira dengan kehidupan kau sekarang yang jauh berbeza daripada dahulu, ya. Maafkan aku kawan, sekali lagi.
            Yang Pak Dud... inipun masalahlah juga. Semoga dia berputus asalah dengan aku ini. Keluarga pun macam tidak berapa suka dengan dia yang dalam hatinya ada taman dengan penuh bunga-bunga yang mekar itu. Emak pun ada tanyalah pulak pasal pak dud ini. Hish, peninglah aku apabila memikirkan hal ini. 'Dia itu tak seriuslah, mak. Asyik nak 'control' orang sahaja. Rimas tahu, mak. Terima orang seadanyalah, kalau hendak kita. Ini tidak, suruh itu ini. Belum apa-apa ini, baik angkat kakilah dulu... betul tak emak!". Memanglah dia kira alimlah juga, tapi tak pastilah. Tak pernah tengok pula dia mengimamkan solat depan aku. Mana tidak, apabila jumpa sahaja, dia kata sudah solat. Tetapi tidak boleh hendak salahkan dia pun. Lagipun aku pun tidak yakin anak-anak dia boleh menerima aku ini. Mesti ada yang sebaya atau lebih tua daripada aku kot. Anak bongsu pun dah 17 tahun.
          Rasa-rasa aku hendak larilah cepat daripada dia. Rimas juga tanya itu ini, kenapa tidak buat, kenapa buat macam itu. Kenapa tidak ingat dosa pahala.. Mak ai, ampun! Kalau jadi, mahu aku duduk rumah sahaja melayan itu boleh, ini tidak boleh, itu kena buat, yang ini jangan sekali-kali buat. Kenapalah aku boleh jumpa Makhluk macam ini? Tetapi sebenarnya aku menyakini DIA lebih mengetahui hikmah dipertemukan dengan lelaki ini.  Kalau jadi, pakej aku jadi isteri, ibu dan nenek sekaligus. Memang aku senang apabila dengan dia, boleh ketawa tidak putus.. tapi laratkah pula aku semua benda ada syarat.
          Bukankah dia sudah pergi dulu, kenapa lah pula datang bertandang lagi. Peninglah!  Lagilah pening kalau dia terus minta daripada emak aku, lagipun dia sudah tahu rumah aku. Aisyeh... tambah pening ini! Tetapi aku rasa macam emak tidak akan terimalah.. lainlah kalau-kalau dia hendak pinang emak aku pula kan.. Aku setuju sahaja. Layaklah itu. Jadi keluarga aku bolehlah berkembang. Semua status yang tiga tadipun memang emak sudah sandang lama, mesti tidak kekok. 9 orang adik-beradik aku campur 7 orang anak-anak pak Dud... 16 orang, mesti meriahkan. Ya Allah, Yang Maha Penyayang , Maha Mengetahui.. perkenanlah yang terbaik untuk kami.
            Hah, rasa lega sangat sudah meluahkan sedikit kekalutan dalam benak fikiran dan hati aku ini. 97% cerita ini benar. 3 % ada sedikit auta. Mana boleh hendak cerita semua perkara. Jika tiada rahsia, tentu tiada yang menarik,kan. Buat aku ada beberapa orang yang ada dalam hatiku ini tetapi tidak aku kongsikan. Aku pun bukan hendak main-mainkan hati orang. Biarlah aku simpan sendiri. 3% itu termasuklah tentang nama, dan beberapa perkara yang berkaitan. Aib orang pun kita kena jaga. Begitu aku! Aku sebenarnya tahu kelemahan aku ini. Pantang ada hal yang tidak berapa elok orang kepoh-kepoh. Aku ini suka cerita tentang diri aku sendiri, biarlah orang kata bodoh, cerita hal sendiri tidak memudaratkan pun. Tetapi kalau aku asyik membebel sahaja, nanti orang marah pula.
          Sudah panjang rasanya mencatat di sini. Dan aku ingin bermohon maaf kepada semua sahabat, terutama orang yang suka menjelajah di laman /blog ini. Terima kasih kerana membaca artikel-artikel dalam blog ini. Kisah ringkas tentang pengalaman hidup dan kitaran hidup orang lain. Orang kata bersabar dan menyahut salam terutama kepada musuh itu baik.
        Sebelum aku mengakhiri catatan aku ini.. kini aku rasa aku setuju dengan apa yang  tercatat dalam dua gambar akhir ini, menilai semula dan menghitung kekhilafan untuk diperbaiki kelemahan dan kekurangan.  Semoga ada rezeki buat aku ini, insyaallah. Ya Allah, jangan dipalingkan hatiku ini kepada sesuatu yang bukan hakku dan jangan jauhkan aku dari MU dalam aku bertatih pada usia ini kepada MU juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan