Jumaat, November 10, 2017

KIRANYA ADA WAKTU UNTUK MEMULAKANNYA SEMULA

Assalamualaikum.....
Setelah sekian lama tidak mencatat dalam blog ini. Wajah-wajah haiwan kesayangan ku ini sudah tiada lagi. Telah meninggalkan aku agak lama jua. Semua itu hanya pinjam-pinjaman. Alangkah rindu dengan si kecil yang kupanggil Lion ini. Mungkin nama besar yang kuberikan kepadanya yang kecil itu agak berat maka tidaklah tertanggung olehnya bebanan nama itu. Hmmmm, hanya kata-kata orang tua-tua berdasarkan pengalaman mereka.

 Hari ini atau lebih tepat dinihari ini aku tidak pun bercadang untuk mencatat namun setelah membaca entri-entri yang pernah aku catat, terpanggil aku mencatat dan memulakan semula catatan ini. 
Membaca beberapa entri yang lalu, menjadikan aku tertanya-tanya benarkah semua catatan dalam blog ini aku yang menulisnya. Begitu baik susunan tulisannya dan jelas isi kandungnya, sebaik itukah aku dulu?? Tersenyum sendiri jadinya. Sudah lama aku tidak 'berbicara' seperti itu. Kini, bolehkah aku untuk mencatat lagi.Hah, kali ini aku mencabar diri ini sendiri. Menyahut cabaran untuk mencatat aktif dalam blog ku ini. Insya-Allah akan aku buktikan dengan pengalaman alami ini aku tetap punya 'suara' yang berdikari, mandiri, bernas dan berkredibiliti.

           Aku pasti lebih hebat kelak. Hahahaha, pujian untuk diriku sendiri. Yang pergi biarlah pergi, usahlah ia ditangisi lagi. Pujuklah hatiku ini. Allah pasti ada di sisi ini.

           Jatuh bangun seseorang bergantung kepada dirinya sendiri. Kita pasti tahu kelemahan diri sendri tetapi masih tidak mahu cuba membaiki kelemahan diri sendiri, malah sanggup membiarkan terpendam terlalu lama. Ketika parah kita pasti sudah terlambat. Namun, terlambat itu tetap lebih baik daripada tiada.


           Sudah di pertengahan usia ini malah mungkin sudah dekat dengan penghujungnya hati ini terlalu cepat terasa. Terasa dipinggir, terasa diabai, terasa disingkir, terasa dianiayai.....malah macam-macam lagi yang terasa di hati ini. Itu tandanya sudah tua. orang tua akan selalu sensitif dan merajuk, waima dengan diri sendiri pun boleh merajuk. 
          Semoga hati ini masih kuat, masih ada di jalan benar dan lurus, dikuatkan iman dan dicekalkan hati. Kini, kita sudah jadi tempat rujuk buat orang lain. sepatutnya kita sudah pasti hebat berbanding generasi yang ada ini. semoga aku akan terus kuat.


 Untuk tempoh 9 bulan tanpa mencatat ini, ada pelbagai pengalaman dan kisah yang aku dan mereka di sekelilingku lalui, Yang berat, yang ringan, yang elok dan bagus, yang buruk dan keji, yang samar-samar, pahit, manis masin...
Akan kukongsikan kelak dengan caraku sendiri kelak. Semoga ia bisa menjadi nasihat, ibrah dan iktibar buat yang lain. Yang mungkin melintas-lintas di salah satu blog aku yang tujuh.  Buat kali ini, cukuplah catatan ini memulakannya semula... Semoga aku tekal menetapkan tekadku.



Jadikanlah diri menjadi seseorang yang berguna dan bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain,

seperti menjadi benih yang baik itu...
Dicampak ke laut menjadi pulau,
Dicampak ke darat menjadi gunung,
Dicampak ke langit pastilah menjadi bintang kejora. 
Sesungguhnya kelemahan yang ada ini adalah daripada diriku sendiri, yang baik itu daripada Allah. maka sebaik-baik perancangan dan kejadian itu jua daripada Allah        

Cukuplah buat kali ini. Wallahualam bissawab.
#nasihatuntukhidupkuyanghidup.

Rabu, Februari 15, 2017

CATATAN TANPA TAJUK



ASSALAMUALAIKUM... 

Catatan ini kononnya tanpa tajuk. Namun itulah sebenarnya tajuk. Aku tidak meletakkan tajuk khusus kerana tidak pasti apa yang bakal aku panjangkan di sini. Mungkin hanya rapu-rapuan yang kuluahkan sekadar untuk menyenangkan hati sendiri.

         Untuk mencatat sahaja, aku memerlukan tempoh dan keluangan masa yang begitu panjang.  Ku kira masa ku tidak dapat kususun dengan baik. Itulah satu rezeki yang menghindar dari diri ini. Semakin hari semakin jauh dengan sesuatu yang aku inginkan...yakni kelapangan dan kerehatan. Serasa, hari-hari ku semakin pendek dan masa yang berlalu terlalu cepat. Berbuat kerja yang mudah pun terasa mengambil masa terlalu panjang. Allah, ampunkanlah dosa-dosa yang telah kuperbuat. Entah di mana pun silap tidak dapat untuk kucari. Bingung juga jadinya.

Pagi ini aku tersedar dari tidurku dengan mimpi yang tidak begitu menyenangkan hati. Namun aku akur bahawa kita tidak boleh mengubah sesuatu tanpa keizinan Allah.... cuma aku bisa berdoa agar apa yang buruk dalam mimpiku ini dijauhkan dariku. Sebulan lalu, aku tiada bermimpikan sesuatu....hanya dua tiga bulan sebelum itu, aku bermimpi gigiku tercabut....dan setelah dua bulan baharulah aku menerima dan menghadapi beberapa kematian dalam lingkaran sekitaran hidupku. Apakah ini juga bermaksud mimpi buruk itu akan benar-benar berlaku selepas dua bulan dari sekarang. Ya Allah, tempatkanlah orang-orang yang kami kasihi dalam kesejahteraan yang melewah. Dan, jika tiba masanya KAU menjemput kami kembali ke pangkuan MU...jemputlah kami ketika kami dalam keadaan redha kepada apa sahaja yang kami miliki. Mimpi memberikan kesan yang agak mendalam dalam hidup ini, namun aku tidak boleh membiarkan mimpi terus mempengaruhi hidup aku yang seterusnya. Hakikatnya, aku sudah cukup tua untuk menjadi anak-anak yang memikirkan hal-hal remeh seperti itu.
         Dan, pagi ini juga aku bangun dari lenaku dalam keadaan terkejut. Tidak seperti biasa yang agak bertenang. Hati ini berdebar-debar dan mengalami keresahan. Namun aku kembalikan kegusaran ini kepada Maha Penciptaku. Pasti ada sebab mengapa hari ku ini bermula begini. Semoga Allah mengampunkan dosa dan kekhilafan diriku ini sama ada yang aku sedar mahu pun tidak. Tentu aku sudah agak menjauh dariMU, maka KAU datangkan ujian ini berterusan supaya aku kembali dekat padaMU... Terima kasih, Allah..


       Apapun yang berlaku dalam hidupku yang lalu seharusnya hanya menjadi suatu pengajaran dan membantuku memperbaiki langkah-langkah perjalananku agar lebih kemas dan baik. Walaupun ada antara kisah-kisah lama itu begitu mengesankan dalam hidup ini, ia masih tetap sejarah yang tidak akan berulang lagi.. Itulah hakikatnya. Hakikat bahawa bukan semua yang kita inginkan bisa  menjadi milik kita. Terutama tentang jodoh, rezeki serta ajal dan maut kita. Setiap fasa dalam hidup kita akan kita lalui dengan aturannya yang tersendiri. Aku sering menanamkan dalam minda dan hati, Allah sentiasa mendengar kita dalam apa sahaja keadaannya. Takdir juga pastinya akan berubah jika kira meminta dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Berdoalah sentiasa wahai diriku semoga apa sahaja yang baik akan Allah campakkan ke dalam perjalanan hidup yang tidak ku ketahui kesudahannya.
         Pagi ini dada ku berasa sakit, terhimpit, tekanan dan serba rasa yang ada. Hidup ini suatu perjudian. Terkadang menjadi mentimun, tergolek atau menggolek tetap akan terluka. Kekadang menjadi besi waja, diketuk, dipalu, dibekukan dan dibakar tiada akan memberikan kesan. Ada kalanya menjadi angin yang berlalu seperti tiada apa-apa berlaku.  Allahuakbar, mengapakah hariku dan hatiku ini berasakan kesesakan yang sebegini.
    
       Apabila melalui saat-saat hambar dalam hidup ini aku berasakan perlu ada perubahan dalam hidup yang aku tidak pernah tahu  berapa lama lagi yang ada. Cukuplah berubah untuk menjadi seseorang yang mencintai segala pemberian Allah kepadaku dengan rasa penuh bersyukur. 
     
Alhamdullillah...
Alhamdullillah...
Alhamdullillah...

Ya Allah jadikanlah aku orang yang sentiasa bersyukur. 
Dan jadikanlah aku orang yang tidak pernah rugi,
sama ada aku sedari mahupun tanpa aku sedari.

        Hari ini, dalam tahun yang baharu  berlalu lebih kurang 40 hari ini.... aku terasa kehilangan sesuatu. Sesuatu yang aku sendiri tidak pernah pasti. Hari ini aku menyambung catatan ini dengan rasa dalam hati ini tiada hala tuju. Untuk apa harus aku jadi seperti ini. Banyak yang perlu aku lepaskan mungkin, tapi aku sendiri tidak pasti. Maka aku nasihatkan diri ini....hargailah apa yang aku miliki ini. Biarpun sebenarnya aku tidak pernah tahu apa yang aku pernah miliki dan punya.



       Jodoh bukan milikku hingga saat ini, namun aku tidak mungkin beralah setakat ini...tidak juga pasrah menunggu semua itu berlaku secara semula jadi. Jika ditakdirkan memang bukan rezekiku untuk memiliki keluarga sendiri, semoga jadikanlah aku ini ya Allah seorang yang sentiasa bermanfaat dan berguna kepada orang lain. Jadikanlah aku seorang yang mudah didekati dan mendekati yang lain yang boleh membawa ke syurga. Jadikanlah diri ini seorang yang kuat menerima qadak dan qadar MU, jua.  Ketidakseimbangan kesihatan ku ini semoga tidak menjadi sebab orang lain menjadi terbeban dan tidak mengungkit-ungkit bersebabkan diriku. Dalam jangka hayat yang tak kupastikan ini, aku berdoa kehidupan ini bermakna dan membahagiakan.

       Andai, kehidupan aku ini sesungguhnya begitu singkat...jadikanlah masa yang ada ini penuh keberkatan. Lapangkan aku untuk berbakti kepada orangtuaku.. luaskanlah rezeki ku dalam memenuhi keperluan orang tuaku. Jadikanlah hidup ibuku yang bersisa ini penuh kegembiraan, kebahagiaan dan kesejahteraan.
Mudahkanlah aku bermusafir, dan berjalan di muka bumi MU ini dengan penuh rasa tawaduk dan kesyukuran, 
dan bantulah diri ini menebus kesalahan-kesalahan yang kuperbuat dan mungkin tidak disenangi oleh orang lain. Jika bersalah, semoga aku boleh bermohon maaf dan sempat juga dimaafi dan dimaafkan..

        Doaku buat orang-orang yang aku sayang dan cintai, sama ada rasa itu disedari mahupun tidak...semoga mereka berbahagia, dirahmati perjalanan hidup mereka dan dikekalkan keberkatan dalam semua perkara dan hal di dunia dan akhirat..

          Alhamdullilah, selesai juga catatan ini...selama 6 bulan kurancang namun kuabaikan.. 
Apa yang baik sesungguhnya datangnya dari Allah.....andai ada kekurangan, kelemahan dan kebobrokan..pasti aku lah penyebabnya.. 

Nasihat untuk hidupku yang hidup..