Selasa, Mac 30, 2010

Beberapa minggu yang mengongkong, mengekang... atau membebankan?

Berkisah sedikit tentang diri aku beberapa minggu belakangan ini. Aku terasa menjadi seperti bukan diri aku sendiri. Dalam hidup kita seharusnya akan melalui pelbagai terma ujian dan akhirnya mendekatkan kita kepada DIA yang Maha Pemurah dan Penyayang itu.. Maka perkataan SABAR itu perlu ditingkatkan.


Setelah beberapa waktu berlalu, baru hari ini aku menyedari sesuatu. Masalah yang aku hadapi beberapa waktu itu sebenarnya mendidik aku dengan rasa sabar dan bertenang. Ketenangan hidup itu hadir daripada ketenangan hati yang dikurniai keikhlasan dan kesabaran. Maka cahayanya akan terpancar di wajah.


Bohong jika aku tidak merasai perubahan sikapku... Aku tiba-tiba menjadi pemarah, kurang sabar dan mengikut perasaan dan tuntutan hati yang serakah. Kesabaran sentiasa aku rasakan hilang dengan tiba-tiba. Sehinggakan ada ketikanya, aku melepaskan kepada mereka yang tidak berkaitan.. Ya Allah, redha aku dengan segala ujian ke atas aku ini.



Bersama anak-anak dan komuniti di sekeliling aku ini... menjadi suatu tanggungan yang begitu berat dan menjengkelkan. Sampai bila harus bergantung kepada aku. Itulah persoalannya.. sedangkan kutanamkan dalam hati untuk terus sabar dan ikhlas. Berbeza dengan mereka, aku tidak punyai dia untuk mengadu dan bergantung harap...tapi cukuplah DIA bagiku.

Namun segalanya itu ujian yang mendidik jiwa aku ini... dan beberapa kejadian yang berlaku itu mentarbiah aku secara semula jadi... Sabar itu sudah tentu tidak sama dengan ikhlas.


tetapi perlu saling beriringan. Maka dengan sedikit sabar yang tersisa itu, aku beristigfar seacap mungkin, semoga jawapannya akan ada... untuk beberapa hari ini biarlah bahang itu mendakap diri dan menyusahkan diri ini... mungkin akan ada isyarat dan petunjuk nanti.... Mimpi-mimpi yang aku alami tidak menggambarkan sesuatu yang tidak baik, insyaallah... Malam tadi sahaja aku bermimpi menjamah dan makan hidangan yang manis, menyihatkan dan menyelerakan. Aku masih bisa berjalan di atas air yang jernih tanpa sebarang alat... seperti bermain dan menari-nari tanpa rasa bimbang.. Semoga mimpi itu datang dari DIA yang tercinta... Biarpun aku bukan pentaksir mimpi namun aku yakin, kebahagiaan dan keselesaan mimpi itu menggambar tafsiran yang baik juga, apatah tafsiran mimpi aku selalu selaras dengan kenyataan sebenarnya... tidak berbalik atau berlawanan dengan keadaan sebenar dan nyata.

Jika mereka tidak mengenali aku, pastinya ada yang beranggapan aku ini seorang yang pelik dan penuh misteri. Penuh dengan emosi, situasi, memori yang aneh-aneh. Tetapi inilah aku ini. Seorang hamba DIA, yang sentiasa dalam serba kekurangan dan kelemahan. Tetapi berbahagia dengan anugerah yang DIA berikan kepada aku ini.

Setelah beberapa hari berlaku dan berlalu, keresahan dan kebimbangan aku semakin berkurang dan aku bertenang kembali. Aku tahu dan faham 'makna' semua itu. Dan, aku sudah kembali memberikan apa yang termampu.... memberikan sedikit keistimewaan yang aku miliki untuk ahli keluarga aku dan mereka yang berkenaan... Minda aku sudah kembali mudah berfikir dan merancang kerana pemberian itu... Tiada rungutan yang ada dalam hati dan minda tentang segala apa atau sesuatu yang aku nampak dan alami... semua kembali nyata... Alhamdullillah.. Alhamdullillah, alhamdullillah atas segalanya..... DIA juga telah mengembali 'naluri' dalam diri aku ini, gerak rasa.....yang bukan dimiliki oleh semua orang... 'Naluri' yang ketika ahli keluarga aku sakit, aku akan terasa sakitnya dahulu... naluri apabila seseorang berniat tidak baik kepada aku, aku akan terasa berdebar-debar... naluri, apabila seseorang merindui aku, aku juga akan teringat kepadanya terlebih dahulu.... dan naluri, naluri, naluri yang tidak kujangka-jangka.

Semoga aku akan dapat berbakti dengan penuh sabar kepada orang tua aku.... Semoga doa aku akan sentiasa diperkenankan... apatah lagi ketika aku perlu atau patut membantu orang lain. Aku redha menanggung pelbagai tanggungjawab ini jika hal ini membawa kepada DIA.... Semoga akan hikmah atas segala-galanya.

Keresahan aku yang datang tiba-tiba dan hilang semerta itu juga telah aku tahu akan ertinya... Maka nikmat manakah lagi yang perlu aku dustakan? Tiada, tiada dan tiada.... nikmat DIA yang dapat aku dustakan... Semoga aku akan menjadi insan dan hamba yang tidak lupa bersyukur... Bersyukur, kerana penglihatan, pendengaran, dengan keupayaan diri, dengan kebolehan dan bakat yang ada, dengan segala denyut jantung yang berdegup ini.... dengan segala-galanya. Jika semua ini tiada pun, semoga aku masih menjadi seorang yang bersyukur dan tidak jauh dariNYA... Pendek kata, semoga aku ini qanaah dan sentiasa berasa cukup dengan segala sesuatu.

Ketika ini, semoga doa dalam sujudku... bacaan ayat-ayat AlQuran dalam hembusan aku... permintaan-permintaan dalam usaha aku ini..... akan membuahkan hasil dengan segala keizinanNYA, yang membawa suatu penyembuhan dan kebaikan kepada oranglain mahupun kepada diri aku sendiri. Entah mengapa kadang kala berasa betapa beruntungnya seorang aku ini, biarpun tanpa kelewahan harta benda tetapi mewah dengan pelbagai perkara. Minggu-minggu yang mengongkong, mengekang dan membebankan itu mungkin akan datang lagi... mungkin bertambah kerap.. mungkin meresahkan, membimbangkan dan menjengkel.... NAMUN yang penting... aku akan tetap melalui dengan redha DIA.... pasti sesuatu itu adalah sememangnya untuk aku...

Tiada apa yang lebih baik selain daripada diuji dan hasilnya adalah keberkatan dan kebahagiaan.. Biarpun berkali-kali aku melalui pelbagai ujian, DIA pasti menghadiahi sesuatu kepada aku, biarpun kecil atau tidak terlihat dek mata kasar.. Semoga aku tidak akan lupa siapa aku dan aku siapa dan siapa-siapa aku?

Semakin banyak yang aku catat, semakin banyak pula yang mengelirukan.... maka aku berhenti setakat ini dulu... sebelum menyambung catatan aku yang lain kelak. Semoga aku akan dapat terus belajar dan belajar.... InsyaALLAH... Wassalam.

Khamis, Mac 18, 2010

Dia pada pandangan seorang aku....

Ada ketikanya apabila melangkah dan menyelusuri jalanan yang berliku dan mengambil masa ini, aku terfikir akan segala nikmat ALLAH kepada semua makhluk di dunia ini.. Yang aku kira tidak perlu di persoalkan dan dipertikaikan.. segalanya ada di hadapan mata dan tiada apa yang perlu dipertikaikan...

Tertarik juga dengan ungkapan yang seorang sahabat baru-baru ini... memanusiakan manusia..
Tidak pasti kenapa aku begitu tertarik dengan rangkaikata itu... sedangkan sebelum ini sudah berpuluh kali mendengar ungkapan itu... Mungkin disebabkan tajuk yang aku pilih untuk catatan ini... Catatan ini sudah dalam draf lebih seminggu lalu... namun baru hari ini 24 Mac... aku berpeluang menyambungnya. Rupanya DIA ingin memberikan aku peluang untuk memperkatakan lebih menyeluruh tentang tajuk yang aku pilih ini " Seorang dia pada pandangan aku.."

Sewaktu aku kecil, aku hanya mengenali dia, abangku... dia, bapaku... dia, datukku.... dan dia yang menjadi temanku, yang kini aku anggap abangku... yang mengasihi aku dan tidak mengakui hakikat itu... aku melihat dia, melalui dia, dia, dia itu....
Kini aku bisa juga melihat dia dalam pelbagai rupa... dan aku bisa mengenali dia, menyayangi dia, mendidik dia, menjadikan dia seperti dia sekarang ini... dan mengetahui banyak golongan yang bernama dia yang curang, biadap, lupa diri, angkuh, tidak berakal dan bermacam-macam dia lagi... walaupun bukan semua sama, namun seorang aku akan bisa menjadikan dia sebagai manusia budiman, atau menghancurkan keegoaan dan keangkuhan dia... malah menjadikan dia seorang yang tidak bermoral... namun tergamakkah seorang aku menjadikan dia seorang yang gagal dan musnah... Seorang aku juga akan menjadi manusia budiman, manusia bermaruah, manusia berakhlak mahupun manusia songsang dan hina....oleh dia..

Pokok persoalan, DIA menjadikan segala sesuatu itu secara adil... sama ada saling menyokong mahupun saling memusnah...

Menyentuh persoalan memanusiakan seorang manusia... segalanya jelas. Semua perlu diseimbangkan.. seseimbangnya... baru manusia itu jelas manusia...
Aaah.... semua semakin mengelirukan...

Maka, aku ingin kepada tajuk catatan ini.... dia pada pandangan seorang aku hari ini, dan ketika semasa ini.
Pertama, dia yang aku sentuh... dia yang amat aku kasihi... pada zahirnya aku tidak melihat dia sebagai seorang yang hebat... sudah jauh dia pergi. Malah aku sentiasa berdoa dia akan semakin jauh untuk kebaikan dirinya.. Namun, ada sedikit kekesalan di hati ini... dia tidak seperti dia yang aku harapkan... Aku tahu dia bahagia dan aku sentiasa berharap dia berjaya.. tetapi aku bimbang akan sikapnya..yang tidak berubah. Sehingga kini lebih tujuh tahun aku 'melihat' dia dalam situasi dia... banyak perubahan namun ada sikap yang tidak berubah. Siapa aku untuk menegurnya. Hanya yang mampu, aku mendoakan dia semoga tidak 'terperangkap' dengan sikapnya itu. Jika dia membaca catatan ini, dia pasti mengerti maksud catatan ini.
Ketika dia memulakan diari kehidupannya yang baru, aku menggambarkan dia akan menjadi dia yang lebih hebat, didampingi oleh yang berakhlak dan sesempurna mungkin pada pandangan dia, pasti dia akan berubah. Sekurang-kurang berubah untuk memastikan cinta dia berkembang dengan subur dan memenangi hati semua orang di sekeliling... Namun hanya sebahagiannya yang berubah dan yang banyak yang masih kekal... Mengapakah seorang dia tidak bisa berubah walaupun sejengkal anjakan... Aku tiba-tiba berasakan ada luang-luang dalam hidupnya tidak dijalani seikhlas mungkin... Mungkin sahaja aku silap... namun dengan kasih sayang yang DIA campakkan dalam hati aku ini, aku sentiasa berdoa dia akan mengenalpasti kesilapan dan kelemahan itu yang ada dalam pandangan aku ini... yang bersifat peribadi ini... dan membaiki, biarpun sedikit demi sedikit... mengambil masa yang panjang... kerana segala sesuatu yang baik itu tiada had, atau masa yang menentukan permulaan mahupun pengakhirannya... Mungkin aku tidak pantas untuk menyatakan semua ini... Namun aku berharap jika dia melihat aku... lihatlah sinar kekecewaan dan kehampaan di mata aku ini... kerana dia tidak mengubah sikapnya itu. Aku tidak berhak menyatakan atau membetulkan namun sebagai seorang aku yang mengasihimu, berubahlah untuk kebaikan dan kesejahteraan dirimu... Aku akan sentiasa memerhatikan dia dalam erti kata yang aku sendiri memahaminya. Jika dia sentiasa berazam memanusiakan manusia... menjadi yang bertaqwa, semoga dia akan mengubah sedikit kekurangan pada pandangan seorang aku.. semoga dia memahami..

Dia pada pandangan aku, keduanya... merujuk kepada dia yang akhir-akhir ini menyerlah kecerdasan IQ dan EQnya... kagum aku kepada dia. Dia berusaha mendidik dirinya di samping mendidik orang lain. Tidak prejudis dan tekal dengan keikhlasan yang sebaik mungkin. Walaupun dia tidak sehebat dia, dia,dia yang lain kerana usianya namun EQnya menjadikan dia matang dan tekal dengan pegangan dan tanggapan yang jujur... Aku sentiasa mendoakan dia , berjalan pada landasan yang benar, berpijak di bumi nyata dan sentiasa hidup dalam realiti... seterusnya berjuang menjadikan manusia sebagai manusia yang budiman termasuk dalam membentuk peribadinya sendiri. Kadang kala tertanya-tanya juga dari mana datangnya dia yang seorang ini? Perihatin dengan dunia, akhirat, agama dan negara... Perjuangan, jihad... apapun bunyinya sudah wujud dalam darahnya dengan sendirinya... Aku kagum dengan dia, dan aku akan sentiasa mendoakan dia menjadi seorang pemimpin yang berjaya dan berkaliber... bukan hanya petah bicaranya, bukan sahaja tangkas lakunya, bukan sahaja cerdik minda..... malah segala sesuatu yang sepatutnya ada pada dia... semoga akan ada pada dirinya... Aku bersyukur dan aku akan sentiasa mendoakan dia...

Ketiganya, Seorang dia yang sentiasa mengalah, mengalah, mengalah dan akhirnya berputus asa. Usia yang matang, tidak menjamin kematangan seorang dia.. Itulah dia, merana kerana cinta.... kecewa kerana gagal.. musnah kerana berputus asa.. Namun pada aku, apapun pandangan orang lain kepada dia... semoga DIA memberikan kekuatan... kerana dalam diri dia ada keinginan... tidak malu untuk mula belajar kembali daripada yang paling asas... jika mengaji AlQuran, bermula daripada alif, ba,ta... jika mula membaca rumi daripada a, b, c.... jika menunaikan sholat bermula daripada berwuduk... Biarlah lambat daripada tiada langsung.. Ada ketikanya aku berasakan dia mungkin akan terus gagal. Namun dia sanggup untuk belajar semula.. dan aku kira dia akan terus belajar. Semoga akan ada kekuatan buat dia meneruskan usaha untuk membangunkan dirinya sendiri.

Cukuplah untuk kali ini, tentang dia pada pandangan seorang aku... banyak lagi aktiviti yang perlu aku laksanakan dan selesaikan..maka aku berhenti dahulu setakat ini... jika waktu mengizinkan aku pasti mencatat lagi...
Wassalam.

Selasa, Mac 09, 2010

YANG TERSIRAT ITU.....

Ketika ini aku tidak tahu apakah keadaan aku... marah, sebal, geram, lega... sedih, meluat???? Tidak tahu yang mana satu emosiku ini... Hah, baru kembali berkursus menyegarkan minda, mempositifkan tanggapan, mendidik hati..... mengawal emosi, mengatur strategi.. adakah itu segala sesuatu yang memberikan kesan buat aku?


Perjalanan yang ada semakin singkat... jika dalam kursus itu aku didedahkan, diberi ingatan bahawa umur kita semakin pendek.... jika mereka baru tahu, aku sudah tahu lama sebenarnya... sejak usiaku belasan tahun lagi.. dulu lagi. Saban kali pada ulangtahun kelahiran, aku akan menangis kerana jangka hayat dan janji ku semakin bertambah pendek... sehingga kini...


Dulu aku takut menghadapi kenyataan... bagaimana akan aku lalui akhir masa ku itu, ketika nyawa diangkat dari tubuh badan ku... aku berasa bimbang dan mencari bagaimana untuk aku tidak melaluinya... DAN, semua itu MUSTAHIL!! Siapa yang bisa lari daripada janji itu... hidup ini yang berjanjikan kematian. Setiap kali menziarahi kubur, aku tidak ingin membayangkan bagaimana keadaan aku berbaring dalam kegelapan itu... dan aku menjadi semakin takut. Tahun demi tahun yang berlalu aku menghitung hari, usia aku yang semakin pendek itu....


Namun aku teringat ketika dia, ayahku itu menghembuskan nafas itu pada usianya yang boleh dikatakan muda lebih kurang 58 tahun tahun... beliau berkata kepada aku,


" Bapak hendak tidur dan berehat.. Bapak terasa begitu penat.. DIA (ALLAH) hanya memberikan peluang dan umur ini untuk bapak.. Mungkin DIA tahu bapak penat, maka dia mengkehendaki bapak tidur dan berehat sebelum bapak berputus asa... gunakanlah usia kamu sebaiknya. Bapak tahu kamu pasti bersedia, bagaimana susahpun ... bersabarlah. Berkahwinlah dan jadikan dia raja jika dia benar, namun jika dia tiada... bukan dia untuk kamu, hanya DIA bagi kamu... dan jangan kamu putuskan tali persaudaraan, kerana antara kamu dan DIA adalah saudara-saudaramu... Jangan abaikan emakmu, kerana daripada rahimnya kamu lahir, dan berkahwinlah supaya kamu tahu apa erti menjadi emak kelak.. Sudah masa bapak berehat. Ingatlah bahawa jika kamu lari daripada satu masalah walaupun kecil pasti kamu akan dikejarnya sehingga bila-bila... hadapilah, kenyataan itu pahit namun benar itu sahih.. sejahtera"


Duduk aku di sisi dia dengan rasa tenang dan aman dalam hati dan mindaku ini. Aku sudah bersedia .... masih berwuduk selepas solat dan di tanganku ada naskah yasin yang akan aku bacakan untuk dia. Ketika itu aku mengiyakan dan mengizinkan...

dan aku berkata lagi, " Bapa tidur dan berehatlah...". Kerana pada fikirku mungkin disebabkan kesakitan pada kakinya yang bernanah akibat tertendang satu batu dan merebak teruk kerana penyakit kencing manisnya itu, dia berasa begitu penat... dan aku merelakan dia pergi dengan redha... Pada aku biarlah dia berehat, berehat untuk selama-lamanya, jika itu terbaik buatnya. Aku ketika itu bersedia... Jika dengan cara itulah dia tidak akan berasa sakit lagi....setakat itu jugalah yang dapat aku fahami segala kata-katanya...


Kini, aku tetap menangis menjelang hari ulangtahun kelahiran aku, terutama usainya aku berqiamulail termasuk menunaikan solat hajat... kerana aku sedar aku punyai masa yang singkat berbakti kepada orangtuaku yang ada ini... aku mungkin mempunyai masa terhad untuk beribadah, untuk berbuat amal kebajikan dan untuk melaksanakan aktiviti untuk menerangi perjalanan ku kelak... bermula untuk menerangi kegelapan di alam kubur kelak.


Tetapi sebenarnya aku juga amat gembira kerana jangka aku menemui DIA, dan Dia(SAW)... semakin singkat juga. Aku sentiasa berdoa semoga berehat aku kelak dalam sebaik-baik keadaan. Sebagaimana dia yang meninggalkan dunia fana' dengan kesanggupan menanggung beban kesakitan dengan alasan dia ingin pergi dengan seluruh anggota yang lengkap...

Dan, kini aku terasa sudah memahami amanat dia dahulu... tentang hidupku yang bakal aku lalui. Tentang ketentuan usia dalam hidup ini, tentang pengisian dan hati nurani yang ikhlas kerana Allah.. Serta aku berasa ingin sentiasa melalui hidup yang bermakna ini. Semoga akan ada yang terbaik untuk aku ini.


Waktu ini aku terpanggil juga untuk mencatat kekalutan yang berlaku dalam hidup kita ini. Sebilangan kita menjadi sombong dengan apa sahaja yang dimiliki... maka ada ketikanya meletakkan kesalahan atau kesilapan kepada orang lain. Disebut-sebut, diulang-ulang berkali-kali.... mendabik dada, namun membuka aib orang lain.. supaya pekung di dadanya tidak dapat dikesan dan dipertikaikan.


Bertanggungjawablah kepada diri sendiri dan mengakui kelemahan diri seterusnya memperbaiki kelemahan biarpun sedikit demi sedikit itu adalah berhemah.. Orang yang berhemah itu cantik dan dimuliakan. Berpekerti mulia itu adalah cantik dan sempurna...dalam erti yang umum. Maka yang tersirat itu adalah semulia yang dipaparkan.

Penceramah tempohari berkata... keindahan rupa paras yang indah pada seseorang adalah menggambarkan hati dan keikhlasan seseorang itu. Semakin tinggi adabnya, semakin mulia dan indahnya dirinya... akan terpancar nur kebaikan hati itu di wajah. Seperti mana jika seseorang itu melihat guru, maka ada yang akan tahu individu itu guru tanpa bertanya pun... Keadaan itu sering berlaku kepada aku ini... Perkenalan baru sering berlaku dan dalam pertemuan itu, tanpa memperkenalkan diri..kenalan itu sentiasa akan dapat menduga siapa aku.


Mungkin tindakan dan perkataan teman-temanku itulah yang menyakitkan hatiku hari ini. Menuding orang lain dengan sewenang-wenangnya dan apabila menyentuh tentang diri sendiri, ia menjadi 'hilang' dengan alasan individu lain itu buat itu dan ini. Aku sebenarnya sudah lali... sejarah hidup yang lalu tidaklah seindah mana.... namun aku selalu ingin belajar daripada pengalaman benar... pengalaman yang memberikan jiwa dalam ilmu di minda dan memberikan iman di hati aku ini.

Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
Barulah boleh dipanggil orang (yang budiman)

[Budiman daripada semua segi... Sempurna itu menjadi orang yang budiman itu bersinonim sesuatu yang fleksibel... menurut kaca mata atau pandangan]

Kadang kala mereka yang tidak melalui, hanya pandai menuding tanpa meletakkan diri mereka pada keadaan yang lain. Mungkin disebabkan pendidikan yang lebih baik, status yang lebih tinggi... mereka lupa bahawa rumput dan bumi yang dipijak itu adalah tapak untuk mereka berdiri. Bersyukurlah jika hari ini kita tidak kekurangan apa-apa, namun beringatlah mungkin kita juga akan kekurangan segala-galanya.

Buat adik-adik, ilmu yang banyak itu.... dan sijil dengan pencapaian tinggi itu, bukan ukurannya darjat manusia sebagai hamba Allah... Jika banyak solatmu tapi menunjukkan tindakan mu dan berpaling niatmu.... tiada pahala malahan dosa yang menokok... Jika banyak zikirmu dan fasih bacaan AlQuran mu tetapi angkuh ucapanmu dan mengadu domba, memfitnah dan mengumpat kebiasaanmu .... maka hilanglah amalanmu... dari ungkapan yang keluar daripada mulut yang sama... sewaktu berkata-kata kadang-kadang kita tidak sedar, natijah itu pula datang hasil ucapan yang sia-sia dan tanpa berfikir terlebih dahulu. Wallahualam.

Maka dengan segala yang tercatat di atas, semoga yang tersirat itu terungkap, semoga yang tersembunyi itu terserlah dan semoga yang tersimpul itu terlerai, InsyaALLAH..

Wassalam.

Selasa, Mac 02, 2010

TIBA-TIBA TERASA RINDU, KADANG-KADANG TERTANYA SENDIRI..."MASIHKAH AKU MAMPU??"

Bermula berucapan salam.....
Aku ingin mengatur bicara mengikut rentak naluri aku ketika ini..... Entah mengapa, tiba-tiba aku terasa RINDU.... padanya, ketikanya, di sisinya.... Mana bisa aku melupakannya begitu sahaja. Aku panjatkan doa yang panjang untuknya, buatnya, mengiringinya... semoga aku bisa menjengahnya lagi... seacap mungkin...

Tiba-tiba aku berasa sangat rindu.. terasa ingin ketika ini juga menemuinya... Rindu aku padanya... Melihat keliling aku ini, terpandang-pandang.... ternampak-nampak... Rupanya, ketenangannya.... kebahagiaannya.... kedamaiannya. Dan aku terfikir dan tertanya-tanya sendiri... Masihkah aku mampu menemuinya lagi....????

Sebelum-sebelum ini ada jua di ingatan aku ini... dengan beberapa permasalahan dan tanggungjawab yang aku lalui ini, aku sebentar kehilangannya. Namun aku pasti suatu hari nanti berjodoh jua aku akan saat, ketika dan ruang untuknya... Cukuplah ketika ini aku dan saban hari aku berdoa semoga akan ada rezekiku, akan ada lapangku dan akan ada keberkatan buat aku untuknya... Bertahun-tahun aku mengharap akan pertemuan ini... Biarpun jauh dipisahkan lautan dan benua, namun akan juga aku usaha, ikhtiarkan... Sedikit-sedikit lama-lama pasti akan membukit, sehari selembar benang akhirnya akan jua menjadi kain. Aku menyimpan niat dalam hati aku ini... hasrat yang murni dan ikhlas. Dan aku juga tahu DIA pasti merahmati hasrat murni ini.

Menyebut tentang rindu... aku ingin menyentuh beberapa perkara yang aku lalui kini.. Bukan aku tidak sayang, bukan juga aku tidak kasih...apatah bukan jua aku tidak rindu. Semua dalam hati aku ini adalah ribuan rindu beriringan dengan kenangan manis dan indah...

Aku berasa serba salah... Aku rindu pada ibu itu, yang suatu ketika dulu agak akrab dengan aku... Seringkali ibu itu menyebut aku. Dan aku sendiri juga ingin sekali menziarahinya. Mungkin bukan sekarang... dan, aku ingin dia tahu... Luka lama dalam hati aku ini masih berdarah... dengan macam-macam hal yang berlaku antara aku dan dia... Ibu itu pernah berkias menyindir aku.. namun aku hanya diam. Dia pernah berterang-terang memperlekeh aku berbanding banyak orang, dan.... aku masih diam. Dia pernah tidak bersikap adil kepada aku, namun aku tetap diam...

Bukan bermakna diam itu setuju, juga tidak bermaksud akur, tidak juga bererti redha... Sebagai manusia biasa, aku ingin menyatakan....sekiranya dia boleh mendengar atau membaca catatan ini bahawa ... hati ini terluka. Sehingga apabila aku mengatur langkah menemui dia, aku akan terfikir dan hatiku pasti berkata-kata, "Mampukah aku melalui semua ini... dan bersabar?"

Teringat aku dengan satu mutiara kata yang pernah aku baca beberapa waktu terdekat dulu...

'Sesuatu yang baik mestilah dimulakan dengan baik... dan disudahi dengan kesudahan yang baik, Barulah mudah-mudahan mendapat kebaikan."

Aku tahu aku bukanlah bersikap adil dengan dia tetapi aku juga tidak menganiayai sesiapa, sehingga dengan begitu mudah dilabelkan seorang yang tidak berkeperihatinan kepada oranglain. Aku pasti ada imbal balik atas semua perbuatan keluarga dia kepada aku.... aku tidak sesekali mendendami sesiapa, apatah lagi menginginkan keburukan ke atasnya.... Entah mengapa aku teringat ibu itu....dan aku juga tidak pasti sempat menemuinya pula. Dalam hati ini, ingin aku melawatnya tetapi dalam hati ini juga aku cuba meredakan keresahan aku menidakkan dia dalam rasa terkilan aku ini.. Beberapa waktu ini aku sebenar-benarnya mencari-cari masa untuk menziarahi, bukan kerana terpaksa atau disuruh, atau bukan juga kerana digesa.... yang jelas terasa ingin melawatnya. Bak kata orang "hati terasa ingin, namun apakan daya tangan tidak tercapai". Namun setiap yang dirancang belum terlaksana... jika aku kembali, masa aku lebih untuk ibuku sendiri.... jika dia seorang ibu, aku juga mempunyai ibu... masa untuk ibuku juga terhad masakan aku perlu mengutamakan ibu yang lain. Maaflah, kerana aku terpaksa melupakan hasrat itu yang kurancang beberapa kali. Jika bukan sebab ibuku pula, maka ada banyak hal lain yang menjadi halangan.
InsyaAllah, aku akan usahakan... jika benar dia, ibu itu ingin melihat aku... aku akan cuba seupaya aku... Semoga aku mampu menangkis segala bebanan dalam hati ini... Satu lagi, aku berharap tiada peluk cium ibu itu kepada aku lagi... aku benar-benar menjadi rimas, disebabkan peristiwa-peristiwa itu... Dalam dakapannya, aku mendengar kata-kata indah dan manis.... belum beberapa waktu, daripada mulut yang sama, bercerita tentang aku.. berserta keaiban yang aku fikir-fikirkan tidak aku lakukan. Ya lah... siapa lah aku berbanding dia, dan mereka keluarga dia. Dan aku tidak lebih baik daripada mereka. Mengapa ketiadaan aku dikenang-kenang lagi, apabila tohmahan itu telah dilemparkan kepada aku... Kata mereka, sebutan mereka..... aku tidak sesekali sebanding... maka orang yang tidak sebanding inikah menjadi sanjungan dan sebutan buat mereka. Aku bukan tidak ehsan... usah dipaksa... kerana aku tahu untuk mengatur hidupku ini. Jika kita berjodoh, aku akan pergi sendiri bertemumu.... bersabar dan berdoalah... semoga aku mampu!!

Tiba-tiba aku menjadi rindu..... sangat merindui, dan akan terus merindui.
Tetapi tiada apa yang boleh menjadi sebab untuk aku menjadi rindu... Kerana dia kini sudah bahagia. Bukan seperti dahulu, dia perlu aku bantu.... sekurang-kurangnya menjadi temannya ketika dia ingin menangis. Walau ketika di sisi dia, tiada kata yang terungkap dan tiada cerita yang terceretera... Cukuplah berasa di sisinya, menemani dia di sisinya, ketika dia tidur dialuni sedu dan sedan. Ketika dia merenung jauh kehidupannya yang berliku...

Ketika itu, dia perlu aku.... biarpun sesibuk mana aku pasti berusaha untuk ada keluangan yang secukupnya untuk dia... Jika ketika itu, sepanjang malam ke dinihari dia akan menelefon aku ini, pasti aku setia mendengarnya.. Biar dia berasakan aku sentiasa dekat dengannya.

Kini, entah mengapa aku tiba-tiba menjadi rindu.... rindu untuk menemaninya. Rindu untuk bersamanya setiap ketika... sedangkan pada waktu yang sama aku tidak mahu lagi menemaninya. Bukan kerana benci, marah atau sesuatu seumpamanya... Hanya kini, dia sudah punya teman yang menemaninya sepanjang masa. Pastinya...dan aku amat yakin hidupnya gembira dan bahagia kini... dan aku sudah tidak perlu untuk menemaninya lagi.

Dan di hati aku ini, dia masih yang mendapat tempat istimewa di hati ini... Biarpun selepas ini, tiada aku dalam hidupnya. Biarpun selepas ini dia melupakan aku, aku redha.... Sebab, mungkin ada yang lain lebih memerlukan aku kini berbanding.. Aku melepaskan dia dengan ikhlas, dan aku ingin hidup dia tidak terganggu.

Dan jika suatu ketika kelak, jika ada lagi kesedihan yang melanda dan ada kesusahan yang mendatang.... carilah aku, aku sedia untuk menemanimu lagi... kerana itulah tanggungjawab aku buat dia.... teman yang kusayangi. Jika masa itu datang lagi, jika waktu itu datang menjengah... aku ada untuk menanti di sisimu. Biarpun apa orang lain akan berkata, menelah dan menanggap.. Dia masih temanku seperti dulu.... dan kami tidak pernah terpisah....InsyaAllah. Dan aku tahu aku mampu melaluinya....

Tiba-tiba juga aku menjadi rindu...
Kepada kekasih hati ku,
biarpun aku kerap melihatnya...
Entah mengapa rindu itu bertandang..
atas sebab apa...aku tidak tahu.

Mungkin aku rindu semangatnya dulu...
sedangkan kini, sepatutnya lebih baik dari dulu...
Namun aku masih tidak merasainya lagi....

Mungkin aku rindu nur dan aura dirinya dulu...
sedangkan kini, sepatutnya lebih menyerlah....
Namun aku berasakan kesuraman di sekitarnya....

Mungkin aku rindu akan kredibilitinya dulu.....
sedangkan kini, sepatutnya lebih cemerlang.....
Namun aku berasa kekurangan di sekelilingnya.....
Walaupun dia masih seperti dulu.. mungkin hebat, mungkin baik, mungkin sempurna.....
Kerana kata dia, tiada sesiapa tergamak
kerana kata dia, tiada sesiapa yang mampu....
Memarahi dia...
Menegur dia.....
Mengatakan tidak, berkaitan dengannya...
Dulu.... dia pernah berkata kepada ku, mungkin kepada kami....
"Usahlah membenci seseorang itu tetapi bencilah sikap"....
Mungkin, sebenarnya dia membenci sikap dan tindakan aku..... namun jika dia membenci aku pun...mungkin, Siapa tahu?? Namun aku tidak peduli... aku pasti suatu masa nanti dia tentu akan dapat bukti bahawa bukan semua yang keluar dari mulutnya, bukan semua buah fikiran, bukan semua kebijaksanaan yang dimiliki itu adalah benar seratus peratus.
Biarpun dia akan terus membenci aku yang mengasihi dan menyintai dia... aku tidak akan kisah, jika apa yang aku benci itu dapat dia ubah... Semoga akan ada perubahan kelak..
Semoga dia membaca catatan ini.... "Berubahlah! selagi ada yang menegurmu, pasti mereka mengambil berat dan menyayangimu,"
Aku tidak pasti hal ini dengan jelas, namun serasa aku mungkin tidak mampu untuk mengambil tahu lagi tentangmu.... dikau juga tentu tidak suka... Hidupmu sepatutnya akan lebih baik kini...
Sesungguhnya, janganlah sehingga dikau kehilangan mereka seperti mana dikau kehilangan aku... Biarpun bukan dengan erti kata yang biasa didengar. Perihatinlah dengan teguran oranglain... selagi mereka menyayangimu tika ini... usah sehingga sudah kehilangan kelak, barulah ingin membetulkan kesilapan... Mungkin ketika itu sudah terlambat... Semoga difahami..
Dia tidak memberi aku begitu banyak peluang untuk menimba pengalaman sebagai pendorong seorang lelaki.. Aku redha... namun aku sentiasa berdoa orang yang aku kasihi itu akan mengambil iktibar teguran ini untuk mu....Biarpun nasihat yang ada ini sedikit sekali...

Banyak yang ingin aku ungkapkan... Biarpun catatan ini mengkhusus kepada beberapa individu, namun yang membaca laman sesawang aku ini pasti akan mendapat kemaslahatan dengan fahaman dan penghayatan masing-masing.
Ketika masih hidup... Ketika ini kita masih berpeluang. Adakah kita perlu tunggu ke saat-saat akhir untuk berubah... Semoga catatan ini akan membuatkan kita membuat senarai semak... Muhasabah. Dan, melihatlah pada yang hak dan berhak... Jika perlu kembali.... Kembali lah ke jalan yang benar... usah kembali ke jalan yang salah... Semoga muhasabah itu akan menjadikan kita orang yang baru dan sentiasa SEDAR dalam semua hal dan tindakan.... Sekian, Wassalam....