Selasa, Mac 30, 2010

Beberapa minggu yang mengongkong, mengekang... atau membebankan?

Berkisah sedikit tentang diri aku beberapa minggu belakangan ini. Aku terasa menjadi seperti bukan diri aku sendiri. Dalam hidup kita seharusnya akan melalui pelbagai terma ujian dan akhirnya mendekatkan kita kepada DIA yang Maha Pemurah dan Penyayang itu.. Maka perkataan SABAR itu perlu ditingkatkan.


Setelah beberapa waktu berlalu, baru hari ini aku menyedari sesuatu. Masalah yang aku hadapi beberapa waktu itu sebenarnya mendidik aku dengan rasa sabar dan bertenang. Ketenangan hidup itu hadir daripada ketenangan hati yang dikurniai keikhlasan dan kesabaran. Maka cahayanya akan terpancar di wajah.


Bohong jika aku tidak merasai perubahan sikapku... Aku tiba-tiba menjadi pemarah, kurang sabar dan mengikut perasaan dan tuntutan hati yang serakah. Kesabaran sentiasa aku rasakan hilang dengan tiba-tiba. Sehinggakan ada ketikanya, aku melepaskan kepada mereka yang tidak berkaitan.. Ya Allah, redha aku dengan segala ujian ke atas aku ini.



Bersama anak-anak dan komuniti di sekeliling aku ini... menjadi suatu tanggungan yang begitu berat dan menjengkelkan. Sampai bila harus bergantung kepada aku. Itulah persoalannya.. sedangkan kutanamkan dalam hati untuk terus sabar dan ikhlas. Berbeza dengan mereka, aku tidak punyai dia untuk mengadu dan bergantung harap...tapi cukuplah DIA bagiku.

Namun segalanya itu ujian yang mendidik jiwa aku ini... dan beberapa kejadian yang berlaku itu mentarbiah aku secara semula jadi... Sabar itu sudah tentu tidak sama dengan ikhlas.


tetapi perlu saling beriringan. Maka dengan sedikit sabar yang tersisa itu, aku beristigfar seacap mungkin, semoga jawapannya akan ada... untuk beberapa hari ini biarlah bahang itu mendakap diri dan menyusahkan diri ini... mungkin akan ada isyarat dan petunjuk nanti.... Mimpi-mimpi yang aku alami tidak menggambarkan sesuatu yang tidak baik, insyaallah... Malam tadi sahaja aku bermimpi menjamah dan makan hidangan yang manis, menyihatkan dan menyelerakan. Aku masih bisa berjalan di atas air yang jernih tanpa sebarang alat... seperti bermain dan menari-nari tanpa rasa bimbang.. Semoga mimpi itu datang dari DIA yang tercinta... Biarpun aku bukan pentaksir mimpi namun aku yakin, kebahagiaan dan keselesaan mimpi itu menggambar tafsiran yang baik juga, apatah tafsiran mimpi aku selalu selaras dengan kenyataan sebenarnya... tidak berbalik atau berlawanan dengan keadaan sebenar dan nyata.

Jika mereka tidak mengenali aku, pastinya ada yang beranggapan aku ini seorang yang pelik dan penuh misteri. Penuh dengan emosi, situasi, memori yang aneh-aneh. Tetapi inilah aku ini. Seorang hamba DIA, yang sentiasa dalam serba kekurangan dan kelemahan. Tetapi berbahagia dengan anugerah yang DIA berikan kepada aku ini.

Setelah beberapa hari berlaku dan berlalu, keresahan dan kebimbangan aku semakin berkurang dan aku bertenang kembali. Aku tahu dan faham 'makna' semua itu. Dan, aku sudah kembali memberikan apa yang termampu.... memberikan sedikit keistimewaan yang aku miliki untuk ahli keluarga aku dan mereka yang berkenaan... Minda aku sudah kembali mudah berfikir dan merancang kerana pemberian itu... Tiada rungutan yang ada dalam hati dan minda tentang segala apa atau sesuatu yang aku nampak dan alami... semua kembali nyata... Alhamdullillah.. Alhamdullillah, alhamdullillah atas segalanya..... DIA juga telah mengembali 'naluri' dalam diri aku ini, gerak rasa.....yang bukan dimiliki oleh semua orang... 'Naluri' yang ketika ahli keluarga aku sakit, aku akan terasa sakitnya dahulu... naluri apabila seseorang berniat tidak baik kepada aku, aku akan terasa berdebar-debar... naluri, apabila seseorang merindui aku, aku juga akan teringat kepadanya terlebih dahulu.... dan naluri, naluri, naluri yang tidak kujangka-jangka.

Semoga aku akan dapat berbakti dengan penuh sabar kepada orang tua aku.... Semoga doa aku akan sentiasa diperkenankan... apatah lagi ketika aku perlu atau patut membantu orang lain. Aku redha menanggung pelbagai tanggungjawab ini jika hal ini membawa kepada DIA.... Semoga akan hikmah atas segala-galanya.

Keresahan aku yang datang tiba-tiba dan hilang semerta itu juga telah aku tahu akan ertinya... Maka nikmat manakah lagi yang perlu aku dustakan? Tiada, tiada dan tiada.... nikmat DIA yang dapat aku dustakan... Semoga aku akan menjadi insan dan hamba yang tidak lupa bersyukur... Bersyukur, kerana penglihatan, pendengaran, dengan keupayaan diri, dengan kebolehan dan bakat yang ada, dengan segala denyut jantung yang berdegup ini.... dengan segala-galanya. Jika semua ini tiada pun, semoga aku masih menjadi seorang yang bersyukur dan tidak jauh dariNYA... Pendek kata, semoga aku ini qanaah dan sentiasa berasa cukup dengan segala sesuatu.

Ketika ini, semoga doa dalam sujudku... bacaan ayat-ayat AlQuran dalam hembusan aku... permintaan-permintaan dalam usaha aku ini..... akan membuahkan hasil dengan segala keizinanNYA, yang membawa suatu penyembuhan dan kebaikan kepada oranglain mahupun kepada diri aku sendiri. Entah mengapa kadang kala berasa betapa beruntungnya seorang aku ini, biarpun tanpa kelewahan harta benda tetapi mewah dengan pelbagai perkara. Minggu-minggu yang mengongkong, mengekang dan membebankan itu mungkin akan datang lagi... mungkin bertambah kerap.. mungkin meresahkan, membimbangkan dan menjengkel.... NAMUN yang penting... aku akan tetap melalui dengan redha DIA.... pasti sesuatu itu adalah sememangnya untuk aku...

Tiada apa yang lebih baik selain daripada diuji dan hasilnya adalah keberkatan dan kebahagiaan.. Biarpun berkali-kali aku melalui pelbagai ujian, DIA pasti menghadiahi sesuatu kepada aku, biarpun kecil atau tidak terlihat dek mata kasar.. Semoga aku tidak akan lupa siapa aku dan aku siapa dan siapa-siapa aku?

Semakin banyak yang aku catat, semakin banyak pula yang mengelirukan.... maka aku berhenti setakat ini dulu... sebelum menyambung catatan aku yang lain kelak. Semoga aku akan dapat terus belajar dan belajar.... InsyaALLAH... Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan