

Sabda baginda Sallallahu Alaihi Wassalam marhumnya:



Sabda Rasullullah SAW bermaksud:
Tiada dua orang yang saling mengasihi demi kerana Allah SWT, kecuali yang lebi utama dari kedua-duanya adalah orang yang paling besar kasihnya terhadap temannya.
(Hadis riwayat Bukhari melalui Anas R.A)
Dalam mengasihi oranglain, aku ingin mengasihi mereka seikhlas mungkin. Bukan hanya kepada saudara sedarah sedaging malah sesama muslim dan sesama manusia. Orang kata aku takut untuk bersama untuk berpasangan kerana pengalaman-pengalaman di sekelilingku, namun aku rasa tidak ada pula kebenaran itu. Buktinya aku punya banyak dia yang mengasihi aku dan dikasihi aku. Tiada ada bezanya dengan orang lain. Kerana kasih aku itu, aku sanggup juga menanggung sakit, dan penganiayaan... malah fitnah dan penghinaan. Tiada siapa tahu sakitnya aku menghadapi semuanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
"Tiada suatu kepayahan punyang menimpa seorang muslim, tiada suatu kelelahan pun, tiada suatu kesusuahan pun, tiada suatu kesedihan pun, tiada suatu penyakit pun dan tiada suatu derita pun disebabkan tertusuk duri (umpamanya), kecuali Allah menghapuskan sebahagian dosa-dosanya kerana hal yang tersebut."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Sa'id al Khudri dan Abu Hurairah R.A)
Ketika itulah pula, kita seharusnya kembali kepada Allah yang berhak kepada diri kita ini. Kerana DIA lebih menyayangi kita. Dan hanya itulah kekuatan aku ini, yang sentiasa ada DIA di sisi...waktu aku senang dan sunyi.. pada ketika-ketika hati ini sepi. ALLAH... nama yang indah di hati.
Walaupun aku sebagai manusia sentiasa berkeluh kesah, namun aku sentiasa merasai pada setiap ketika doa yang aku ucapkan ketika resah itu DIA tunaikan dengan segera, DIA memberikan dengan mudah dan memudahkan. Aku tidak pernah menidakkannya. Dan selalu pula bagi aku ini, DIA memberikan tanda dan aku lantas melaksanakannya. ALLAH, terima kasih dengan segala pemberianmu ini..
Catatan aku kali ini tidak bermotifkan apa-apa. Hanya kerana aku ingin berkongsi rasa sebab selalu sahaja kita ini lupa. Ketika kita merancang, kita rasakan kita mampu melakukan segala-galanya. Kita akan selalu rasa kita mampu... "Kalau kita fikirkan kita boleh, maka kita akan bisa melakukannya." Benar... tapi ada ketikanya kita akan lelah. Letih dengan apa yang kita fikir boleh, kerana kita sudah tidak punya ruang untuk diri kita sendiri. Ketika kita berasa kita tidak dihargai. Ketika kita rasa kita tidak dihormati dan dipercayai lagi... dan, ketika itu kita rasa hampa dan sedih, lalu akan rasa tersisih dan tersingkir.

"Doa itu adalah senjata orang mukmin".
Kata-kata yang menjadi kekuatan dalam menjalani perjuangan hidup menghadapi masa depan yang tidak diketahui kesudahannya. Jika aku derita hari ini, aku pasti berdoa kepada DIA, kerana DIA pasti menunaikan doa dan permintaan hambaNYA. Tidak akan pernah DIA mengecewakan hambaNYA. Maka jika hati ini resah, aku pasti berdoa.. apabila aku gembira aku juga pasti berdoa... Dan apa yang kerap aku alami, doaku ketika aku gembira dan senang... lebih DIA dengari...dan tidak kurang pula doa ketika aku sukar dan sudah akan DIA beri..
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud :
" Barangsiapa tertimpa cubaan lalu bersabar, diberi lalu bersyukur, dianiaya lalu memaafkan, berbuat aniaya lalu bertaubat, mereka adalah orang-orang yang memperoleh keamanan dan yang mendapat petunjuk."
(Hadis ariwayat Baihaqi melalui Samurah)
'Ahhh, kebetulan sungguh...', itu adalah sesuatu yang sering terjadi dalam hidupku. Suatu masa dulu, soal pakaian pun menjadi menjadi satu senario 'mengancam' hidupku. Ada kata kuatnya naluri hati ini, atau hati kami... sering berpakaian sedondon setiap hari. Namun aku tahu itulah hakikatnya, hingga kini. Allah telah memberikanku suatu 'rasa' dan 'gerak' dalam hati ini.. dan terpulang kepada aku untuk melestarikannya. Jika aku ingin menjadikan satu fitnah atau satu anugerah, terpulanglah kepada aku menentukannya. Sedarnya aku dengan semua itu, aku yang harus pandai menentukannya. Insyaallah tiada kebersamaan yang kerap terjadi itu akan sentiasa terjadi. Aku sudah bisa dan biasa mengawalnya. Aku pernah melihat seseorang yang tidak senang dengan kebersamaanku dengannya dalam banyak hal... mungkin kerana dia tidak menyukaiku.. dan aku rela dan redha untuk mengelakkan kebersamaan itu. Kini, aku yang tahu kenapa tiada lagi kebersamaan itu lagi dalam hidup aku dan dia, atau aku dengan sesiapa yang lain. Kerana ada kalanya kita perlu memilih pilihan kedua dalam hidup kita ini.
Menyentuh pilihan kedua, aku agak sensitif sebenarnya. Sedikit sebanyak menyentuh hidupku yang lalu. Aku sering memilih apa yang menyenangkan dan meletakkannya sebagai pilihan pertama dan aku akan mengabaikan pilihan-pilihan lain. Namun kita aku sedar, kadang kala kita terpaksa memilih pilihan kedua atau seterusnya dan itu akan lebih membahagiakan. Ketika ini sebenarnya aku agak keliru dengan pilihanku.. namun aku yakin ALLAH sedang mengerakkan aku kepada pilihan-pilihan yang terbaik dalam hidupku ini tidak kiralah sama ada sesuatu yang akan aku pilih itu, pilihan pertama, pilihan kedua mahupun pilihan-pilihan seterusnya. Asalkan segala yang diberikan kepada itu memberikan kebaikan kepadaku dalam agama dan ibadahku, hidup dan matiku... berlandaskan cinta kasih ALLAH.
Hemmmm,leganya hati ini.. catatan yang sahaja-sahaja aku catat ini, memang melegakan.. benar nasihat sahabatku... menulislah, kau akan berasa lega. Namun jagalah aib dirimu dan aib oranglain dalam catatanmu.. Jangan biarkan orang lain memperlekeh kita hanya kerana apa yang kita catat, jadikanlah mereka merasakan bahawa setiap apa yang kita catat seumpama halwa yang membawa kemanisan, garam yang memberi kemasinan, hempedu yang memberikan kepahitan, hembusan bayu yang memberikan kenyamanan, lukisan yang memberikan keindahan dan cerita yang menggambarkan kebahagiaan... Jika boleh sehingga kita mampu mengatur segala itu menjadikan suatu gambaran 'kehidupan', yang mengasyikkan.
Bukan semua yang indah itu elok...
Bukan semua yang cantik itu baik..
Bukan semua yang pahit itu jelek...
Bukan semua yang perit itu menyakitkan...
Adakala, menangis itu lagu yang paling sedap didengar..
Adakala, merintih itu irama yang paling indah dialunkan...
Adakala, sendu-sedan itu nada yang paling mengasyikkan..
Adakala, rasa pilu itu dambaan kehidupan...
Terutama jika ditujukan kepada Yang Maha Pengasih dan Pengampun..
Ketika kita menginsafi diri,
ketika kita mengerti,
Ketika kita bertaubat dan memohon kepada ILLAHI...
Catatan untuk diri ini yang ingin terus mengerti dan mencintai....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan