Rabu, Oktober 05, 2011

MAAF KERANA KEKHILAFANKU INI,

Tengok gambar si comel sebelah ini, hati kita pun boleh jadi senang sekali. Tulus sahaja nampaknya.. ceria. 
Ya lah masa kecil, tiada masalah untuk difikirkan... kalau ada pun pasal 'bilalah ibu hendak bagi susu atau makan? Kelakarnya muka orang-orang dewasa di hadapan aku ini!... Tentu lawa lagi comel kalau aku ketawa... 'Eh, orangtua itu tiada gigi macam aku juga kah? Kah,kah,kah,kah.... bolehlah kita ketawa sama-sama, tentu sama-sama comel...

        Hah, logikkah?  Mungkin ya, mungkin tidak! Bayi itu masih suci. Terpulanglah kepada ibu bapanya kelak untuk membentuknya... dari sehelai kain putih, pandai-pandai ibu bapa mencorakkannya.. 

       "SENYUM... TIDAK PERLU KATA APA-APA..."
        Namun sebenarnya, tidak boleh juga hendak senyum sahaja sesuka hati. Kena berhati-hati juga. Bimbang disalahertikan. Bahaya juga jadinya. Kes haru pula jika berjumpa orang yang perasan... kalau  skru di kepalanya semua masih ketat... kalau skru di kepalanya sudah longgar macam mana pula?
        Beberapa hari lalu dek kerana aku senyum, banyaknya pula orang salah sangka. sampaikan emak tegur kenapa dengan aku yang asyik ketawa sendiri sewaktu memandu, dan senyum-senyum sendiri... Mak kata, macam orang skru longgar saja, tak cukup 15 seringgit saja kenapa?   Hah... pasal senyum sahaja, aku dicop sebagai orang tiga suku... siapa susah?

       Bukan salah sesiapapun, cuma berasal daripada senyuman sahaja.  Kebetulan hari itu aku ada beberapa urusan untuk aku selesaikan. Semua melibatkan urusan kaunter. Apa-apa pun sekarang,kan semua mesti tekan nombor giliran untuk urusan. Aku senyum sahaja ketika menekan punat mesin pencetak angka giliran itu, tiba-tiba ada seorang perempuan sebaya emak hendak ambil nombor juga.. dia melintasi aku, melihat aku senyum.. orang tua itu membalas senyumanku.  Tak lama aku melangkahkan kaki, tiba-tiba aku terdengar makcik itu kata. "ops, mak engkau terlepas.." kuat jugalah. Aku pun menoleh ke arah alat tersebut, yakni ke arah makcik itu juga. Apa yang aku lihat, muka makcik itu sikit lagi tak tercium alat itu dek kerana tangannya terlepas daripada punat yang perlu ditekan. Aku berpatah balik  dan bertujuan hendak menolongnya. Kebetulan dia bersama budak perempuan dalam lingkungan usia 9-10 tahun yang sedang memegangnya. Cucunya mungkin. Aku merapatinya membantu dia berdiri betul dan stabil. 
 
         Aku bertanya, "Mak cik ok,ke?"

         Dia jawab apa tahu? 

         " Ini semua sebab kamulah. Kenapa senyum-senyum tadi. Tak pasal-pasal tangan aku terlepas nak tekan butang hijau ke merah."

         Fuhh, tidak pasal-pasal pula jagi salah aku.
       
         "Saya??" kelirulah sikit.

         " Yang kamu itu senyum-senyum kenapa? Ada masalah ke? Aduish... pening ini.. mana ada senyum-senyum, senyum (1x) adalah.

          " Maaf ya makcik, saya tak sengaja.. tidak bermaksud apa-apa" aku balas lembut sahaja.  tapi dalam hati aku tertanya-tanya juga .. senyum ada yang tidak sengaja ke ya?

          Nombor giliranku dipanggil.. aku menuju ke kaunter bernombor 4 seperti terpapar di skrin. Aku duduk di hadapannya dan bagi salam  kepada lelaki lingkungan umur  30an aku rasa. Dia mengangguk. Kemudian dia tersenyum.
 
         "Ya, puan ada apa? " Mesti ayat tak lengkap ini, maka aku tunggu dia bertanya seterusnya. Ayat sepatutnya, "Ya puan, ada apa-apa yang boleh saya tolong?", rasa-rasa akulah kalau berkaitan dengan urusan kaunter.

        "Puan!" Ops. dia masih tunggu jawapan aku rupanya.


        "Eh, ini bukan tempat hendak buat kad pengenalan atau perbaharui kad pengenalan ke?" Aku bertanya sambil membelakangkan badanku dan mendongak ke senarai urusan yang ada tercatat di atas kaunter tersebut sambil menghulurkan kad pengenalan dan wang sejumlah sepuluh ringgit kepada pegawai itu.


         "Eh, maaf... tapi kenapa puan senyum?" Pegawai itu menjawab dan mengambil kad pengenalan dan duit yang aku hulurkan.


         " Kenapa?.. Itu?" Aku menunjuk ke suatu arah dengan mengunjuk menggunakan ibu jariku.
Pegawai itu berpaling ke arah yang aku tunjuk di sisinya.


"SENYUM ITU SEDEKAH YANG PALING MUDAH... SENYUM, TIDAK PERLU KATA APA-APA."


            Dan aku menunjukkan pula ke atas kaunter. Pegawai itu tersedar dan  turut tersenyum dengan keadaan yang sedang berlaku ketika itu. Sebenarnya aku bengang juga dengan pegawai di hadapan aku ini sebab, mana ada aku senyum pun. Lagipun sudah dua kali aku terlepas nombor giliran. Pertama ketika aku lari ke tandas yang disebabkan aku sakit perut tiba-tiba. dan sekali lagi ketika makcik tadi marah-marah aku.. sambil membuat kerjanyanya pegawai itu beberapa kali memandangku sambil senyum.


           "sudah bayar duit RM10?"  Aku hanya menganggukkan kepala, dengan senyum nipis.


           " Kenapa puan?" aku terus keliru ini. Kenapa pula pegawai ini.


           " Puan masih tinggal di alamat yang sama? Di mana kawasan tempat tinggal puan ini? Tak nak tukar alamat? Masih di sini? ini tentu di bahagian dalam-dalam,kan " Berapa banyak pertanyaan pegawai ini hendak tanya? Satu-satulah kalau hendak tanya pun... Tak masuk 'jalan' aku dengan pegawai depan aku ketika itu.  Baru sahaja aku hendak menjawab tiba-tiba dia bertanya lagi. "Sudah bayar RM10 ?"


         Apalagi aku jawablah " Sudah.  Alamat pun tidak tukar, rumah saya di alamat yang tertera itu. Kampung itu pun melalui jalan besar atau jalan utama dari sini ke Klang.. Bukan bahagian dalam. Duit RM10 pun saya sudah bagi dari tadi lagi." 


         Ooooh.... Panjang harakat 'oh' dia itu.  Dia tanya lagi. " Kenapa puan senyum?" Laaa, bengong ke pula pegawai ini.   Belum sempat aku jawab soalan dia, dia terus kata "Letak ibu jari kanan di sini." dia hulurkan alat pengesan ibu jari itu.  Baru aku 'adjust' dia betul jari aku itu.. lepas itu minta ibu jari kiri pula... selesai urusan itu, langsung dia bersuara lagi. "puan bagus kita senyum selalu ini.. manis sangat!" Hah, cuba faham maksud dia ini.... ada yang tersirat. Lepas itu dia bertanya lagi, " duit dah bagi?". Kalau ikut aku ada yang makan tangan karang...barulah tidak perlu kata apa-apa.


           Masa aku hendak bangun untuk ambil gambar pula, dia berkata lagi. "Eh, puan duit sudah bagi tadi,kan.." Aku pandang pegawai itu lagi sambil senyum, lega sebenarnya boleh pergi dari pegawai yang satu ini. Aku bangun, dia pun senyum sambil ibu jarinya mengunjuk tulisan di sebelahnya.


            "Kena cakap terima kasih juga kerana dapat berurusan secepat ini." Aku menjelaskan seakan-akan menyindir. Pegawai itu senyum dan mengangguk.  "Kalau sudah senyum, barulah manis." Aku memandangnya dengan penuh curiga, dia mengangguk lagi dan senyum lagi...kemudian berkata, "Terima kasih kembali kerana senyum..". Aduh,duh, duh... apa jenis lelakilah di hadapanku ini. Buat kerja ke menggoda?  Aku tidak buang masa, terus berlalu.


          Ketika memasuki lif untuk ke tingkat bawah, aku terlihat seorang lelaki India tua melambai, untuk masuk ke lif sama. Dia senyum, aku pun senyumlah... tekan punat pintu terbuka itu, sambil menanti dia masuk dalam ruang lif.. kemudian dia mengangguk sekali lagi, aku rasa dia ucap terima kasih, kot. Sesampai kami ke lobi, kami keluar dan dia memandang aku lagi, mengangguk sambil senyum. Aku balaslah senyum dia itu. Lelaki India itu berjalan setapak ke belakang, aku masih berada di depan pintu lif yang sudah tertutup dan mencari arah tuju sebenarnya. Lelaki India berhenti dan berpaling kepada aku. Aku memandangnya, hairanlah juga. Kemudian dia kata."Awak senyum sikit sahaja pun sangat manis... Senyumlah selalu!" Aku?  menjenggelkan mata, terpempan sebenarnya dan tersenyum serta mengangguk. Lelaki India itu balas senyum aku, berpaling dan berlalu.


         Aku terus melangkah ke pejabat KWSP untuk mendapatkan maklumat akaunku yang sudah lama hilang.  Ambil nombor dan duduk setelah aku lama di hadapan mesin nombor giliran membaca urusan tertera dengan tersenyum sendiri. Tiba-tiba ada lelaki muda di hadapan aku memandangku dengan tersenyum... lalu berkata, "Tadi saya tekan butang ini untuk dapatkan penyata dan maklumat tentang akaun kita.." sambil menunjuk dan menekankan butang itu, kertas nombor giliran pun tercetaklah.. dia memberikan kertas itu kepadaku. Aku senyum dan menganggukkan kepalaku perlahan, tiba-tiba dia berlalu sebab giliran dia sudah dipanggil.  Yang ini baru betul "Senyum.... tidak perlu kata apa-apa!"


        Giliran aku dipanggil. Aku menuju ke kaunter dan dijemput duduk. Aku masih tersenyum kepada pegawai itu. Tiba-tiba juga dia bersuara," Assalamualaikum... kena juga bagi salam juga berserta senyum... ". Aku menjawab salam dan senyum tersindir namanya... aku lontarkan. Aku tidak berlengah menerangkan masalahku... selesai cepat urusan aku lagi bagus,kan. Usai urusan, aku bangun, senyum dan mengucapkan terima kasih dengan tertib. Dia menjawab, "Sama-sama, terima kasih berurusan dengan pihak kami dan terima kasih kerana senyuman itu!" Itu dia, sekali jawapan dia....berdesing di  telinga aku ini. Pasal senyum sahaja aku kena lalui macam-macam peristiwa hari ini.  Namun, pengajarannya... kita memang kena senyum walaupun kadang kala kita menghadapi sedikit kesukaran.. bukan untuk orang lain sahaja, waima untuk diri kita sendiri... SENYUM lah... ia akan menggambarkan banyak perkara.

        Kini aku hendak mencatat untuk seseorang yang tiba-tiba sahaja merajuk dengan aku ini... Hemm, maaf ya.. tidak bermaksud membuatmu terasa atau terkilan, atau bukan tujuan menegur tetapi sekadar mengingatkan, sebagai seorang kawan yang sayang akan 'kawan'nya... Aku harap dikau faham.  


      Alahai, susah hati sebenarnya aku ini! Sudahlah cik abang yang seorang itu pun macam merajuk sahaja dengan aku ini. Apalah malang kena pula memujuk lelaki-lelaki dewasa tetapi ada perangai budak kecil ini. Lagi pening hendak memujuknya.  Budak kecil itu bolehlah didukung, dibelai dan dipeluk-peluk... Ini sudah jadi suami dan bapa orang dan yang seorang itu sudah hendak jadi suami oranglah juga, manalah boleh hendak pujuk macam budak kecil.

Sudah tua-tua ini, merajuk... buruklah, awak! Ubahlah perangai itu sedikit.. masakan hendak merajuk tidak kena dengan tempatnya... terutama yang baru merajuk itu.. pergilah merajuk pada isteri dikau itu... berbaloi, baloi, baloi... sangat-sangat berbaloi.


          Buat apalah merajuk dengan saya ini, menghabiskan beras saja.. boleh senyum sahaja, tetapi tidak boleh buat apa-apa... Maaflah sangat!


          Rasa-rasanya yang patut merajuk, daku lah ini!... bukan dikau itu!  Hilang ketampanan, lelaki-lelaki Idaman Malaya ini merajuk... apa kata daku merajuklah pula dengan sikap kalian yang sedang merajuk itu, boleh..kan?

         Merajuk-rajuk masa tak sah, atau tak halal ini... bukan cinta tapi nafsu. Maaflah buat kedua-dua kalian,ya... Daku ini terikat dengan perintah dan larangan syariat kita.  Kalian pun begitu, maka harap-harap kekanda-kekanda boleh faham keadaan kita ini. Tiada apa-apa bukti atau kata yang membolehkan adinda ini boleh memujuk kekanda... harap maklum. Kalau ditakdirkan kekanda hendak merajuk lama-lama pun silakanlah... kekanda kenal adinda macammana,kan.. fahamlah sendiri ya.. terutama buat kekanda yang di utara itu ada yang menunggu... kena jaga-jaga!


       Kekanda selatan yang di Lembah Klang ini, belum masanya kekanda hendak merajuk ya. Cukuplah hendak bermanja-manja... kekanda sepatutnya yang membimbing adinda,kan.. Adinda tak anggap adinda tersalah kata, sudah itu hukumnya... maka jika Allah larang itu, tentu ada banyak sebabnya..kebaikan jika kita tak buat apa yang dilarang itu. Lagipun kita sudah kenal lama, cuma baru bertemu semula.. Masa dulu pun kekanda bukan tidak tahu bagaimana sikap adinda ini. Pernahkah lihat adinda keluar dengan mana-mana yang bukan muhrim bersendirian.. bukan susah pun. Adik adinda itu, sebagai teman sahaja... cuba kekanda faham.  
             Memang sebenarnya kekanda mesti faham, dan adinda tahu kekanda tahu dan faham.. Masakan sebab sekecil itu pun kekanda hendak ambil hati. Kalau ya, maafkan adinda, ok... Sebab itu juga dulu, kekanda tidak suka adinda bukan.. Sombong! kata kekanda.. Maaf, adinda memang 'sombong' pada sesuatu yang dilarang itu... sebab itu juga kekanda tidak pernah hendak minum mahupun bersembang dengan kawan-kawan kalau ada adinda, bukan? Adinda faham... dan sekarang pun adinda masih begitu.. Adinda masih akan berkira dalam banyak perkara. Tidak boleh berkompromi dengan benda yang salah. Jika kekanda tidak boleh terima semua itu, terpulanglah... panjangkanlah rajuk itu, sehingga selama manapun.. Cuma adinda hendak kekanda tahu.. pandangan adinda kepada seorang lelaki itu adalah berdasarkan kewibawaannya dalam kepimpinannya dan yang pasti dalam melaksanakan lunas-lunas Islam dengan betul dan tegas.  
             Kekanda perlu tegas kepada yang sepatutnya... dan tidak menjadikan hal kecil ini sebagai satu alasan. Jika rasanya kekanda ingin menarik diri, silakanlah... mungkin itu sudah takdir hidup adinda.  Adinda hormati kekanda sebagai seorang yang lebih senior dan lebih berpengalaman.  Namun adinda bukan seorang yang suka memanjakan oranglain apatah lagi seseorang yang bukan muhrim dengan adinda.  Jika adinda salah tolong betulkan... jika adinda tidak salah, sila betulkan juga... betulkan persepsi kekanda.  Dan jika merasakan apa yang sedang kita lalui ini suatu kesukaran buat kekanda.. adinda redha..


         Adinda tiada jawapannya atas segala yang berlaku.  Jika dia menjadi halangan bagi kita, adinda mohon maaf.. adinda silap. Dan satu lagi yang adinda hendak kekanda tahu, adinda adalah seorang yang mengelakkan poligami, kecuali itu ketentuan dariNYA. Selagi ada upaya, adinda akan mengelakkannya. Kekanda juga tahu, dia telah hadir kembali dalam hidup adinda lebih awal beberapa tahun lalu berbanding kekanda. Dan adinda sudah pernah menolak dan kini dia adalah hanya sahabat kita. Adinda ada jawapan adinda sendiri.


        Lagipun dia sahabat kita, kawan yang rapat dengan kekanda. Dan dia tidak tahu bahawa ada kekanda dalam hidup adinda ketika ini. Banyak sebab kenapa dia mendekati adinda.. Lagipun kekanda patut tahu, ada sejarah yang berlaku kepada adinda dulu ketika dia mula-mula mendekati adinda, dan adinda tidak mahu lagi melalui saat itu lagi. Cukuplah.. biarlah dia tidak serik, tetapi bukan adinda.  Naik fobia mengenangkannya.. Mujur jauh dan pasangannya itu tidak kenal adinda, kalau tidak... nanya adinda diganyangnya.  Bersama-samalah kita berdoa agar ujian ini dapat kita lalui dengan jaya. Dan semoga kekanda akan mendapat jawapan atas segala peristiwa yang berlaku ini....

           Jeng, jeng, jeng....
           Hairan tak dengan drama sebabak ini?  Sengaja mencatat... tiada idea hendak mencatat yang lain.  Pembaca jangan tertipu ya.. Catatan ini , cerita rekaan semata-mata, tidak berkaitan dengan sesiapa sama ada yang hidup atau yang sudah meninggal dunia... sekadar hiburan yang tercatat dek tarian  huruf-huruf dan angka di hujung jari... semoga dimengerti.. bahawa apa yang kita suka dan gemari itu tidak semestinya baik untuk kita... hanya DIA yang maha mengetahui.. Yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk itu datang daripada kelemahan diriku sendiri. Yang baik buatlah teladan, yang buruk jadikan sempadan....
 

Belajarlah... carilah ilmu selagi kita tidak mengerti..
Belajarlah terus ... selagi kita belum benar-benar mengetahui...
Belajarlah lagi dan lagi... walaupun kita telah menguasai dan pasti...
belajarlah... sehingga ke alam abadi... kerana di situlah pembelajaran kita terhenti...
Wallahualam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan