Ahad, Januari 31, 2010

BIARPUN KISAH ITU SUDAH BERLALU,PREJUDIS MASIH MENGEKANG DIRI...


Bukan mudah untuk menghadapi sesuatu perkara yang ada dalam kalangan kita, sekitar kita namun untuk kita lihat dan tanggapi. Itulah hakikatnya
kehidupan yang sentiasa tidak menentu.

Aku kira kehidupan aku ini lebih tenang, selesa dan stabil. Bukan dalam aspek kewangan semata-mata, malah lebih kepada apa yang ada dalam jiwa dan hati nuraniku ini. Aku hanya ingin kisah-kisah silam terus berlalu. Dalam hati aku ini ada matlamat yang ingin aku capai.. Biarlah ia menjadi rahsia dalam hati ini!

Aku juga ingin mengaplikasikan nasihat aku kepada orang lain untuk aku gunakan sebagai nasihat kepada diri aku sendiri. Buat kali ini catatan ini berkisar secara umum apa yang berlaku di sekeliling aku ini. Aku tidak pasti sama ada ia bersifat peribadi mahupun tidak..

Aku sebenarnya amat rimas dengan beberapa situasi namun tidak pula aku dapat menyatakan secara terus terang kepada yang terlibat, apatah lagi sebenarnya dalam hati aku ini belum bisa memaafkannya atas perbuatannya yang lalu. Sehingga kini aku masih memujuk hati ini memaafkan dengan ikhlas. Perbuatan baik dan menjaga hubungan sesama muslim ini aku sandarkan untuk membolehkan aku tidak tersasar daripada jalan yang sepatutnya. Dan siapalah aku untuk menolak sebarang hubungan kepada aku.. biarpun luka dalam hati ini masih lagi berdarah, tanpa sedar aku cuba menghindar daripada bersangka buruk atas segala sesuatu yang berlaku..

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
"Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri darimu." (Ali Imran :159)

FirmanNYA lagi yang bermaksud :
" Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (Al-Araf : 199)

dan pada firman yang bermaksud :
"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri berat terasa olehnya penderitaan kamu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat berbelas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin" (At-Taubah: 128)

Betapa kerdilnya aku di dunia ini...namun aku tidak mahu sesekali meninggalkan tanggungjawab aku kepada mukmin yang lain di samping mengingkari sikap berbelas ihsan sesama manusia di muka bumi ini.

Jika tersalah maafkan aku terlebih dahulu.... aku berasa kesal dengan beberapa perkara dahulu. Apakah tiada kemaafan kepada aku, sehingga sikap prejudis dia tidak pernah padam terhadap aku. Aku mencintai dia selayaknya dia di muka bumi ini... maka aku berasa berhak dengan apa yang aku cintai setakat yang aku cintai... tidak perlu memiliki jika mencintai... Untuk dia juga. Tiada cinta melebihi cinta aku kepada DIA..

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya pada saat ketika Allah menciptkan langit dan bumi. DIA menciptkan pula seratus buah rahmat (kasih sayang), setiap rahmat itu itu menutupi sesuatu di antara langit dan bumi. Kemudian Allah menjadikan dalam bumi satu rahmat. Maka dengan rahmat itulah orang tua menyayangi anaknya dan binatang buas serta burung saling menyayangi satu sama lain" (Hadis riwayat Muslim)


DAN, sebaliknya...barang siapa memutuskan rasa kasih sayang tersebut, maka ALLAH akan memutuskan hubungan kasih sayangnya. Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
" Orang-orang yang menyayangi akan disayang oleh Allah Taala. Sayangilah sesiapa saja yang berada di bumi, nescaya engkau akan disayangi oleh yang berada di langit. Kasih sayang itu adalah tali persaudaraan daripada Allah. Barangsiapa menghubungkannya, maka ALLAH akan menyambung hubungan dengannya dan barangsiapa yang memutuskannya, maka ALLAH akan memutuskan hubungan dengannya." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)




Aku tidak pula pandai, namum aku mengetahui... dan aku berpegang dengan," Manakan sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui"... maka aku ingin meluahkan rasa hati aku ini berdasarkan apa yang aku tahu.

Seseorang dalam hidup aku ini sering sahaja menyebut dia yang sudah berlalu dalam hidup aku ini dalam bicaranya.. Bukan aku sudah benci tapi aku tidak suka.. Menyebut dia seorang suami kepada oranglain oleh seorang dia seorang isteri kepada orang lain.

Entah apa maksudnya, niatnya... aku tidak pasti dan aku tidak seharusnya campurtangan tentang dia lagi. Aku cuba dan ingin menegurnya, tapi siapa lah aku... sedangkan aku punyai sejarah dengan mereka. Aku bukan beriri hati... aku bukan berdendam... Dalam hati aku ini sentiasa ada doa buat dia biarpun dia sangat prejudis kepada aku.. Tidak mengapa kerana DIA yang satu itu lebih mengetahui apa yang ada dalam hati aku ini... Adalah tidak manis teman, di bibirmu itu seorang isteri tidak pernah lekang nama dia seseorang yang pernah aku cintai itu, dan masih aku cintai selayaknya itu...lebih daripada menyebut nama suamimu.. Aku, tidak sedikit teruja, namun aku berpendapat itulah maruahmu.. seorang isteri. Jagalah bicara ketika berkisah.... Lebih baik jika tidak menyebut dia. Lebih baik jika tidak mengaitkan dia. Lebih baik jika tidak mendekati dia.... temanku.

Aku dalam azam dan tekad aku ini, termaktub tentang dia.... tentang maruah diri aku yang pernah diperlekehkan.. Kerana sikap prejudis dia itu terhadap aku, aku akur.. Biarlah aku tidak punyai kaitan dengan dia lagi. Sebagai seorang teman, dikau perlu mengetahui, sepatutnya memahami. Hanya kerana usia aku, situasi aku, harapan aku... maruah diri aku dipertikai... bukan mudah teman untuk menerima hakikat itu... umpama kita ini tidak bermaruah, hanya kita mencintai seseorang dan menyatakannya. Aku sudah berhenti... sejak dulu lagi....tidak pula sebenarnya mengejar dia, hanya bertindak sebagai seorang penasihat, jika diperlukan... hanya bertindak sebagai pemantau jika diikhtiraf.... memberi nasihat buat seseorang yang aku kasihi. DAN, semuanya itu sebenarnya untuk aku.

Dalam menjaga maruah diri, seorang isteri itu sepatutnya dalam bicaranya tiada lelaki lain melebihi suaminya. Tiada pengorbanan yang lebih baik selain untuk suaminya... Tiada masa yang bermakna selain diperuntukkan untuk suaminya... Aku tidak pernah mengalaminya, namun apa pula faedahnya menyatakan atau membuat pernyataan, mahupun beranggapan lebih baik isteri orang lain itu bersama seseorang dia yang bergelar suami orang lain bersama dengan isterinya sendiri.


Aku bukan cemburu... tidak sesekali.... tetapi aku lebih rela dia bersama isterinya ke mana-mana, dalam keadaan suka dan dukanya... biarlah dia bersama isterinya yang tercinta... jika itu hak isterinya itu pula... Aku kira itu juga maruah yang sering dipertikaikan buat aku... maruah yang diperlekehkan... Aku pasti kalian faham. Tapi adalah lebih baik aku daripada kalian, jika dalam kemesraan itu ada dosa yang tidak kalian sedari.

Sudah beberapa ketika aku menyimpan kekesalan dalam hati. Sejak dulu pula aku ingin menyatakannya.. Sudah beberapa kali aku ingin memperbaiki hubungan dengan dia, kerana aku khuatir dengan hubungan ini pula dalam prejudis ini juga... maka DIA akan menjauhi aku. Maka kini aku mencatat dan meluahkannya. Jika memahami, cubalah mengubahnya. Jika aku dikatakan tidak bermaruah....mana pula hilangnya ketinggian maruah kalian.

Aku sentiasa positif dengan banyak perkara. Jika dia prejudis kepada aku... aku memahaminya. Mungkin ketinggian akhlak yang ada pada diri aku ini tidak menepati sasarannya. Mungkin juga niat aku ini tidak setaraf piawaian yang ditetapkan oleh dia... Aku tidak kekurangan apa-apa dengan sikap prejudis dia..... Semoga aku akan tergolong dalam kelompok yang DIA kasihi.

Aku dalam sedarku sering melihat dia.... perihatin kepada dia. Namun, aku selalu sedar tiada satu ruang pun untuk aku di sisi dia. Walaupun sebagai musuh, apatah lagi sebagai teman, mahupun saudara seagama... tidak mengapa. Kesedihan aku terhadap kebencian dia kepada aku tidak seberat kesedihan aku kehilangan sahabat-sahabat baik yang sering menasihati aku... menemani aku. Dan yang penting aku ada DIA, Cukuplah DIA menjadi pelindungku....


Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud :
" Barangsiapa yang mencintai seseorang kerana ALLAH, membenci kerana ALLAH, memberi kerana ALLAH dan mencegah kerana ALLAH...maka dia telah menyempurnakan keimanannya.." (Hadis riwayat Abu Daud).

Aku berpendapat dia, dia, dia dan dia mengetahui... aku tidak mencintai seseorang itu hanya kerana dia hebat... sedikit sekali.... dan aku mungkin mencintai seseorang itu kerana kekurangannya...banyak sekali.

Cukuplah aku kira membicarakan permasalahan dan persoalan ini.. Aku hanya akan mendoakan agar kalian bertanggungjawablah kepada pasangan masing-masing.... Jagalah amanah ALLAH kepada kalian itu.. Utamakan yang lebih utama.. Ibumu 3x, ayahmu.... orang-orang soleh dan berilmu, dan saudara seagamamu... panjangkan pula kepada semua makhluk ciptaanNYA.

Inilah aku termampu... biarpun inilah juga selemah-lemah imanku namun aku berusaha untuk menasihati walaupun tidak diperlukan. Sabda baginda SAW yang bermaksud :

"Janganlah saling memutuskan(Hubungan silaturahmi). Janganlah saling membenci. Janganlah saling membelakangi. Janganlah saling beriri hati. Akan tetapi, Jadilah kamu hamba ALLAH yang bersaudara. Tidak dibolehkan seorang muslim mendiamkan diri (tidak menegur) saudaranya lebih dari tiga hari." (hadis riwayat Imam Ahmad:Al-Bukhari dan Muslim).

Wallahualam.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan