Ahad, Julai 18, 2010

AKU MARAH, AKU SEDIH, AKU KECEWA.... TETAPI SEMUA ITU BUKAN SALAH EMAK..

Aku ingin berkisah tentang suatu sejarah hidup aku ini... Betapa pada ketika belum tiba masanya kita memahami suatu keadaan kita akan dibelenggu dengan rasa yang tidak keruan.. Begitu aku ini. Dalam lingkungan umur semuda 7 tahun aku sudah dalam keadaan penuh tanda tanya.. Mengapa aku perlu diberikan kepada orang lain biarpun orang yang membesarkan aku merupakan datuk dan nenekku.

Sebelum meneruskan pengisahan ini aku ingin memohon maaf kepada emak kerana aku meluahkan rasa hati aku ini tentang peristiwa ini dalam laman ini... Sejambak kasih sayang beroma kasturi ingin aku persembahkan buatmu.... dan selagi mampu dan terdaya aku pasti menyemarakkan kasih sayang antara kita... dan semoga ALLAH akan memberikan aku kekuatan menebus segala kesalahan aku ini kepada emak sesempurna mungkin..

Aku pada akhir usia 5 tahun, aku diserahkan kepada datuk dan nenek untuk tinggal dan membesar bersama mereka... Pada ketika itu memang aku gemar ke rumah mereka... namun entah atas kesalahan apa aku terpaksa tinggal bersama datuk dan nenek.. Sebelum ini kakakku tinggal bersama datuk dan nenek.. Kononnya, nenek berasa sunyi kerana kakak sudah tidak tinggal bersama mereka. Cuma usia kakak ketika itu sudah belasan tahun; dan aku hanya berusia awal enam tahun. Waktu itulah aku sangat nakal dan sangat bermanja dengan bapa. Tiba-tiba sahaja aku dipaksa tinggal bersama datuk. Berbeza sekiranya berulang dan tinggal bersama.. Agak lama nenek memujuk aku ini... Memang menyusahkan mungkin.... sebab aku masih sering menangis. Pada awalnya bapa selalu berulang alik menjengah aku... Harap emak, tidak sekali pun dia menjengah aku selepas aku diserahkan kepada nenek. Jika ada pun emak akan menziarahi orang tuanya sambil melihat-lihat aku; yang pada kedatangan itu pula aku sering tiada di rumah... melayan nakalku bersama-sama kawan-kawan di tepi parit menangkap ikan pelaga; atau ke kebun datuk di hujung kolam mengutip kelopak kemboja disusun menjadi perhiasan; atau memanjat pokok-pokok koko dan memetik koko serta menikmati rasa manis koko tersebut. Memang itulah aku yang tidak pernah diam...

Emak akan datang dengan dua orang adikku yang ketika itu berusia antara 2 tahun dan 4 tahun... yang sebelum itu merupakan teman bergaduh dan bermain. Dan apabila di rumah nenek aku tidak menyenangi kehadiran emak mahupun adik-adikku itu... Aku memang sangat berasa hati dan benar-benar sakit hati dengan emak. Emak buat seperti tiada apa yang berlaku... kehadirannya yang pertama pun setelah lebih tiga bulan aku di rumah datuk... Hanya bapa yang akan menjengah aku setiap hari.. Di rumah datuk, aku ditemani oleh sepupuku... seorang budak lelaki yang lasak juga aku kira... Dengarnya, emak saudara ku berasa kurang senang aku di rumah datuk... dan kenapa anak emak sahaja yang boleh tinggal di rumah datuk... Apatah lagi aku sering mendapat banyak keistimewaan dari datuk.. Entah bagaimana aku dapat mengingati dan merasakan perasaan itu walaupun ketika itu aku hanya berusia enam tahun

Aku bersekolah tadika dan bersekolah agama yang berbeza dengan adik beradikku. Cuma sekolah rendah sahaja sama. Itupun kerana ada satu itu sahaja sekolah kebangsaan yang berdekatan.. aku hanya berjumpa adik-adikku di sekolah kebangsaan sahaja. Dan pergerakan di sekolah juga terhad kerana bapa akan sentiasa memantauku... Aktiviti ko-kurikulum juga akan dikawal oleh bapa.. namun lagi ketat kawalannya, lagi nakal aku jadinya... Jika bapa memarahiku, mengejarku dengan rotan tawaf rumah datuk tujuh kali atau memandikan aku yang menangis tak henti... aku tidak hairan. Jangan pula emak yang melakukannya, aku akan menunjuk perasaan memberontak... dan akhirnya emak memang tidak boleh hendak memarahiku.

Beberapa tahun selepas itu, emak melahirkan lagi adik yang baru... Tiba-tiba sahaja, bapa datang pada petang jumaat dan mengajak aku balik ke rumah untuk dua hari berikutnya... Aku memang seronok dapat bermalam di rumah bapa... Seronok juga dapat duduk di bahagian depan vespa bapa dengan memegang sterengnya melawan angin yang meniup rambut aku itu... tetapi aku akan mula sedih apabila sampai sahaja ke rumah dan mendapat tahu emak baru melahirkan adik yang baru... pada ketika itu juga aku terasa ingin balik ke rumah datuk dan nenek.

Hari -hari yang kulalui terasa lambat berlalu... apatah lagi apabila mendengar adik menangis... Aku akan berkata, kenapa adik aku hodoh.. sedangkan bukanlah sebenarnya tidak comel... cuma aku berasa sakit hati... emak akan menukar lampin dan menyusui adik dengan mesra... Adik-adik yang dua orang itu pun kadang-kadang emak suapkan tapi aku protes apa sahaja yang emak buat.. Aku akan lari kepada bapa dan tanya kenapa aku tidak tahu emak mengandung dan kenapa aku kena tinggal dengan datuk... Tak bolehkah aku tinggal dengan bapa emak, kakak, abang dan adik-adik... Jawab bapa tidak boleh dan aku akan faham suatu masa nanti..

Dan selepas itu, setiap kali ke rumah emak... sama ada jika diambil oleh bapa ataupun berbasikal yang dibelikan oleh datukku... aku akan berbuat nakal... apabila emak marah, aku akan pandang emak dengan rasa dendam dan marah... Emak tiada hak memarahi aku... dan aku sering menganggapnya sejak aku mula tinggal di rumah datuk... Aku tidak pernah dengar nasihat emak. Hanya bapa... Walaupun hidup aku mewah berbanding adik-beradikku.... aku masih tidak berpuashati... apatah apabila suatu petang, bapa datang ke rumah datuk.... dari atas Vespa, bapa mengajak aku balik ke rumah.... untuk tengok adikku yang baru... Sekali lagi kemarahanku meluap-luap... aku tidak mahu ikut bapa, dan aku kata aku akan berbasikal ke rumah... sedangkan sebenarnya ketika itu aku sangat sakit hati dan marah lagi... Adikku dah bertambah, kenapa tiada adikku yang lain menggantikan aku di rumah datuk dan nenek... sepertimana aku menggantikan tempat kakakku... usiaku pun sudah lebih sembilan tahun..

Masa paling lama aku di rumah bapa ialah ketika nenek menunaikan fardhu haji.... lebih kurang 4 bulan aku di rumah bapa dan keluargaku... Sepanjang waktu itu, kemarahan bertambah dari sehari ke sehari. Aku sering mencari gaduh dengan abang dan adikku. Kebiasaannya, semua barang milikku adalah milikku seorang. Tetapi di rumah bapa, aku terpaksa berkongsi dengan adik-beradik lain.. Dan yang menjadikan aku lebih sakit hati apabila emak selalu membela adik-adikku... Mana tidaknya, aku memang nakal atau sengaja berbuat nakal... sehinggakan ada waktu bapa akan mendenda aku dengan tragis... mengikat aku di pokok api-api dan meletakkan kerengga pada pokok itu... untuk beberapa waktu, kadangkala menjelang malam... Aku pula bukan kenal serik... Walaupun aku ini antara yang dikawal pergerakan ku ini, namun aku juga sering menjadi kepada kepala kumpulan sepupu dan berbuat sesuatu yang tidak menyenangkan keluarga. Antaranya masuk ke hutan paya di belakang rumah untuk mencari buah kedabu atau ke paya bakau untuk mencari siput sedut. Bapa dan emak akan marah tetapi apa yang aku hendak pedulikan... Nenek pun sudah jauh. Datuk sesekali akan datang dan aku dengan sikap memberontak.

Apabila berita kembalinya nenek ke rahmatullah... aku terpaksa tinggal lama di rumah bapa.... Kemarahanku sedikit reda, namun sikap emak yang selalu membela adik-adikku di samping sering menegur perbuatanku, aku lebih berasa marah dengan emak... Beberapa bulan kemudian datuk mengambil aku tinggal bersamanya... Datuk memang memanjakan aku... semua aku minta pasti ditunaikan. Namun rasa marah, kecewa dan sedih masih ada dalam hati dan jiwa aku ini.. Aku mula berjinak-jinak mengambil harta orang.... dengan erti kata lain mencuri... tetapi emak tidak pernah memperlihatkan rasa marah atau mengambil tahu.... Sehingga aktiviti mencuri itu akhirnya aku hentikan secara sendiri.

Menjangkau usia 15 tahun, akhirnya aku kembali ke rumah bapa.... kerana datuk yang menjaga aku ini juga menurut jejak nenek... Apatah lagi aku sering dikatakan jahat dan mengambil duit bapa saudaraku oleh isterinya.. Sedangkan aku tidak ambil... Namun pasangan baru bercinta bukan berasa kisah dengan anak saudara seperti aku... Sehingga suatu masa makcik menuduh aku mencuri barang kemasnya.... Peristiwa itu membuatkan aku kembali ke rumah bapa dengan berat hati dan dengan rasa penghinaan yang mendalam.. Dan lebih menyakitkan, emak juga tidak membela aku.... hanya aku sendiri terpaksa membela diri... dan memaksa diri menerima kenyataan aku terpaksa berkongsi dengan oranglain dalam kebanyakan urusanku.

Ditakdirkan beberapa waktu, barang kemas makcikku ditemui, malangnya rumah datuk terbakar tanpa sebab... Aku juga hairan mengapa semua itu boleh berlaku.... Pakcik dan makcikku turut tinggal di rumah bapa... Aku berasa lebih marah apabila emak membenarkan pakcik dan makcik ku tidur di bilik yang disediakan untukku... pada aku sewenang-wenangnya menyisih aku ini... Aku terdengar emak dan bapa berbincang waktu dinihari... terdengar emak menyuarakan keresahan dan kebimbangan dan bapa meredakan... namun bagi aku emak berpura-pura dan sengaja menyusahkan aku... dalam hatiku ini membara....

Beberapa lama begitu.... Jika menonton televisyen dan ada drama tentang anak angkat, tentang cucu yang ditinggalkan kepada datuk dan nenek... emak akan segera menjauh... ke dapur berbuat kerja lain..lebih lima tahun aku jarang sekali bercakap dengan emak apatah lagi bercerita atau berkongsi rahsia. Hanya bapa tempat aku mengadu segala-gala... Sehingga aku tamat belajar dan bekerja, aku masih marah dengan emak....

Sehingga suatu ketika, bapa memanggilku... katanya sudah tiba masa untuk menjawab pertanyaan aku... dan ketika itu usiaku telahpun mencecah 23 tahun... Kata bapa, sebelum kami melangkahkan kaki ke tanah suci, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Kata bapa, emak yang meminta bapa menyatakannya semua itu kepada aku... mendengar itu, aku ingin terus bangun tetapi bapa menarik lenganku dan aku terus terduduk... Dengarlah dulu... itu kata bapa. Aku akur dengan rasa benci, hampa, kecewa dan geram... bapa ingin bercakap denganku untuk emak... kenapa bukan emak yang menyatakan sendiri.. aku dah besar dan emak tidak seharusnya membelakangkan aku dengan meminta bapa berterus terang dengankku.

Akhirnya dengan berhemah bapa bercerita, menjawab soalan yang sudah tidak pernah aku tanya lagi ketika itu... Kata bapa, hidup mereka tidak tenang sejak aku tinggal di rumah datuk dan nenek... bapa terpaksa, emak juga terpaksa... kerana sayangkan aku, maka aku dipisahkan dari mereka.. Kata bapa, ibu mana yang sanggup berpisah dengan anaknya apatah lagi seorang anak yang dirawat, dijaga, dipelihara dan dibesarkan lebih teliti daripada orang lain... Aku masih tidak faham sehingga selesai segalanya dikisahkan kepada aku... Aku ini kata bapa, anak istimewa... dengan tubuh yang cantik dan mungil sewaktu kecilku; juga tanpa sebarang parut memang menjadi tumpuan "makhluk halus".... maka aku sering sahaja menangis dan berjalan seorang... Kata bapa, pada ketika aku bersama mereka, adik-adik kurang mendapat perhatian berbanding aku.... kerana kesan itulah, setelah menyerahkan aku kepada datuk , emak sebenarnya tidak sihat menahan sedih. Bapa yang melarangnya bertemu aku ini... Kata bapa, pada kiraan Jawa.... aku ini anak yang lebih rapat dengan dua jenis alam... alam nyata ini dan alam ghaib kerana aku merupakan anak kiraan ganjil dan anak yang dilahirkan pada malam jumaat... Dalam keluarga aku sememangnya darah keturunan yang mempunyai perkaitan pengamal perubatan tradisional dan mungkin berkaitan dengan darah kerabat.... maka aku mempunyai satu titik cahaya, yang mana ketika aku ke mana-mana, "orang halus" lebih cepat mengenalku... satu hari ketika aku menangis dan berjalan sendiri, datukku berkata kepada menantunya itu supaya biarlah aku pergi kepada tempat yang aku ingin tuju. Namun bapa tidak semudah itu berbuat demikian. Melepaskan aku seperti bersedia kehilangan aku dan menyerahkan aku ke mulut buaya atau harimau sekaligus... kerana pada arah yang aku tuju ada dua perkampungan yang berbeza... mana mungkin aku boleh dilepaskan begitu... Maka dengan berat hati, setelah berbincang dengan emak... maka mereka bersetuju membiarkan aku tinggal dengan datuk memandangkan amalan agama datuk juga lebih baik daripada bapa walaupun bapa seorang guru agama ketika itu....

Kata bapa, bukan mudah hidup mereka ketika aku tiada di rumah... emak juga mengalami kesan akibat keputusan itu, namun kata bapa itulah pilihan yang terbaik.. Kata bapa, mereka yakin aku dapat datuk lindungi sebaik mungkin... Maka tidak hairanlah sejak itu, aku mempunyai 3 orang "penjaga" yang segak dan tampan menjaga aku... berpakaian putih, hijau dan hitam..... sehingga usiaku mencecah lebih kurang 19 tahun, aku sudah tidak melihat 'mereka' lagi... sehingga kini... Panjang lebar bapa menerangkan semua itu... dan mustahil seusia aku ketika itu tidak memahaminya... kata bapa, emak juga sangat bersedih dan takut untuk menegurku, apatah bercerita dengan aku.... kerana emak tahu rasa marah dan dendam aku itu... emak meminta bapa mewakilkan dia memohon maaf dari aku ini...a

Dan dengan penjelasan itu, semua perasaan negatif itu seumpama terbang jauh dari aku... Betapa selama hampir 15 tahun itu aku sebenarnya amat bersalah kepada emak yang melahirkan aku itu... dan pada kesempatan di Tanah suci Mekah itu, aku memohon keampunan dan kemaafan daripada emak.... Betapa aku ini selama itu merupakan anak yang sering menyakiti orangtuaku.... dan aku ingin menebus kesalahanku ... Alhamdullillah, kerana aku masih berpeluang membetulkan jalanku ini dan menunaikan tanggungjawabku kepada emak... Ketika bapa meninggalkan kami kembali ke rahmatullah.... emak memang terlalu lemah... kerana kepada bapalah segala-galanya di dunia ini, namun emak masih bersikap tabah dan belajar hidup berdikari tanpa bapa , perlahan-lahan... Itulah yang menguatkan aku juga dalam menjalani hidup ini... emak cuba sekuat mungkin menutup kesedihannya, mungkin untuk semua anak-anaknya, atau mungkin sekali untuk aku yang sememangnya amat rapat dengan bapa.. Dan demi membantu dan saling menyokong, aku dan keluarga cuba untuk menjalani dengan ingatan terus kepada bapa yang kami kasihi....

Sehingga kini, aku sebenarnya amat terasa hampa jika ada kalangan ibu atau bapa yang menganiayai anak-anak mereka... Kerana sebelum anak-anak itu menderhakai orangtua mereka, mereka... ibu bapa itu menderhakai anak-anak mereka dengan mengabaikan tanggungjawab... ada kalangan mereka pula yang menjadi haruan makan anak...
Aku secara peribadi terkesan dengan perasaan anak-anak yang diberikan kepada oranglain waima kepada keluarga seperti datuk dan nenek, bapa saudara... ada kalanya aku berasa mereka akan ada perasaan seperti aku nanti, memberontak... mempersoalkan kenapa anak-anak lain ibu bapa mereka pelihara sendiri sedangkan anak itu seperti aku... diberikan di bawah penjagaan orang lain... Betapa melewah kasih sayang orang lain itu, tidak akan sama dengan apa yang diingini dalam hati sendiri bersama keluarga kandung sendiri... Kini, apabila anak-anak saudara aku bermanja dengan aku, lebih daripada ibu bapa mereka... Mendahulukan aku lebih daripada ibu bapa mereka... biarpun mereka anak-anak saudaraku, aku akan mengalihkan kembali perhatian, kasih sayang mereka kepada ibu bapa mereka... kerana aku tahu betapa sakitnya dalam hati seorang ibu, berkongsi kasih anak-anak dengan orang lain biarpun saudara sendiri.
Sering kali juga ketika melihat wajah adik-adik ku apabila anak-anak mereka akan menyambut dan memeluk aku... sering berubah rona dan sinar... Biarpun dengan senyum mereka menerima kehadiran, rasa cemburu melihat anak-anak memeluk cium aku pasti ada... kerana suatu masa dulu aku hanya faham perasaan seorang anak yang umpama disisihkan dan kerana kini aku sudah mulai faham tentang perasaan ibu yang berkorban kasih untuk kebahagiaan orang lain.
Dan, atas alasan itu juga sebenarnya aku menolak beberapa dia dalam hidup aku secara diam dan baik... atas alasan tidak direstui.... atas alasan menidakkan kasih sayang itu... kerana aku bimbang rasa kasih mereka kepada aku secara keterlaluan itu akan 'merampas' mereka daripada ibu mereka... dan itu akan menyakitkan hati orangtua mereka dan juga menyakitkan hati aku ini... Cukuplah aku meragui kasih sayang dan cinta emak kepada aku suatu masa dulu... aku tidak mahu melukakan hati seorang ibu yang lain pula...

Tiada seorang ibu pun yang memiliku naluri keibuan itu akan membuang anaknya jauh darinya.. Cuma sekarang ini, banyak pula ibu yang tidak memahami apa itu 'ibu' sebenarnya.... mereka tidak pernah 'kehilangan' seperti aku ini, seperti beberapa orang yang lain itu... maka kasih sayang ibu mereka itu tidak memberi sedikit nilai kepada mereka, ketika mereka sendiri menjadi ibu....

Alhamdullillah..... dalam payah hidup aku yang lalu; jika boleh dikatakan payah... aku bersyukur masih punyai kasih sayang hebat dalam hidupku ini.... dan kalau tidak tersurat bagi aku menjadi ibu sekalipun... aku tahu besarnya pengorbanan dan kasih sayang seorang emak kepada aku... Ya Allah berikan kebahagiaan kepada emak dunia dan akhirat.... Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan