Selasa, Julai 06, 2010

PADA KETIKANYA AKU TERASA BEGITU HAMBAR..

Bukanlah suatu yang asing bagiku apabila ada ketika dan hari-hari yang tidak begitu menyenangkanku.. Namun beberapa hari malah mungkin beberapa minggu belakangan ini aku terasa kosong dan hidupku seperti tidak bergerak dan beredar seperti kebiasaannya. Ada sahaja yang hampir tidak berlaku malah ada yang mungkin terlaksana dengan terlalu lambat seumpama sesuatu itu tidak berlaku...

Memeningkan kepala... Ya Allah, adakah hidup aku ini... beberapa waktu ini dalam ke'celaka'an? Aku sendiri tiada jawapannya... Mungkin ya atau benar... kerana tiada sebarang perubahan pada beberapa waktu ini, hari ini, minggu ini... berbanding bagi setiap hari semalamnya. Ada waktu ketika memandu pun aku bisa terlelap.. Namun, alhamdullillah aku tidak terlibat dengan sebarang kemalangan... bersama aku dua orang ibu atau isteri... dan jika berlaku sesuatu, tentu kekesalan tidak akan sesekali meninggalkanku kelak... Dan, semoga dijauhkan daripada segala sesuatu yang tidak diingini....

Aku berasakan demikian, kerana aku berpegang kuat dengan pepatah Arab yang bermaksud;
"Beruntunglah seseorang yang hari ini lebih baik daripada semalam;
Rugilah seseorang itu yang hari ini sama dengan hari semalam; dan celakalah bagi seseorang itu jika hari ini lebih teruk daripada semalam.."

Aku muhasabah diri... namun aku tidak berjumpa, khilaf perjalanan hidupku dalam hari-hari yang ku lalui ni. Masih kini, aku terus mencari.... Kesumbingan di bibir cecawan kehidupanku ini... semoga aku bisa mencari jawapannya, lalu menghindarkan kebimbangan dalam hati aku ini.

Beberapa waktu ini beberapa sahabat bertanya kepada aku tentang beberapa perkara. Soalan-soalan yang aku kira tidak sesekali berkaitan dengan keadaan aku beberapa waktu belakangan ini... Kasihan mereka berprasangka begitu kepada aku... tetapi terima kasih juga dengan keperihatinan itu. Aku sendiri tidak punya jawapannya...

Sahabat,
Hidupku tidak ada kesusahan apa-apa... malahan beberapa waktu ini DIA berikan aku rahmat dan rezeki yang baik... sehingga jika suatu ketika aku terbeban dengan banyak hutang, hari ini semua itu sudah aku jelaskan dan sudah aku uruskan masalah-masalah berkaitan sebaiknya.

Sahabat,
Aku tidak pernah berkecil hati, atau berasa hati, atau berasa hampa, atau berasa disakiti... Bukan penghargaan yang aku harapkan dalam kerjaya dan apa sahaja tanggungjawabku.. kerana bukan itu juga aku harapkan dalam hidupku... Aku ikhlas untuk semua itu, semoga ikhlas itu adalah benih-benih ibadah sepanjang hidup kita yang jelas semakin singkat hari ke hari..

Apatah lagi untuk aku berasa iri hati dan dalam mempertikaikan kejayaan dan pencapaian oranglain. Setiap kita punyai nilaian dan tanggapan berbeza. Tidak perlu diwara-warakan jika kita ikhlas berjasa.... dan, semoga kita juga tidak tahu bahawa apa yang kita lakukan, apa yang kita berikan itu berupa jasa atau budi kepada orang lain... Semoga tiada dalam hati kita sekelumit kebanggaan pun bagi setiap apa yang kita sumbangkan... biarkan kita tidak tahu kerana itu lebih baik... buat kita dan buat oranglain juga...

Sahabat...
Tidak juga aku terasa terluka, apatah lagi kecewa...
Malah ketika ini aku berasa bahagia dan gembira. Tidak aku nafikan, sesekali mungkin hadir rasa kosong dalam hati dan rasa malas rentetan itu... tapi itu tidak akan menjadikan aku sebegini rupa.. Tiada apa-apa yang harus aku bimbangkan... Hubungan lama sudah berlalu, hubungan baru terus berkembang.... hubungan akan datang, akan menanti... Mengapa perlu ada rasa kecewa sedangkan segalanya itu rahsia DIA Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Tiada apa juga yang perlu dikesalkan jika perjalanan, pertautan, perkaitan, persefahaman dan apa-apa sahaja yang seerti dengan itu... terjalin mengesot-ngesot perlahan.... Adalah lebih baik lambat daripada tiada, adalah juga lebih tiada jika bernatijah bahaya untuk kita di dunia dan akhirat kita..

Sahabat,
Tidak juga aku ini berasa sunyi atau sepi... Ketika- ketika dalam hidup aku ini, lebih banyak dikeliling senda dan tawa.... bukan tangisan dan kesedihan... sahabat-sahabatku. Fahamilah...
Aku gembira melihat kebahagiaan oranglain terutama kalian, sahabat-sahabat yang sering berada di ketika-ketika aku memerlukan.... DIA memberikan aku banyak kebahagiaan. Semoga kebahagiaan yang aku rasai ini adalah kebahagiaan kalian juga. Aku gembira jika pemberianku yang sedikit disambut dengan rasa keriangan yang banyak. Aku bahagia setiap makanan yang aku masak, mahupun aku beli dari rezeki segala usaha itu... dinikmati dengan penuh selera oleh keluarga, rakan-rakan... dan kadang kala kenalan yang sesekali berkunjung... mahupun jiran-jiran yang sering menyatakan kegembiraan menikmati hidangan kunjungan untuk mereka... Tiada apa yang lebih membahagiakan selain daripada dapat membahagiakan orang lain... Pastinya kalian mengenali siapa aku...

Bagiku, sahabat-sahabatku.... pertanyaan kalian kepada aku... juga apa-apa sahaja yang kalian kisahkan kepada aku... merupakan sejambak hadiah yang mengharumkan aura kehidupanku.. Aku sentiasa rasa disayangi kalian... kerana kalian perihatin... ketika kesihatanku terjejas..
kerana kalian gusar ... ketika wajahku muram dan kekurangan cahaya keriangan..
kerana kalian rasa bimbang... ketika aku kurang berkata-kata...
Cukuplah semua itu untuk aku.... Semoga penjelasan ini dapat menjawab persoalan dan melenyapkan kegelisahan dalam hati-hati kalian...


NAMUN....
Aku tidak juga menafikan ada kekalutan dalam perjalanan hidup aku ini.. Mungkin kerana ada kala aku terlalu penat..
Mungkin juga disebabkan terlalu banyak masa luang dan gelak tawa dalam hidup aku ini...
Lucu kan...
Setiap orang ingin selalu bergelak dan ketawa... begitulah rasanya..
Namun, aku ingin sekali mengurangkan rasa sengangku dan apatah rasa bergelak ketawa itu...
Biarlah semua itu berpada-pada...
Janganlah terlalu banyak tanggungjawab
Janganlah terlalu banyak kegembiraan
Janganlah terlalu banyak kebahagiaan
Janganlah terlalu banyak kesenggangan
Janganlah terlalu banyak kedukaan
Janganlah terlalu banyak kesedihan
Janganlah terlalu banyak keriangan...
BIAR lah segalanya dalam keadaan sederhana, seimbang dan sentiasa bertukar ganti... agar hidup ini mempunyai warna-warni kehidupan yang sangat indah dan bermakna... dan semoga segala itu juga dalam dalam kasih sayang Allah yang suci....

Sabda Nabi SAW bermaksud:
"Pelihara lima perkara sebelum datangnya lima perkara:
Muda sebelum tua
Senang/Kaya sebelum susah
Lapang sebelum tiba waktu sempit
Sihat sebelum tiba waktu sakit
Hidup sebelum mati...."

Insyaallah, inilah yang perlu dijaga... mungkin seperti janggal susunannya namun aku tidak rasa ada silap... jika ada, ampunkan aku Ya ALLAH... aku hambaMU yang dhaif dan serba kekurangan.

Kadang-kadang aku terasa sakit dalam sihat ku... kerana aku rasa DIA melupakanku... aku tidak diuji, mungkinkah DIA sudah tidak menyayangiku...

Kadang-kadang aku terasa sempit dalam kelapangan dan kesenggangan.... kerana aku rasa aku sudah tidak disenangi olehNYA, sehingga aku tidak tahu apakah matlamat dan apakah makna hidupku yang tidak punyai tanggungjawab untuk aku lakukan...untuk aku pikul...

Kadang kala pula aku terasa lemah dan malas dalam keadaan senda gurau yang banyak dan gelak ketawa... juga aku berasa tidak selesa dalam rasa tenang dan senario yang menggembirakan... kerana aku rasa DIA terlupa akan aku ini.... maka adakala aku sedih dan pilu dalam kesejahteraan yang banyak... Aku sering sahaja berfikir... kenapa DIA meninggalkan aku ini...

Hingga setakat catatan ini, aku sudah mula menyedari.... Ketika ini... ketika aku meluahkan rasa hati aku ini.... ada yang datang menghampiri.... Semoga firasat ini benar... DIA tidak pernah meninggalkan aku sebenarnya.....
CUMA AKU SAHAJA YANG SERING LUPA DALAM SENANGKU....
CUMA AKU SAHAJA YANG SENTIASA LEKA DALAM KEBAHAGIAANKU...
CUMA AKU SAHAJA YANG SELALU ALPA DALAM LAPANGKU
UNTUK...
MENCARI CINTANYA,
BAGI MENCARI REDHANYA...
UNTUK MEMENUHI MASA BERSAMANYA...
BAGI MELUAHKAN BICARA RASA KEPADANYA....

YA ALLAH...
Ampunkanlah aku hambaMU yang selalu kehilangan ini....
Bimbinglah aku hambaMU yang selalu tersasar ketika aku lupa...
Dakaplah aku dalam kasih sayangMU yang Maha Agung itu....
Semoga aku sentiasa dalam CINTA MU.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan