Jumaat, Julai 31, 2009

JIKA PENJELASAN TIDAK DAPAT MENJELASKAN, PERLUKAH LAGI PENERANGAN MENGURAIKAN KEKUSUTAN?

Allahu Akbar.... adakah aku membuat kesilapan dan sebarang kesalahan dalam aku menjalani liku-liku hidup ini. Sehingga ke hari ini pula disebut-sebut akan sesuatu yang amat tidak menyenangkan aku. Kadangkala aku terfikir, tidakkah mereka yang sering mempertikaikan aku itu mempercayai qadak dan qadar Allah. Mustahil, kerana di minda dan dalam dada mereka ada ilmu dan pengalaman yang banyak dek bertambahnya usia dan dek jauh perjalanan yang telah dilalui selama ini... Mungkin aku yang salah atau silap... jika ia benar, maafkan aku ini yang sering alpa dengan perjalanan yang berliku-liku dan bersimpang-siur ini.



Selama beberapa waktu ini, aku menyelusuri hidup aku seperti sepatutnya, tiada kekurangan dan kelebihan apa-apa sehinggakan membolehkan orang lain mempertikaikan segala-galanya tentang aku. Mungkin aku tidak seperti dulu dalam aktiviti luar namun aku masih punya banyak tanggungjawab lain, yang aku kira aku perlu mengutamakannya dan mendahulukannya. Aku tidak pasti itukah sebenarnya dipertikaikan akan diri aku ini.

Aku bukanlah seorang yang sempurna sehinggakan tiada sesuatu yang dapat dipertikaikan, namun aku mempunyai matlamat dan harapan yang tinggi dalam hidup aku walaupun cita-cita aku itu bukan menggunung dan sehebat orang lain, dan tidak segah orang yang mempertikai aku. Cukuplah jika hati aku ini ada dalam solat aku atau ketika aku membaca alquran dan menuntut ilmu sama ada melalui pembacaan mahupun perbincangan.. Siapa mereka yang hendak mengatur hidup aku... apa yang boleh aku buat dan seumpamanya.. sedangkan mereka juga tidak punyai apa-apa yang sangat membanggakan.


Pada pendapat aku, kita sesama muslim bertanggungjawab kepada muslim yang lain..tapi bukanlah mencampuri hidup mereka. Tidak senangkah hati kita melihat kawan kita berharta, sahabat kita berjaya, dan kekasih kita bahagia... mahupun bukan bahagia bersama kita.. Berkali-kali juga sudah aku nyatakan.. berfikirlah sebelum bertindak, bermuafakat dan bermusyawarahlah sebelum membuat keputusan...muhasabahlah diri kita sebelum kita mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan orang lain...

Ambillah iktibar daripada peristiwa lalu...biarlah pun ketika itu kita tidak ikhlas dalam bertindak, maka tiada ketenangan hati kita pula kerana dalam tindakan itu kita menyebabkan hati-hati orang lain terluka.
Tolong...usahlah menjadi prihatin sehingga menjadi bebanan kepada orang lain
Tolonglah...usah menjadi toleransi sehingga menjadi beban pula kepada diri sendiri.
Tolonglah juga...usah menjadi seorang pendengar yang baik sehingga tiada kesempatan untuk membantah dan menyebabkan masalah kepada mereka.

Apapun yang kita lakukan, pastinya memberikan sebab dan alasan yang tertentu. Biarpun aku rasa aku memahami namun ada ketika kebenaran itu adalah begitu pahit.
Mengapakah kita mempertikaikan rezeki yang diperoleh orang lain. Apakah mungkin kerana gaji mereka tidak sebanyak gaji kita dan hidup mereka tidak sebaik hidup kita. Mengapakah di hati kita dan di minda kita perlu mempersoalkan mengapakah semua itu ada kepada mereka, seperti kita atau melebihi yang kita ada. Sedarlah, bukan kita yang memberikan rezeki. Ar-Razak yang maha Kaya dan Maha Pemurah. Mungkin mereka tidak sehebat kita, bergaji dan berusaha lebih seperti kita, tapi rezeki itu juga bukan kita punya. Sedang yang kita ada hari ini pun tidak akan kekal. Hidup kita umpama roda, sekejap di atas dan tidak terkena batuan dan lumpur, tapi dalam sekejap itu juga kita mungkin sudah berada di bawah. Siapa tahu. Dia juga sudah menjanjikan rezeki berganda buat mereka yang membina mahligai bahagia keranaNYA, sedangkan dalam mengimami sembahyang bagi seorang dia yang sudah berkeluarga 70 kali ganda ganjaran pahalanya... Mungkin nanti ditambah dengan rezeki anak-anak yang soleh dan solehah yang lahir daripada keluarga yang dirahmati Allah. Aku kira dalam kalangan kita ini, pasti kalian lebih mengetahui dan memahami. Jadi, bukanlah persoalannya jika gaji mereka kecil berbanding kita, waima 2-3 kali ganda sekalipun.. mereka tidak dilimpahi rezeki yang melimpah ruah..


Aku juga ingin menjelaskan... aku sentiasa beriltizam untuk menyempurnakan urusan aku dengan sebaik mungkin.. Aku sedikit ralat dengan pertanyaan-pertanyaan yang mempertikaikan urusan-urusan yang bukan menjadi tanggungjawab aku. Adakah aku tidak gembira, tidak seronok, tidak gembira untuk melakukannya.. mengapa aku tidak ingin menerima pengiktirafan dan mengelakkan diri.. Adakah kerana dia, aku hidup dalam keadaan yang tidak menentu dan tidak sempurna. Mengapa harusnya reputasi aku menurun.. dan ada banyak lagi persoalan.

Dalam laman ini, aku ingin memberikan jawapan aku dengan jelas, jika boleh menjelaskan dan jika mahukan penjelasan. Jika tidak dapat difahami, aku tidak dapat membantu apa-apa lagi. Terimalah segalanya ini dengan redha dan cubalah untuk mengerti biarpun sedikit.

Pertama, aku gembira untuk menunaikan amanah yang diberikan.. umpama aku berbuat sesuatu yang baik buat diri aku dan buat sesiapa sahaja yang ada dalam jalan hidup aku ini.
Kenapa perlu dipersoalkan bagaimana aku melaksanakan urusan dan tanggungjawab itu.. sedangkan tanggungjawab itu adalah amanah untuk oranglain. Mengapa perlu aku yang melaksanakan dan dipersoalkan. Kata Dr.HM Tuah, Dato'Dr Fadillah Kamsah dan beberapa motivator yang lain.. Dalam hidup kita ini, utamakanlah apa yang utama. Maka itulah yang aku lakukan. Aku hanya melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mengikut keutamaan aku. Jika aku tidak melakukan amanah dan tanggungjawab yang pernah aku lakukan dahulu, aku tidak sepatut dipersoalkan .

Jika segala yang aku lakukan dulu begitu sempurna dan kini aku tidak mengambil berat juga tidak seharusnya dipersoalkan. Kerana aku sudah punya keutamaan aku dalam ibadah menunaikan tanggungjawab dan amanah ini. Biarlah mereka yang sepatutnya melaksanakan dan melengkap semua itu. Mungkin mereka adalah lebih baik. Aku juga rasa tidaklah begitu sombong, sehingga tak boleh bertolak ansur mahupun membantu.. Masakan semua yang ada perlukan sentuhan aku. Aku seperti kalian, mereka juga... manusia biasa yang masih memerlukan privasi dan hidup aku sendiri. Usahlah aku ditegur kerana tugas-tugas orang lain yang tidak siap. Usahlah aku dipertikai jika tanggungjawab yang bukan tanggungjawab aku tidak sesempurna dulu. Usahlah aku dipersalah kerana sesuatu tugas itu ada kesilapan. Kita manusia yang sering lupa dan alpa.. tapi bukan satu tindakan wajar meletakkan batu untuk digalas di bahu kita, sedangkan batu itu sudah tersedia di bahu orang lain. Adalah lebih baik jika aku dipertikai kerana kesalahan dan kesilapan yang aku lakukan... betapa aib dan menyulitkan pun , itu memang tanggungjawab aku.. Semoga aku tidak dipersalahkan sesuatu yang bukan tugas dan tanggungjawab aku lagi. Jika aku sering menasihati orang lain membantu dengan ikhlas.. aku ingin melakukannya dengan ikhlas. Aku tidak suka dihargai dan diberikan sesuatu yang bukan menjadi hak aku. Terima kasih kerana mengiktiraf aku tapi Maaf, kerana aku tidak ikhlas menerimanya kerana itu bukan hak aku. Semoga mengerti dan memahami.

Keduanya, bukanlah menjadi hak oranglain untuk menentukan kepada siapakah aku gunakan segala rezeki yang aku peroleh. Sedangkan kita tahu, dalam rezeki yang kita perolehi itu ada rezeki orang lain di dalamnya. Usahlah menasihati oranglain jika kita tidak mengetahui duduk perkara yang sebenar. Adakah hidup dia sama dengan hidup kita? Apakah kebahagiaan kita sama dengan kebahagiaan yang orang lain kecapi? Adakah kita merasai kesusahan yang mereka rasai? Adakah kepayahan sama dengan kepayahan kita? Apakah segala-galanya sama antara mereka dan kita? Maka dengan segala itu, aku kira tidak perlulah ada orang lain yang menentukan dan menasihatkan aku kepada siapa jika ada sedekah yang aku akan berikan? Tidak perlulah melarang aku bagaimana pemberian itu akan aku hulurkan? Tidak perlulah mengatur ke mana rezeki aku akan aku uruskan... Kerana apa yang ada dalam perjalanan kita berbeza. Jika DIA memberikan kelewahan dalam hidupmu, semestinya aku juga mendapat kelewahan yang sama? Adakah kelewahan mereka juga sama. Aku hanya melaksanakan kepada yang hak.. yang mungkin pada oranglain menyusahkan aku... tapi tahukah oranglain itu apakah kesusahan itu kepada aku.

Aku ingin menjelaskan bahawa kita ini diberikan segala sesuatu itu mengikut kemampuan kita oleh DIA yang Maha Mengetahui. Kita mungkin diberikan kesenangan tapi mungkin kita diuji dengan kesenangan itu, adakah kita menjadi orang yang bersyukur? Kita diberikan kepayahan dan kesusahan dan sering kita ungkapkan pula kepayahan itu, sedangkan itu adalah hadiah buat kita jika kita kuat dan sabar...masih bersyukur... dan mungkin juga ia juga masih ujian adakah kita orang yang berputus asa. Maka, sebaik-baiknya... kita berfikir, bermuhasabah tentang hidup kita ini sebelum menjebakkan diri dalam kehidupan orang lain agar kehidupan oranglain itu sempurna , walhal hidup kita masih kucar-kacir. Dan jika kita masih tidak memahaminya juga , apapun penjelasan, penerangan, huraian tidak akan menguraikan apa-apa.

Ketiga,mengapa aku perlu rasa kekurangan atau berasa tidak gembira, atau berasa tidak seronok, atau berasa kecewa, atau berasa bimbang atau berasa takut... hanya jika kerana oranglain yang aku kasihi itu membina bahagia. IMAN aku tidak terletak kepada dia.. Maka jawapannya juga tidak terletak kepada dia. Aku tidak memperolehi kegembiraan dan kebahagiaan daripada dia tetapi DIA. Tidak tahu jika ada dalam kalangan kalian yang berasakan bahagia itu adalah dari dia yang berada di sisi kalian. Tiada akan ada kekurangan atau kelebihan sama ada dia ada atau tiada... sebab aku tidak tercipta dalam dunia ini bersebabkan dia.. dan dia adalah juga milik DIA, maka DIA bisa menentukan yang terbaik dan mengapakah aku harus kecewa dengan apa yang ditentukanNYA? Kalian beriman dengan qadak dan qadar tetapi kalian sendiri yang sering mempertikaikannya. Jika ditanya mengapa itu, mengapa ini tidak berlaku kini? Aku ada jawapannya.. dulu apa sahaja urusan itu, adalah urusan aku.. tapi kini aku sudah tahu apa yang patut aku buat dan sebaliknya. Dulu aku berkorban untuk orang lain sebab aku tidak tahu apa yang sepatutnya aku lakukan dan apa yang tidak patut... kini, aku masih melakukan beberapa hal dan urusan yang bukan tanggungjawab aku cuma kini aku lebih mengutamakan apa yang sepatutnya untuk diri aku.

Kadang-kadang aku terfikir, jika aku buat sesuatu kerja itu.. walau bukan kerja aku, aku selalu rasa gembira sebab membantu dan menyempurnakannya.. tapi ada kalangan mereka yang dibantu itu berlepas tangan.. itu sahaja sebabnya. Buatlah tugas yang memang tugas kita, bukan mengharapkan oranglain buat tugas kita, sedangkan apabila tidak sempurna kita menuding orang yang membantu sedangkan itu tugas kita, dan orang membantu itu yang salah, sedangkan itu adalah tanggungjawab kita... dan apabila orang yang membantu itu tiada, kita baru sedar itu tugas kita tetapi kita masih mencari kesalahan orang lain untuk menutup kelemahan kita. Aku dulu yang sering membantu orang lain tetapi kini tidak lagi dan oleh sebab itu, jangan cari aku jika ada yang tidak sempurna, jika tidak selesai.. dalam sebarang tugas dan tanggungjawab yang bukan diamanahkan kepada aku.

Menyebut dia dalam hidup aku.. adakah aku perlu bersedih dengan laba yang dia ada, dengan rezeki dan kebahagiaan yang dia kecapi dan dengan rahmat dan keberkatan yang dia perolehi. Hanya orang yang tidak berhati perut dan kejam sahaja sengaja menzalimi diri sendiri. Aku bahagia dan gembira dengan hidup aku ini, sebagaimana dia juga bahagia.. tak cukupkah semua itu dalam hidup kalian untuk berkongsi kegembiraan bersama aku dan dia. Bukan dia yang menentukan bahagia dan derita aku, bukan juga kalian.. Bukan dia memberikan kesenangan dan kesusahan dalam hidup aku, bukan juga kalian.. Bukan dia yang memberikan aku masa depan, bukan juga kalian.. bukan dia yang memberikan aku kekuatan dan semangat, bukan juga kalian... Tidak akan ada dia dalam penentu hidup aku, bukan juga kalian... Aku pasti 'kalian' itu tidak membaca catatan ini, tetapi aku tetap ingin mengingatkan.... Segala-gala dalam hidup aku ini, dalam hidup dia, dan dalam hidup kalian juga.. adalah DIA yang Maha Esa.. DIAlah segala-galanya. Bukan dia yang boleh mengubah atau menukarkan perjalanan hidup aku. Tiada alasan pun untuk dia menjadi sebab, punca atau sumber apa sahaja kehidupan aku ini. Maka aku tidak mahu hal ini dipersoalkan.. terutama oleh kalian sendiri yang tidak pernah sempurna tetapi mengharapkan kesempurnaan oranglain untuk menutup kelemahan sendiri.

Apakah sudah tiada perkara yang perlu difikirkan? Jika tiada, fikirlah bagaimana ALLAH menjadi alam ini untuk kita kecapi hidup yang sempurna.. dan bagaimana pula alam menjadi wahana pemusnah bagi kebahagiaan itu pula.. Jika tiada yang hendaklah ditelaah... telaahlah bicara-bicara DIA dan Rasullullah junjungan yang sepatutnya kita cintai... melalui firman dan sunnah yang benar.. Jika tiada apa yang hendak diperkatakan... alunankan zikir dan munajat kepada DIA yang mencipta kita sesempurna mungkin.. Usahlah dibicara dan dilagukan ghibah dan kritikan yang merosakkan hati dan minda... maka kalian akan tahu, apakah perbezaan orang yang mengetahui dan mereka yang tidak mengetahui... dan kalian juga akan tahu... nikmat dan pemberian apakah yang didustakan.

Keempatnya, buat dia yang aku kasihi,
jika jalanmu masih ada pada jalan yang benar, aku akan terus menyokongmu walaupun hanya dengan sepotong ayat dalam doa aku ini. Aku ingin melihat orang-orang yang aku kasihi sentiasa bahagia dan gembira... Bersemangat dengan iltizam dan wawasan yang jitu, membina diri, membentuk keluarga, dan seterusnya membina negara dengan melalui jalan yang benar dan selagi niat baik itu ada, setiap apa sahaja yang dilakukan pasti beserta dengannya keberkatan dan kejayaan.
Ingat itu, jika aku masih mengasihi dan menyayangi, pastinya adalah kerana DIA yang kita cintai. Kerana ukhuwah yang begitu indah dan manis. Jika aku masih mengambil berat dan sentiasa berpesan, pastinya adalah kerana DIA.. kerana kita saudara seagama.. yang apabila dicubit peha kiri, peha kanan akan terasa sakitnya... betapa rapatnya sepasang mata itu, sama-sama menangis, sama-sama melihat... tetapi tidak dapat melihat antara satu sama lain... masih sentiasa bersama dalam segala keadaan... Dan, jika aku merindui, pastinya kerana DIA, kerana aku ingin orang yang aku rindui itu mendapat segala-gala yang terbaik dalam hidupnya.. kerana aku mencintai seorang dia, seorang pemimpin... dalam hidupnya, dalam keluarganya... dalam masyarakatnya, dalam hidup aku juga kerana DIA... selagi dia berada di jalan DIA.. Malah jika ada dia menggantikan dia, aku ingin dia juga seperti dia yang mengutamakan DIA. Aku juga ingin berpesan, hadapilah segala dengan tabah.. seorang pemimpin tidak boleh kalah dan berputus asa, tidak boleh takut... jika berada di jalan benar, kita perlu membuktikannya. Aku sendiri kadangkala mengapa kebetulan-kebetulan itu sejajar dengan perjalanan hidup kita... apabila sudah pergi, kita selalu berasingan... apabila sudah tiada, hidup seperti kesunyian, apabila sudah berjaya, kita seperti melupakan satu sama lain.. TETAPI, aku rasakan itu bukanlah sebenarnya.. kerana hidup kita ada DIA. Jika aku tiada tidak mengapa, jika kau tiada juga tidak mengapa.. Usahlah pula dalam membuktikan sesuatu itu, kita terpaksa melakukan sesuatu perkara itu seperti mencuri-curi... Jika ingin melihat dan memandang, perhatikan dengan berani... bukan berselindung dan mengintai-intai. Jika ingin menegur, mengikutlah adabnya...memberikan senyuman dan salam... Aku mungkin pandai memberi nasihat.. Mungkin ada kesilapan aku juga, maka orang bersalah sangka. Aku tidak pernah iri hati, berdendam, tidak ada kemarahan atau kesedihan.. malah aku tidak pernah, membenci atau melarikan diri... Mungkin keadaan yang membataskan, ruang dan urusan mengehadkan... aku tidak punya masa pun untuk memikirkan.. yang rupa-rupa apa sahaja tindakan aku menjadi perhatian dan menimbulkan prasangka orang. Aku sentiasa mendoakan agar hidup orang yang aku kasihi akan sentiasa sejahtera, dan semoga mereka juga akan ingat kepada aku serta mendoakan kesejahteraan aku... Kita akan sentiasa berasa gembira disayangi dan dikasihi.. dan kita akan sentiasa bahagia berada dalam ukhuwah yang terjalin kerana DIA.

Semoga apa yang aku catat di laman ini, membuka sedikit tanggapan positif kepada aku yang selalu mempertikaikan banyak perkara. Memberi aku peluang meluahkan apa yang aku fikirkan. Jika benar dan bermanafaat.. gunakanlah.. dan jika silap dan sia-sia, tinggalkanlah.. Semoga aku sentiasa sedar,ingat dan bermuhasabah... semoga sesiapa pun yang mengintrospeksi laman ini mendapat iktibarnya.. InsyaALLAH, aku ingin terus mencatat kisah aku dan dia...terutama dia yang memberikan kanvas kehidupan aku ini warna-warni yang indah dan beriktibar... maka untuk masa ini semoga aku diberikan luang dan ruang yang secukupnya. Jazakumullahu, Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan