Selasa, Ogos 04, 2009

DAMAIKANLAH HATIKU YANG RAWAN.. USAH BERSEDIH, KESABARAN ITU PENAWAR HATI..



Untuk beberapa waktu belakangan ini, aku berasakan keadaan diri aku ini sedikit terganggu walau sebenarnya keadaan kesihatan aku ini agak stabil. Emosi juga stabil InsyaALLAH. Cuma ada beberapa situasi aku yang begitu tidak selesa aku rasakan.

Dalam kelegaan hati, walaupun seberat mana dugaan dan kepayahan yang akan ditanggung, aku kira semua masalah jika ada akan juga mudah diselesaikan. DIA sentiasa hadir apabila kita memerlukan dan hanya kepadaNYA sahajalah kita memohon pertolongan. Namun dalam keresahan dan tiada kedamaian dalam hati, banyak kerja mudah akan terlalu sukar dirasakan. Terlalu menghimpit jiwa dan emosi, sehinggakan ada kalanya terasa ingin menangis dan menjerit melepaskan rasa hati itu. Namun perlulah aku dan yang mengalami situasi sedemikian dapat bertenang dan bersabar kerana setiap dugaan dan ujian yang diberikan kepada kita adalah sebagai satu cara bagaimana kasih sayang ALLAH sentiasa bersama kita. Mungkin ia sesuatu yang amat payah pada satu-satu waktu namun ia adalah didikan kepada pengalaman dan ilmu yang kita perolehi dari semasa ke semasa supaya kita akan ingat dan mempelajari setiap baru yang menjadi maklumat baru.. dan pada ketika ia merupakan maklumat lama, maklumat itu sudah kita fahami atau hayati... dan menjadi pengalaman kita untuk sentiasa belajar akan sesuatu itu sehingga ke liang lahat.

Sudah agak lama juga aku tidak mengalami keadaan resah dalam diri aku. Keresahan yang entah dari mana datangnya. Namun ada waktu-waktu belakangan ini, rentak degup jantungku menjadi berbeza, debaran dalam dada ku begitu laju dan kencang, nafas aku serasa begitu memberatkan aku untuk bernafas... kelesuan dan rasa malas serta berlengah-lengah melanda diri. Aku sememangnya tidak menyukai keadaan ini sejak dahulu-dahulu lagi. Keadaan ini memenatkanku sebenarnya. Bukan aku tidak redha jika aku diuji dengan kesakitan atau kesulitan..namun sering sahaja aku berasa pelik dengan keadaan itu.

Ketika-ketika berlaku aku sering berbicara denganNYA. Memohon semoga jika itulah dugaan aku, semoga aku tidak diuji di luar kemampuan... zahir dan bathinku, merujuk semangat dan keyakinanku.. Mungkin tiada akan sesiapa yang memahami keadaan aku ini namun aku yakin setiap ujian ini ALLAH berikan kepada aku pasti bersebab.

Aku pernah membaca terjemahan Firman ALLAH ini yang bermaksud :
" Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah berjaga-jaga dan bertawakkallah kepada ALLAH supaya kamu beruntung." ( Ali-Imran: 206)

dan aku sering ingat dengannya.. supaya dapat aku pujuk hatiku ini supaya bersabar. Ada suatu ketika lalu, keadaan seperti ini berlaku dan aku bersabar...maka aku dapat melaluinya. Dan, sekiranya aku tidak dapat melaluinya aku akan meminta pertolongan... kepada DIA... Sekiranya aku masih tidak mampu melalui dan mungkin doa aku yang serba kekurangan ini tidak segera tertunai maka aku akan memohon pertolongan daripada DIA melalui dia. Namun kini aku tidak bisa lagi berbuat begitu.. kerana aku punyai sebab, dan kerana aku punyai janji. Aku tidak bisa lagi untuk meminta melaluinya.. tapi aku yakin DIA pasti membantu aku biarpun agak lambat untuk memperkenankan dan setiap segala sesuatu itu pasti ada hikmah..

Firman ALLAH yang bermaksud:
"Berdoalah kepadaKU, nescaya akan AKU kabulkan permohonanmu itu." (Al-Mukmin:60)

Sudah agak lama aku tidak mengalami keadaan ini. Aku kira segala sesuatu permasalahan yang berkaitrapat dengan urusan itu telahpun selesai. Namun hari ini, terbukti...keadaan itu belum menghindar sepenuhnya. Bukan gejala wabak penyakit terkini... namun rasa sesak nafas dan sakit dalam dada aku ini melanda lagi. (Entah aura siapa pula yang melanda diri aku ini, mungkinkah kebimbangan, mungkinkah punyai musibah, mungkinkah ada masalah mendatang, mungkinkah ada kerja-kerja salah dilakukan, mungkin keresahan dan rasa dicurigai melanda...Semoga jika ada dalam kalangan kalian membolehkan aku merasa kesan aura naluri, gerak kalian...akan DIA tenangkan dan damaikan... Jika ada sesuatu yang salah, semoga dapat dibetulkan. Jika ada keresahan melanda, semoga ALLAH berikan ketenangan)

Pemeriksaan kesihatan aku juga tidak membimbangkan.. tiada kesan-kesan yang buruk, CUMA ada sedikit masalah yang tidak dapat dikesan oleh perubatan moden.. Apabila aku fikir-fikirkan, tidak mengapalah... sebab aku boleh berikhtiar, pasti DIA akan sentiasa di sisiku membantu, dan mempermudah segala urusan aku ini.

Semakin pelik, bukan? Maka itulah keseronokan untuk terus menjelajah... Aku tiada apa yang harus aku kongsikan. Jika aku membaca Alquran kedamaian itu akan sentiasa bersama. Semakin lama aku membaca, semakin aku asyik... namun kita sebagai manusia mempunyai banyak tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Setiap sesuatu itu akan dihitung di akhirat kelak. Aku ingin melakukan apa yang disarankan oleh DIA rabbul izzati dan Dia habibullah... Beribadatlah umpama kita akan mati pada esoknya dan bekerja( berusaha) umpama kita akan hidup selamanya... Betulkan aku jika aku silap.

Satu lagi keadaan yang tidak selesa aku alami adalah situasi pada ketika aku sering tersedak.. jika bukan ketika makan, kadangkala tersedak air liur sendiri. Kata orang tua-tua, jika tersedak kita sedang disebut orang. Memang banyak kebetulannya.. jika tersedak ketika makan atau merasai sesuatu yang pedas, maka keburukan kita diperkatakan. Jika tersedak ketika sedang makan atau minum sesuatu yang enak dan manis, maka kita sedang dipuji. Jika tersedak ketika sedang tidur.. maka ada orang yang sedang mengingati kita. Itu kata orang tua-tua..tiada kesahihannya cuma kebetulan. Aku tidak mahu mempertikaikannya... apabila orang-orang tua berkata, pastinya datang daripada pelbagai pengalaman yang telah dilalui..maka mungkin ada kebaikan yang banyak tetapi kita tidak nampak dan tidak mengerti. CUMA, jika benarlah ada yang menyebut aku ini, hentikanlah... tidak perlu menyebut-yebut tentang aku ini.. Jika aku masih dalam hidup, jika aku baru hadir, jika aku telah berlalu... hentikanlah.

Aku berasa terganggu apabila keadaan itu berlaku. Siapakah yang mengingati aku ini pada setiap ketika. Sehingga lena aku sering sahaja terganggu. Alhamdullillah dan terima kasih kepada mereka yang amat menyenangi aku dan menyebut aku, dan terima kasih juga buat mereka yang tidak menyenangi aku tetapi masih juga menyebut akan aku ini. Aku penat untuk melalui keadaan itu berterusan. Rehatku selalu tidak mencukupi.. kerana aku sering rasa gangguan yang aku tidak suka itu.
Kadangkala terfikir aku.. apalah sangat dengan diri aku ini, sehingga tidak henti orang akan menyebut-yebut aku ni. Jika sangkaan aku ini benar, aku ingin menasihati mereka yang menyebut itu, ingat dan sebutlah DIA, Yang Maha Agung itu... kalian pasti lebih diberkati dan dikasihi olehNYA, dan ganjarannya adalah ketenangan dalam hati-hati kalian, melunaskan segala keresahan, mengikis segala titik hitam di dalam hati sekiranya semua itu ada... Jika mengingati dan menyebut aku, hanya dosa yang berbekal dalam hidupmu dan noda yang berganda dalam hatimu.. Aku memang amat bersyukur jika ada yang mengingati aku kerana itu tandanya aku sentiasa ada dalam dakapan kasih sayang dan kerinduan manusia yang bermakna limpahan nikmat itu untuk aku tanpa dapat diperhitungkan sesiapa. Terima kasih ALLAH.
Buat diri ini, jika ada yang ingin mendekati..hadirkanlah diri dan hati dengan ikhlas dan bersungguh.. aku pasti menerima pemberian DIA seikhlas mungkin. Usah dibicarakan aku dan meninggalkan bebanan kepada aku... sedang di sebalik semua itu kita tidak mendapat sebarang faedah sekalipun..
Jika ada yang ingin membuka ruang hati dan minda untuk mengeratkan sillaturrahim, datanglah dengan niat yang baik, aku pasti menyambutnya dengan baik juga, insyaALLAH.
Jika ada yang ingin mendekatkan jurang ukhuwah, jemputlah dengan ikhlas dan tulus, aku pasti akan membuka ruang untuk merealisasikannya.
Jika ingin mengenali aku dengan lebih rapat...mulakanlah langkah melalui pintu salam yang luas dan terbuka laluannya... aku pasti akan membuka tangan menyambutnya...
Jika ada apa-apa yang perlu dituntut daripada aku, maka perjelaskanlah apa salahku, apa kekhilafan aku, agar aku bisa memohon maaf, bermuhasabah, dan membetulkannya..
Semoga tidak aku ini disebut-sebut atas segala sesuatu yang tidak pasti dan segala sesuatu yang menyukarkan aku ... secara baik aku bermohon, ungkai dan uraikan kekusutan ku dan padamkanlah prasangka aku ini.
Aku bukanlah marah atau jengkel dengan perkara ini...tetapi ia membuatkan aku berasa tidak selesa.. Keadaan jiwa yang begitu menjadikan aku berasa tidak selesa dalam melaksanakan tanggungjawab aku dalam banyak hal dan urusan. Aku rindu akan ketenangan hati...dalam semua perkara. Bukan mudah menjadi aku ini... Aku diberikan gerak naluri yang aneh dan sedikit pelik kadang kala membuat aku tertanya-tanya mengapa segala itu berlaku kepada aku ini. Maka untuk melaluinya aku harus menerima kehendak dan ketentuan dengan redha.. Mungkin menimbulkan kemusykilan catatan aku kali ini.. Mungkin ada orang lain yang pernah melaluinya seperti aku... tapi aku tidak pernah menemui sesiapa yang melalui hal yang serupa itu pula. Pernahkah terfikir, setiap kali aku muntah-muntah, mabuk, pitam pada awal pagi atau petang dan teringin makan sesuatu (mengidam)...maka tautan naluri aku pada seseorang itu menggerakkan aku kepada rasa dan tindakan itu.. Pastinya dalam kalangan orang-orang yang aku kasihi, ada pautan dan tautan dengan aku, saudara mara atau sahabat aku berkemungkinan hamil... Memang ada kalangan mereka akan bertanya-tanya, apabila melihat aku mabuk-mabuk dan loya-loya, dan kalangan mereka yang hamil itu akan mengakuinya untuk mengelakkan aku berterus-terusan mengalami masalah itu.. atau aku sendiri akan mencari siapakah yang hamil untuk membolehkan aku menghindar dari kemabukan itu.. Tidak pernah juga aku terfikir,setiap kali aku hendak ke mana-mana, apabila kaki aku akan berat melangkah dan hatiku berdegup kencang, maka aku menangguhkan perjalanan...seterusnya ada musibah yang telah berlaku, maka dalam keadaan selamat itu barulah ringan kaki aku terus melangkah...
Tidak juga aku terfikir jika aku ingin pergi ke mana-mana, dan berjumpa seseorang.. aku akan bermimpi dalam lena aku itu aku bertemu orang-orang yang bakal aku temui, dan menjelajah tempat-tempat yang bakal aku lawati... dan kejadian seperti mimpi aku itu pasti berlaku..
Pernah suatu ketika dulu ketika aku mengasihi seseorang dia dalam mimpi aku, aku dibawa ke kediaman, aku melihat situasi dalam keluarganya dan pada waktu-waktu terdekat itu aku dimaklumkan tentang kebenaran apa yang ada dalam mimpi aku itu... dan aku begitu bersyukur kerana aku selamat daripada ditipu dan dianiaya oleh seorang dia itu.. Semua itu adalah ingatan berjaga-jaga atau gambaran persediaan untuk sesuatu yang patut aku lakukan. Namun dengan segala kasihsayang ALLAH buat aku itu, aku bersyukur.... walaupun pada awalnya aku rasa tersiksa... Dan kini aku sudah membiasakan alamat itu ada dalam hidup aku ini, biarpun aku tahu ia adalah kesukaran buat aku.. Adakah kalian memahaminya? Maka jika kalian memahami dan mengerti, usahlah "sebut" aku dalam ketika-ketika aku tidak senang...biarpun aku bisa dan boleh menyebut kalian semula... bukan pula resamku membalas sangkaan dengan sangkaan.
Firman ALLAH :
وإذا الرعايةلاحطتك عيونها نمفالحوادث كاهن أمان
"Apabila engkau mendapati penjagaan Allah, Maka tidurlah dengan lelap kerana sekalian urusan akan berjalan secara aman"
Dan sebenarnya itulah hakikatnya, aku ingin sekali dalam penjagaan ALLAH kepada diri aku yang lemah dan sentiasa diuji ini. Aku ingin sekali ketenangan dalam hati aku ini... semoga dalam dakapan lena aku itu ada DIA yang aku mimpikan atau apa yang baik dari DIA dalam igauku... Bukan sesuatu yang dalam lena aku itu, terkejut aku kerana ada bicara dari hati dan minda; sama ada dilahirkan secara lisan mahupun dilahirkan secara dalaman... hindarkanlah berbicara tentang aku ini... Berbicara lah kepada yang hak itu, lebih baik untuk diri yang menyebut tentang aku itu...
Biarpun sebenarnya aku kuat untuk melaluinya namun aku kira ada ketika-ketikanya aku pasti kalah dengan kesumatku yang sentiasa akan mengguggat ketenteraman hati dan kesenangan jiwa aku ini.. Aku sentiasa berpegang dengan firman Allah yang bermaksud :
"Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredahaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar" (Ali Imran: 173-174)
Buat yang mendatangkan rasa debaran dan keresahan dalam hati ini, yang mendatangkan seizin Allah yang aku cintai... aku ada ketika tidak redha dengan kehadirannya dalam hati aku ini. Dan aku bimbang suatu masa dan ketika nanti, jika aku terlupa dan aku kehilangan rasa bersabar ini...dengan seizinNYA, Allah yang aku kasihi itu...aku mungkin akan berbuat salah. Maka sebelum semua itu berlaku, maka aku pohon dengan kerendahan hati aku ini... bebaskanlah aku daripada sangkaan buruk jika ada, pujian melampau jika terlintas, dendam membara jika tertera.... semoga kita, aku dan dikau bisa aman dan bahagia...sejahtera bersama-sama.
Cukuplah catatan yang memeningkan ini, rasanya... Jika aku tersalah dalam membicarakan tentang hal ini ketika ini, aku harap akan dimaafi dan dapat diperbetul... Jika ada kasih sayang dalam ukhuwah kita ini, semoga ia terbukti dengan keikhlasan budi yang kita berikan buat semua, orang lain dan kita sendiri. Wassalam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan