Rabu, Julai 15, 2009

TERIMA KASIH KERANA KEPERIHATINAN TETAPI CUBALAH UNTUK MEMAHAMI...

Aku mencatat hari ini untuk sesuatu tujuan. Mungkin disebabkan oleh sesuatu yang sudah aku jangka akan berlaku. Mungkin juga disebabkan rasa tanggungjawab untuk aku menerangkan kedudukan aku ini ketika ini, waktu ini dan saat-saat ini. Biarpun bunyi seakan serupa tidak semestinya sama.
Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan selaut penghargaan buat teman-teman yang begitu prihatin dan menyayangi aku. Aku sudah cukup rasa bertuah dan beruntung punyai teman-teman sebaik dan semulia kalian. Cuma buat masa ini, biarlah aku jalani hidup aku ini dengan aturan dan perancangan aku sendiri. Berilah aku ruang menunaikan tanggungjawab yang aku fikir perlu aku laksanakan terlebih dahulu. Cukuplah andai kalian mampu mendoakanku. Tidak lebih daripada itu.

Saudara-saudara/sahabat-sahabatku...
Aku ingin sekali kalian mengerti bahawa aku punyai perancangan dan matlamat yang ingin aku capai. Aku sedar bahawa kasih sayang kalian tiada kurangnya..namun cubalah memahami berat mata kalian yang memandang.. berat lagi aku yang menanggungnya. Jika kalian memberikan aku ruang untuk melalui perjalanan hidup ini dengan tenang, itupun sudah cukup.
Ujian yang aku lalui ini sebenarnya tidak seperti yang kalian sangkakan. Aku tahu kalian ingin aku mengecapi kebahagiaan dan kegembiraan dalam hidupku ini.. sementelaah usia aku yang semakin hampir kepada janjiku kepada Allah.
Tetapi, adakah kalian tahu pasti apakah kebahagiaan dan kegembiraan bagi aku ini. Jika kalian rasa kalian tahu apakah ia benar? Benar suatu yang bahagia dan gembira buat aku? Aku sendiri tiada jawapannya...bagaimana kalian boleh ada jawapan itu?

Maafkan aku...
atas sebab-sebab terdahulu...
atau atas sebab-sebab sekarang dan akan datang..
Jika....
Aku telah membuat kalian simpati,
jika ...
Aku telah membuat kalian bersedih...
Jika...
Aku telah membuat kalian rasa marah dan terkilan...
Jika...
Aku telah membuat kalian berasa tidak selesa..
Jika ....
Aku telah membebani kalian dengan...
segala kisah-kisahku,
segala penderitaanku,
segala kepayahan hidupku,
atas segala-gala yang merumitkan pemikiran kalian.
Maafkan aku.

Teman-temanku...
Hari ini aku menerima suatu pesanan ringkas daripada seseorang...
bercerita tentang sesuatu, untuk sesuatu, oleh sesuatu dan sebab sesuatu...
yang aku tidak mahu tahu, tidak suka tahu, tidak masanya untuk tahu...
Sebenarnya aku sudah dapat mengagaknya sejak beberapa waktu yang lalu...
Sedarlah... teman-temanku...
Mengapa aku tidak seperti selalunya... seperti waktu-waktu dulu?

Jika kalian seorang yang memahami,
kalian pasti tahu...
bahawa aku tidak suka...
bahawa aku tidak setuju...
bahawa aku tidak mahu diminta melakukan sesuatu...
yang mungkin kalian fikir baik untuk aku...

Bukan aku menafikan dan menolak fitrah manusia...
Bukan aku tidak menyayangi dan mengasihi diri ini...
Bukan aku berdegil dan angkuh...
Bukan aku sombong dan menolak pertolongan...

Cuma waktunya belum tiba...
Cuma masanya belum sampai....
Cuma ketikanya tidak tepat...
Cuma saatnya belum menjelang....

Pastikah kalian bersama aku ketika itu...
ketika aku inginkan seorang teman,
ketika aku harapkan suatu perhatian,
ketika aku memerlukan suatu pertolongan...

Kalian ada bersama aku, sehingga berasakan bahawa kalian berhak mengatur sesuatu buat aku.

Kalian mungkin ada tetapi sebenarnya kalian tiada
kalian mungkin bersama tetapi sebenarnya kalian tiada
kalian mungkin memahami tetapi kalian tidak mengerti...
Seperti aku....yang kadang-kadang faham tetapi sentiasa tidak mengerti...

Tunggulah, suatu saat aku pasti membuka jalan...
Tunggulah, suatu masa aku pasti dengan sendiri meluaskan peluang yang ada... ruang yang selesa....kesediaan yang sempurna....cuma biarlah semua itu setelah apa yang sepatutnya berlaku terus berlaku...Apa yang sepatutnya ada akan sentiasa ada... Apa yang sepatutnya sempurna akan terus sempurna...

********************************************************************************
Sebelum semua terus keliru aku ingin menyatakannya. Jika tidak difahami aku tidak tahu cara apalagi untuk menjelaskannya.

Hidupku ini dipertanggungjawab dengan beberapa perkara yang mungkin tidak sama dengan oranglain. Ketika aku meratapi bebanan yang aku rasai ini, aku sering melihat oranglain mempunyai lebih banyak tanggungjawab dan bebanan dalam hidup mereka. Tidak kurang pun daripada apa yang aku alami ini. Aku bersedih, ada orang lain yang bersedih.. Jika aku tidak ada apa-apa untuk gayakan di majlis-majlis tertentu.. ada orang lain tidak ada dan yang mencari pakaian untuk melindungi badan pun.. Jika aku tidak makan untuk hari ini ada orang yang tidak makan dari kelmarin lagi dan mungkin esok.. Jika aku tidak keluangan masa ketika ini, ada orang lain yang tidak lagi punya masa untuk apa-apa sekalipun. Aku hanya ingin menjadi seorang yang bersyukur dan redha... aku hanya ingin Allah menemani aku setiap masa... mungkin melalui kawan-kawan, rakan-rakan, sahabat-sahabat yang ada... dan Allah sudah memperkenankan kalian dalam hidup aku ini...

Pada saat aku dilanda kekecewaan, aku sebenarnya jauh sangat bersyukur kerana dengan pergi nya dia, cerita-cerita dia...perhatianku untuk dia.. Allah telah memberikan banyak kelapangan dan kelegaan dalam hatiku ini. Pernah aku berkata kepada seseorang... Imanku ini tidak terletak pada seorang insan bernama lelaki... Untuk pengetahuan kalian, aku masih mencintainya, dia sebagai saudara muslim yang mencintai Allah. Aku juga sudah berjanji akan sentiasa mencintai seseorang yang mencintai Allah... Kalian mungkin tidak faham mengapa? Kerana dia telah melorongkan aku ke jalan ini...jalan Allah yang aku dambakan.. Dia telah menjadikan aku lebih dekat kepada Allah... Aku tidak pernah meletakkan dia sebagai seseorang yang pasti membahagiakan aku ...kerana kebahagiaan aku ada pada Allah... Kenapa kalian tidak mendekatkan aku, memperkenalkan aku kepada seseorang ketika kononnya aku ada dia? Kenapa sekarang? Ketika aku berlapang dada ini... Jika aku dapat gambarkan keresahan dahulu dan kelegaan sekarang, alangkah baiknya..

Jika tidak terpancar kegembiraan di wajah selepas ketiadaan dia..sebenarnya bukanlah kerana dia... Cuma kerana Allah ingin menguji aku ini hambaNYA dengan dugaan dan ujian lain... supaya aku akan diterima di sisinya dengan tenang.

Kita tidak boleh mengubah takdir... tidak sekali-kali namun kita masih mampu berdoa dan berdoa...terus berdoa tanpa berputus asa, sekiranya di hadapan kita ada takdir buruk, moga dihindarkan.. dijauhkan.. Mungkin sahaja apa yang aku alami ini, kafarah buat aku.. Mengertilah.

Kita merancang dan Allah yang menentukannya... jika dalam perjalanan takdir aku itu, tiba-tiba Allah telah temukan aku dengan yang lain daripada perancanganku dan baik di sisi Allah buat aku, aku redha. Namun buat masa ini aku tidak tahu dan tidak dapat memastikannya.


Mungkin ada yang berfikir inilah masanya...tetapi di hati aku ada dia yang tidak seorang pun perlu tahu ketika ini. Aku juga tidak perlu untuk memberitahu... fahamilah.

Ada yang berkata, mengapa aku perlu mengorbankan diri untuk orang lain...mensia-siakan hidupku untuk orang lain...

Mengapa?
Aku tiada jawapannya.. yang aku tahu, jika boleh segala yang aku lakukan ini dianggap suatu sedekah... inilah sedekahku untuk saudaraku, ahli keluargaku...anak-anak yang sedang membesar itu.. Jika sedekahku itu ilmu, semoga ia menjadi suluh buat mereka..

Jika sedekahku itu masa, biarlah segala penuh dengan kemanafaatan.. Jika sedekah itu material, biarlah mereka membesar dengan hidup yang bermakna.. Jika sedekah aku itu kasih sayang, biarlah mereka menjadi orang yang berguna... Cubalah fahami..

Mereka yang membebani aku itu, darah daging aku ini... mana mungkin aku hidup bahagia dengan melihat dan membiarkan saudaraku menderita... Aku mencintai mereka.. Kalian perlu mengerti..

Tidak ada suatu yang lebih membahagiakan aku jika hidup aku ini sempurna tetapi mereka merana... Itulah aku... Jika peperangan berlaku, kita kesali kesannya... Namun jika penganiayaan berlaku yang ditutupi gambaran bahagia...apalagi yang dapat kita sesali... Aku tidak sanggup melihat kain putih itu rosak kerana salahnya kita mendidik dan kita melihat segala di depan mata.

Cukuplah jika kalian memberikan beberapa waktu untuk aku membetulkan semula apa yang tersimpul... menegangkan semula apa yang kendur... melonggarkan dalam keadaan seselesa mungkin sesuatu yang sudah terlalu ketat. Nanti, apa terlaksana segalanya itu... insyaAllah, aku akan buat apa patut aku buat untuk diri ini. Mungkin ketika itu kalian akan memahami.. Maaf, jika aku begitu bertegas dan kata-kata yang aku ungkapkan ini begitu kasar. Wassalam.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Apa khabar tuan rumah?

    Saya datang ingin melebar luaskan kenalan blog. Kalau kelapangan jemputlah ke blog saya, boleh bertukar pendapat dan link Insya'Allah.

    Klik>>

    Kembara Sufi Mencari Aspirasi

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam...
    Alhamdullillah diberikan kesempatan untuk berkongsi hikmah dalam kehidupan...dan saya sudah menjejaki blog yang dimaksudkan.
    InsyaAllah,
    saya akan bertamu lagi.

    BalasPadam