Rabu, Julai 22, 2009

INDAH TIDAK SEMESTI CANTIK, ELOK TIDAK SEMESTINYA BAIK?

Assalamualaikum... Ada sedikit ruang untuk aku berbicara hari ini. Mungkin isu yang agak ringan dan mudah pada sesetengah orang. Tetapi sudah menjadi kebiasaan bagi aku mungkin, sering mempersoalkan hal-hal yang dianggap remeh oleh orang lain. Bukanlah sebenarnya untuk menyentuh mana-mana atau apa-apa keadaan dan situasi , juga tidak berkaitan dengan sesiapa sekalipun. Aku cuma meluahkan keresahan hati aku ini dalam mengharungi hidup aku yang masih tersisa ini. Entah mana silapnya. Mungkin ada di dalam segala kisah yang baerlaku itu ada silap aku yang sentiasa mencari sesuatu dalam hidup aku.

Ada ketikanya, apabila aku berbuat sesuatu... aku memang sangat ikhlas, tetapi dengan adanya sesuatu yang berlaku dalam usaha aku itu, maka keikhlasan itu mungkin hanya tinggal nama sahaja.. atau mungkin sudah bertukar menjadi dosa yang tidak aku ketahui atau sangkakan. Maka dengan segalanya ini, aku perlu sentiasa bermuhasabah.... mengira butir-butir kesalahan yang mungkin aku lakukan tanpa sedar dan akhirnya membawa kemudaratan kepada aku. Hidup ini memang tidak terduga namun selagi ada kesedaran yang diberikan pasti kita akan sentiasa ada usaha yang boleh dilakukan untuk memperbaik segala sesuatu itu menjadi yang lebih baik, bermanafaat dan juga memberikan kebajikan di dunia dan akhirat.


Ada beberapa kisah dalam hidup aku beberapa waktu ini membuat aku sentiasa berasa sebal dan berasa jengkel memikirkannya. Maafkan aku kerana aku akan mengungkit beberapa perkara untuk muhasabah kita bersama, insyaALLAH..

Ilmu yang menjadi tuntutan kepada kita untuk mencarinya dari sejak kita lahir hingga ke liang lahad pastinya adalah sesuatu yang utama.. Sesuatu yang amat berguna, menjadi pelita dan menjadi penjaga kita.. Pastinya dengan bertambah sesuatu ilmu itu, seseorang itu akan menjadi seperti resmi padi..yakni semakin berisi semakin merunduk. Orang yang banyak ilmu digelar alim, ulama ..... kerana banyaknya ilmu itu semakin menambah kemuliaannya di dunia mahupun akhirat. Siapa tahu pula pada zaman kini, semakin berilmu seseorang itu semakin tinggi pula hidungnya, yang berasakan bisa menongkat langit.... ada pula yang tiba-tiba tidak mengenal akal budi, budi bahasa, kesantunan budi dan seumpamanya... Ada antaranya yang jauh melupakan adab dan lupa bagaimana hendak menghormati orang lain dan orang yang lebih tua. Dalam apa keadaan pun, sebenarnya ilmu itu tidak akan menukarkan seseorang itu menjadi lebih kufur tetapi lebih bersyukur, tidak akan menjadikan seorang yang lebih angkuh tetapi lebih tawaduk... tidak menjadikan seseorang itu kurang ajar tetapi berakhlak... tidak menjadikan seseorang itu hina tetapi mulia... Itulah sebenarnya kelebihan ilmu, pengetahuan..yang dalam masa yang sama bermaksud, tahu...mengerti ....memahami... lebih mendalami.. Entah di manalah silapnya.

Aku dalam didikku oleh orangtuaku, oleh guru-guruku, oleh alam sekelilingku, oleh masyarakat sekelilingku... oleh firman penciptaku dan oleh sunnah imamku Rasullullah SAW itu... rasa begitu sedikit ilmu yang ada sehingga boleh mengubah aku menjadi seorang yang tidak tahu diri, atau menjadi seorang yang berasa mempunyai sesuatu.... Aku tidak sanggup menggadai segalanya itu hanya kerana aku berasa terkilan, cuak, muak dengan perlakuan orang-orang yang lebih berilmu daripada aku ini.

Adakah dengan ilmu, seseorang itu boleh mengatakan itu tidak baik, ini tidak elok.. di sana ada kekurangan, di situ ada kecacatan... Semua hendak dipertikaikan hanya kerana 'aku' punyai ijazah kelas pertama, 'aku' lepasan universiti terhebat...'aku' punyai sarjana dalam pelbagai bidang..'aku' mendalami ilmu agama lebih daripada orang lain...'aku' belajar di benua Arab, di universiti terkenal di barat dan di dunia... aku ada dan pernah buat apa yang orang lain tidak pernah buat.... SEMESTINYA BUKAN ITU YANG AKAN BERLAKU KERANA ILMU ITU ADA SEGALA-GALANYA YANG ALLAH TITIPKAN...cuma manusia yang sombong yang tidak mengetahui apa-apa hikmah yang ada di dalamnya.


Seperti aspek cantik yang pernah aku catat sebelum ini.... ia fleksibel... tetapi orang yang berilmu itu dapat kita lihat daripada segala aspek lahiriah dan batiniah. Ilmu akan menjadi pakaian yang terindah buat insan yang benar-benar sedar dan tahu akan hikmah.

Mungkin mereka yang aku temui, yang sedikit melukakan hatiku ini... seorang yang diakui berilmu di atas sekeping kertas yang dipanggil dengan sesuatu nama sahaja...sama ada sijil, ijazah, kelayakan, pengikhtirafan, lesen.. bukan seorang yang benar-benar berilmu bukan hanya tercatat di dalam kertas tetapi mempunyai ijazah yang terbaik dalam universiti dunia...yakni mempunyai pengiktirafan berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan pengamalan ilmu itu sendiri.

Aku berharap pencapaian dan kemuliaan dunia itu tidak akan menjadikan kita seorang yang tidak beradap apabila berbicara... tidak akan menjadikan kita tidak 'berhati perut' dalam tindakan dan perlakuan, tidak akan menjadikan kita seorang yang kurang ajar dalam kehidupan. Mana perginya nilai diri kita... berasa di lorong yang lurus tetapi memasuki pintu yang salah... Ah, jika diturutkan rasa hati tanpa ada fikir akal di dalamnya, rasanya semuanya ingin aku ungkapkan...

Aku bukan minta dihargai atau diberi kemuliaan tetapi cukuplah jika tidak mengungkapkan sesuatu yang tidak menyakiti hati aku...tambah-tambah aku lebih tua dan lebih dahulu melalui liku-liku kepayahan yang ada. Jika kebersamaan yang ada tidak mahu dikongsikan dengan aku.. apa gunanya aku bersusah-payah dan berkorban untuk orang lain. Namun aku selalu ingat, ukhuwah yang Allah utamakan itu manis...pasti ada ujian untuk pastikan aku dan orang lain mengerti maksud ukhuwah itu sendiri. Dahulu, aku yang menyediakan, mengubah apa yang ada menjadi seperti sekarang... sehingga kini aku perlu untuk memberikan 'sentuhan' supaya ia menjadi sesuatu yang lebih baik... sedangkan oranglain yang mengakui, mengesahkan dan menerima imbalan... Sebenarnya aku tidak perlu mengungkit segala ini kerana aku sudah mengikhlaskannya..namun aku kira aku perlu pula menyebutnya supaya orang lain ingat... aku tidak perlukannya, tetapi berterima kasih lah dengan mereka yang terdahulu yang berbuat sesuatu yang baik...dan kalian meneruskannya dengan segala yang ada...sepatutnya menjadikannya lebih baik baik... bukan baik pada sebutan dan pengakuan semata-mata.. Jika dahulu orang lain bersusah payah untuk menjadikan sesuatu itu lebih elok dan kalian menerima dengan keadaan yang elok itu...usahlah pula kalian mencemuh kerana kini oranglain itu tidak memberikan perhatian disebabkan kalian ada untuk meneruskan. Sedarlah, kadang kala apa yang kita ada pada hari ini, mungkin sahaja tidak akan ada, jika mereka yang terdahulu itu tidak memulakannya. Belajarlah menghormati orang lain dan menghargai usaha itu... dan jika ada peluang untuk menambah baik pastinya orang yang terdahulu itu turut menumpang gembira... mengertilah jika ilmu itu benar-benar mendidikmu.

Nukman bin Basyir r.a berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda..
" Perumpamaan orang-orang yang memegang teguh hukum Allah dan yang menyimpang darinya adalah seperti kaum yang di atas sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atasnya dan sebahagiannya yang lain berada di bawahnya. Orang-orang yang berada di bahagian bawah kapal tersebut apabila ingin minum harus naik ke atas dan melalui orang-orang di atas kapal tersebut. Akhirnya salah seorang daripada mereka di bawah itu berkata, "Kalau kita melubangi kapal ini, kita dapat mengambil air untuk minum dan tidak perlu lagi mengganggu orang-orang di atas". Jika apabila seluruh penghuni membiarkan orang itu melubangi kapal dan tidak berusaha mencegahnya nescaya akan binasalah seluruhnya. Namun jika apabila mereka berusaha mencegahnya, maka selamatlah kapal itu dan seluruh penghuninya."
(Hadis riwayat Bukhari dan Tarmidzi)


Dalam riwayat berkenaan, seseorang itu berilmu tetapi begitu dangkalnya ilmu yang dia ada kerana memikirkan nikmat yang akan dinikmati ketika itu... tidak sanggup bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu. Dan sekiranya seseorang yang demikian dipersetujui maka nikmat itu akan dinikmati sebentar cuma, sesudahnya apabila air memenuhi kapal tersebut kapal itu pasti karam. Inilah yang ingin aku sampaikan... tidak salahnya untuk kita berasa susah, berasa payah, berasa sulit, berasa diperlekehkan... sedang apa yang kita buat itu betul, apa yang kita buat itu memberi manafaat yang banyak, apa yang kita usahakan itu ada fadhilatnya... biar pun mengambil masa, biarpun memerlukan lebih banyak ruang, biarpun memerlukan lebih tenaga dan pengorbanan... kita mesti pastikan apa yang kita usahakan itu bukanlah berbuat sesuatu yang sia-sia. Kita tidak boleh lepas tangan... namun kadang-kadang kita berasa kecewa disebabkan kita cuma manusia biasa.


Aku pun tidak mengerti, sepatutnya aku lebih bersabar berdasarkan faktor usia, ilmu dan pengalaman yang aku ada.. namun sebagai manusia biasa aku berasa penat, aku berasa kecewa, berasa hampa... berasa banyaknya kekurangan yang ada.. Ada kalanya aku malas untuk memulakan sesuatu yang baik, sebab aku akan meneruskan segalanya itu berseorangan... mereka tidak membantu, biarpun apa yang aku lakukan itu adalah untuk mereka. Aku pun bukan minta diingati apabila mereka mendapat laba...tetapi cukuplah untuk berkongsi sesuatu agar tidak menganiaya aku... Mungkin wajar, jika aku berasa tidak perlu ambil tahu kepada mereka yang tidak bersedia berkongsi dengan aku.... Aku selalu mendengar, jika ada aku..orang lain tidak perlu bersusah payah..semua pasti beres.. tetapi apabila ketika ada sedikit kerja aku itu tidak beres yang salah itu aku, sedangkan kerja yang aku buat itu adalah tanggungjawab orang yang menuding itu.. Fikirkanlah... menuding orang lain satu jari, empat jari yang lain menuding kepada diri sendiri... apatah lagi menuding kesilapan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab tuan punya diri itu sendiri...

Cukuplah aku mencatat kali ini, ruang untuk aku melaksanakan tanggungjawab lain perlu aku tunaikan juga.. banyak lagi yang ingin aku luahkan. Jika ada keluangan oleh Allah buat aku ini lagi..pasti aku mencatat lagi.. InsyaAllah.. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan