Isnin, Julai 27, 2009

JIKA DIUSAHAKAN SESUATU YANG TERBAIK, MAKA TERUSKANLAH... KEBAIKAN AKAN TERUS HADIR DAN MENAUNGI..

ASSALAMUALAIKUM.. Aku sendiri tidak tahu apakah keadaan aku yang sebenarnya ketika ini. Ada kala aku rasakan begitu bertenang, namun sesekali terasa kosong... dan saban waktu terasa resah. Cuma aku sedikit terfikir, jika selama ini aku sering mengusaha untuk sesuatu yang terbaik dan seupaya melakukan yang terbaik... maka sewajarnyalah aku meneruskan. Mungkin suatu ketika akan ada kebaikan yang akan terus hadir dan menaungi hidup ini.

Aku mungkin mengecewakan harapan seseorang ketika ini..waima sebelum-sebelum ini, namun aku punyai sebab. Bersabarlah untuk seketika.. pasti Allah akan memberikan jalan untuk aku meneruskannya... mungkin bukan ketika ini, pasti akan ada ketikanya aku menyahut dan menyambutnya.. Jika ditakdirkan ketika itu aku mungkin terlambat, aku redha.. mungkin itu bukan yang terbaik buat aku.

Tidak mengapa jika tidak memahami dan maaf jika aku membuat menimbulkan kekeliruan untuk pembaca memahaminya.

Jika ditakdirkan aku perlu melalui liku-liku yang menyulitkan sekalipun aku akan cuba untuk melaluinya dengan ikhlas dan redha.. kerana mungkin segalanya itu memberikan aku pengalaman dan pengetahuan baru kepada aku. Dan mungkin sudah juga ditakdirkan aku hidup dalam lingkungan kehidupan yang misteri dan mistik, mungkin... aku ditakdirkan menjadi seseorang yang mempercayai sesuatu yang aneh dan karut; sesuatu yang tidak dilihat sesuatu yang positif dalam kehidupan kini yang serba moden, sosfikated serta canggih... Begitu sulit dan menyulitkan. Dan inilah aku..seorang yang berasa yakin dengan alamat-alamat yang kuperolehi melalui mimpi dan melalui gerak rasa serta rentak naluri aku.


Aku kira seharusnya aku dalam ruang yang menyelesakan ketika ini... namun ada sedikit kegelisahan yang aku alami. Entah mana silapnya ada debaran-debaran dan rentak jantung yang lalu aku alami ketika ini. Dahulu, dia yang aku kaitkan dengan segala yang aku alami.. tapi kini, adalah tidak wajar debaran, keresahan dan kebimbangan ini melanda. Mungkinkah dia atau ada orang lain yang 'menghadirkan' situasi aku ini?

Sudah agak lama aku tidak menyebut dan mencoretkan kisah aku dan dia. Bukan aku berputus asa... segalanya ini rencana Illahi buat aku, maka aku berasakan aku patut bersyukur sebelum aku terlalu leka dengan dia sehingga melupai DIA, aku sudah berundur dari dia atau lebih tepat.. dia sudah meninggalkan aku. Tiada kekesalan di hati ini meminta dan memohon kepada DIA agar dia dijauhkan daripada aku jika dengan mencintai dia, aku akan melalaikan DIA.. Aku hanya insan lemah yang kadang-kadang alpa kerana kecintaan dan kerinduan kepada dia yang mana sepatutnya aku merindui dan mendambakan DIA lebih daripada dia.

Aku sangat mencintai, mengasihi dia maka dengan kecintaan aku kepada DIA pula, aku sering bermohon agar dia akan dapat hidup bahagia dengan orang lain kerana jika dia ada bersama aku, ingatan dan rindu aku akan ada kepada dia... sehinggakan ada kalanya dia mendominasi segala-gala dalam hidupku ini...dalam tidurku, dalam jagaku, dalam tenangku, dalam resahku, dalam susahku dan dalam senangku... mujur DIA memperkenan doa aku yang daif ini... kerana aku inginkan DIA lebih daripada dia.. Maafkan aku sekali lagi kerana aku memilih DIA dalam seluruh hidup aku ini. Aku pasti dia akan sangat memahami aku kerana dia juga mencintai DIA..

"Sungguh beruntung orang-orang yang beriman,(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Surah Mukminun : 1-2)

"Apakah kamu menyangka bahawa sesungguhnya kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada Kami? Maha Tinggi Allah Raja yang sebenarnya" (Surah Mukminun : 115)



Pada awalnya suatu masa dahulu, aku begitu bimbang akan dia dan aku tidak akan dapat melalui semua ini dengan tenang dan redha.. sehinggakan setiapkali sesudah solat, aku pasti berdoa jika ketentuan dan sesuatu itu baik untuk aku dan dia, permudahkanlah segalanya buat kami... Aku pasti dengan segalanya; terutama tentang segala kasih sayang dan cinta seorang aku ini buat dia. Seterusnya juga selagi dia berjalan di jalan kecintaan aku yang utama itu. Aku tidak ada sebarang kekesalan.. Aku tidak pasti apa yang berlaku kepada dia. Semoga cinta barunya yang benar di jalan ALLAH itu akan berkekalan ke akhir hayat. Aku akan terus mengambil pendekatan ini, sekiranya dia menyebabkan aku teralpa daripada DIA, maka selama itu pula akan menjauhkan diri daripada dia.

Mungkin sedikit kesulitan yang aku lalui ini akan terus membuatkan aku kuat mengharungi liku-liku hidup aku... teringat setahun yang lalu, ketika aku melihat pintu kaabah itu dibuka, di hati aku ini ada dia, lantas aku bermohon kepada DIA, jika dia begitu melalaikan aku maka hindarkanlah dia daripada hidup aku... dan jika ketika itu datang, semoga aku dan dia diberi kekuatan serta redha.... seterusnya semoga aku dan dia akan diberikan segala sesuatu yang lebih baik dalam hidup ini demi kebaikan pula di dunia dan akhirat kelak.

Semoga pula aku dan dia akan diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup.. biarpun ketika itu aku amat berkecil hati dengan dia, namun dalam doa aku yang kerdil ini...semoga dia yang aku kasihi dan cintai akan menemui kebahagiaan...maka dengan segalanya itu, sewajarnya aku tidak akan kembali kepada sesuatu yang telah aku pinta untuk aku hindari. Aku ingin sekali dia memahami segalanya ini... dalam dunia ini, mungkin tiada bandingan kasih aku kepada dia, setiap saat dalam hidup aku ada dia...maka sebab itu pulalah, aku korbankan dia agar aku dan dia tidak akan tersasar daripada jalan yang sepatutnya.. Maafkan aku sekali lagi.

Teringat aku bait-bait ayat dalam surah Ar-Rahman yang bermaksud "maka/dan nikmat aku yang manakah yang engkau dustakan?"


"Tiada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada diri kamu kecuali yang telah tertulis dalam kitab (Loh mahfuz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. (Kami jelas yang demikian itu) supaya kamu tidak berputus asa atas apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan kepada kamu. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membangkang." (Surah Al-Hadid: 22-23)

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah :216)

Itulah hakikatnya dalam hidup aku sebelum ini... aku sangat menyukai dia, aku amat menyayangi dia, aku amat mengasihi dia, malah aku mencintai dia... tetapi aku sememangnya tidak mengetahui maka DIA yang maha mengetahui telah menentukan bahawa dia betapa kelak aku kasihi tanpa berbelah bagi rupanya tidaklah baik untuk aku.. Aku hanya ingin bersifat qanaah dan bersyukur atas segala nikmat yang DIA berikan kepada aku ini. Aku selalu menangis namun di mana-mana akan ada ujian dan dugaan yang perlu setiap orang lalui. Setiap orang pasti melalui kesukaran dalam hidup.. cuma berbeza tahap kesukaran dan kepayahannya.


Buat ketika ini, aku sering juga bermimpi sesuatu yang bermaknakan kepayahan dan kesukaran. Memandangkan mimpi itu juga memainkan peranan dalam hidup aku ini maka apapun yang didatangkan kepada aku akan difikirkan dan dipertimbangkan. Maka kepayahan dalam maksud mimpi aku, diserahkan ketentuannya oleh DIA yang maha mengetahui. Dia yang datang ini juga sudah aku sandarkan kehadirannya kepada DIA, dan aku fikir biarlah dia mencari orang lain..

Aku belum bersedia menerima dia dalam hidup ini walau aku ingin sekali ada dia di sisi aku. Namun bukan seorang dia yang dalam mimpi aku itu beriya-iya mengajak aku menaiki kenderaan yang lama yang masih baik dan terjaga keadaannya untuk pergi ke suatu tujuan. Namun di pertengahan jalan kerana ada suatu hal yang lebih menyenangkannya dia meminta aku untuk turun sebentar sementelaah dia berurusan dengan sesuatu itu. Aku menunggu dia dengan harapan dan dengan sabar namun setelah selesai urusan itu, dia terus berlalu dan meninggalkan aku terpinga-pinga di tempat yang begitu asing kepada aku... Biarpun itu hanya mimpi, aku fikir DIA sudah pun memberikan isyarat kepada iskhtiharah aku suatu malam yang dingin lalu. Aku tidak mahu dia berasa hampa dan kecewa namun DIA telah memberikan tanda bahawa jika ada perjalanan yang akan dilalui, dia akan meninggalkan aku pada waktu-waktu berpeluang. Aku tidak meninggalkannya tetapi dia. Bukan kenderaan atau jenis kereta yang menyebabkan aku rasa tidak sepadan dengan perjalanan itu, namun kerana sikap yang diperlihatkan kepada aku.
Aku mohon maaf kerana terpaksa menghampakan. Aku ingin mencintai dia kerana DIA. Namun DIA telah memberikan isyarat tentang dia ketika aku meminta. Dan aku yakin, itulah juga... yakni mimpi itu sebagai wahana bicara DIA kepada aku.. Biarpun aku bukanlah seorang yang sentiasa percaya dan yakin akan mimpi... tapi aku menerimanya sebagai satu cara. Ibnu Sirin menyatakan bahawa mimpi itu ada tahap kebenaran dan kepastiannya. Jika mimpi itu buruk dan menakutkan serta membawa kepada kemungkaran, Rasullullah SAW sendiri menyarankan agar kita berdoa menjauhkannya..ketika bangun, berpalinglah ke sebelah kiri dan 'meludahkan' beserta berdoa kepada ALLAH dijauhkan segala keburukan serta dilindungi daripada syaitan yang direjam. Itulah hakikatnya. DAN, aku sendiri tergolong dalam golongan yang menjadikan mimpi dan gerak naluri sebagai wahana ilham daripada DIA yang aku kasih dan cintai itu.


Dalam meniti usia aku ini, walaupun bukan semua itu adalah sepenuhnya benar, namun aku akan sentiasa berhati-hati dan berwaspada... kerana mungkin disebabkan aku berasakan bahawa aku tahu dan kesombongan akan terampai dari dalam lubuk hati aku... yang kononnya aku ini lebih tahu.. maka kerana itu juga aku selalu beristigfar dan beringat, bahawa pengalaman dan ilmu itu ukuran aku sebagai seorang yang wajar, matang dan sentiasa berfikir dengan akal yang celek bukan berfikir dengan hati yang bergelora tanpa ada akal di dalamnya...

Aku pasti setiap catatan aku ini ada kalanya menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya.. namun harapan aku di sebalik semua ini semoga akan ada sesuatu yang bermanafaat, biarpun sedikit... buat diri aku sendiri dan buat orang lain yang mengikutinya... Biarlah sedikit yang bermanafaat daripada banyak yang merugikan dan merosakkan. Setiap kali segala sesuatu itu kita melaluinya atau setiap masalah itu kita selesaikan, bersyukur dan bermuhasabahlah... semoga manafaat dapat diraih, mala petaka dapat dihindar, kemudaratan dapat disingkir... sedapat mungkin.. Dan jika kita belum tahu bagaimana untuk bermuhasabah dan bersyukur, belajarlah.. dari bawah, biarpun lambat, biarpun sedikit tetapi dengan berusaha kita pasti akan faham dan mengerti. Wassalam..wa ma'asalamma...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan