Jumaat, Oktober 08, 2010

Selagi Ada Rindu..... Entah mengapa airmata ini mengalir ketika mengingati mereka..

Hari ini aku mengucapkan Selamat Ulangtahun kepada seseorang di laman facebook... ada beberapa yang lain juga... Entah mengapa airmata ini mengalir mengingati mereka... Semoga mereka sentiasa diberkati dan dirahmati Allah....

Seseorang ini amat rapat denganku ketika dia dalam didik ajarku... dalam kasih sayangku mencurahkan ilmu buatnya.. Dalam perjalanannya menuju jihad kepada Allah, dia sering ada bersamaku... tiada rahsia antara kami walaupun rahsia dalam hidupnya.. mungkin ada, namun banyak juga yang aku ketahui. Aku kagum dengan pendiriannya, dengan pegangan dan matlamatnya walaupun dalam usia mudanya itu... Dia juga berkongsi suka duka aku ini... Malah aku amat menyayanginya... Hari ini airmataku mengalir dengan kegembiraan dalam hati ini... Semoga Allah akan sentiasa memeliharanya dan memberi banyak kemudahan kepadanya untuk menjadi orang yang cemerlang..

Ketika aku melihat dan menjengah laman antaramuka "facebook" yang dikatakan banyak meninggalkan kesan buruk kepada penggunanya... sekali lagi kesayuan dalam hati ini melanda... Tersayat hatiku dengan kejayaan mereka yang aku kasihi suatu masa ketika dekat denganku dulu... kini, masih aku kasihi biarpun mereka telah jauh dariku...

Inilah resam pendidik seperti aku... bertemu dan berpisah bukan suatu yang asing... aku akan bertemu mereka... bersama mereka ketika mereka memerlukankanku... Atau mungkin masih berada bersama mereka, ketika mereka meluat, benci dan marah kepada aku... Cuma kini , mereka tidak sama seperti dahulu... Bertambah baik, dan berjaya.. Jauh lebih baik daripada aku ini... Tidak kira sama ada mereka suatu masa dulu suka mahupun benci kepada aku... Siapa pun mereka ketika hadir dan hampir kepada aku... akan aku anggap umpama kain putih yang bisa aku corakkan..

Ada kalangan mereka yang tidak dipedulikan orang kerana punyai masalah disiplin.. namun pertama kali mereka bertemu aku... mereka adalah suatu anugerah yang terbaik bagiku... Dulu aku pernah mempersoalkan mengapa aku bisa terjebak dalam bidang ini, yang tidak pernah aku minati... Apatah lagi aku tidak begitu dikenali oleh para pendidikku... Aku seorang penakut, berbicara juga tidak petah... namun akhirnya bidang ini aku ceburi...

Terima kasih Allah.... kerana aku amat bersyukur kerana terjerumus dalam bidang ini... walaupun awalnya secara tidak aku harapkan... kerana terpaksa semata-mata... kini aku amat gembira tergolong dalam golongan ini... Jika bukan kerana beberapa insiden lalu... mungkin aku sudah seperti aku hari ini...

Melihat laman sosial facebook... dalam akaun aku punyai lebih 3400 kawan... dan satu per tiga itu adalah anak didikku sepanjang 20 tahun ini... dan kebanyakan mereka adalah sangat akrab denganku... Biar mereka tidak ingat, namun aku sentiasa ingat... mendoakan mereka sentiasa berjaya dalam hidup mereka... Kini, aku sudah pun melihat buktinya... Berbangganya aku dengan mereka... biarpun mungkin mereka hari ini begitu berjaya kerana seorang yang 'kerdil' dan banyak kekurangan seperti aku ini... tetapi aku pernah mengenali mereka... maka semua mereka dalam doaku ini.

Aku tambah terharu apabila ada banyak dalam kalangan mereka merupakan pendidik seperti aku... ".... ingat saya? Saya antara murid yang paling nakal dalam tahun.... dalam kumpulan 7 orang... kami pernah kunci,....... dalam bilik. Ingat.....?" Sudah tentu aku ingat... kalian penyeri dalam hidup aku ini.. Kalian membuatkan aku sering tertawa mengenangkan perjalanan lalu hidup aku...
" Sekarang saya tahu apa yang .......... rasa suatu masa lalu... ketika saya menganiaya ........! Kini saya faham sukarnya untuk mendidik orang menjadi orang.."

Hmmm..... Aku tertawa sendiri ketika membaca pesanan ringkas itu... tetapi ketahui anak-anakku... umi ini tidak pernah menyimpan sebarang dendam kepada kalian... Kalianlah masa indah umi sepanjang masa....

Aku bangga mereka menjadi orang lebih cemerlang ketika ini. Aku berbangga mereka telah menjadi 'orang', atau menjadi manusia berguna kini... Cukuplah bagiku, anak-anakku..

Teringat aku serangkap pantun daripada seorang guruku... pensyarahku ketika aku di Universiti Malaya dulu, yang aku pegang dan jadikan panduan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab aku yang tidak akan ada sudahnya ini....

Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
Barulah boleh dipanggil orang
(Dato' Nik Safiah Karim)

Tajuk yang aku pelajari ketika itu tentang budi dan bagaiman budi itu akan menjadikan seseorang manusia itu manusia... Sama ada tentang budi bahasa, budi bicara... budi itu sendiri secara umum... tentang pentingnya seseorang itu berbudi... dengan ikhlas.. Peranan budi dalam hidup, masyarakat, negara... budi dalam perspektif Islam yang juga dikenali adab dan akhlak... sehingga menjadi orang yang budiman...

Mungkin kini airmata ini mengalir lagi bukan kerana hampa dan sedih tetapi kerana rasa bahagia dan gembira, mereka sudah menjadi 'orang'... dalam syariat yang betul dan dalam kesedaran yang nyata... lebih baik dari dulu... dan, semoga akan terus berjaya menjadi 'orang yang berguna'...

Setakat ini aku jarang mendengar khabar mereka yang gagal... semoga tidak ada yang gagal... biarlah kita menjadi 'orang kecil' sekalipun dalam masyarakat... di dunia, doaku semoga kalian menjadi 'orang besar' dalam taqwa dan iman kepada Allah.. dan aku kira doa aku ini sebagai seorang yang pernah mendidik kalian, pasti DIA makbulkan... Ya Allah dengarlah doa 'orang kecil' seperti aku ini, agar semua anak didik yang pernah menjadi aku ini guru mereka.... semoga mereka menjadi 'orang besar' dalam semua bidang di dunia dan akhirat..

Mungkin airmata ini mengalir kerana aku merindui kalian...
Rindu dengan karenah nakal kalian
Rindu dengan gelak tawa kalian
Rindu dengan peluk manja kalian..
Rindu dengan segala-gala keindahan ketika kita bersama...
Aku rindu kalian... itulah hakikatnya...
Mungkin kita tidak seiring jalan kini, namun karenah kalian sentiasa membuat aku berasa bahagia dan benar-benar membuatkan aku begitu ingin kembali ke saat itu...
Anak-anak, ada sebahagian kalian memberikan hadiah buat aku ini... ketika melihatnya, aku sering mengingati kalian..

Ada waktu-waktunya aku terfikir untuk tidak rapat dengan mana-mana anak didik namun aku tidak bisa menghalang.... aku memang hidup bersama mereka... walaupun setiap tahun silih berganti.... Sudah hampir 20 tahun... Setiap tahun sekurang-kurang seorang menjadi rapat dan akrab denganku... paling kurang 20 orang ada dalam hati aku ini... Biarpun banyak keburukannya namun aku mungkin tidak akan menutup akaun 'facebook' sehingga aku pasti keburukan itu tidak boleh dibendung lagi... kerana dalam laman itu ada mereka, anak-anak didik aku yang aku kasihi dan melaluinya wahana aku dan mereka berhubung... Usahlah disalahsangkan pernyataan ini... Aku hanya ingin mereka tahu aku sentiasa, selalu ingat mereka..
Semoga selepas ini, jika air mata ini mengalir kerana mereka.... hanya kerana mereka berjaya dan berjaya, Amin......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan