Selasa, Oktober 19, 2010

PRIHATIN PERMINTAANKU : Menarik Rambut dalam tepung,..Rambut jangan putus, tepung usah berselerak..

Sebenarnya aku ingin menggunakan judul " Dengarlah... Jangan Terus Dikau Tegakkan Benang yang Basah..."
Namun pernyataan itu agak spesifik... sebab banyak yang ingin aku catatkan ketika ini... bukan menyelar mahupun meletakkan sesuatu kesalahan itu kepada seseorang yang ingin aku tujukannya lalu kupanjangkan 'bicara'ku ini agar dia mempertimbangkan permintaan aku ini...

Sayangku....
Langit itu tidak akan sentiasa cerah.... jika di pagi harinya, sinar mentari cerlang cemerlang... mungkin kita tidak akan bertemunya ketika petang menjelang tiba... mungkin sirna sinar mentari seketika dek tangisan dan sendu hujan yang mencurah-curah...

Buatmu.... aku ingin menyatakan sesuatu, maka aku pohon sebelum dikau memberikan perhatian yang aku harapkan... selesai pantauan matamu meneliti perjalanan catatan ini sehingga ke akhirnya... fahamilah...
dan aku berharap benar dikau tidak akan prejudis dengan segala apa yang aku catatkan dalam bingkisan khas untukmu ini. Semoga dikau dapat membaca dengan hati dan minda yang terbuka... dan tidak meletakkan aku sebagai seorang yang masih ingin campur tangan dalam kehidupanmu...

Aku positif bahawa dikau tahu bahawa catatan ini adalah untukmu..

Demi kasihku sebagai temanmu...
Beberapa hari lalu, aku bermimpikanmu lagi... datang dalam keadaan baik... berpakaian dengan pakaian barumu yang sama dengan warnanya dengan pakaian yang pernah aku berikan padamu... pakaian itu memang nampak kemas dan padan denganmu... namun sedikit ketat.. Dengan senyuman manis kau menghampiri aku... Aku seperti lazimnya cuba mengelakmu... tetapi dikau memanggilku dengan suara yang sederhana kuat.. apabila aku cuba tidak mempedulikanmu, dikau terus berjalan cepat malah melaungku lebih kuat. Aku berhenti menunggumu kerana aku tidak mahu dikau malu... dan aku tidak mahu orangramai di sekeliling kita mengetahui dikau masih mencariku... mungkin cuba mengelakkan dirimu dari malu.... Ketika sudah hampir denganku, dikau menghulurkan sehelai baju... aku melihatnya dan aku tahu itulah baju yang pernah aku berikan padamu dahulu... Namun baju itu sudah mula kusam dan pudar... walaupun tidak lusuh.... baju itu kemas berseterika... Aku bertanya kenapa dengan baju itu... dan aku menyatakan bukankah jika dia tidak mahu memakai baju yang aku berikan itu... berikanlah baju itu kepada orang lain... atau buangkan sahaja jauh-jauh... sepertimana dikau membuang jauh aku daripada hidupmu...

Namun dikau masih berdiri, meminta aku membaiki baju itu... dikau kata baju yang sedang dikau pakai itu tidak selesa dan menyulitkan pergerakanmu.. Dikau katakan bahawa selagi aku tidak membaiki baju itu dikau terpaksa memakai baju yang sempit itu. Dikau memohon kepada aku... dan ketika aku melihat baju itu, aku bertanya bukankah baju itu sudah dipinjamkan kepada orang lain... dikau mengiyakan bahawa baju itu pernah dikau pinjamkan kepada orang lain... selepas dikau mendapat beberapa baju baru yang lain... sedangkan sebelum itu, dikau gunakan baju yang aku berikan itu hampir setiap hari dalam hidup... Dikau kata baju itu sedang elok kepadamu... jika cuaca begitu panas, baju itu menyejukkanmu.. Jika cuaca agak panas baju itu akan menyamankanmu... Setelah dikau berikan baju itu kepada oranglain, dikau menggunakan semua baju barumu untuk pelbagai urusan... namun semua baju baru itu tidak seselesa baju yang kuhadiahkan itu... Lalu dengan menebalkan muka dikau meminta kembali baju itu daripada tuanpunyanya yang baru... malangnya setelah dikau mula berasa selesa jahitan pada bahagian bahunya meretas dan benang-benang mula berserabut...
Dikau telah meminta banyak orang membaikinya, termasuk orang kesayangan di sisimu itu... namun tiada siapa yang dapat membaikinya... lalu kerana aku yang menjahitnya dan merekakan fesyen itu khas untukmu... dikau yakin hanya aku boleh membaikinya... Asalnya aku menolak, namun dikau merayu-rayu agar aku membaikinya, kerana dikau tidak pernah berasa sangat selesa, sepertimana memakai pakaian itu... aku menawarkan untuk membesarkan sedikit semua pakaian barumu tetapi ditolak olehmu dengan alasan masih tidak berbanding baju lama itu... dan dikau berkata, jika baju itu aku perbaiki dikau akan menjaganya dengan baik... dan aku kalah, lalu aku ambil bajumu itu... dan meminta baju yang lain untuk aku sesuaikan denganmu... Dikau hanya menghulur baju yang satu itu dan baju-baju yang lain kau sembunyikan di belakangmu... dan berkata dikau hanya perlu baju yang satu itu juga... lantas aku terjaga.. DAN, itu hanya satu mimpi..... yang sebenarnya boleh aku abaikan....

Dan mimpi itu aku biarkan berlalu, sehingga hari ini.... apabila aku mendengar suatu kisah, mendengar beberapa cerita, dan merumuskan beberapa pendapat... Dengan adanya mimpiku itu aku sebenarnya mempunyai tafsiranku sendiri... Pertamanya baju itu melambangkan kehidupanmu.. mungkin yang lalu... di mana aku yang selalu menganggu segala keputusan, tindakan dan keputusanmu... biarpun adakalanya dikau akan membuat sesuatu yang bercanggah dengan pendapatku namun aku punyai peranan dalam hidupmu... apabila dikau mendapat baju baru, bermakna memulakan hidupmu yang baru... dikau melalui liku-liku hidupmu yang berbeza... kemas tetapi sempit... zahirnya sejahtera tetapi dikau berasakan kekurangan... begitu banyak pengalaman dan cerita baru dalam hidupmu... semua indah tetapi dikau masih kekurangan sesuatu... yakni panduan daripada seorang yang dikau benci... kerana apa sahaja yang dikau putuskan adalah benar dalam hidup barumu... tidak ada sesiapa yang berbantah atau menolak segala keputusanmu...sepertimana sebelum itu, aku akan menyatakan indah dan baik jika itu keadaanmu dan aku juga akan memarahimu jika dikau tersilap langkah atau ketika lupa...maka baju lama itu yang aku berikan kepadamu walaupun seperti tidak sesuai bagimu adalah sebenarnya yang dikau inginkan dalam hidupmu... Namun pakaian yang rosak di bahu pakaianmu, bagiku melambangkan sedikit kepincangan dalam dikau memikul tanggungjawabmu... ada sedikit kesilapan dan kekurangan dalam beberapa tanggungjawab yang dikau laksanakan... maka dikau memohon aku membantumu... biarpun aku ini umpama musuhmu namun aku masih dapat 'membimbing' dalam segala tugasmu...
Usahlah dikau salah sangka... Itulah kisah yang berlaku padamu yang ditunjukkan olehNYA kepada aku... Maknanya tafsiran itu hanya pada persepsi aku....

Dan seperti apa yang berlaku dalam mimpiku itu, maka hari ini aku berkeputusan untuk membaiki kesilapan ku jika ada kerana membiarkanmu melalui hidup barumu tanpa 'nasihat' daripada orang yang serba kekurangan ini pada pandanganmu dan beberapa orang lain..

Jika aku ingin dikau menjadi orang hebat suatu masa kelak, aku tidak sepatutnya 'meninggalkan'mu ketika dikau bertatih dalam hidupmu... aku membiarkan dikau begitu sahaja... aku tidak mahu terus melihatmu seperti seorang buta yang kehilangan tongkatnya... dan jika itu berlaku sekalipun.... dengan ikhlas aku akan menjadi tongkatmu kembali dan aku akan cuba membuat matamu yang buta itu dapat melihat walaupun menggunakan mataku...

Dan aku masih seperti dulu, selalu mendoakanmu menjadi mukmin yang bertaqwa dan dapat menjadi pemimpin hebat... Dan aku juga mahu agar dikau tidak lupa, setiap manusia itu naif dan tidak akan lepas daripada kesalahan....

Catatan tentang mimpiku itu aku tutup dulu... aku ingin terus kepada niatku mencatat bingkisan ini...

Demi sayangku sebagai sahabatmu...
Dikau yang aku kenali adalah seorang yang degil, keras kepala, sombong dan angkuh... dengan erti kata lain dikau seorang yang begitu ego dan mempertahankan keegoanmu sebagai seorang lelaki... Walaupun sebenarnya aku tahu dikau seorang yang berhati lembut, penyayang dan sangat mengasihi semua orang di sisimu... Cuma aku pernah berdoa semoga dikau akan berubah apabila sudah memiliki jalanmu sendiri bersama orang yang mencintaimu... dan aku pernah berharap satu sikapmu ini suatu masa kelak akan berkurangan dan berkurangan; lalu akhirnya menjadi seimbang... Iaitu sikap sukar memaafkan oranglain itu dan apabila dikau terlalu payah untuk mengubah walaupun sedikit.... yakni apabila dikau kata hitam, hitamlah ia.... jika dikau kata putih, maka putihlah ia... sedangkan sebenarnya dikau tahu bahawa dalam warna hitam dan putih itu sebenarnya ada pelbagai warna yang indah dan cantik...
Aku bermohon kepadamu.... bertolakansurlah dan maafkan oranglain kerana nikmat tindakan kedua-duanya itu sangat indah... Siapa kita untuk tidak memaafkan oranglain? Dan siapakah pula kita yang menentukan bahawa apa sahaja yang kita buat itu semua betul dan sempurna?
Fikirkanlah...... jika dikau masih berada dalam aura ukhwah aku ini..
Teringat aku suatu masa ketika keputusan itu dibuat berasaskan kehendakmu dan terus dikau putuskan tanpa dikau ambil kira pandangan oranglain... biarpun oranglain tidak setuju ketika dengan lantang dan tegas dikau mengumumkan keputusan itu... dan untuk menjelas duduk hal sebenar dan mempertahankannya.... dikau sanggup mengisahkan perjalanan tindakan dan keputusan itu kepada semua orang... Aku mendengar, lantang suaramu sayang... tapi aku tidak mahu campur tangan kerana aku yakin bahawa dikau telah mencuba untuk melakukan yang terbaik... dan ketika itu banyak yang sependapat dengan mengatakan dikau hanya menegakkan benang basah dan berkepentingan sendiri... Aku masih mendengar, petah dikau membela diri... Aku diam kerana aku berasa begitu mengenalimu... dan aku tidak terlibat dalam ceritera yang hangat itu... Malah aku juga tahu.... suatu masa akan berlaku beberapa perkara dan situasi sama pernah berlaku kepada mereka terdahulu yang terlibat denganmu... seterusnya berlaku peristiwa tidak terduga, berkonferanstasi..... dan berperang dingin denganmu... sayugia kerasnya hatimu.... dikau tidak memaafkan mereka...

Wahai mukmin yang aku senangi...
Berilah maafmu itu... memohon maaf itu indah dan memberi maaf itu bahagia...
Kaji beberapa keputusan dan tindakanmu... pertimbangkan dan ehsankan mereka... Kita murrabi yang berwahanakan kita suatu contoh yang baik... Berikan sedikit ruang, untuk memudahkan urusan mereka untuk melalui imtihan dan selesa... Jika dikau ragu, catatlah dan buatlah perjanjian bersaksi... dan pada kiraan aku... mereka mukmin yang berpegang kepada janji... Jika mereka ingkar, maka kembalilah kepada janji bersaksi itu... sedarkan mereka secara berhemah... Insyaallah DIA yang kita cintai itu... akan memudahkan urusan itu...

Wahai pemimpin yang aku hormati,
Jawablah sejujurnya soalan aku ini... Pernahkah dikau terfikir bahawa kekurangan dan sedikit ketidakselesaan dalam hidup seseorang itu adalah hasil atau datang daripada pengaruh doa seseorang? Apatah lagi doa seseorang yang pernah kita aniayai sama ada secara kita sedar mahupun tidak..
Doa daripada seseorang yang hatinya pernah kita lukai?
Doa daripada seseorang yang hidupnya pernah kita aibkan?
Doa daripada seseorang yang keselesaan dan haknya kita abaikan demi prinsip peribadi kita?
Doa daripada seseorang yang tidak pernah setuju dengan keputusan kita?
Dan siapa tahu..... doa daripada seseorang yang sangat kita sayangi, namun tidak pernah sekalipun waima nasihatnya kita ambil peduli?

Fikirkanlah.... senaraikan... campur, tolak dan bahagi.... dengan ertikata lain bermuhasabahlah...
Semoga Allah melembutkan hatimu yang sememangnya lembut dan sangat mengasihi...

Jika tujuanmu dulu itu mendidik.... tidak ada kah tanda-tanda didikanmu itu berhasil?
Jika hasratmu dulu itu ingin melihat perubahan baik... tidakkah ada sebarang perubahan baik yang berlaku?
Jika niatmu melahirkan insan kamil, modal insan seimbang.... tidakkah niatmu sudah tercapai? Tidakkah ada walau sedikit?
Renungi semula dasar, matlamat, objektif semua yang dikau lakukan dan putuskan...

Jika bukan hari ini, mungkin esok, mungkin akan datang.... jika dikau membaca bicaraku ini... Berikan keperihatinanmu kepada permintaanku ini..... Semoga dikau akan dapat menarik rambut dari dalam tepung... menang di pihak mu dan menang di pihak yang satu lagi... Ini sahaja pintaku...

Suatu hal lagi... ada beberapa permintaan... disampaikan kepada aku.. aku tidak pasti sebenarnya... namun dikatakan permintaanmu... aku ingin bermohon maaf kerana aku tidak dapat membantu... tidak ingin membantumu.. walaupun jika sebenar-benarnya permintaan daripadamu... kerana fitnah sangat besar.. bukan kepada mu tetapi kepada aku ini.. maka demi menyelamatkan diri aku ini, aku mengambil keputusan untuk tidak memenuhi permintaan itu... dan aku amat berharap dikau akan mengerti...

Dan akhirnya semoga kita sedar bahawa pada langit yang sama, pada ketika yang sama.... ada gambaran yang berbeza.... ada kisah yang tidak sama... dan kita tidak akan dapat untuk membaca semua 'kisah' itu... Maka jika kita termasuk dalam kisah-kisah yang banyak itu semoga kita sentiasa berada di jalan yang benar dengan sedar dan mengetahui bahawa itulah jalan terbaik untuk kita, biarpun amat pahit untuk kita lalui... Kerana yang benar itu adalah jalan yang lurus. Jalan yang lurus itu pula adalah yang HAK...

Wallahualam bissawab..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan