Rabu, Ogos 24, 2011

TERINGAT KETIKA DAHULU... KACAKNYA DIA BERBAJU MELAYU

Ramadan sudah sampai ke penghujungnya.. Penghujungnya yang melepaskan kita daripada api neraka, amin... Semoga Ramadan yang bakal meninggalkan kita ini, merupakan Ramadan terbaik jika ditakdirkan kita dijemput oleh Pencipta kelak pada waktu-waktu terdekat ini...

       Pada ketika-ketika suatu masa dahulu, aku mungkin sedang sibuk menjahit baju-baju Melayu untuk abang dan adik-adikku... Namun sekarang mereka semua sudah berkeluarga, biarlah mereka menguruskan sendiri semua hal berkaitan hidup mereka.  Memandangkan tanggungjawab itu sudah tidak perlu aku laksanakan maka aku punyai lebih masa untuk aktiviti lain terutama beribadah... maka aku berharap Ramadan-Ramadan mendatang, jika masih ada hayatku kelak akan lebih baik, dan baik seterusnya.  Aku punyai lebih masa untuk mengaji dan menunaikan ibadah-ibadah lain... Cuma tahun ini kesihatan aku tidak begitu mengizinkan aku untuk membuat pelbagai kerja berat... tambahan dengan keputusan aku untuk berubat sejak awal Ramadan aku dibebani dengan rasa sakit yang mungkin tindakbalas  daripada dalam badan melawan segala dugaan.

Namun sejak enam tujuh tahun yang lalu, aku tidak menjahitkan sepasang baju pun untuk abang dan adik-adik yang aku kasihi itu.  Mungkin skil jahitanku juga sudah semakin aku lupai... Apatah lagi aku sudah agak lama tidak menjahitkan sebarang baju Melayu untuk orang lain.

      Teringat sejarah bagaimana aku mula belajar menjahit sepasang baju Melayu lelaki.... Semua disebabkan aku sangat gemar melihat seorang lelaki berbaju Melayu...pernah aku terpegun melihat seorang lelaki yang sederhana parasnya, tetapi ketika dia berpakaian berbaju Melayu, terserlah kekacakannya.... anggun sekali dia itu.. Entah datang dari mana minat aku itu... aku sendiri pun aku tidak tahu.  Apabila aku melihat seorang lelaki berbaju Melayu, aku agak teruja untuk melihatnya beberapa kali... rasanya itu juga suatu yang aku sembunyikan selama ini.. jika orang tahu sebenarnya, senang sekali untuk menarik perhatian aku ini..  Dan aku rasa ada seorang antara dia yang mengetahui bahawa aku suka melihat seseorang lelaki berpakaian baju Melayu. Setiapkali dia ingin berjumpa aku di rumah bapa, dia akan datang berbaju Melayu... apabila dia berbaju Melayu di hadapan aku ini, maka mata aku ini sering kali tertancap kepadanya. Dan, dia selalu senang jika aku selalu melihatnya..

      Sebab lain ialah ketika emak selalu menjahitkan pakaian bapak.  Bapak pula, seburuk mana jahitan emak...pasti akan bapak pakai pakaian itu... Selalu sahaja aku bertanya, kenapa emak sibuk sahaja akan menjahit baju bapak... dan bapak pula tak mahu pakai pakaian yang dibeli terutama jika baju itu baju Melayu. Baju kemeja dan seluar  bapak pun emak jahit sendiri. Pendek kata apa yang tersarung di tubuh bapak, adalah hasil jahitan emak.
      Dan akhirnya bapak bercakap juga, apatah lagi dia memang tahu aku punyai kebolehan semulajadi dalam perlbagai kerja-kerja seni termasuk menjahit.  Bagaimana bapak tidak tahu kelebihan anaknya yang satu ini.  Semua bermula apabila bapak selalu kehilangan kain pelekatnya.. Selalu bapak memang beli kain pelekat ber'bundle'... untuk setahun atau setengah tahun. Dan selalu sahaja bapak akan kehilangan beberapa helai kain pelekat dalam beberapa bulan. sekurang-kurangnya  sehelai sebulan.  Dan bapak akan melihat kain pelekat itu telah menjadi pakaian yang aku gunakan seharian, dalam perlbagai bentuk pakaian... sama ada skirt, blaus, baju kurung, baju tidur dan sebagainya... Kali pertama aku 'curi' kain pelekat yang belum digunakan itu adalah pada usiaku lapan tahun... pakaian pertama yang aku jahit  adalah skirt pendek yang berbelah kiri kanan... itupun setelah berminggu aku melihat emak mengukur, menggunting dan menjahit pakaian... maka usaha aku berjaya.. Bapak pun tak jadi marah, kain pelekat yang disukainya telah menjadi skirt anak daranya yang gatal tangan ini.

Kata bapak, hendak bagi emak pahala lebih sebagai seorang isteri.. Aku bertanya bapak, kenapa pula? Bapak kata, setiap pakaian dijahit oleh isteri dan digunakan oleh suami merupakan suatu ibadah buat isteri.  Bapak kata dia hanya akan pakai baju yang emak jahit biarpun tidak secantik mana kerana bapak menghargai emak.. Bapak hendak emak menjadi isteri solehah.... dan salah satunya dengan cara emak menjahitkan sendiri pakaian bapak.  Bapak nasihatkan aku supaya aku belajar menjahit baju dengan betul supaya aku akan buat amalan baik dan ibadah sekiranya aku menjahit pakaian suami aku sendiri kelak.  Dan aku akur, cuma aku tidak pernah belajar secara formal. Aku hanya menjadi pemerhati kepada semua kerja-kerja menjahit yang dilakukan emak... tidak bertanya pun, dan aku boleh mendapatkan hasil jahitan yang memuaskan serta dapat digunakan.

      Kebetulan, aku ketika itu mengasihi dia yang pertama itu... Setiap perhubungan itu pasti akan membuahkan impian pada akhirnya... Dengan taksubnya aku kepada seorang lelaki yang berbaju Melayu, aku menyimpan niat belajar untuk menjahit sepasang baju Melayu untuk dia... mungkin selepas berkahwin sekiranya ada jodoh, maka aku akan menjadi seperti emak yang akan menjahit semua pakaian untuk suamiku.. Akhirnya aku belajar sendiri perlahan-lahan... memerhatikan emak dengan tekun, belajar sendiri melalui pemerhatian... sebab aku malu untuk menjelaskan kenapa aku ingin menjahit pakaian lelaki.... Aku berharap suatu masa kelak aku akan menjahit pakaian untuk si dia yang aku kasihi.  Dan akhirnya impian aku itu terlaksana.  Buat kali pertamanya aku menjahit sepasang baju Melayu moden bercekak musang untuk dia.  Dan aku jahit sedondon dengan pakaianku.  Jika aku tidak silap warna Kelabu kebiru-biruan.  Warna matelik yang nampak anggun.. tetapi bukanlah daripada kain pelekat bapak.  Aku kumpul duit untuk membeli kain itu sendiri daripada duit belanja sekolah... dan pada usia enam belas tahun, aku sudah menjahit sepasang baju buat dia yang aku kasihi ketika itu.

Semua itu kerana aku suka sekali melihat dia... Kacaknya dia berbaju Melayu... jika boleh setiap kali berjumpa dia, aku ingin dia memakai baju Melayu... Jika dia berbasikal ke rumahku, dan memakai baju Melayu dan berseluar slack berlainan warna pun, dia tetap anggun... aku sanggup berdiri lama asal dia juga berdiri di depan aku dengan pakaiannya... jika malam pula dengan motorsikalnya dia berbaju Melayu dan berkain pelikat, aku akan segera duduk di tangga dan dia duduk bersandarkan motorsikalnya.... aku akan memandangnya lama... Kacaknya dia dengan pakaian itu.  Apatah lagi, ketika dia berpakaian lengkap berbaju Melayu sepasang dan bersamping, pada ketika pagi hari raya menjengahku... aku akan senyum memandangnya... Ehhh, kacaknya dia berbaju Melayu seperti itu.... Benarkah dia kacak? Tentu sekali biarpun hanya pada pandangan aku... Sehingga kini, rasanya minatku kepada lelaki berpakaian baju Melayu lebih mengujaku daripada mereka yang berkot dan bertali leher.... Kerana aku memang suka mereka yang berbaju Melayu, sama ada moden atau tradisional. Sehingga aku pernah berdoa, agar jika aku bersuami, aku berharap sangat suami aku itu suka memakai baju Melayu.

Mungkin itulah yang dikatakan sejarah dalam kehidupanku ini.  Semoga makbulkanlah doa aku ini... supaya aku akan dapat menjahitkan pakaian terutama baju Melayu buat seorang suami.
        Seingat aku hanya dua sahaja dia yang aku kasihi dan pernah aku 'cintai' pernah memakai pakaian yang aku jahitkan untuk mereka. Biarpun tidak secantik mana jahitan aku itu tetapi alhamdullillah mereka tampak segak berpakaian Melayu hasil kerja tanganku... Dia yang pertama itu dan dia yang terakhir, setakat ini... Dia yang terakhir setakat ini.... kerana belum ada yang benar-benar boleh menggantikan dia itu di hati ini setakat ini... telah aku bukakan hati ini untuk orang lain namun belum lagi aku buka sepenuhnya selagi dia yang baru atau yang bakal datang dalam hidupku itu tidak menjadi seorang suami kepada aku.
 Aku maklum, pada usia ini aku tidak boleh terlalu memilih.... tetapi jika sudah takdirku aku akur, aku redha....
Semoga aku akan bertemu seseorang itu yang suka berbaju Melayu  juga... supaya tenang hati ini..
Dan semoga aku berpeluang untuk menjahit pakaian untuk seorang insan yang bergelar suami, dan setiap jahitan yang tersulam itu akan aku bekalkan doa dan kasih sayang buat suamiku itu... alangkah kacaknya dia jika berbaju Melayu...

    Dan teringat peristiwa lebih seminggu lalu, ketika pemuda itu melihat aku, aku tersenyum manis kepadanya... bukan kerana apa.. kerana ketika itu aku melihat dia begitu kacak  dengan baju Melayu merah... Ketika anakbuah ku bertanya, Huish kenapa merah sangatnya?  Baru aku tersedar aku ralit melihat pergerakan... hanya kerana dia berbaju Melayu.. Pelik, kan?  Hanya kerana dia berbaju Melayu aku terus curi-curi pandang kepadanya sedangkan dalam hati ku tidak pula terniat apa-apa.

Entah bila perangai aku ini hendak berubah.... Suka sekali melihat seorang lelaki berbaju melayu.. Dia yang aku kasihi dulu, itu pun seorang yang tidak lekang dengan baju melayu, sehingga aku tidak pernah melihat dia dalam pakaian lain.  Namun tidak pernah pun sekali aku jemu melihatnya.  Biarpun apa orang hendak kata.... aku akan tetap kata baju melayu itu anggun pada tubuh pemakainya dan menampakkannya segak. Biarpun itu hanya dari sudut pandangan aku sahaja.. apatah lagi jika dia memakai pakaian baju Melayu itu berwarna putih... Memang aku sentiasa curi-curi memandang... Perasan sahaja lebih aku, apabila dia ketawa, pakaiannya menampakkan dia lebih anggun... emmm, baju melayu putih... Dan apabila melihat dia berpakaian lengkap putih sewaktu akad nikahnya dulu, walau hanya melalui sekeping gambar... aku memang sangat suka, anggunnya dia.. kacaknya dia berbaju melayu putih.... Biarpun aku tidak dapat melihatnya lagi dalam pakaian sepasang putih itu pada waktu lain....berserta itu aku panjatkan doa agar insan itu akan terus nampak kacak dan segak di hadapan isterinya kelak... menjadi idola isterinya selama-lamanya... kerana dia berhak menerima kebahagiaan dan pujian itu.

     Biarpun bukan mudah melalui semua ini, bukan hanya pakaian yang mengikat aku kepadanya suatu masa dulu.... tapi kerana keperibadiannya yang ikhlas di sebalik pakaian baju melayunya itu.. Terima kasih Allah, memberikan aku peluang mengenali dia... dan aku berasa inilah masa dan ketika untuk aku meneruskan niat untuk berubat melawan kesan sihir dalam diri... kerana dia telah bahagia, itulah salah satu sebabnya.  Aku diberitahu oleh salah seorang bapa angkatku yang merupakan seorang pengamal perubatan tradisional  beberapa tahun yang lalu... Sekiranya aku berubat, tidak mustahil dia akan menarik balik semua kata-katanya, berkenaan ketidaksanggupan dia menerima aku kerana jarak usia dan kerana menganggap aku tidak tahu malu terkejar-kejarkannya... Aku tangguhkan dulu kerana aku sangat mengasihinya... kerana aku ingin dia tetap hebat dan gah.... pada pandangan semua... Kini, aku rasakan tidak ada apa-apa yang menghalang aku terus dengan keputusan ini... dia sudah ada komitmen yang benar dan ikhlas di sisi Allah... dengan segala apa yang aku tahu, dia tidak akan mengabaikannya, setelah dia memulakan langkah itu... dia tidak akan berpaling semula... dia tetap pendirian.  Andai aku sembuh sepenuhnya dan kira-kira masih ada kasih itu di hatinya, jika terbit semula perasaan itu di hatinya.... bagaimana sekalipun tarikan aku kelak kepada oranglain, dia pasti akan teguh dengan pendiriannya.
      
         Aku pasti semua itu... dia seorang lelaki yang sentiasa anggun pada pandanganku biarpun tiada fesyen lain selain berbaju melayu itu... akan tetap utuh dengan prinsipnya... Dia akan cuba merasionalkan semuanya dengan betul... aku pasti dan aku akan berdoa, semoga dia bukan antara individu yang akan kembali kepada perasaan asalnya jika aku sembuh kelak. Aku tidak mahu dia kembali kepadaku, biarpun dulu dia menjauhiku mungkin disebabkan oleh pengaruh sihir itu... Bukan aku tidak lagi menyayanginya tetapi kerana kasihku kepadanya aku tidak akan menggugat kesejahteraan dan kebahagiaan yang dia kecapi ketika ini... dan insyaallah untuk selamanya..

      Entahlah,,,,, apakah sebenarnya perasaanku ini, aku tidak pasti.  Ketika aku sujud di hadapan kaabah setelah bermimpikan dia 3 tahun yang lalu... aku berniat jika dia ditakdirkan tidak bersamaku, semoga dia akan tetap dengan perjuangannya dan semoga dia menjadi seorang yang hebat, sekurang-kurangnya di hadapan keluarganya...Aku pasti tentu dia amat segak berpakaian baju Melayu sedondon dengan isterinya.  Aku bersyukur, aku pernah melihat dia memakai baju melayu yang pernah aku jahit untuknya suatu ketika dulu..... sekurang-kurangnya aku telah berjaya untuk menjahit sepasang baju melayu  untuk dua orang dia yang memberikan makna tersendiri dalam hidup ini.

    Macam sudah jauh menyasar daripada tajuk yang ingin aku catatkan hari ini... Namun antara sebab aku 'tersangkut' hati kepada dua dia dalam hidupku ini adalah kerana mereka kacak apabila berbaju melayu... Dan mereka mengajarkan aku tentang makna kasih sayang dan rindu.... dan mengajarkan aku makna harga diri dan maruah... dan mengajarkan aku tentang nilai seorang pemimpin dalam hidup.... mereka mengajarkan aku tentang peluang dan pengorbanan... mereka mengajarkan aku tentang pasrah, redha dan tawakkal... mengajarkan aku tentang taqwa... dan hidup aku ini yang mempunyai banyak ranjau ini begitu indah sehinggga kini dihiasi pelbagai warna, bukan hanya hitam dan putih, dan warna pelangi sahaja.... malah ada banyak lagi warna-warna yang menghiasi kehidupan kita ini.... Dan, catatan ini bukan hanya kerana kacaknya dia berbaju melayu..... tetapi komitmen kepada diri dan oranglain....
Terima kasih... atas segalanya.... Maaf zahir bathin untuk yang mengenali diriku, bermohon maaf atas segala yang berlaku jika ada kesilapan dan kesalahan yang tidak aku sedari.....
Wassalam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan