Khamis, Julai 21, 2011

SESUNGGUHNYA RAHSIA SEGALA SESUATU ITU ADALAH MILIKNYA..

 Hari ini aku teruja untuk mencatat lagi... namun catatan aku kali ini akan aku ubahsuai seperti cerpen atau cereka pendek... Aku ingin melahirkan kesyukuran adalah anugerahNYA yang tidak terduga... dan membuktikan bahawa alasan yang lalu itu salah, dan kebenarannya adalah rahsia DIA yang berkuasa atas segala sesuatu.  Namun catatan ini tidaklah menyentuh mana-mana peribadi... Satu imej dalam catatan ini diambil daripada gambar yang seiras dengan jalan cerita yang dikisahkan... dan catatan ini bukan suatu yang berkait dengan mana-mana individu secara rigid, cuma menggambarkan segala sesuatu itu mungkin jika DIA mengkehendaki..... dan tiada mustahil kepadaNYA atas segala sesuatu itu, malah tidak tersembunyi apa-apapun daripadaNYA waimah ia tersimpan di sudut hati yang kecil dan sulit ditemui. Hasbunallah wa nikma wakil.....

TAJUK  : Sekilas Memori Rahsia..

Kekunci pada papan kekunci ini aku tekan bertalu... mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti... Skrin  memaparkan ruang pencarian maklumat Google. Aku menekan lagi mencari laman Facebook... aku layan seketika bicara kawan-kawan yang pelbagai cerita. Biasalah ruang laman sosial ini menjadi seperti mesti dimiliki oleh setiap orang.

Dinihari ini seperti selalu aku terjadi seawal 3.30 pagi.  Usai sholat tahajjud, diikut dengan sunat taubat dan solat sunat hajat.... aku punya masa yang panjang. Hari ini aku tidak menunaikan sholat sunat taubat. Jika aku melakukannya pasti masa yang terluang tidaklah sepanjang ini.. Aku menghabiskan sedikit masa untuk membaca al-quran dan tafsirannya. ada lagi satu jam sebelum subuh menjelang.... aku teringat seorang teman yang menelefon untuk aku melihat gambar  hari keluarga yang dimuatnaik dalam laman facebooknya itu... lantas aku melayari internet ini.
        Entah kenapa tiba-tiba jemari ini menekan Musha dalam ruang carian rakan... maka terteralah nama-nama yang berkaitan... dan akaun facebook itu, ah... benarkah dia? atau hanya?....

        Pagi Jumaat itu hatiku ini begitu sayu dan hiba... entah mengapa jadi begini takut dan gementar. Walhal aku hanya berjanji untuk berjumpa dengan Ustaz Rosman bagi mengenalpasti apa sebenarnya berlaku dengan diri aku ini.  Dua minggu sebelum ini, aku sering bermimpikan Ust.Rosman datang kepadaku mengajak aku mengambil wudhu dan bersolat... seringkali aku terjaga dari tidurku pula dengan pelbagai tandatanya... seminggu kemudian aku berjumpa dengan Ust Rosman untuk bertanya tentang mimpiku itu...
       "Hahaha... Mimpikan ana?" gelak besar Ust.Rosman ketika aku bercerita.
       " Beruntung ana ada orang mimpikan ana, ni... " sambungnya memberitahu rakan-rakannya di sisi, yang juga kawan-kawanku... aku tidak kisah semua itu. Yang pasti aku inginkan penjelasan mimpi yang menggangu tidur beberapa hari ini."
       " Begini Isma... jika ana beritahu, anti jangan terkejut... Mimpikan seseorang itu mungkin mainan syaitan, cuma Rasullullah sahaja yang tidak boleh diserupai oleh syaitan dan iblis.... tapi ana tidak kata ana dalam mimpi anti, syaitan... firasat ana, anti ini sedang sakit... alamat bagi mengambil wudhu dan bersolat itu menandakan penyakit itu mungkin boleh sembuh dengan izin Allah... Mungkin Allah mengisyaratkan ana pula untuk membantu anti..." Diam.
       "Bagaimana? Anti hendak ana bantu? ". Tanpa bertangguh aku mengiyakannya... dalam hati ini sudah tidak tertahan bebanan ini...rasa sakit dalam dada ini, sudah tidak tertanggung... maka inilah peluang yang Allah berikan kepadaku.

Hari yang kunanti telah tiba namun dalam hatiku sayu sahaja.  Sudah aku berpesan kepada sahabatku, Kak Rokmini dan Kak Ain untuk memaksaku berjumpa Ust.Rosman jika tiba-tiba aku berubah hati. Hal-hal seperti ini tidak boleh aku tangguh-tangguhkan lagi.
         Ketika berada di hadapan Ust.Rokman tempohari, dia ada memberitahu bahawa di belakang aku ada bayangan pelbagai makhluk halus. Dia seakan-akan  sengaja menakutkanku... namun atas alasan ini juga  terus bersetuju dia membantu..
         " Siapa kau... kenapa kau ganggu insan ini? Di manakah kau berada?.... " Ust. Rosman sudah berpeluh menahan perlakuan ganjil aku sebentar tadi. Sudah hampir empat jam dia membaca pelbagai ayat, kebetulan Ust.Rosman seorang hafiz al-quran. Dan sepatutnya ketika aku 'dipengsankan' tadi, sepatutnya aku sudah tidak sedar... namun berbeza aku tidak seperti yang lain. Memang aku tidak boleh membuka mata namun aku masih 'sedar' sebelah kananku ini jelas melihat pelbagai rupa makhluk  di hadapanku. Aku sebenarnya terkejut juga melihatnya pemandangan ketika aku sedang pejam itu.. Ust.Rosman juga tadi hampir beralah..
       " Hmmm.... aku manusia boleh, syaitan boleh, jin pun boleh... aku suka dia ini..."
       "Eh, lepas-lepas... jangan pegang kuatlah... Dia sakitlah!" suaraku itu memarahi seorang rakan yang membantu Ust.Rosman memegang tanganku.
       " Huh, tengok-tengok tangan dia ini dah merah. Dia sakitlah!... kesian buah hati  aku ini!!!.." katanya merayu-rayu dan ustz Rosman tidak mempedulikannya.
       " Sekarang ini kau berada di mana dalam tubuh insan ini?' Nada suara Ust.Rosman sudah berusaha 'menyiksa'nya.
       "Aku Musha, Aku ada dalam hati dia... kau siapa? Dia sakit tahu?"
       " Sudah berapa lama kau dengan dia..."
       " Lama... lebih lima tahun, sejak dia pergi ke Mekah... aku datang dari sanalah, Bodoh!!"
       " Siapa bodoh, kau yang bodoh... jauh-jauh dari sana ikut dia ini.."
       " Kenapa pula? Dia sudah berjanji selepas lima tahun dia hendak kembali ke Mekah... dia tak pergi, sebab itu aku hukum dia, bagi dia sakit, bagi dia ingat janji."
      "Kau hendak keluar ke tidak?" Aku dengar suara ust.Rosman sudah berubah.. namun dalam hatiku, berharap dia bersabar... jangan kalah dengan jin yang satu ini....
      "Aku boleh keluar tetapi dia ini akan selalu ingat aku.."
      "Kenapa hendak ingat kau... Dia akan sentiasa ingat Allah." aku terdengar Ust. Rosman membacakan sesuatu dan akhirnya mataku boleh dibuka kembali.
       "Maaf Isma, anti sakit, ya? Selalunya pesakit akan tertidur, atau pengsan... tapi anti tidak... tentu anti juga sakit sebab anti juga dikawal oleh jin ini" Aku diam... Aku lihat Ust.Fuzi mengurut dada, Ust.Shahimi dan Ust.Fadhil duduk di sisinya..
       "Kenapa ustaz itu?" soalku kepada Kak Ain.
       "Kau tendang dia tadi, kuat betul tenaga kau!"
       " Ust.Shahimi yang 5kali lebih besar daripada kau pun, kau angkat sebelah tangan."
       Aku terkesima... betullah seperti yang aku rasa yang dia aku angkat sebentar tadi... dan ketika itulah jin yang bersuarakan suara aku itu suruh melepaskanku.
       " Isma... ana hendak tanya, hal anti di Mekah... adakah anti jumpa lelaki bernama Musha ini? Ketika mana anti bertemukannya?"
       " Maaf ustaz.. sebenarnya saya malu hendak menceritakannya sebab ini merupakan ujian kepada keangkuhan saya.."
       " Maksud anti?"
       " Saya sebelum ini pernah berkawan dengan seorang lelaki... tetapi dia berkahwin dalam keadaan menguji saya.. sebelum saya ke tanah suci, saya ada menelefon dia... mohon maaf dan restu.. namun dia asyik bercerita sebab-sebab dia berkahwin, perkahwinan yang baru berusia tiga bulan tidak bahagia, dan dia mengatakan dia tidak akan bertemu dengan wanita yang lebih baik daripada saya... tapi saya cuba merasionalkannya... dan kembali ke tajuk pemergian saya ke Mekah."
       " Akhirnya dia meminta maaf kerana tidak dapat menunaikan janji untuk bersama-sama ke Mekah setelah dia menikahi saya... cuma kami sudah tidak ada jodoh.. apa yang boleh saya katakan. Cuma pada ketika yang sama, dia berkata sambil seakan-akan menyindir untuk saya mencari lelaki yang baik di Mekah dan berdoa supaya saya berkahwin cepat-cepat ... saya marah dia dengan mengatakan saya ke Mekah, menunaikan ibadah haji dan dengan angkuh, mengatakan saya bukan cari lelaki dan bukan mencari jodoh di sana. Selepas itu, saya terlupa dengan tujuan sebenar saya menelefonnya, dengan perasaaan marah saya marah-marah dia."


"Cerita itu tidak selesai di situ... Masa di padang Arafah, suasana panas telah menyebabkan seorang tua kurang sihat.  Masa saya menuju ke Jabbal Rahmah.. saya berselisih dengan seorang lelaki... saya tertarik dengannya..tapi saya tidaklah terfikir ketika seorang wanita tua itu dalam keadaan lemah, lelaki yang berselisih dengan saya itu tiba-tiba muncul di hadapan khemah kami, menyembur air... saya ketika itu sedang membaca al-quran, apabila mata kami bertentang, hati saya berdetak... dan ketika itu ada sesuatu yang saya tak boleh gambarkan tentang perasaan saya."
    Aku dengan senang hati bercerita, apabila semua  rakan-rakan guru sudah meninggalkan bilik itu. Tinggal aku, Kak Rokmini dan Kak Ain bersama Ust.Rosman dalam bilik itu.
     "Anti baca surah apa?  Anti baca surah jin? " Soal Ust.Rosman. Aku merenungnya..
     " Kenapa ustaz? Saya rasa saya baca Surah Yassin dan surah seterusnya selepas itu..saya tak ingatlah ustaz."
     " pasti, anti tidak baca surah jin?  Sebab ketika itulah anti bertemu dengan jin bernama Musha ini."
      " Ustaz pasti?" aku pula menyoalnya kembali..
      " Insyaallah, itu yang ada dalam firasat ana. Allah uji anti dengan lelaki itu kerana anti angkuh menidakkan doa bekas kekasih anti. Begitukan yang anti rasakan? Biarlah dulu..." Ustaz Rosman seperti tidak mahu terus mendengar kisahku.
      " Maaf, ana tanya.. apa yang anti nampak sewaktu anti tidak boleh membuka tadi?" Ust.Rosman ingin mendapatkan kepastian."
      " Sebelah kanan, saya tidak nampak apa-apa tetapi sebelah kiri saya nampak... Musha berada di tengah-tengah dua lelaki yang sama sepertinya dan di belakangnya ada banyak orang.. eh, bukan orang, makhluk seperti wajah manusia tetapi berbadan kuda, berkepala ular tetapi terbang. seperti manusia tetapi berkepala anjing...macam-macam rupa." aku diam.
    "Masyaallah...hebatnya pemberian Allah kepada anti.. bukan senang melihat jin dalam pelbagai bentuk itu.." Ustaz Rosman tunduk membaca sesuatu.
     " Jin ini seorang yang hebat... katanya, usianya jika ikut usia manusia, kira-kira 32-33 tahun."
 Aku diam menanti dia menerangkan penjelasannya.
      " Usia jin ini kadangkala 1000 kali ganda bersamaan 1 hari umur manusia. Maksudnya jin ini sudah berusia dan sangat tinggi ilmunya... selalunya ana perlukan satu jam sahaja untuk membolehkan jin atau sesuatu yang menganggu bercakap tetapi anti, ana perlukan empat jam. Dia tahu semua ayat yang ana baca." Memang aku mendengar suaraku itu membetulkan bacaannya namun sebenarnya dalam masa yang sama aku terasa seperti dilontar dengan bebola api dan jarum-jarum panas.

       "Ustaz saya kena kembali ke sana kah? Menunaikan umrah ke?"
       "Buat apa? Anti hendak ikut cakap jin itu?
       " Tidak ada faedah apa-apa anti pergi untuk mengembalikannya ke sana, bukan sebenarnya beribadah. Ana akan bagi anti air ini, anti buat minum dan mandi. Air lain boleh ditambah untuk mandi."
      "Anti baca ini pada waktu subuh dan maghrib setiap hari..selama 21 hari, nanti selepas 21 hari, insyaallah ada perubahan." sambil dia menyerahkan senaskah buku Manzil.

Setiap hari aku mengamalkan apa yang diminta oleh Ust.Rosman.  Dan pada subuh hari ke 22, aku mengalami sakit perut yang amat teruk dan tidak boleh bangun... sehingga aku merangkak untuk membuang air besar... dan najis yang keluar menghasilkan bau yang amat busuk... lebih kurang 6 ketul najis. Selepas itu barulah segala penyakit itu hilang.
        Menurut Ust.Rosman jin itu mungkin sudah mati atau keluar dan memang salah satu tanda jin itu keluar, ialah jika mati jin itu akan keluar melalui najis dan akan berbau.. jika 6 ketul najis keluar, maka 6  ekor telah mati dan keluar dari badan aku. Berat badan aku turun mendadak pada hari itu sebanyak 30 kilogram daripada 98 kilogram dengan keadaan tubuh yang masih langsing.. dan peristiwa itu telah memberikan aku ruang melupakan Musha perlahan-lahan.
    Namun satu sahaja yang tidak dapat aku terima ialah Musha yang aku temui dulu adalah jin... Panjang doaku setiap hari Allah akan memberikan bukti bahawa Musha bukan seperti yang dimaksudkan dan sering diperkatakan dalam keluarga.

********************************
        Rukun Wukuf sudah selesai aku laksanakan. Kini kami berada di Mina setelah singgah sebentar di Muszalifah.. Di Mina kerja-kerja melontar aku lakukan sempurna pada hari pertama. Hari kedua memberikan sedikit ujian kepada aku. Seorang wanita Turki yang baru melahirkan beberapa minggu melahirkan, dilanggar-langgar oleh jemaah yang ramai itu. Entah darimana kekuatan itu aku perolehi aku menjadikan diriku benteng untuk menahan tolakan dan rempuhan jemaah yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Mangsa itu memelukku seperti mengucapkan terima kasih dan mencium kedua-dua belah pipiku.  Begitu mengharukan. Dan Allah membalas tindakan itu segera. Sewaktu berada di Jamratul Aqabah, aku pula diburu oleh keadaan takut dengan ramai jemaah yang ada.  Ruang separuh bulat itu menyebabkan kesesakan itu melampau. Tiba-tiba terasa pergelangan tanganku dicekak  dan ditarik oleh seseorang dan aku terasa tiba-tiba sudah berada di hadapan jamrah.  Lelaki yang menarik tanganku itu, agak gempal... sekilas dia hilang, dan seperti bersambut oleh seorang lagi lelaki yang berbangsa Indonesia memaut pinggangku dan melaungkan bacaan untuk melontar. Seperti lelaki tadi, tidak sempat melihatnya dengan jelas, dia sudahpun hilang... Masyaallah, Maha besar Allah itu.... keluar aku daripada kesesakan itu aku melihat dua pemuda berdiri dari sisi luar ke arah aku, seorang berkulit hitam manis, agak gempal dan rendah... dan seorang lagi tinggi sasa dan berkulit cerah... wajah seorang yang pernah aku lihat.
        Selesai urusan melontar kami kembali ke Hotel Anwar Makkah. Sememangnya jemaah KT28 ditempatkan di hotel ini.  Selesa dan bagiku cukuplah untuk seorang musafir seperti kami menumpang tidur.  Aku menjadi seperti kehilangan sesuatu... entah mengapakah hatiku ini begitu pilu.
       Ibadah tawaf dan saie juga aku sempurnakan dengan baik.  Alhamdullillah DIA memberikan banyak kemudahan menjadi tetamuNYA buat kali pertama ini.  Tiada apa dalam fikiranku ini, cuma aku terasa merindui sesuatu.  Sekilas aku terpandang suatu wajah yang seperti ingin sekali  aku melihatnya sejak akhir-akhir ini. Lelaki yang sama yang ketika di Arafah dan Mina.  Lelaki itu menuju ke klinik... berpakaian seragam putih penuh... aku kira semestinya dia kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang ditugaskan ke sini.  Ada di sisinya seorang lelaki yang berkulit sawo matang itu... kawannya mungkin.
    
          Menjelang waktu maghrib dan isyak aku, emak dan bapa turun serentak menggunakan lif.  Aku berdiri di belakang bapa ketika itu. Tibanya di tingkat 5, pintu lif terbuka... masuk seorang lelaki berpakaian putih. Dia berdiri di sebelah bapa, memaling memandangku di belakang. Dia tersenyum... aku turut senyum membalasnya. Ikhlas daripada hati ini... Wajah itu begitu menyenangkan..  Dia turun di tingkat satu dan kami terus ke lobi.

       Usai menunaikan ibadah di Masjidil Haram yang boleh jelas kelihatan dari Hotel Anwar Makkah ini.  Aku dan ibubapaku kembali ke hotel namun agak berlama-lama di lobi untuk menunggu lif kosong untuk naik ke tingkat 7 hotel. Dia, lelaki itu juga ada di bawah dan sedang memerhatikan kami jemaah yang sedang beratur.. Aku dan keluarga semakin hampir ke pintu lif, bermakna satu lagi perjalanan akan kami ambil... apabila lif terbuka, aku antara yang berdiri di bahagian hadapan di bahagian dinding yang dibatasi oleh bapa di sisiku menghalang aku daripada jemaah lelaki lain... ketika itu aku melihatnya berhadapan di hadapan kaunter menghadap pintu lif. Aku melihatnya dia senyum... Purdah tidak aku kenakan di muka ketika itu, dan aku membalas senyumannya... sekadar membalas walaupun aku tidak tahu kepadakah siapa senyuman itu ditujukan.  Ketika yang sama pintu lif tertutup rapat aku melihatnya berlari menaiki tangga ke tingkat 1... dan pintu lif terbuka di tingkap satu, namun tiada seorangpun jemaah yang naik atau turun... cuma, aku melihat dia berada di pintu bilik rawatan dan bilik pesakit... lama juga baru pintu lif itu tertutup kembali dan aku jelas melihatnya dengan senyuman ceria pada wajah itu... Ah, wajah yang mengingatkan aku kepada beberapa orang yang pernah mengisi ruang hati ini.

        Lelaki itu seperti tahu waktu dan masa aku dan keluarga keluar untuk ke Masjidil Haram... terutama pada sebelum zuhur dan maghrib... waktu sebelum subuh... tiga kali aku turun daripada bangunan ini untuk ke masjid dan tiga kali naik selepas ke masjid.

        "Isma... kau kenapa?" suatu hari ibu menegurku. Ada dua minggu lagi kami akan pulang ke tanahair.
        " Tiada apa-apalah mak.... orang rasa macam tidak sihat sahaja, tidak tahu kenapa?" aku membalas dengan jujur..
        " Apa yang tidak sihat? Badan ke hati?"
        Aku merenung emak seperti tidak faham tetapi sebenarnya aku amat maklum dengan persoalan yang ditimbulkan oleh emak.
         " Entahlah... dan hendak balik ni, sakit tekak pula... " Memang aku batuk-batuk sedikit.. sedangkan sebelum ini apa pun yang aku makan tidak menimbulkan apa-apa kesan kepada aku. bersyukur sangat aku dengan kesihatan yang baik pemberian Allah ini.



"Pergilah turun ke klinik itu... buat pemeriksaan apa sakit kau tu. Nanti dapatlah ubatnya. Ubat untuk hati itu sekali..." Emak bercakap acuh tak acuh sambil mengemas barang untuk dimasukkan ke dalam beg.

"Kenapa pula, emak cakap orang macam itu?" Soalku seakan-akan protes.

"Mana tidaknya kena diubat hati itu.. Rindu kata orang. Setiap hari ada sahaja yang sanggup menunggu di pintu lif hendak melihat kau.  Kau pun sama lah tu mak rasa." kata ibu selamba. Rupa-rupanya emak dan bapak perasan keadaan itu.

"Mana ada... tapi nanti orang hendak turun jugalah" aku terus mencari kad rekod rawatan untuk jemaah.

        Selepas waktu zohor hari itu kami balik ke hotel agak cepat. Aku bersendirian turun ke klinik di tingkat 1.  Aku melapor diri dan berdiri antara bilik melaporkan diri itu... bertentangan dengan bilik pesakit itu.. Dia berada di dalam sedang sibuk membuat rawatan.  Beberapa orang yang tua sedang dirawat.  Tadi ketika aku datang hanya aku dan seorang lagi pesakit menunggu untuk dipanggil. Tetapi aku masih tidak dipanggil lagi. Mungkin disebabkan pesakit itu perlukan rawatan segera. Aku melihat kawan lelaki itu keluar daripada bilik melapor diri ke bilik sakit tersebut mendekati lelaki itu yang sedari tadi tidak memandangku.. Dia berpaling dan senyum... entah kenapa aku merasakan manis sungguh senyumannya itu.  Orang yang datang untuk mendapatkan rawatan semakin banyak. Peliknya namaku tidak juga dipanggil. Seorang demi seorang yang dipanggil ke bilik rawatan, ada seorang doktor yang sedang merawat... Mungkin mereka mendahulukan pesakit yang tua dan lebih teruk daripada aku. Aku akur.

       Aku melihat dia menyudahkan tugas-tugasnya di bilik pesakit... begitu juga kawannya. Orang yang hendak menerima rawatan juga berkurangan kembali. Sambil memandang ke arahku yang bersandar di dinding antara dua pintu bilik... dia memasuki pintu bilik rawatan... entah sengaja atau tidak bahunya melanggar bahu kiriku. aku tersentak juga memandangnya... tingginya hampir enam kaki, pada kiraanku... teringat aku kepada Zaki, 'cinta pertama'ku di kampung... kulit cerah dan susuk tubuh yang hampir sama.
Lelaki yang aku rasakan  mengejekku untuk mencari pasangan di kota suci ini.

        Aku melihat dia bercakap-cakap dengan doktor bertugas... kemudian doktor itu bangun, berkata sesuatu dan menepuk-nepuk bahu lelaki itu sambil ketawa...Aku dipanggil masuk akhirnya. Tanpa sedarku akibat ralit melihat perlakuannya, rupanya akulah satu-satunya pesakit yang  tinggal... Aku dijemput masuk.

      Dia tidak memandangku. Leka membelek-belek kad rekod rawatanku.  Menyebut data-data di dalamnya. Sesekali aku melihat dia memandang ke luar kepada kawannya dan tersenyum... Begitu juga dengan kawannya itu. Pintu yang terbuka luas itu jelas memperlihat keadaan itu.

      Aku meneliti tag nama yang dikelipkan di belahan bajunya... 'Musha'.  Dia masih lagi melihat butiran diriku. Aku melihat carta organisasi klinik yang terpapar di belakangnya. Dia menjeling aku dan memandang ke belakangnya... senyum lagi. Aku pun tidak tahu aku duduk di situ... dan menghadap carta itu, sedangkan sebelum itu doktor tadi duduk di tempat aku duduk itu.  Ah, biarlah... Doktor Mohd Noor, mungkin doktor tadi. Pembantu perubatan, Musha... namanya tertera. Di bawahnya, Omar... rakannya  itu.. dari tadi juga aku melihat nama pada tag namanya... Tapi tidakku teruskan membaca carta itu, tetapi menatap wajahnya yang masih leka dengan buku rawatanku itu.  Aku tahu dia melengah-lengahkan masa memandang tiada pesakit baru melaporkan diri.

        Aku lihat bibirnya... ada pecahan mungkin kerana keadaan yang panas... seperti bibir seseorang... seperti bibir Mois  dan Zaman yangkedua-duanya  pernah menyatakan hasrat hatinya kepada aku dua tahun lalu.  Aku melihat ke wajahnya lagi... berkumis kehijauan... ada tahi lalat hidup yang agak jelas kelihatan... selalu sudah kulihat wajahnya itu... teringat aku kepada Anwar yang ada tahi lalat hidup di bahagian yang sama, walaupun tidak sebesar tahi lalatnya itu... dan terletak di sisi mata berbanding dia di tengah pipinya.
Allah, indahnya kejadianMU di hadapan aku ini...

         "Sakit apa?" tiba-tiba dia bertanya. Aku terkejut sehingga bahuku terangkat sedikit. Dia ketawa kecil.
         "Saya tak tahu.. kalau tahu tak payah datang jumpa doktor." Balasku sedikit marah dengan tindakannya.  Belahan ke dalam pada dagunya menjadikan lelaki ini lebih tampan, detik hati ketika melihat dagunya..
        " Manalah tahu, tak sakit... boleh juga jumpa doktor yang satu ini."
        " Biar saya periksa dulu, ya." Dia meletakkan jemarinya ke dahi ku... lembut.
        " Tidak demam pun!" Aku diam dan melihatnya geram. Tindakannya tidak seperti doktor yang membuat pemeriksaan pun.

        " Donggakkan dagu dan buka mulut..." sambil jemarinya menampung daguku, juga lembut.. Dia senyum.
        " Semua ok.. ehmmm, cuma tekak merah sikit. Batuk ya?" aku cuba mengangguk tapi ditahan dek tangannya yang sedang menongkat daguku ini.
        " Tak apa, tak payah jawab... bila nak balik Malaysia?" dia terus bertanya. Dia melepaskan daguku.
        " ke sini dengan siapa?"
        " Apa dia?" aku menyoalnya untuk jawapan soalan pelik itu.
        " Tak ada apa... hmmm, ambil ubat ya... tidak teruk sangat ni... " jawabnya.
        " Tak payah jumpa doktor pun tak apa, jumpa saya sakit dalam hati itu baiklah" dia menjawab tetapi sambil tunduk dan mencatat sesuatu. Di luar ada dua orang pesakit yang menunggu.
        " Boleh ambil ubat dan  boleh jumpa saya lagi, nanti..." Aku keluar, mengambil ubat dan terus naik ke atas.
        Alhamdullillah... keresahan, kerinduanku tiba-tiba hilang dengan tiba-tiba.  Aku berasa sangat tenang selepas bertemunya, Musha.. tidak tahu bagaimana menggambarkan perasaan aku ini. Ya Allah, KAU lah pemberi kasih sayang ini kepadaku...
        Keesokannya. sudah dua waktu aku turun ke masjid, kelibatnya tidak pun kelihatan... ke manakah dia?
Ah, bertandang lagikan rinduku ini.  Usai solat zohor aku seperti tercari-cari. Kenapa hari ini dia tidak ada di lobi, tidak ada juga di ruang rehat itu, di muka pintu menanti kepulanganku... ada rasa aneh dalam hati ini.  Di tingkat satu, pintu lif terbuka luas, lama sekali kerana hendak memberikan laluan kepada seorang tua masuk dan naik ke biliknya. Aku melihat pintu bilik rawatan, tiada. Aku melihat pintu pendaftaran, tiada... dan akhirnya aku terlihat dia sedang memberikan rawatan... tangkas sekali. Aku tersenyum... Ya Allah, terima kasih.
         Selepas isyak, sekali lagi pintu lif terbuka di tingkat satu.  Musha di hadapan pintu. Mungkin kebetulan.. Aku berundur... memberikan laluan kepadanya.
        " Pakcik sihat?" Dia tiba-tiba bertanya kepada bapaku.
        " Pakcik tinggal tingkat berapa?"
        " tujuh'" kata bapa menjawab.
        " Kebetulan pula, saya pun tengah nak merawat seorang jemaah di tingkat tujuh." jelasnya sambil melirik ke belakang.
        " Pakcik kumpulan berapa? Bila balik ke Malaysia?" tanyanya lagi. Ibu sudah menyenggol ku. Hish, apalah yang emak tahu agaknya.
        " Kt28,  balik 13 Jun, insyaallah."
        " Dah sampai pakcik, jom kita.."  Dia seakan-akan ingin memimpin bapaku yang tiada masalah apa-apa itu.. Aku terkejut melihat insiden itu, apatah lagi bapaku yang dipimpin. Dia meninggalkan  bapa di muka pintu, berpaling kepadaku dengan senyuman manisnya itu.

       Selepas itu, semakin kerap melihat dia akan berlari-lari ke lobi jika melihat aku ada dalam lif terbuka dan aku ada di dalamnya... setiap masa begitu. Dia akan ada di sisi pintu lif menantiku. Itulah yang aku rasakan.. Ada ketikanya rindu mendatang aku sendiri akan turun ke bahagian lobi dengan alasan membeli sesuatu. masuk sahaja ke dalam lif nombor yang pasti dan mesti aku tekan ialah nombor 1...berhenti, pintu terbuka dan aku selalu nampak dia...Allah, dalam hati ini sepertinya aku begitu dihargai. Mujur semua kerja haji sudah selesai.


Masa untuk pulang ke tanahair akhir tiba juga. Setelah menurunkan bagasi, aku menjadi gelisah. Aku sudah hendak balik ini, tetapi aku belum melihatnya hari ini. Subuh pun aku tidak dapat melihatnya.. teringat aku melihatnya segak berjalan menuruni tangga dan berdiri di sisi lif. untuk membolehkan aku melihatnya dengan jelas.. cuma dia sedikit bongkok sedikit seperti Zaki dan Ahmad...

      Sungguh, Musha merangkumkan lebih daripada tujuh lelaki yang ada dalam hidup aku ini.  Entah ke mana hilangnya tekadku untuk tidak terlibat dengan mana-mana lelaki... dan inilah balasan kesombongan itu, kerana aku seperti menemui suatu 'cinta pandang pertama'; yakni mengasihi lelaki ini sewaktu mula-mula aku melihatnya berhadapan Jabal Rahmah ketika di Arafah dulu.  Allah sudah membalas kesombongan dengan menterbalikkan hatiku ini.

      Waktu menaiki bas untuk berangkat telah hampir tiba. Sudah dua kali aku turun naik ke klinik ingin melihatnya untuk kali terakhir, aku tidak mahu sekalipun mengakui kerinduanku ini kepadanya.  Ketika tadi aku melihat dia sedang merawat seorang pesakit, tetapi kini aku sudah seperti 'kehilangannya'. Allah, mengapakah hatiku ini?

         Sewaktu bas pertama mula bergerak. Aku melihat ke pintu besar menghadap lobi Hotel Anwar Makkah... dan aku akhirnya melihat dia bergegas turun ditemani rakannya, yang sejak tadi melihat aku tercari-cari seseorang dan turun naik dari lobi dan tingkat 1, mencarinya. Dan bas yang aku naiki bergerak... Musha masih tercari-cari...begitu juga aku terus berdoa dia memandangku.. dan akhirnya pandangan kami bertemu....Aku bawa hatiku ini yang sayu....yang mungkin sudah aku tinggalkan...
***********************
     Sudah sebulan aku di tanahair... aku teringatkannya, sangat-sangat. Entah mengapa, Musha telah melenyapkan semua perasaan dalam hati ini.. kepada Zaki, kepada Zaman, kepada Ahmad, kepada Mois dan semua lelaki itu... kenapa perasaan  dan hati ini ada padanya. Semuan hospital yang aku kunjungi, aku mencari Musha... Hospital Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Johor, Pahang... dan Perak yang akhir. Kebetulan aku berkunjung ke hospital berkenaan kerana menziarahi saudara atau kenalan yang sakit. sehinggalah saat Ustaz Rosman berurusan denganku dan menyatakan kemungkinan Musha adalah golongan jin dan aku dinasihatkan untuk membuang jauh-jauh berkenaan perasaan dan ingatanku kepadanya.

     Aku akur... namun aku berdoa, semoga Musha adalah seorang insan yang diciptakan sama sepertiku ini. bukan golongan jin. Namun aku tidak menafikan mungkin ada daripada golongan jin itu menyerupai Musha dan masuk ke dalam hati ini.  Sungguh hebat aku ini, sehingga dicintai dan dikasihi oleh golongan jin. Ah, perasaan dibuai rasa riak pula?

      Aku juga berdoa semoga Allah akan menemukan kami semula... bukan kerana perasaan kasih atau cinta yang mungkin mekar di hati ini, tetapi untuk membuktikan bahawa lelaki bernama Musha ini wujud. Masa berlalu dengan aku menjalani hidup ini bersama kenangan itu...
************************************
        Aku nekad untuk menjadi rakannya, lalu aku tekan bahagian permintaan menjadi kawan...Kisah lebih 18 tahun itu, betul-betul segar dalam ingatan aku. Aku yakin dia tidak sekali-kali teringatkan aku ini sepertimana aku teringatkan. Aku  berdoa kepada Allah semoga dia akan mengesahkannya.  Semoga doa itu diperkenan... memandangkan aktiviti yang tercatat dalam ruangan dinding facebook sekitar bulan Februari dan aktiviti berkisar pada tahun lepas... Alhamdullillah, beberapa akaun facebook termasuk akaun anak-anak dan isterinya kulayari.  Insyaallah aku sudah mengetahui tentangnya, dan aku yakin akaun yang mula-mula aku buka itu adalah akaunnya.

       Doaku berpanjangan... semoga jika dia Musha yang sama, KAU berikan isyarat itu kepadanya.   Sejak beberapa tahun ini, aku menutup hatiku kepada orang lain.  Kini, aku perlu membuka hatiku ini untuk seseorang yang mengharapkan aku ini... hidup bersama dengannya.. Selepas solat sunat iskhtiharah malam Jumaat yang lalu... aku tiba-tiba teringatkan dia... Sekadar teringat kerana aku perlu membuat keputusan yang jelas tentang hidupku dan dia hanya kenangan lama yang tidak sepatutnya hadir dalam hidupku lagi.

        Mungkin inilah yang dikatakan takdir, lalu aku menemuinya... Entah apa rahsia Allah buatku ini, setelah aku ingin meneruskan hidupku bersama seseorang, sekali lagi.. Insyaallah, aku gembira melihatnya dalam ruangan photo facebooknya, begitu juga dengan keluarganya.  Biarpun selepas ini dia tidak menerimaku sebagai kawan, sekurang-kurang rahsia ini sudah jelas jawapannya.

        Kini, doaku untuk Musha... semoga dia akan hidup sebaik mungkin dalam berkat dan redha ILLAHI... Terima kasih Allah kerana mengenalkan aku dengan rasa 'cinta pandang pertama' ini dalam hidupku ini.. dan terima kasih menemukan aku kembali dengan dia. Musha... lelaki yang pernah singgah dalam hatiku ini selamat 3 minggu di Kota Makkah yang suci itu. Dengan segala peristiwa ini, "CUKUP ENGKAU YA ALLAH BUATKU INI." dan aku tahu bahawa ENGKAUlah cintaku yang teragung....
Aku juga tidak mengharapkan apa-apa selain pelestarian bukti ini  dalam hidupku ini, dan yang jelas aku tidak akan menganggu  atau mengubah apa-apa perjalanan dalam hidupnya dan hidupku... Semoga pilihan aku untuk bersama H adalah pilihan terbaik, insyaallah..

        Tetikus ini aku gerakkan... ku tekan ikon 'turn off'... dan laptop ini sudah terpadam. Sesungguhnya rahsia segala sesuatu itu adalah milik DIA, ALLAH Yang Maha Besar dan Maha mengetahui...
***********************************

         HAH, penat juga menulis sebuah cerpen ini, jika catatan ini boleh dikatakan sebagai sebuah cerpen. Benarlah kata orang bahawa untuk menulis cerpen ini, bukanlah sesuatu yang mudah. Ada orang berpendapat, banyak membaca akan membantu kita untuk mudah menulis... tetapi ada juga yang berpendapat, apabila kita mula menulis maka kita perlu membanyakkan pembacaan kita. Sengaja aku mencatat cerpen ini dalam ruangan ini bukan di ruangan lentera minda...  agar kalian dapat menilai hasil penulisan ini.  Selama mempelajari pelbagai aspek KOMSAS maka catatan ini aku persembahkan  menggunakan sudut pandangan orang pertama iaitu aku dan menggunakan pelbagai kemahiran yang ada sebaik mungkin... semoga penulisan ini akan bermula... walaupun sudah aku mulakan di http://lenteraminda-yunimaha5.blogspot.com.  Segalanya adalah berkemungkinan.. insyaallah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan