Selasa, Julai 12, 2011

OOOP.... AKU 'MABUK-MABUK' LAGI!!! Apakah ada yang akan menerima khabar gembira lagi???

Hmmm.... Sudah beberapa hari ini, pagi-pagi aku sudah dihimpit dengan rasa mual dan loya-loya.. dan aku sering muntah-muntah lagi...malah malam pun menjadi tidak keruan bagiku.... mual sepanjang malam... aku sudah tidak lena tidur beberapa malam... sungguh teruk kali ini... kadangkala terfikir alangkah baik jika tanda-tanda dan semua rasa itu milik aku namun segalanya itu mustahil.

Oooops, apakah aku 'mabuk-mabuk lagi???

Siapakah pula yang akan menerima berita gembira dalam waktu terdekat ini... Atau adakah yang sudah ada berita gembira itu untuk dikhabarkan kepada aku ini serta kepada umum...
Semoga akan ada dalam kalangan rakan-rakan atau saudara mara ku yang hamil kali ini... Semoga aku akan dapat menerima khabar baik itu dan segera melenyapkan semua bebanan dan tanggungan kepayahan ini.. yakni mengembalikan keadaan ini kepada yang berhak, insyaallah...

Sebenarnya aku juga ingin mencatat di hamparan ini tentang keadaan aku yang tidak begitu stabil baru-baru ini.  Debaran dalam dada ini bertandang pelik lagi. Entah kenapa aku sebenarnya tidak pasti. Sukar bagiku untuk melaluinya sekian kali keadaan-keadaan yang tidak begitu menyenangkan ini.  Malas juga melalui pelbagai pengalaman sukar dalam hidup ini.

Aku sebenarnya ingin memohon maaf kepada seseorang..... dalam keadaan 'mabuk' yang tidak keruan ini, sebenarnya aku teringat permintaan yang berhajat kepada aku ini. Mungkin mereka sering sahaja memperkatakan tentang aku ini.  Sejak  Disember tahun lalu lagi dan aku tiada jawapan lagi untuk tempoh yang begini lama. Aku sendiri tidak pasti kenapa. Bukan aku tidak ingat tetapi selalu sahaja aku cuba melupakannya dan berserta doa agar dia tidak membuang masa untuk menunggu aku... seperti aku usia aku ini, usianya sudah bertambah setahun lagi... sedangkan bagiku usia itu bukan penghalang baginya untuk terus mencari kehidupan yang baru. Aku tidak menjanjikan apa-apa pada dia  dan keluarganya terutamanya ibunya yang beriya-iya sangat berharap aku. Sedangkan tidak seorang pun sebenarnya mengenali aku, sedang aku juga tidak mengenali mereka.
Hanya melalui 'orang tengah', hajat mereka itu sampai kepada aku. Aku secara jelasnya sangat bimbang. Memang benar, cinta selepas perkahwinan itu mungkin lebih indah... namun aku sendiri tidak tahu adakah lagi istilah itu dalam kamus hidup aku ini. Aku memang sudah tidak berminat... bukan aku tidak mahu tetapi banyak sebab-sebab lain yang menyokong semua keputusanku ini.  Aku hanya mampu berdoa, semoga jika ada seseorang yang terbaik untukku, maka permudahkan dia untukku.  Usia kami tidak jauh beza, namun mungkin pengalamannya lebih banyak kerana dikatakan pernah menetap di luar negara dan boleh hidup berdikari.  Maka itu juga sebab yang membimbangkan aku ini.  Aku suka seseorang yang berdikari dan tegas serta mempunyai daya kepimpinan yang tinggi, namun dalam masa yang sama aku punyai sikap 'bossy' yang mungkin tidak akan menampung mana-mana kekurangan antara kami.  Walaupun antara kami tidak ada sebarang hubungan, namun permintaannya dan ibunya itu telah aku pendam dan aku diamkan lebih kurang selama 7 bulan ini. Adakah aku ini melampau... dan dalam tempoh selama itu, kenapa dia tidak berusaha kepada oranglain. Kadang-kala aku bertekad untuk melihat sejauh manakah dia akan menunggu jawapan daripada aku ini.

Satu lagi kekesalan dan kerungsingan dalam hati aku ialah dia yang selalu mencari jalan untuk berada di sisi aku.   Mengenalinya sejak 3 bulan lalu pada asal secara kebetulan atas suatu urusan. Namun sejak pertemuan keempat yang lalu, aku memang berasa sedikit ketidakselesaan berurusan dengannya.  Dia ada menegur tentang hidup aku ini termasuk saiz badanku dan penampilanku.  Aku rimas, Bagiku jika sesiapa memilih aku haruslah dia menerima aku seadanya.  Ini belum apa-apa ikatan, dah macam-macam hal yang disuruhnya. Mungkin niatnya baik namun kenapa aku perlu berbuat sesuatu kerana disuruh olehnya? Walau bagaimanapun setiap kali aku berada dengan dia, aku akan senang sekali.... senyum dan tawa akan sentiasa di wajah dan rasa gembira di hati ini. Mungkin kerana usianya dalam lingkungan limapuluhan itu, dan dia sudah biasa dengan anak-anak yang kini semuanya sudah dewasa... cuma nasihat dari seorang kawan, pastikan dulu statusnya... dan aku hanya bertanya untuk apa aku ambil tahu tentang statusnya sedangkan aku hanya berada bersama pada sesuatu urusan sahaja. Cuma aku memang sangat senang dengannya, itu sahaja.... tidak akan ada apa-apa yang akan aku lakukan, mulakan atau apa sahaja yang sewaktu dengannya istilah itu, sebab aku tidak berniat untuk ada apa-apa kaitan dengannya. Dan aku kira sekarang ini dia mungkin marah kepada aku ini. Pesanannya dulu untuk menghubunginya tidak pernah aku tunaikan. Aku tahu dia tidak boleh menghubungi aku kerana dia tiada nombor telefon aku sedangkan aku sebaliknya.  Mungkin nama aku pun dia tidak tahu.
Yang seorang lagi ini pula, ketika ini berada di luar negara atas urusan perniagaannya. Aku memang tidak menyangka bertemunya kembali. Mungkin kebetulan...   Dulu dia mungkin ada dalam senarai pilihan aku ini... tapi itu ketika bersekolah menengah dan dia bukan juga pelajar sekolah yang sama dengan aku. Sekolah kami bersebelahan, dan kami hanya bertemu sebelum masuk ke kelas ataupun waktu petang selepas sekolah. Aku rimas sebab selalu sahaja dia menelefon aku. Apabila melihat nombor yang tertera di skrin telefon, aku sering membiarkan tidak berjawab... namun selepas itu akan masuklah mesej yang meminta aku menjawab atau meminta  aku menghubungi kembali menggunakan nombor yang diberikan... Sedang aku, malas hendak mencari masalah untuk menyusahkan diri sendiri. Lalu aku terus membiarkan, lama-lama dia akan terasa malas untuk menghubungiku... namun hingga kini dia tidak putus asa dan sentiasa sahaja menghubungi aku ini. Entahlah, menyesalkah aku kerana memberikan nombor telefon aku dulu, atau tidak bersyukurkah aku bertemu dengannya kembali? Entahlah, aku tidak ada jawapannya.

Seorang lagi pula, setiapkali bertemu dengan aku asyik memandang dengan jelingan tajam. Macam lah aku ini hendak ditelannya. Berselisih, bertembung dan apa-apa berurusan pun, suka sangat merenung aku... Aku tidak senang dengannya... Buat masalah sahaja apabila ada apa-apa urusan dengannya... mujur tidak banyak urusan aku dengannya. Kalau tidak boleh sakit jantung aku ini.  Cuma ketika bercakap dengan aku ini tidak pula dia kasar, selalu sahaja didahului dengan salam.. Dia pun selalu sahaja mencari jalan ada berurusan dengan aku.... tapi aku pun sebenarnya tidak berminat dengannya... banyak wanita-wanita muda yang lebih baik dan sebaya dengannya. Namun asyik sahaja memandang aku ini... macam semua aku buat ini salah.. apabila aku tanya kenapa, dia akan selalu jawab "Tiada apa-apa, saja-saja suka." Huh, menyakitkan hati betul! Pelik lelaki-lelaki muda sekarang, berwawasannya kurang, menggodanya lebih.  Ah, lantaklah kan... yang pasti satu ini tidak masuk senarai atau buku... aku sudah keluarkan awal-awal lagi. Status:  Aku tidak berminat. Buang masa aku dan buang masa dia juga.  Doa aku semoga dia sedar, dan membuang apa-apa perasaan kepada aku (perasaan lah aku ini).

Betullah agaknya kata seorang sahabat aku. Apabila satu datang, maka akan datang banyak yang lain 'mengganggu'.  Tetapi kita pun tidak tahu apa akan berlaku seterusnya.  Aku pada asalnya memang hendak menerima pilihan yang pertama itu, tetapi aku tidak kenalinya.... namun apabila ingin membuka kata, bertemu yang kedua...aku sedikit keliru..
apatah lagi pilihan satu aku tidak pernah kenal... Entahlah, Isthikharah aku pun tidak memberi apa-apa isyarat...

Kata yang kedua itu, aku kena buang 'sihir' yang tersisa....Dia pun sanggup dan 'rela hati' hendak membantu... sebab itu aku mesti menjaga sholat dan sering bersholat malam.  Tetapi aku pun dah sering tidak tidur malam sekarang... penyakit-penyakit lama menyelinap lagi dalam hidup aku.  Debaran yang tidak menentu ini mengganggu aku... sakit-sakit lain juga tiba-tiba hadir...Sakit gigi, sakit perut, sakit kepala.... apatah lagi dengan sintom-sintom orang mengandung ini. .... Siksa juga rasanya... Namun aku redha sahaja... kerana aku tahu Allah tidak akan menguji hambaNYA, melainkan hamba itu mampu melaluinya.  Semoga DIA akan sentiasa memberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan kepada aku ini. dan kepada semua. Senoga kesukaran aku selama ini akan diringankan dan menjadi lebih mudah dan diberkati olehNYA...Amin....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan