Selasa, Jun 28, 2011

JIKA ADA YANG TERSURAT, PASTI AKAN ADA YANG TERSIRAT

Hari ini talian internet ini begitu lembab... entah mengapa aku pun tidak tahu... namun cuma masa ini yang ada untuk aku mencatat. Puas mencari-cari masa tetapi waktu senggang aku untuk mencatat, namun banyak perancangan yang tidak dapat aku sempurnakan lagi.
Aku ingin mencatat sedikit tentang peranan sahabat dalam hidup ini... Mungkin kerana sekarang ini aku sering berkecil hati dengan beberapa rakan akrabku maka aku ingin meluahkan apa yang terpendam dalam hati ini...
Minggu lepas ada kursus tentang kecemerlangan kualiti kerja... aku kira sepatutnya ada kalangan yang bersama-sama dalam kursus itu akan mendapat manafaatnya.  Namun aku masih berkecil hati dengan sikap rakan-rakan yang berlepas tangan apabila ada sesuatu tanggungjawab yang dikongsikan bersama aku.. Aku sedar dan aku tahu bahawa mungkin itu semua berpunca daripada silap aku sendiri... Sengaja dengan rela melakukan pelbagai kerja semampuku dan selalunya semua tugas-tugas itu aku selesaikan sendiri. 
Seorang rakan menempelakku ketika berbual, bukan dalam intonasi marah tetapi dalam perbualan biasa. Perbualan yang santai dan dalam keadaan tenang.

Katanya, "Susah apabila seseorang itu merasakan semua apa yang dilakukannya sempurna dan selalu memberikan komen atas kerja-kerja orang lain atau terlalu banyak cadangan kononnya untuk membantu orang lain... macam berlagak pandai."

Pada mulanya aku sebenarnya tidak perasaan bahawa kata-kata itu ditujukan kepada aku, namun seorang rakan berhadapan dengan aku memandang aku dan memberikan isyarat. Aku sebenarnya tidak faham apa sahaja yang dimaksudkan oleh rakan baikku itu namun akhirnya aku mengerti.
Setelah beberapa waktu aku kaji, mengapa sahabat itu berkata demikian...Mungkin kerana aku selalu menegurnya atau mungkin aku terlalu mencampuri beberapa perkara dalam urusannya.  Atau ada kesilapan lain yang orang lain tidak ketahui. Yang jelas aku memang tidak punyai jawapan pasti.
Seingat aku, aku sememangnya menganggapnya sebagai seorang adik, aku ikhlas menegurnya jika ada beberapa perkara yang tidak begitu menyenangkan. Dia juga sering menyampaikan segala komen daripada kawan-kawan lain yang tidak suka dengan apa yang aku lakukan... aku rasa aku begitu senang untuk berkongsi rahsia dengannya dan aku senang berurusan dengannya... namun aku tidak sangka bahawa dia sering tidak bersetuju dan tidak senang dengan aku akhir-akhir ini.  Inilah hakikat hidup, dia sebenarnya sudah punyai rakan lain yang disenangi untuk berkongsi cerita....maka aku semakin terpinggir.  Bagi aku biarlah, aku dimarahi manusia asal tidak aku ini dibenci Allah.
Sejak aku agak rapat dengan seorang rakan lain yang berada dalam bidang tugas aku dan banyak keputusan yang mengaitkan kami, maka banyak hal yang telah berlaku... Dia, adikku itu telah semakin menjauh... tidak boleh aku tegur lagi. Tidak boleh berkongsi cerita lagi... tidak boleh aku berkata sesuatu lagi... Tidak tahu mengapa... yang jelas dia sudah tidak senang dengan aku lagi.
Di ruangan ini  aku mencatat biarpun aku tahu dia tidak akan membaca ruangan ini, namun siapa tahu apa yang berlaku seterusnya... Jika dia terbaca ruangan ini aku ingin memohon dia membaca dengan berlapang dada.
Selama ini memang salah aku kerana sering menegurmu... kerana aku tidak mahu kau melakukan kesalahan yang sama pernah aku lakukan.... bukan kerana aku begitu sempurna..
Selama ini memang salah aku menuruti kehendak dan setuju dengan perancanganmu... kerana aku ingin sekali memberikan sokongan kepadamu...
Selama ini, aku memberikan banyak cadangan untuk kau menyempurnakan tanggunggjawabmu.... kerana aku tidak suka kau 'mencuri' idea dan perancangan aku.... kerana jika aku tidak benarkan maka kau akan berdosa dan bersalah kepada aku... maka cadangan dan saranan itu aku dahulukan untukmu, bukan untuk memberikan jalan kau berbuat salah kepadaku...
Selama ini aku bersalah kerana bersetuju dan menyokongmu.... kerana aku tidak mahu kau kecewa tanpa sokongan dan gagal sebelum mencuba...

Sedangkan sebenarnya aku kadangkala punyai pandangan aku sendiri dan bukan semua apa yang kau cadangkan, pertahankan itu betul pada pandangan aku ini.  Mungkin salah aku juga sebab aku menganggap kau itu seorang yang boleh aku bimbing.... tetapi memang salah aku kerana aku seperti mengongkongmu.... aku tidak sedar bahawa sebagai anak sulung, keegoan dalam dirimu kononnya sebagai ketua itu agak tinggi.  Dan aku lupa bahawa aku ini bukan manusia sempurna... memang salah aku.
Aku tahu apabila pada pendapat aku kepada pandangan dan permintaanmu dalam mesyuarat itu tidak sama... dan aku tidak menyokongmu kerana kau hanya mementingkan kebajikan kau sendiri tanpa memikirkan kebajikan orang lain.  Aku tidak berasakan ia sesuatu yang wajar diperdebat kerana jika apa yang kau pinta itu hanya menguntungkan beberapa orang sahaja. Namun aku rasa sebagaimana aku menghormati pendirianmu maka kau juga harus menghormati pendirian aku ini... bukan meminggirkan aku dan menjauhi diri ini.... dan kini, aku sendiri sangat tidak selesa untuk duduk bersamamu... Kau perlu bersikap adil... kau berada dengan semua orang untuk menjaga reputasimu, bersetuju dengan mereka walaupun kadangkala kau tidak bersetuju dengan mereka... biarpun mereka melakukan beberapa kekurangan, hanya kerana kau takut kehilangan mereka... berbeza dengan aku apabila aku bersikap tidak kisah dengan pelbagai perkara dan aku tidak berasa lemah hanya kerana mereka mengutuk dan mengata aku... aku hanya akan berterus-terang dan akan rela disakiti mahupun difitnah walaupun dibenci mereka... kerana aku punyai prinsip aku sendiri, dan biarlah aku hina di mata mereka asal aku akan tetap DIA sayangi... Siapa mereka untuk 'ditakuti'? Bukan sesiapa dan kemuliaan dalam kalangan mereka itu tidak senilai dengan kemulian jika diberikan oleh Allah... dan itu dikau kena ingat! sebab daripada segi ilmu agama, kau lebih berbanding aku.

Dan, entah mana silapnya juga dalam hati ini aku terasa teraniaya oleh rakan baik aku sendiri.  Setiap usaha dan tugasan yang berkongsi dengan aku, dia akan lepas tangan kerana kononya, aku akan menyempurnakan segalanya.  Memang salah aku kerana aku sering menyempurnakan tugas orang lain  dan sentiasa ingin menolong, atau kata dia dan mereka, aku sering menyibuk-yibuk... lebih kuah daripada sudu.... sebab mereka tidak menyempurnakan tugas itu... Bukan aku sempurna, terlalu banyak kelemahan aku... dan pernah suatu masa itu aku berasa terlalu penat untuk menjadi seorang yang membantu orang lain... apatah lagi apabila tidak dihargai maka ia akan semakin merundum dan terus lemah.  Salah aku kerana membenarkan kalian memijak kepala aku ini... kerana membiarkan kau juga untuk mempergunakan aku... Bukan tujuanku untuk mengungkit....namun segala apa yang dikongsi dengan aku ini aku simpan baik-baik... agar kau sentiasa dipandang hebat... namun salah aku adalah dengan sengaja membiarkan kau beranggapan aku bisa kau pergunakan... Memang salah aku membiarkan orang lain mempergunakan kebaikan aku ini untuk kepentingan mereka.

Aku cuba untuk menerima oranglain seadanya.... semua sama rata...walaupun aku tahu tidak ada seorang pun yang sama dengan orang lain.  Jika aku  memilih untuk berkawan dengan orang yang tidak disenangi oleh rakan yang lain, tidak bermakna aku belot.  Contoh, seorang yang dulu dikatakan sering memfitnah aku dan membesar-besarkan cerita yang kecil.. aku masih menerima sebagai seorang manusia yang punyai peluang dan ruang untuk berubah... walaupun kalian tidak suka. Sama seperti menerima kalian sebagai teman baik ketika kalian dihina oleh orang lain dan aku masih menerima kalian sebagai seorang rakan... akrab. Tidak akan ada kemuliaan buat kita, jika kita asyik memperlekeh dan menpertikaian kemuliaan oranglain.  Jika kita menjaga aib orang lain di dunia ini maka Allah akan menjaga dan menutup aib kita di dunia dan akhirat. Semua orang ada hak untuk menolak tetapi kita tidak ada hak untuk memaksa seseorang sama ada menolak dan menerima.
Jika aku diberi peluang untuk memberi nasihat lagi, dan kalian ingin mendengarnya.... aku ingin sekali dinasihati kembali... Itulah harapan aku...
"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian... Kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran."

Tiada manusia yang sempurna di dunia ini, apatah lagi kita.... golongan akhir zaman yang sering merasakan diri kita hebat, kelompok dan kumpulan atau jemaah kita terbaik sehingga kita lupa jika kita meludah ke langit, maka akan tertimpa ke muka sendiri.... apabila kita menepuk air di dulang akan terpercik ke muka kita kembali.... tidak guna kita menongkat langit, dan menongkah arus... kerana jika DIA mengkehendaki maka segalanya akan terjadi... Semoga kita dalam golongan orang-orang insaf dan bersyukur....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan