Rabu, Jun 22, 2011

KETIKA MATA INI MASIH TIDAK MAHU LELAP..

Aku kira dinihari semakin meluaskan tebarnya... Hmm... tetapi mata ini masih belum mahu lelap. Puas aku berkalih namun masih belum mahu lelap. Ya Allah... entah mengapa aku ini. Apa yang harus aku lakukan telah juga aku lakukan, maka selebihnya aku ingin melelapkan mata ini untuk merehatkan minda dan jiwa ini daripada kekalutan dunia kini yang tiada putusnya..
Aku pujuk diri sendiri untuk berehat, namun fikirku juga tiada putusnya... Tertanya-tanya, siapakah waktu-waktu begini yang teringat akan aku mahupun berkata-kata atau berkisah tentang aku. Sedakan aku pun tidak berhenti... Doa siapa yang berkait dengan aku? Ingatan siapa yang bersangkut dengan aku? Bicara siapa pula yang menyentuh peribadi aku?

Mungkin dia, atau mungkin dia, mungkin dia juga.... dan tidak sekali-kali dia.  Aku memutuskan tidak mahu berkaitan dengan sesiapa lagi buat masa ini. Bukan kerana berputus asa, cuma aku sudah terlalu penat dengan perjalanan seperti itu. Aku juga sudah penat untuk berlagak aku tidak kisah akan semua itu. Aku kisah, kisah sangat...
Mungkin kerana kebimbangan dalam hati ini, tentang beberapa perkara... entahlah aku sendiri ragu-ragu. Entah perasaan apa menyelusuri hati dan minda ini...
Kegusaran yang sukar untuk dimengertikan.. sukar untuk ditafsirkan.. sukar untuk ditelah, bukan oleh orang lain malahan oleh diriku sendiri.. Keliru dan keliru, seterusnya begitu keliru.

Aku juga keliru dengan dia kini.. amat baik dan tidak kekok untuk berinteraksi dengan aku lagi.  Sedangkan aku berdoa semoga kami akan terus-menerus menjauhkan diri dari satu sama lain. Semoga tiada lagi fitnah antara kami.  Cukup bagiku melihatnya, mengetahuinya, dan melihatnya dari jauh.. Aku tidak perlukan untuk dia dekat denganku apatah lagi untuk berbaik-baik dengan aku ini.  Entah apa rahsia agendaMU Ya, ALLAH... aku tidak mengerti sama sekali.. perlukah komunikasi kami ini dalam hubungan ini?
Cukuplah aku masih mengagumi dia.. cukuplah setakat itu... semoga tiada hati-hati yang terluka lagi bersebabkan kami..

Atau sidia yang mengharapkan aku ini.  Aku tidak akan bertindak terlebih dahulu.  Jika ditakdirkan seseorang itu berkehendak akan aku ini..... semoga dia akan bertindak mengikut adat, resam dan budaya dan yang penting adalah syariat agama. Aku tidak mahu beralasan apa-apa sekalipun.. biarlah orang tua yang menentukannya kali ini... Aku dapat merasakan dia agak berasa yang aku ini dalam katogeri yang memilih dan sombong... Jawapan aku hanya mungkin!
Aku sebenarnya tidak punya syarat untuk memilih dan jauh di sudut hati ini, aku sudah malu untuk memperkatakan soal-soal ini dalam hidup aku.  Namun soal hati sukar untuk dimengertikan.. Sukar untuk diduga... sukar untuk dijangkaui.. Maka serahkan segala-gala urusan kepada Yang Maha Mengetahui... Aku menerima dengan ikhlas jika itu yang ditentukan buat aku ini...
Sukar juga untuk mengatakan tidak... setiapkali hadirnya suatu perasaan itu, berbeza caranya... Dia yang terakhir sebelum ini, membekalkan aku satu perasaan yang sukar untuk aku gambarkan... Terlalu banyak dugaan dan halangan. Hanya aku yang berharap ketika itu.... tetapi cinta dan kasih sayang itu tidak semestinya dibalas untuk dirasaikan nikmat dan kebahagiaannya.. Sukar, sedih, terluka...aku masih mengasihinya.  Pelik manusia ini. Namun, kepedihan lalu tidak melunturkan rasa kasih akan dia, cuma caranya berbeza. Jika ada izinNYA, pasti terjadi. 
Kini, sebenarnya aku seperti takut untuk menyusun kata-kata berdoa ke arah itu... selepas sholat hanya doa-doa keberkatan hidup dan kesejahteraan dunia dan akhirat yang aku pohonkan... dan aku yakin DIA pasti tahu kebimbangan yang ada dalam hati ini... biarlah doa-doa lalu itu sahaja aku hamparkan sebagai permohonan kepadaNYA. 
Atas segala peristiwa itu, aku kini sedikit takut untuk menerima dia... Setiap kali matanya bertentang dengan mata ini, aku pasti melarikan pandangan.... aku tidak ingin berbicara melalui apa-apa pandangan.... cukuplah taman-taman mula subur di hati ini dan hatinya.... jika ALLAH mengizinkan, segalanya akan terjadi tanpa diatur oleh aku atau sesiapa kerana DIA merupakan pengatur yang Maha Sempurna...
Semoga hidup ini terus KAU berkati....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan