Rabu, September 01, 2010

Bicaraku dalam Kondisi pelbagai....

Sudah agak lama aku tidak menjengah blog utama aku ini... apatah lagi enam blog yang lain... cuma ada dua blog sahaja dapat aku edit untuk tatapan orang-orang yang berkenaan..

Ramadhan sudah hampir sampai ke penghujungnya... Ramadhan tahun ini benar-benar menguji keimanan dan kekuatanku.. Banyak peristiwa berlaku sehinggakan aku rasa rimas dengan semua yang lain itu... Sedang aku ingin juga beribadah seperti mereka yang lain berebut-rebut mendapatkan fadhilat Ramadhan yang mulia ini. Namun segala-galanya bukan aku menentukan... Aku hanya hamba kerdil yang tidak bermakna... apatah lagi jika aku gagal menunaikan hak-hak orang-orang sekitarku dan yang paling penting hak DIA Yang Maha Pengasih..

Mungkin apa sahaja yang aku lalui ini menjadi tarbiyah dalam hidup aku ini. Doa kupohonkan kepadaMU, duhai pemilik diri ini.. Tarbiyah yang akan memberikan aku lebih pengalaman untuk menjadi lebih baik lagi, Insyaallah.. Sejak bermula Rejab, diikuti Syaaban dan kini, Ramadhan yang sudah hampir meninggalkan kita ini... Aku diuji dengan pelbagai hal dan perkara. Sukar untuk menyatakannya dan sebab itulah aku kurang peduli dengan apa sahaja di sekelilingku.. sehingga ada yang terasa dipinggirkan..

Aku pernah berjanji kepada seseorang melalui catatan aku kepadanya dulu yakni jika dia rindu, dia bisa 'mengikuti' perkembangan dan komen-komen tentang apa sahaja yang tidak kusenangi dalam blog ni.. Namun kali ini, aku ingin memohon kemaafan kerana mungkin aku terpaksa ingkar akan janji itu..
Aku akan mencatat selagi ada kemampuanku namun jika aku tidak mencatat untuk beberapa waktu, atau pada ketika dia berasa memerlukan pandanganku, aku ingin bermohon maaf sekali lagi, mahupun beribu-ribu kali maaf sekalipun... Aku tahu dia pasti faham dan dapat memaafkan aku... Kerana dia kini sebenarnya sudah lebih memahami, walaupun sikap degil, keras kepala dan egoisnya belum berkurangan. Dan aku kira mungkin dia sudah melupakan janji aku itu... mungkin, mungkin.. Namun bagi aku jika dia terlupa sekalipun, aku yang sudah berjanji.

Ramadhan kali ini merupakan dugaan kepada aku.. apatah lagi hal-hal berkaitan kesihatan diri.. Aku melakukan beberapa sesi rawatan.. ACG untuk mengesan degupan jantung... kerana mungkin jangkaan doktor aku diserang penyakit jantung... Sebelum ini, aku diberikan rawatan pesakit darah tinggi... hingga aku perlu mengambil ubat setiap hari. Namun sudah beberapa kali dengan doktor berbeza, lain pula setiap jawapan setiap doktor itu juga berbeza. Selepas itu aku melalui ujian air kencing untuk memastikan jika aku mengidap sakit buah pinggang atau kencing manis dan yang seumpamanya.. Jawapannya masih sama, negatif.. tiada penyakit apa-apa pun... Cuma ujian darah yang belum aku sempurnakan disebabkan kurang berkesempatan. Insyaallah selepas ini aku terpaksa juga membuat ujian darah untuk pastikan apakah penyakit yang aku alami ini.

Dengan keadaan aku seperti itu, Ramadhan ini aku lalui dengan sedikit penderitaan yang aku sendiri sudah tidak boleh menjangkanya. Mungkin faktor usia aku yang semakin meningkat. Mungkin juga ALLAH memberikan aku peluang ini untuk meraih pahala yang banyak dan meluntur dosa-dosa aku yang lalu. Berpuasa kali ini, aku memang terasa tidak berdaya..dengan tugas dan tanggungjawab yang pelbagai terpaksa aku laksanakan. Ada ketikanya aku ingin mengadu kepada seseorang, ahli keluarga atau ibuku namun aku tidak sampai hati memberitakannya... Emak, mungkin sibuk juga dengan beberapa hal dan permasalahan. Kerana aku tahu juga situasi yang sedang dilaluinya.
Kondisi aku ini, berdebar-debar sepanjang masa... jantung aku berdegup kencang, berserta dengan itu pula dadaku terasa amat sakit. Kepala aku terasa berat dan segala otot-otot berasa lenguh-lenguh. Aku juga sering mengalami muntah-muntah dan buang air. Aku juga sering tersedak. Kata orang tua-tua, kita akan tersedak-sedak jika ada yang menyebut nama kita. Jika tersedak ketika makan makanan pedas dan pahit, mungkin apa yang diperkatakan adalah yang buruk atau umpatan. Jika kita sedang memakan makanan manis dan menyejukkan, ada berita baik dan disebut sesuatu yang baik tentang kita.

Mungkinkah masih ada lagi kesan sihir dalam diri ini. Atau sememangnya aku disihir lagi? Hati aku ini rawan sebenarnya. Sedih dengan keadaan aku ini... Jika benar aku disihir, semoga Allah memberikan aku perlindungan daripada rasa khianat manusia, sama ada melalui jin, syaitan atau manusia itu sendiri...
Berat aku menyatakan begitu..
Ketika aku sakit suatu waktu itu, aku cuba mengubati diri aku ini dengan sedikit ilmu dan pemberian Allah kepada aku ini. Aku menggunakan sedikit amalan yang diberikan oleh beberapa orang pengamal perubatan ketika aku disantau dulu. Alhamdullillah, ada sedikit kelegaan. Namun keadaan tidak menyenangkan itu akan hadir apabila tiba waktu solat terutama subuh dan maghrib.. dan lebih ketara pada malam-malam tertentu.

Berat juga hati aku beranggapan begitu...
Saban malam aku akan bermimpi pelbagai perkara yang aneh dan berserta dengan alamat mimpi yang kurang elok jika ditafsirkan. Aku juga berasa rimas dengan kehadiran satu pasangan dalam mimpiku dan beberapa orang lain yang kerap hadir, apatah jika orang itu semua merupakan 'gunting dalam lipatan' dalam hidup aku ini. Selain itu aku bermimpi haiwan yang pelbagai yang mewakili tafsiran yang tidak baik... umpamanya ular sawa yang besar, buaya, serangga berbisa dan seumpamanya. Aku juga mendapat gambaran-gambaran pelik dalam mimpi aku ini. Malang sekali, lazimnya tafsiran mimpi aku akan bersifat langsung pada alam nyata ini. Jarang sekali tafsiran itu terbalik atau bercanggah dengan mimpi itu...

Atau....
Mungkinkah janji aku kepada DIA, sudah hampir tiba... walaupun tanda-tanda itu belum jelas. Siapa tahu, kan...
Terfikir juga diri ini ke arah itu.. Apatah ketika kesakitan itu sukar bertemu kelegaannya. Ketika mana aku telah menelan berbutir-butir pil dan kapsul namun keadaan itu masih tidak berkurang...
Ya Allah, betapa bimbangnya aku ini bertemuNYA dengan segala kekurangan diri ini. Jika sudah sampai ketika itu, janji itu siapa tahu? Sedang jika kita menguasai dunia dan berkuasa dalam kehebatan dunia sekali pun, janji itu pasti tiba.. Bersediakah aku melalui semua ini, bertemu denganNYA dalam keadaan hina-dina. Ya Tuhan peliharakanlah aku ini....

Ketika sakit-sakit yang pelbagai ini aku alami... aku bersyukur kepada DIA, kerana menguatkan aku untuk membuat keputusan-keputusan yang lalu.. DIA Maha Mengetahui yang terbaik dalam hidup ini. Jika aku meneruskan dengan dia, dan jika dia juga tidak bertemu orang lain... apakah keadaan agaknya? Mungkin suatu kesukaran dan kesulitan yang dapat aku berikan. Tanggungjawab kepada keluarga aku lagi, ehsan untuk darah dagingku lagi..
Aku tidak layak memberikan penderitaan itu kepada orang yang aku kasihi. Dan DIA telah mendorongkan aku melepaskannya.. Dulu, ketika seorang dia berkata: " Setiap kali aku berasa susah dan amat sukar.. aku akan teringatkanmu. Mujur dikau tidak bersamaku menghadapi pelbagai kesukaran ini. Mujur dikau dapat menjalani hidupmu dengan lebih baik jika bersamaku..". Katanya lagi : " Jika aku berasa tenang, bahagia dan senang... aku juga akan teringatkanmu... Alangkah indah jika dikau ada bersamaku ketika melalui saat-saat bahagia ini... ".

Tetapi hidup ini umpama satu perjudian... tiada diketahui akan nasib yang akan kita terima. Itulah kata orang.. Bagiku pula hidup ini satu perjuangan dan pengorbanan. Sentiasa bersilih ganti... berusaha adakala jaya, berusaha ada kalanya hampa... berusaha ada kalanya masih tetap serupa. Namun kita perlu sentiasa perlu berusaha dan berkorban... bukan sahaja untuk meneruskan hidup di dunia, malah bermatlamatkan syurga di sana nanti. Kita telah memilih syurga itu maka kitalah juga penentunya... segala itu perjuangan. Perjuangan melawan nafsu, melawan kekufuran, melawan kejahilan, melawan kemalasan.... melawan, melawan, melawan terus melawan perkara-perkara yang batil... Setiap satu perjuangan itu perlu bersertakan pengorbanan.

Terima kasih ALLAH...
Aku tidak pernah menyesali segala ketentuan ini... kerana aku tahu segalanya itu tentu ada 'harga'nya... sekurang-kurangnya menentukan dan menjaga harga diri... menilai harga persaudaraan dan persahabatan. Mengukur harga sebuah masyarakat... dan meletakkan harga iman dan taqwa dalam diri..

Aku ingin melihat mentari yang bersinar lagi. Mungkin kesakitan dan ujian ini adalah untuk menginsafkan aku, bahawa diri ini bukanlah milik mutlak aku tetapi adalah miliknya yang hakiki. Semoga aku akan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran melalui pelbagai rintangan hidup... semoga kesabaran aku melalui semua ini merupakan ukuran dan nilai yang baik di sisinya.

Aku sentiasa berdoa agar DIA akan memberikan yang terbaik untukku... dalam bentuk apa, dalam keadaan apa sekalipun.. aku redha. Aku percaya DIA tidak membiarkan dengan sengaja hanyut tanpa ada kemaslahatan di sebaliknya. Semoga hatiku ini bukan umpama kaca yang mudah pecah dan hancur berderai apabila terhempas... Mahupun kristal yang hanya bercahaya sentiasa tetapi hakikat luarannya tidak sama dengan hakikat dalam sebenarnya... Biarlah aku menjadi berlian, biarpun kecil masih bernilai... Biarpun terjatuh, masih utuh... biarpun tersimpan lama tetapi masih bersinar...

Semoga perjalanan aku kelak lebih bermakna... Semoga dalam beberapa hari lagi sebelum Ramadhan meninggalkan kita, aku akan melaluinya dengan ikhlas tanpa rungutan seperti ini... Walaupun mungkin aku tidak akan bertemu Ramadhan akan datang. Maka ya ALLAH, semoga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terbaik setakat ini... Orang lain berasa gembira dengan kehadiran Syawal yang akan menjelma beberapa hari lagi... namun aku sendiri berasa sedih Ramadhan sudah hampir berlalu pergi... Dugaan dan ujian dalam Ramadhan ini, aku rasakan sebagai suatu halangan untuk aku melalui ibadah dalam bulan ini secara berkualiti. Dan semoga semua ini akan menjadi tembok pertahanan keimanan aku ini.

Semoga juga segala ujian ini tidak akan melemahkan aku dalam apa bidang sekalipun... Hmmmm, menyebut tentang ini, aku berasa hati malah berkecil hati, serta berjauh hati kerana beberapa perkara , keadaan dan situasi ini. Belum sempat aku memujuk hati kerana suatu perkara, maka datang pula keadaan dan ujian yang lain... berkali-kali. Aku sudah berasa tidak endah semua itu, namun mujur aku cepat sedar. Hari ini hari oranglain tetapi hari lain mungkin akan menjadi hari kita.. siapa tahu, mungkin lebih berat lagi dugaannya. Semoga aku akan selalu 'sedar' atas setiap kondisi yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Wallahualam bi sawab...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan