Jumaat, November 04, 2011

MENYELUSUR HARI DAN HATI...

Malam semalam lenaku terganggu lagi. Entah mengapa aku sering terbangun dari lena walaupun seketika aku melelapkan mata. Malam menjadi terlalu panjang dan menjemukan.  Novel-novel yang aku baca juga sudah ada lebih daripada sekali aku membacanya. Sudah semakin hafal isi kandungnya. Namun ada malamku yang masih belum lagi selesa dan aman untuk aku jalani. Ya Tuhan, kenapalah aku ini? Aku tidak punyai jawapanku ketika ini.

      Tambah menyulitkan apatah apabila aku terlena itu aku didatangi mimpi yang kurang enak dan menggoyahkan ketenteramanku ini... seawal 4 pagi aku terkebil-kebil mengingati mimpi aku ini, seterusnya mendoakan kepada sahabat yang pergi menunaikan haji di Tanah suci  Mekah itu.  Entah mengapa wajah itu menjelma dalam mimipiku

       Sayu rasa hatiku ini. Ya Allah, semoga apa yang tersirat dalam mimpiku ini tidak akan berlaku.. Sesungguhnya hanya KAU yang maha mengetahui akan segala kemungkinan di hadapan kelak. Seharian ini juga aku berasa tidak selesa.. entah mana pula silapnya. Tidak pula aku bermimpikan sahabat yang satu lagi itu. Apabila aku bayangkan, aku beristigfar banyak dan doaku berpanjangan semoga akan dipelihara sahabat-sahabatku itu ketika di bumi suci itu. Semoga dijauhkan daripada sebarang keburukan dan kemungkinan yang mendukacitakan. Walaupun suatu masa dahulu sahabat itu pernah melekehkanku kerana aku ini pada tanggapannya seorang yang tidak punya peribadi yang baik.

     Ketika itu, aku sememangnya sangat sedih. Dua kali aku menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah, dua-dua kali itu dipertikaikan. Dia tidak mahu mempercayai orang seperti aku mendapat begitu banyak kemudahan di sana. Mengenangkan semua itu sebenarnya hati ini sakit. Aku umpama diejek olehnya. Ketika tahun lepas dia menolak untuk menunaikan ibadat itu dan memilih meneruskannya niat pada tahun ini, aku sebenarnya melihat lontaran kebimbangan di matanya. Aku pun tidak mengerti mengapa... apatah lagi apabila berkali-kali dia bertanya adakah sukar untuk menunaikan fardhu haji itu. Mungkinkah semua apa yang berlaku selama hidup kita akan ditunjukkan ketika di tanah suci? Apakah segala perbuatan kita akan dibalas ketika itu? Benarkah segala keburukan dan kejelekan akan diperlihatkan awal ketika di sana? Macam-macam lagi pertanyaannya. Tahun lepas aku tidak mahu menjawab apa-apa, kerana aku nampak kebimbangannya itu di matanya. Apatah lagi mustahil pula bagiku untuk menjelaskan perkara yang akan datang. Apa yang boleh aku kisahkan hanya cerita-cerita lampau dan pengalaman ketika aku di sana. 

       Tahun ini aku, aku berkisah juga pengalaman lalu bersamanya. Di matanya ada sinar kegembiraan dan ada keberanian yang agak jelas. Insyaallah dia akan bersedia menjadi tetamu Allah. Namun mimpiku itu mengingatkan aku kepadanya, biarpun dia mungkin melupai aku kerana kebahagiaan ketika menjadi tetamu Allah ketika ini.  Ya ALLAH, aku pohonkan kesejahteraannya di sana. Semoga dia tidak diuji dengan pelbagai dugaan yang akan menyebabkan dia serik untuk menjadi tetamuMU kelak. Semoga apa yang dia lalui, berlawanan dengan mimpi-mimpi dalam lenaku yang naif ini. Sesungguhnya aku pernah melihat seorang sahabat yang begitu takut untuk menjejaki bumi itu lagi. Namun aku dan jemaah lain merasionalkannya maka terubat juga kesakitan itu dan mungkin akan datang ketika rakan itu menjejakkan kakinya lagi ke Mekah, dia akan memperoleh pengalaman yang lebih baik.

    Minggu lepas aku sudah berbincang dan bersepakat dengan keluargaku untuk menunaikan ibadat umrah lagi. Selalunya aku akan pergi dengan emak sahaja. Dulu dengan bapak juga, namun bapa sudah lebih awal dijemput Allah..  Dua tahun ini juga aku sememangnya bercadang untuk menunaikan umrah. Untuk menunaikan fardhu haji, insyaallah akan aku rancang sebaik mungkin, bersama orang tersayang jika ada rezeki kami. 

      Buat masa ini aku hanya ingin menunaikan ibadah umrah dan ziarah bersama emak, adik lelaki, kakak sulungku dan suaminya, cucu sulung emak yakni mukmin yang kami sayangi dan mungkin beberapa orang lain. Semoga impian ini akan terlaksana.

     Rindu untuk menjejakkan kaki ke tanah suci itu lagi dan menjadi tetamu ALLAH. Sehingga kini, aku sebenarnya ada rasa iri hati akan pemergian rakan-rakan atau saudara mara yang akan ke tanah suci. Kenapa bukan aku lagi  ke sana? Sehingga aku tidak suka untuk menziarahi mereka sebelum mereka bertolak ke tanah suci. Terukkan sikapku ini. Aku juga tidak berpesan apa-apa kepada mereka yang ke sana walaupun mereka itu saudara dekatku.  Aku tidak akan berkirim pesan selain mereka menyampaikan salamku buat Junjungan Nabi Muhammad SAW.  Aku punya sebab. 

    Antara sebabnya, aku ingin untuk menyampaikan hasrat dan doa mahupun memanjatkan segala permintaan aku sendiri di sana. Aku ingin mendapat kebahagiaan itu sendiri di sana. Aku ingin berada di sana. Dan aku tidak mahu berkirim-kirim sebab aku akan membawa diriku ke sana sendiri. Insyaallah tahun mendatang ini, hasrat itu akan tercapai juga.Ya Allah perkenankanlah.

       Mungkin tidak macam orang lain yang berkirim pelbagai melalui jemaah yang akan ke sana. Bagi aku, jika apa yang aku inginkan tidak tercapai, aku akan terus berusaha untuk mendapatkannya. Dengan cara ini aku menyimpan hasrat, keinginan dan harapan dengan menidakkan jalan mudah dengan berpesan.

      Ya ALLAH, aku akan sampai lagi ke rumahMU yang maha hebat itu. Aku sendiri akan meluahkan segala rasa hatiku ini kepadaMU dengan segala rasa bahagia sampai ke sana sebagai tetamuMU. Aku sendiri akan meminta kepadaMU... aku sendiri akan mendakap kecintaanMU itu. Semoga KAU akan menjemputku lagi menjadi tetamuMU...

      Insyaallah jika segalanya berjalan lancar, aku akan berasa sangat gembira. Sebenarnya rasa gembira ini sudah aku rasakan ketika kakakku menyatakan keinginannya untuk menunaikan umrah pada tahun hadapan. Tiada siapa mengerti.. aku tersenyum ketika itu, kerana DIA sudah memperkenankan doaku selama ini.

       Untuk beberapa waktu lalu, aku sering sahaja ada rasa terkilan apabila kakakku itu ingin keluar negara walaupun atas urusan tertentu. Aku kadangkala sering juga mengusiknya apabila dia memaklumkan hal-hal itu dengan bertanya bila hendak ke Mekah. Aku bukan menyindir namun itulah sebenarnya yang aku ingin dengar daripada mulut mereka.  Dan apabila mereka berkata untuk menunaikan umrah, rasanya gembira hati ini tidak terkata. Aku selalu kata, kita boleh belajar jika kita tidak tahu. Apatah lagi berkaitan dengan rukun umrah atau semua hal-hal berkaitan. Aku pun bukan tahu apa-apa pun... kalau ada tidak banyak, dan dangkalnya ilmu agamaku ini namun aku akan sentiasa membuka peluang untuk diri ini belajar. DIA akan memudahkan semua urusan kita, apatah lagi apabila kita sudah berniat.

         Dulu pun sewaktu aku menunaikan haji  kali pertama itu, aku tidak tahu dan tidak pernah hafal sebarang doa, namun alhamdullillah aku diberikan ingat dengan banyak perkara, maka dengan segala kemudahan yang ALLAH berikan itu, walau dalam keadaan tidak mengetahui, tidak pandai... ibadah haji itu dapat aku sempurnakan, alhamdullillah...

       Itulah juga antara nasihatku untuk mereka yang lain. Jika kita pandai, alim dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama sekali pun termasuk ilmu feqah.. jika kita tidak mempunyai kesucian hati dan mengikhlaskan ibadah kita itu, kita mungkin akan sentiasa diuji.. mungkin dengan hanya sedikit rasa takut, kesesatan atau lupa... 

    Dulu, aku banyak belajar perkara baru dan menambah  ilmu yang ada... sehingga aku yang tidak mengetahui apa-apa ketika itu lebih baik dalam menyempurnakan ibadah daripada mereka yang lebih tahu dan berilmu... OOPPS... bukan bangga diri..

     Aku hanya ingin menyatakan bahawa memang benar, ALLAH melihat segumpal darah yang bernama hati dalam dada kita ini... jika kita berilmu namun kita riak, maka ALLAH pasti akan menguji kita dengan menggunakan kelebihan kita  itu. Tidak perlu sampai kita berada di Mekah... sedang kita di mana-mana pun akan mengalaminya. Cuma kadang kala dan seringkali pula tidak sedar akan segala ujian itu. Kita akan terlalu bersedih dengan kekurangan dalam hidup dan kelemahan diri yang ada. Sedangkan itulah yang terbaik untuk kita. Aku hanya mencatat dengan pengetahuan aku yang dangkal ini. Untuk membincangkan hukum tentu tidak. Sebab aku takut menjelaskan hukum... 

       Teringat aku baru-baru ini seorang kenalan bertanya kepada aku tentang solat jamak dan solat qasar... Huh,panas juga punggung aku dibuatnya. Siap suruh tulis niat dan memperincikan semua cara ibadah itu dilaksanakan. Dia memang salah orang, sebab aku jarang sekali bermusafir jauh melebihi dua marhalah dan sudah tentu aku jarang melakukan solat jamak dan qasar. Hanya mungkin kerana tempat aku bertugas atau penampilan aku yang menutup aurat agak sempurna ini, menjadikan aku begitu dihormati dan dipilih sebagai tempat merujuk hukum.  Alhamdullillah, dalam hatiku ini dengan kepercayaan itu. 
   
          Dan semua itu sebenarnya akan membuat aku terus belajar dan bersedia. Atau mungkin dengan sedikit kelebihan yang ada dalam diri aku ini yang membolehkan aku mengubati orang lain termasuk kerana sihir, maka aku diyakini akan dapat menyelesaikan permasalahan dalam agama ini. Namun aku berterus-terang bahawa aku tidak mengetahuinya dengan begitu mendalam bukan hanya untuk melakukan solat jamak dan qasar itu.. kerana aku takut menanggung dosa dengan memberikan hukum yang salah.. Dan aku gembira kerana kini kami sama-sama dapat belajar lagi... dia yang tidak tahu kepada tahu, dan aku yang dari tahu lebih mengetahui. Alhamdullillah kami bertemu dengan orang yang ahli dalam bab hukum hakam agama ini.

      Dalam erti kata lain sikap riak, takbur, angkuh itu bukan hak kita. Aku selalu mengingatikan diriku ini. Dan aku mendoakan mereka di sekelilingku juga akan ingat. Dan, semua sikap buruk itu juga tidak boleh dibawa ke sana.  Hati yang ikhlas beribadah akan menjadikan semuanya indah.. percayalah. Ketika ini tambah menggembirakan aku apabila adik-adikku juga bercita-cita untuk bersama-sama aku dan emak menunaikan ibadah umrah, semoga  tahun-tahun akan datang mereka yang aku sayangi ini akan dipermudah untuk menunaikan fardhu haji pula. Selagi kita masih bernyawa, kita mesti dan sentiasa boleh berharap dan DIA sentiasa mendengar kita ini.

      Walaupun sebenarnya perbincangan ini secara tidak sengaja berlaku dan mencapai persetujuan, namun ALLAH sudah memberikan isyarat yang baik ini. Terima kasih ALLAH. Pada awalnya sebenarnya aku merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu atau menjejakkan kaki ke Sarawak pada hujung tahun hadapan, tetapi ketika berbual itu, adikku mencelah... 'alang-alang kita  naik kapalterbang ke Sabah atau Sarawak, lebih baik kita semua terbang ke Mekah.." itu kata adikku... dan aku kata setuju, dan perbincangan berlaku. 
   
        Emak senyum sahaja ketika itu, biarpun simpanan masing-masing tidak mencukupi tetapi berangan-angannya lebih.  Tetapi aku kata, apabila kita berniat, kita akan berusaha... insyaallah, ada jalannya... Silap-silap haribulan kami akan dapat semua yang harapkan itu, ke Mekah.. ke Sabah dan ke Sarawak.. Siapa tahu? Semuanya berkemungkinan..

        Okay, hari semakin menjelang senja... rasanya adalah lebih baik aku berhenti dahulu... dan pada akhir catatan ini juga, aku mendoakan semoga mereka yang menunaikan ibadah haji ketika ini diberikan kemudahan urusan dan mendapat haji yang mabrur.  Termasuk dia yang aku kasihi itu, yang ketika ini mungkin sedang melupakan aku. Semoga segala itu sementara sahaja.. selepas ini semoga dia akan kembali kepada aku dengan haji yang mabrur dan hati yang penuh rasa cinta kepada ALLAH untuk memberikan sedikit cinta itu buat aku.  Buat ketika ini dan sedikit masa mendatang ini, aku rela dia melupakan aku untuk bersama cinta yang abadi dan agung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan