Isnin, Mei 16, 2011

Terima Kasih Guruku


Aku kira dalam meniti kehidupan aku hingga kini, guru/cikgu/ teacher/ ustaz/ Ustazah... dan sinonim dengannya yang banyak memberikan aku ilmu dan tidak terbalas pula aku dengan segala bakti mereka kepada aku ini.  Aku ingin sekali mengucapkan sejuta penghargaan buat semua guruku yang menjadikan aku ini, 'orang'

Teringat  pantun yang diajarkan oleh Prof. Nik Safiah Karim, yang aku simpan sebagai panduan dalam hidup ini....
Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
Barulah boleh dipanggil 'orang.  (yakni orang yang budiman)

Bukan Sedikit pula, mereka yang berjasa menjadikan aku sebagai aku hari ini... Budi yang mereka berikan, budi yang mereka tanamkan, Budi yang mereka semai, Budi yang mereka ajarkan.... Segala Budi baik itu telah menjadikan aku budiman hari ini.  Terima kasih guruku....

Guru yang terbaik dalam hidup ini, adalah emak dan bapak... yang memberikan aku sinar untuk melihat dunia yang maha indah ini... dengan sabar mendidik dan menjagaku dari tapak kaki aku ini sebesar dua jari, sehingga kini.... setiap ajarannya tetap tersemat dalam jiwa ini.... Terima kasih bapak Hj. Hassan bin Abdullah dan emak Hjh.Sokini bt. Mohd Yusof...

 Dalam hidupku yang aku rasakan hebat ini... selain emak dan bapak, datuk dan neneklah yang memberikan banyak ilmu dan pengetahuan yang menjadi bekalan dalam hidup ini.  Jika bapak menggunakan sebatang rotan sebesar jari telunjuk, dan hancur ketika mengajar aku mengenal alif dan seterusnya mengaji al-quran, datukku hanya berbekalkan rotan kecil yang tidak pernah jejak di mana-mana bahagian tubuhku... Terima kasih Guruku... Datukku Hj Mohd Yusof (Hj. Abd. Fatah) bin Hj.Ismail  dan nenekku Hjh. Supinem bt. Abu Bakar...
 
 Hidupku berperingkat yang indah.. dan dalam hidup ini banyak sekali guru yang memberikan aku cahaya dalam hidup ini... mungkin tidak aku ingat secara jelas semua nama mereka namun aku akan menyenaraikan sedapat boleh nama-nama mereka yang banyak berjasa kepada diri ini...
Hmmm.... semua mereka sedar betapa aku ini sangat nakal dan sangat licik sewaktu kecil aku ini... apa yang tidak pernah aku lakukan? Yang jahat? Yang baik? Yang Hebat? Yang teruk?.... entah apa lagi yang bisa aku lakukan....
Kadang-kadang aku rasa anak-anak muda generasi terkini ini patut berasa rugi kerana tidak merasai sendiri, pengalaman, pengetahuan, kegembiraan, kenakalan sewaktu aku masa kecil dahulu.   Mereka kini leka di hadapan komputer, melayan alam maya yang kadang-kala lebih bersifat penipuan kepada mereka... walaupun dunia berada di hujung jari, namun dunia sebenar itu tidak mereka alami... Contohnya mereka berasa takut menonton filem seram, namun tidak sedikitpun pengalaman benar yang mereka alami... ketakutan itu pula satu penipuan... hakikatnya ketakutan sebenarnya tidak pula mereka alami... Itulah hakikatnya...  Mengapa ada yang hanya bercerita berdasarkan pengalaman yang tidak pernah menjadi kenyataan...
 Masa aku sekolah tadika, Cikgu Armah bt. Marsan merupakan guruku yang pertama pada alam persekolahan.. Beliau merupakan anak datuk saudaraku, kebetulan pada ketika itu merupakan tunangan kepada bapa saudaraku... namun, jodoh mereka tidak kesampaian... namun aku bersyukur kerana mengenalinya dengan baik, dan aku dilayan dengan baik.. ada seorang lagi pembantu guru tadika ketika itu... aku ingat rupanya, dan namanya Kak As... nama penuh aku tak tahu... Masakannya... ehmmm, sukar untuk dibandingkan.... entah apa khabarnya sekarang...

Sekolah rendah merupakan saat yang paling menggembirakan dan seronok....(sekarang ini baru merasainya, dulu-dulu ke sekolah pun menangis saja... lagi-lagi jika kerja sekolah tak siap.. Matematik.. Sekolah Kebangsaan Assam Jawa... mendidik aku mengenal membaca, mengira... Walaupun aku bukan seorang yang aktif atas beberapa sebab ... namun aku juga bukan golongan yang tidak popular...Ingat guruku, Cikgu Abdul Hamid... guru ilmu hisab... apabila kami salah menjawab, tidak menyiapkan kerja.. kami harus lari keliling padang, mengutip sepuluh ekor kerengga dan digenggam di kedua-dua belah tangan... dan berdiri di satu sudut... bayangkan bagaimana rasa gigitan kerengga yang ada di genggaman kita itu.. Alhamdullillah, aku hanya didenda sekali sahaja... Cikgu Yahaya, Guru Besar ketika aku di SKAJ itu, yang sangat perihatin...Dalam masa yang sama aku juga ingin menghargai guru-guru agama di Sekolah Agama Kg, Api-Api, Kuala Selangor...
 
Meningkat usia, aku melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Seri Tanjung(SMST) tahun 1981-1985... aku belajar banyak perkara di situ... mengenali kawan-kawan akrab dan memperolehi guru-guru yang gigih mendidik kami.  Guru-guru yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan kami... Oleh sebab SPM aku tidak begitu memberangsangkan, aku melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Kuala Selangor (SAAS) tahun 1986-1987... Aku  mengenal lebih banyak guru dedikasi yang begitu tabah mendidik kami di kawasan yang jauh dari bandar ketika itu..

Pada tahun 1988-1990 Institut Bahasa Kuala Lumpur merupakan wadah buat aku membentuk diri menjadi guru.... bercontohkan guru-guru yang hebat yang terdahulu... Pensyarah dan kakitangan di IBKL yang sentiasa memberikan komitmen baik kepada bakal pendidik muda seperti kami seperti itu... termasuk jasa baik Kak Hawa, Penyelia Asrama kami yang pada mulanya takut juga utk kami tegur....
Beberapa tahun menjadi guru bukan siswazah... aku meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti  Malaya... walaupun aku bukan  mahasiswa yang dikenali... namun aku rapat dengan beberapa orang pensyarah... banyak guru yang begitu aku kagumi...
Ingin juga aku dedikasikan Ucapan selamat Hari Guru bukan guru-guru yang tidak secara rasmi mengajar aku erti kehidupan... dan juga buat semua guru-guru yang mengajarkan Keseniaan EZHAR... banyak lagi, aku kira terlalu banyak untuk aku senaraikan... maka aku juga ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guruku....Terima kasih, cikgu

Terima kasih wahai guru-guru ku:
Cikgu Zabedah, Cikgu Normah, Cikgu Arif Fadillah, Cikgu Kartini, Cikgu Aziz, Ustaz Majid, Ust Yunus, Ust Mohamad, Cikgu Arif, Cikgu Ali, Cikgu Cheng, Cikgu Fuad, Cikgu Zakiah, Ustaz Hanafiah,Ustazah Maimunah, Dr.Sanat, Dr. Razak, En. Osman, Ust. Mohd Zakai, Ust. Sani, Cikgu Yusof Mat Diah,Cikgu Rosli, Pn. Azizah, Prof. Hashim Musa, Prof. Nik Safiah Karim, Cikgu Fauzi, Cikgu Aziz, En. Radzi, Dr. Arfah, Cikgu Rodziah, Ustzh Fatimah, Cikgu Zainal, En. Zainal, Cikgu Zainul, Cikgu Jakiran, Cikgu Noridah, Cikgu Azizah, Pn. Halimah.... dan  banyak lagi yang aku tidak ingat namanya, namun ingat rupanya.... namun semua mereka memberikan sumbangan besar dalam hidup aku ini, dan telah menjadikan aku seperti hari ini.... terima kasih, guruku....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan