Jumaat, Mac 18, 2011

APA ADA PADA LUARNYA,.. JIKA DI DALAM MEMBUSUNG KEBEJATAN....

 Aku ingin sekali memetik kata-kata daripada seorang teman dalam sistem pesanan ringkas kepada aku semalam kerana menjawab balas sms aku kepadanya... Dalam sms itu dia meluahkan:  "Jika difikir-fikirkan, konon hendak mengejar kecemerlangan tetapi hakikatnya, banyak perkara yang tak selesai dan tak sempurna... buat apa jika di luar sahaja nampak cantik tetapi dalamnya busuk...."

Hmmm.... aku terpempan seketika membacanya... kereta yang aku pandu kulajakkan ke tepi, berhenti di kedudukan selamat... aku baca sekali lagi kata-kata itu... lama aku memikirkan... namun tidak pula aku balas catatan itu, waima sehingga ketika ini.. aku tidak ada jawapan yang baik untuk persoalan itu... kerana aku sendiri setuju dengan pernyataan itu...
Ya Allah...
Jauh sekali daripada dugaan dan tanggapan aku tentang dia, teman aku itu... Dalam ketenangan dirinya itu, dalam kesabarannya juga.... aku tidak menyangka dia yang akan meluah rasa itu... Terluka rupanya hatinya... terkilan rupanya perasaannya...
Dan aku sendiri.. dekat dengannya tetapi aku tidak sedar kelukaan itu terus membengkak dalam dirinya.. hanya kerana di luarannya, dia begitu manis dengan senyuman di wajahnya sepanjang hari... bersabar dan tidak memprotes dan membantah.. jika ada pun aku kira, dia akan menyatakan dengan gurau senda dan tawa yang tambah memaniskan wajahnya.. Itulah hakikatnya, yang dekat dengan kita tidak semesti kita kenali sepenuhnya... Air yang tenang jangan disangka tiada buaya ganas di dalamnya..
Jika dibandingkan dengan aku, sememangnya terlalu jauh bezanya... kehampaan, kemarahan, kekecewaan akan tergambar di wajah aku dalam apa keadaan pun... mungkin hodoh wajahku pada pandangan orang lain ketika itu... namun apa aku peduli.. itulah kemarahanku... jika segala itu terpampang dan terpapar di wajah aku... tambah mudah aku ingin meluahkan segalanya... dan lazimnya mereka akan tahu... Namun hati dan jiwa aku akan terus tenang dan menerima hakikat yang berlaku... 'Kesakitan' itu akan mengalir deras seperti air sungai yang mengalir... membawa sampah sarap terus pergi... dan tiada batuan yang boleh menghalang duka itu terus berlalu... akhirnya meninggalkan air yang tetap mengalir... mengalir... mengalir... membersihkan kesakitan itu dan menjadi jernih.. Hati aku ini pasti menjadi lega, tenang, memaafkan dan redha...

Melihat kenderaan yang aku miliki ini... aku teringat ketika aku ingin memilikinya dulu... apabila seorang teman bertanya aku ingin kereta berwarna apa? Maka aku jawab segera, spontan... HITAM... dan ketika dia bertanya, kenapa hitam?  Aku cuma berkata... cantik, elegance...smart, menawan... punyai intipati yang berprestij.... dan banyak lagi... Apabila dia ingin menyatakan pendapatnya... aku menolaknya.. dan, akhirnya aku miliki kereta berwarna hitam itu, hingga kini... Hal itu kerana kereta pertama aku miliki berwarna putih... Aah, sukar untuk menjaganya... keputihan yang menyulitkan bagi aku ini... Aku bukan seperti lelaki-lelaki di luar sana yang sering membelai kereta... banyak lagi kerja lain boleh aku lakukan, maka sebab itu juga kereta kedua aku ini berwarna hitam...
Kini, memiliki kereta berwarna hitam menambahkan kesulitan untuk menjaganya... seminggu tidak aku cuci, kekotoran itu lebih jelas... awal-awal dulu, aku rajin juga 'melayan'nya.. seminggu sekurang-kurangnya sekali aku membersihkannya. Tapi lama kelamaan aku terasa penat... maka dari seminggu sekali, sebulan sekali... kadang-kadang  sebulan tidak sekali pun... sehinggalah kini.  

Tidak pernah pula aku terfikir dahulu... rupanya menjaga kereta putih itu lebih mudah... habuk-habuk melekat lambat untuk kelihatan... dan jika aku tidak mencucinya untuk sebulan dua tidaklah teruk sangat kelihatannya berbanding yang berwarna hitam... Itulah, sukarnya jika kita ini sombong tidak bertempat, nasihat orang pun tak mahu dengar, tidak perihatin dengan orang yang lebih pengalaman..
Itulah aku! Sebabnya apabila aku hendak membuat keputusan, aku sering terpengaruh dengan pendapat orang sehingga apabila berlaku sesuatu perkara aku akan menyalahkan orang lain... MAKA, aku berkeras dengan pendapat dan pandangan aku sendiri.... mengikut gerak hati.. maka jika apa-apa berlaku, aku hanya akan menyalahkan diri aku sendiri... Lalu, apapun natijah keputusan aku itu... akan aku hadapi dengan berani..
 Itulah kehidupan yang sukar untuk dijangka. Sebabnya hanya satu... kita manusia biasa, hamba yang penuh kekurangan... kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku di hadapan kita walau sesaat di hadapan kita...
maka kita perlu berpegang dengan nasihat Junjungan kita Nabi SAW yang berpesan: "Berusahalah umpama kita akan hidup seribu tahun lagi... dan beribadatlah umpama kita akan mati pada esok hari"...

Dengan sebab itu, jika ada rasa membusung dalam hatiku akan aku rasionalkan perlahan-lahan sehingga hati ini berasa seikhlas mungkin... Pernah kawan-kawan bertanya kepada aku suatu hari dahulu, belum lama aku kira... 'Kenapa perlu lakukan semua ini, usaha kamu tidak pernah dihargai... malah usaha ini dipertikai... Kenapa bersusah-payah untuk oranglain? Sedangkan apa yang kamu dapat hanyalah pengkhianatan daripada mereka yang kamu tolong dan mereka yang kamu utamakan kebajikannya..'

Apa jawapan yang dapat aku berikan... Memang banyak kecurangan dalam hidup kita tanpa kita sedari. Bukan hanya daripada mereka, malahan daripada diri kita sendiri... cuma kita tidak tahu bila, kenapa dan mengapa.. sebab, kita tidak akan tahu.. hanya DIA Yang Maha Mengetahui...
Sakitnya apabila mereka yang kita dahulukan dan utamakan kebajikannya, mempertikaikan tindakan kita... menghina kita kembali... sedangkan kita dan mereka dalam golongan yang sama. mereka minta lebih banyak daripada apa yang berhak mereka miliki dan akhirnya mereka menganiayai sahabat dan kelompok mereka sendiri... DAN aku hanya diam dan bersabar, walaupun sebenarnya kemarahan aku telah terserlah di raup wajahku ini...

Dan, lazimlah jika kesilapan itu telah terserlah...tiada ucapan maaf untuk mengakui kesalahan mereka itu.. Tidak mengapa, sebab aku memang selalu memaafkan dan aku selalu memikirkan kebajikan orang lain... aku permudahkan... tetapi mereka yang menyulitkan diri mereka sendiri... maka sebenarnya mereka perlu meminta maaf kepada diri mereka sendiri kerana dengan sengaja menzalimi diri mereka sendiri.

Aku tidak juga berasa sakit dalam ertikata sebenarnya... kerana aku serahkan kepada DIA untuk segala-galanya.. aku hanya menunaikan tanggung jawab yang diamanahkan sebaik mungkin.. jika ada yang protes, aku tidak ada sebarang jawapan dan kesesalan...

Fenomena yang berlaku di sekeliling aku ini mungkin melukakan hati banyak yang lain.  Contoh, isu yang berlaku baru-baru ini... isu penilaian prestasi kerja... yang membawa kepada Anugerah Prestasi Cemerlang untuk kakitangan awam seperti kami.. Berlaku kebocoran maklumat... secara kebetulan... dan menguja hati-hati yang ada melihat penilaian PP kepada prestasi mereka...dan mencetuskan kekecewaan dan salah faham.. maka berlakulah konflik...

Hanya kerana satu sebab kecil itu... gelora di lautan mula melampaui batas.. Entahlah, aku sendiri pun hairan. Apa ada dengan penilaian oleh manusia itu?  Sedangkan banyak lagi prestasi yang perlu kita kekalkan dan kita utamakan... Jika kita tidak lebih baik daripada orang lain pun, mungkin bersebab... mungkin kita baharu, mereka telah lebih dulu layak... mungkin kita berasakan apa yang kita buat menanggung kerja oranglain, sedangkan dengan melaksanakan kerja tersebut kita membantu menyelesaikan banyak masalah.. Maka haruskah kita mempertikaikan keikhlasan kita berkerja hanya kerana kita merasakan bahawa orang tidak pernah menilai kerja kita dan tidak pernah nampak sumbangan yang kita berikan selama ini.  Tanyalah diri kita, kerana APC itukah kita bekerja?? Dan jika markah penilaian kita rendah maka kita mesti beralah dan mengabaikan amanah yang diberikan kepada kita?  Cukuplah... pujuklah hati yang merajuk itu.. usah sasarkan prestasi itu di sisi manusia, tetapi sasarkanlah prestasi kita di sisi ALLAH.. Aku mengharapkan jika ada sahabat yang terluka hatinya itu membaca catatan ini, semoga kita dapat lebih banyak beristighfar dan mengucapkan syukur kerana apa yang ada pada kita hari ini jauh lebih baik daripada orang lain... banyak lagi orang yang tidak bernasib baik berbanding kita... Kita masih ada kerja yang berpendapatan dan halal untuk keluarga kita.. kita masih punyai nafas dan denyutan jantung yang dapat menyambung silaturrahmi dalam kalangan kita... Bersyukurlah..

Memang kadangkala terlalu panjang perjalanan yang kita perlu tempuh untuk sampai ke sesuatu destinasi... sedangkan ada juga perjalanan yang singkat.. dan hidup kita ini umpama roda, sentiasa berputar dalam perjalanan itu... jika kurang bernasib baik kita akan memijak lumpur atau paku... dan akhirnya pancit.. ditukar dan dibantu untuk menjalani bentuk baru kehidupan.
Ada juga perjalanan yang kita lalui banyak selekoh namun kita boleh sampai dengan cepat dan selamat. Ada perjalanan melalui jalan yang besar dan lurus tetapi kita berisiko dan tidak selamat dan mungkin tidak sampai ke destinasi yang dituju.. Setiap seorang daripada kita akan diuji namun ujian itu berbeza mengikut kemampuan masing-masing..

Jika kita ingin apa yang di luar itu gambaran daripada apa yang ada di dalamnya, maka sebenarnya segala-galanya itu terpulang kepada kita.  Kita yang sepatutnya membuang dan mengutip duri-duri dalam perjalanan kita itu... agar tayar kenderaan kita (yakni tanggungjawab dan tugas kita) tidak akan pancit.  Semoga perjalanan kita akan lancar.  Jika pada jalan yang lurus pun kita memandu laju, mementingkan diri sendiri... kita mungkin akan kemalangan; yang bukan sahaja menyusah diri kita malahan kita mungkin menyusahkan orang lain. Ikhlaskan hati kita dalam semua ini, pasti luka yang menyakitkan itu akan cepat sembuh dan tidak meninggalkan calar yang dalam sehingga boleh terluka lagi...

Aku ditanyai juga semalam.... Kenapa aku tidak pernah membuat sebarang tuntutan untuk sebarang pembelian yang aku buat dalam kerja aku... untuk organisasi aku ini... Aku menjawab, akan buat cuma aku tidak punya masa, sedang ada banyak tugas lain yang perlu aku segerakan daripada mengira berapa yang aku perlu belanja untuk tanggungjawab aku ini... tidak perlu aku tergesa-gesa untuk membuat tuntutan atas wang yang aku dahulukan itu...
Aku ditanyai lagi oleh seorang yang lain semalam... dari mana aku dapat wang untuk membeli semua keperluan tugas aku ini dan kepada siapa aku buat tuntutan???  Apa yang perlu aku jawab?? Pada yang sepatutnya lah, bukankah begitu... dan ada kalanya dalam rezeki yang kita perolehi ini ada rezeki oranglain... dan dalam semua kerja dan rezeki yang aku perolehi itu akan ada lompangan yang kita tidak sedari... mungkin Allah telah mengambil semula rezeki itu untuk menampung kebocoran dan lompangan itu dengan memberikan dalam hati aku ini agar tidak terlalu memikirkan berapa yang aku sumbangkan dan berapa yang aku keluarkan.... dan melahirkan rasa ikhlas dalam hati aku ini.
Jika selama ini, aku tidak pernah mendapat penghargaan namun aku memberikan apa yang terbaik dari semasa ke semasa untuk tugasku.... tidak akan ada apa-apa... kerana aku aku pandangan dan pemikiran aku sendiri tentang menjalani hidup ini dengan berserah kepadaNYA yang aku cintai...kerana itu jika apapun rupa di luar apatah lagi jika elok dan cantik, tidak akan ada yang membusung, bernanah dan busuk di dalamnya... INSYAALLAH....ALLAH YA ROBB....

1 ulasan:

  1. Semua gambar dalam catatan ini saya rakamkan sendiri ketika memandu... Bahaya mungkin,tetapi berbaloi...

    BalasPadam