Sabtu, April 09, 2011

MELALUI LENSA KAMERA DAN PEMERHATIANKU...

Sepanjang perjalanan ke tempat kerja, masih lagi gelap dan aku tidak dapat memerhatikan apa-apa di langit kecuali cahaya samar daripada neon-neon di sepanjang jalan itu... namun seharian ini hingga menjelang senja aku melihat pelbagai cerita dan panorama yang ada di langir yang sama di, dari tempat kerja ke rumah... pada langit itu terdapat kisah yang cepat berubah di langit dan cuaca yang tidak dapat dijangkakan kini. Inilah hakikat kehidupan kita kini, dalam perjalanan yang begitu singkat terdapat pelbagai kisah suka-duka yang dialami dan menguja minda ini terus berfikir dan menilai perjalanan dalam hidup sendiri.

Bukan mudah untuk memahaminya.... namun aku hanya memberi pesanan dan ingatan ini buat diri aku sendiri, agar aku akan lebih berhati-hati dalam tindakan aku selepas ini.  Seperti mana beredarnya pelbagai  cerita di dada langit dalam sehari itu, maka begitu jugalah dalam hidup kita ini. selebihnya jika boleh dijadikan ingatan buat orang lain, pembaca catatan ini, semoga akan ada iktibar di sebalik catatan ini... insyaallah...
 Minggu belakangan ini, sebenarnya aku terus diuji.... namun kini aku lebih tenang menghadapi pelbagai situasi dan perkara yang aku lalui. Walaupun aku tahu berdiam diri itu adalah tindakan orang yang seumpama pengecut... namun  bagiku jika ada baiknya untuk aku berdiam diri, maka aku akan terus berdiam diri dengan harapan agar perkara atau situasi itu tidak menjadi besar. Mungkin pelbagai telahan akan timbul rentetan itu... Apalah sangat umpatan dan penghinaan yang tidak berasas itu kepada aku ini. 

Biar seribu orang membenci aku ketika aku melakukan perkara yang betul tidak akan menjejaskan pandangan dan prinsip aku ini... cuma sepatutnya aku bisa untuk mempertahankan diri.... tetapi terfikir pula aku, mempertahankan diri daripada apa? Daripada sesuatu yang tidak aku perbuat?   Biarlah.... biarlah  si luncai terjun dengan labu-labunya... jika labu itu elok maka akan terapung dan selamat... tetapi jika ia rosak dan berlubang maka akan tenggelamlah juga... biarpun labu itu sesuatu yang ringan...

Banyak sekali cerita di dada langit itu, maka secepat dan sebanyak itu DIA akan menunjukkan kebenarannya... Kini, tanda-tanda menghampiri kiamat itu jelas... DIA akan 'membayar' tunai segala sesuatu itu... maka kini sudah banyak yang dibuktikan. 
Langit cerah itu tidak menjanjikan sepanjang hari itu akan cerah... Ada ketikanya, sinar mentari yang terik itu bertukar menjadi mendung dan tidak lama kemudian disusuli hujan lebat yang tidak berbendung..
Membanjiri semua kawasan dan menghalang pelbagai aktiviti terlaksana... dan selepas hujan itu pula, mentari akan cerlang ...

Sepertimana hidup kita, di sepenjang hari yang gembira kemudian berubah menjadi kesedihan dan akhirnya bermusibah...Atau sebaliknya, dari hari yang suram menjadi ceria dan bahagia...  atau, sepanjang hari itu adalah malang buat kita... atau seharian itu pula kegembiraan dan kebahagiaan terhadap kita.... SIAPA TAHU, siapa tahu, hari yang manakah akan menjadi milik kita.... atau setiap hari itu pula akan silih berganti tiada putusnya... Walau apapun yang berlaku, ketahuilah oleh kita... bahawa setiap apa yang diizinkan Allah untuk berlaku ke atas diri kita ini, pasti ada hikmah di sebaliknya... jika bukan hari ini, mungkin esok.... atau mungkin suatu masa nanti yang tidak kita ketahui...

 Cuma kadang-kala ada kekesalan dalam hati aku ini... setiap sesuatu itu tidak menjadi iktibar buat kita.... aku dan mereka. Entah di mana silapnya... Ada kalangan kita yang mempunyai keegoan yang begitu tinggi, sehingga tidak nampak kekurangan sendiri apabila asyik menyatakan kelemahan dan kekurangan orang lain.  Aku sendiri terpalit dengan situasi itu... seekor kerbau terpalit terpalit lumpur, maka semua kerbau di situ akan terkena palitan lumpur itu... Peribahasa lama, biarpun tidak begitu jelas ungkapan yang aku catat ini...maknanya tidak akan berbeza.  Banyak dalam kalangan kita tidak ada rasa bersyukur dan berterima kasih dengan segala bantuan dan kemudahan yang diberikan.  Tidak tahu untuk berbahasa yang baik... malah pertolongan itu pula dibalas dengan cemuhan dan umpatan.

Lazim, yang bersikap begitu perempuan.... kerana Pulut santan binasa, kerana mulut badan merana.... Itulah perempuan yang bersinonimkan mulut yang tidak boleh ditutupi.  Entah atas sebab apa... di hati mungkin ada iri hati, di hati mungkin ada bantahan, di hati mungkin tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain... Siapa yang perlu disalahkan... Perempuan juga dikatakan suka menjolok sarang tebuan... hanya kerana mulut.
Aku juga perempuan, namun tidaklah aku tergolong dalam golongan itu... itu doa aku ini, doa aku yang sering berfikir bagaimana untuk mengubah sikap dan persepsi aku agar tidak terlalu terikat dengan sikap perempuan yang tidak dipisahkan dari perempuan... nafsu yang sembilan itu itu perlu distabilkan dengan kewajaran fikiran.

Aku juga tidak hairan dengan peribahasa : kawan makan kawan, haruan makan anak, batu loncatan, baling batu sembunyi tangan, ketam mengajar anaknya berjalan lurus, telunjuk lurus kelingking berkait... kerana dalam hidup aku ini, di keliling aku ini.... aku menemui kawan-kawan yang sebegitu.. Tidak tahu kenapa tidak ada perubahan dalam hidup dan sikap mereka.  Setiap satu individu mesti ada sesuatu yang boleh menjadikan kita sedar akan kesilapan.  Cuma dalam 'masyarakat' kecil dalam bidang kerjaya dan keluarga sahabat-sahabat aku ini, masih banyak yang suka berpura-pura dan takut untuk mengakui kelemahan dan kesilapan diri.
Aku tahu terdapat beberapa orang sahabat aku yang dengan sengaja meletakkan aku sebagai seorang yang dianggap dipergunakan. Yang menggunakan sesuatu sebab untuk menolak aku sebagai seorang yang berhak kepada sesuatu dengan memperlekehkan aku... biarpun beralasan kerana orang lain.  Maaf, aku terpaksa 'melawan' situasi dan 'kebenaran' yang kalian wujudkan... kalian sudah banyak menikam aku dari belakang.  Aku sudah berbuat sesuatu supaya aku duduk di tempat sepatutnya.  Dalam tugas dan tanggungjawab aku yang tidak disenangi kalian itu, aku patut akur dengan syarat dan peraturannya... namun sebelum ini mungkin aku silap.... kerana bertolak-ansur atas nama persahabatan dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.  Kekurangan aku yang satu telah kalian gunakan untuk menyatakan kelemahan kepada orang lain dan 'menyerang' menggunakan  nama pilih kasih dan tuduhan yang tidak berasas dalam menentukan keputusan suatu organisasi..

Namun dengan berniatkan tugasan dan tanggungjawab itu, aku lakukan kerana ALLAH... wajarkah aku mempertikaikannya??? Atas alasan itu aku lebih banyak senyap dan membiarkan kata-kata, umpatan, cemuhan, dan tindakan yang tidak menyenangkan itu berlalu... kerana aku bimbang akan segala usaha aku itu tidak membawa apa-apa makna.
Aku sudah mencuba... hidup dalam golongan yang lebih tua daripada aku dengan sebaik mungkin dan menasihati secara yang baik...
Aku juga sudah mencuba... hidup dalam golongan yang lebih muda... walaupun pandai dan berpendidikan tinggi namun penuh keangkuhan.... menegur, menasihati dan membimbing.... secara baik juga.  Jika usaha itu tidak berjaya apalagi dapat kukatakan... Mungkin aku gagal hari ini, aku akan terus  mencuba... kerana aku sayang mereka.... dan kerana aku berniatkan segala sesuatu itu kerana DIA.

CUMA, maafkanlah aku... dalam rasa kesakitan yang wujud hasil semua itu, hatiku berdoa.... maka sesiapa yang khianat kepada aku... siapapun orangnya, DIA akan memberikan petunjuk, pengajaran dan musibah yang boleh dijadikan ingatan... sama ada mereka ingat mahupun tidak selepas itu... mereka akan melaluinya... Maafkanlah aku... ketika itu aku berasa dianiayai dan dikhianati dan dizalimi... hati aku berkata-kata.... mulut aku berbicara sendiri... dan aku di luar batas sedar kerana kesedihan atas apa yang kalian lakukan kepada aku.... kini, aku menyesalinya, namun aku tidak dapat  menarik balik kata-kata itu....  Maafkan aku, jika ditakdirkan didatangkan sesuatu kemalangan, kesusahan, kepayahan dan kejadian yang tidak baik kepada kalian.... aku terasa, aku hampir yakin, aku sedikit percaya... hadir dari doa aku itu.... 

Berdetik di hati aku ini suatu doa, maka secepat itu pula DIA memperkenankannya... Maka buat diri aku ini, aku mengingatkan selalu... jika aku tidak redha akan segala sesuatu itu.... aku akan beristighfar, semoga ia reda.... dan aku akan sentiasa melatih diri aku ini sabar... walaupun sabar itu ada batasnya.... Bukan niat aku, malah bukan aku pinta dengan sengaja... AKU TERLUPA.....
Mungkin kalian tidak memahaminya.... namun sudah lebih 5 kisah rentetan itu.... dan biarlah aku yang tahu..
Di langit itu dalam seharian ada pelbagai wajah.... cerita dan situasi... Begitu juga dalam hidup aku ini... ada pelbagai kisah yang menjadi pedoman dan isyarat dalam hidup aku...
Catatan ini aku rakamkan pada hari ini, disebabkan DIA memberikan aku persoalan dalam mimpi aku ini apakah kaitan ikhlas dan redha... rela dan mampu... keterpaksaan  dan pasrah.... Cara bagaimana? Sukar untuk aku nyatakan.... Mimpi? Mungkin..... hanya sebahagian daripada semua persoalan itu... dan tugas aku seterusnya mencari makna, pengertian daripada semua itu... semoga semua usaha itu akan dipermudah olehNYA....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan