Selasa, Mac 09, 2010

YANG TERSIRAT ITU.....

Ketika ini aku tidak tahu apakah keadaan aku... marah, sebal, geram, lega... sedih, meluat???? Tidak tahu yang mana satu emosiku ini... Hah, baru kembali berkursus menyegarkan minda, mempositifkan tanggapan, mendidik hati..... mengawal emosi, mengatur strategi.. adakah itu segala sesuatu yang memberikan kesan buat aku?


Perjalanan yang ada semakin singkat... jika dalam kursus itu aku didedahkan, diberi ingatan bahawa umur kita semakin pendek.... jika mereka baru tahu, aku sudah tahu lama sebenarnya... sejak usiaku belasan tahun lagi.. dulu lagi. Saban kali pada ulangtahun kelahiran, aku akan menangis kerana jangka hayat dan janji ku semakin bertambah pendek... sehingga kini...


Dulu aku takut menghadapi kenyataan... bagaimana akan aku lalui akhir masa ku itu, ketika nyawa diangkat dari tubuh badan ku... aku berasa bimbang dan mencari bagaimana untuk aku tidak melaluinya... DAN, semua itu MUSTAHIL!! Siapa yang bisa lari daripada janji itu... hidup ini yang berjanjikan kematian. Setiap kali menziarahi kubur, aku tidak ingin membayangkan bagaimana keadaan aku berbaring dalam kegelapan itu... dan aku menjadi semakin takut. Tahun demi tahun yang berlalu aku menghitung hari, usia aku yang semakin pendek itu....


Namun aku teringat ketika dia, ayahku itu menghembuskan nafas itu pada usianya yang boleh dikatakan muda lebih kurang 58 tahun tahun... beliau berkata kepada aku,


" Bapak hendak tidur dan berehat.. Bapak terasa begitu penat.. DIA (ALLAH) hanya memberikan peluang dan umur ini untuk bapak.. Mungkin DIA tahu bapak penat, maka dia mengkehendaki bapak tidur dan berehat sebelum bapak berputus asa... gunakanlah usia kamu sebaiknya. Bapak tahu kamu pasti bersedia, bagaimana susahpun ... bersabarlah. Berkahwinlah dan jadikan dia raja jika dia benar, namun jika dia tiada... bukan dia untuk kamu, hanya DIA bagi kamu... dan jangan kamu putuskan tali persaudaraan, kerana antara kamu dan DIA adalah saudara-saudaramu... Jangan abaikan emakmu, kerana daripada rahimnya kamu lahir, dan berkahwinlah supaya kamu tahu apa erti menjadi emak kelak.. Sudah masa bapak berehat. Ingatlah bahawa jika kamu lari daripada satu masalah walaupun kecil pasti kamu akan dikejarnya sehingga bila-bila... hadapilah, kenyataan itu pahit namun benar itu sahih.. sejahtera"


Duduk aku di sisi dia dengan rasa tenang dan aman dalam hati dan mindaku ini. Aku sudah bersedia .... masih berwuduk selepas solat dan di tanganku ada naskah yasin yang akan aku bacakan untuk dia. Ketika itu aku mengiyakan dan mengizinkan...

dan aku berkata lagi, " Bapa tidur dan berehatlah...". Kerana pada fikirku mungkin disebabkan kesakitan pada kakinya yang bernanah akibat tertendang satu batu dan merebak teruk kerana penyakit kencing manisnya itu, dia berasa begitu penat... dan aku merelakan dia pergi dengan redha... Pada aku biarlah dia berehat, berehat untuk selama-lamanya, jika itu terbaik buatnya. Aku ketika itu bersedia... Jika dengan cara itulah dia tidak akan berasa sakit lagi....setakat itu jugalah yang dapat aku fahami segala kata-katanya...


Kini, aku tetap menangis menjelang hari ulangtahun kelahiran aku, terutama usainya aku berqiamulail termasuk menunaikan solat hajat... kerana aku sedar aku punyai masa yang singkat berbakti kepada orangtuaku yang ada ini... aku mungkin mempunyai masa terhad untuk beribadah, untuk berbuat amal kebajikan dan untuk melaksanakan aktiviti untuk menerangi perjalanan ku kelak... bermula untuk menerangi kegelapan di alam kubur kelak.


Tetapi sebenarnya aku juga amat gembira kerana jangka aku menemui DIA, dan Dia(SAW)... semakin singkat juga. Aku sentiasa berdoa semoga berehat aku kelak dalam sebaik-baik keadaan. Sebagaimana dia yang meninggalkan dunia fana' dengan kesanggupan menanggung beban kesakitan dengan alasan dia ingin pergi dengan seluruh anggota yang lengkap...

Dan, kini aku terasa sudah memahami amanat dia dahulu... tentang hidupku yang bakal aku lalui. Tentang ketentuan usia dalam hidup ini, tentang pengisian dan hati nurani yang ikhlas kerana Allah.. Serta aku berasa ingin sentiasa melalui hidup yang bermakna ini. Semoga akan ada yang terbaik untuk aku ini.


Waktu ini aku terpanggil juga untuk mencatat kekalutan yang berlaku dalam hidup kita ini. Sebilangan kita menjadi sombong dengan apa sahaja yang dimiliki... maka ada ketikanya meletakkan kesalahan atau kesilapan kepada orang lain. Disebut-sebut, diulang-ulang berkali-kali.... mendabik dada, namun membuka aib orang lain.. supaya pekung di dadanya tidak dapat dikesan dan dipertikaikan.


Bertanggungjawablah kepada diri sendiri dan mengakui kelemahan diri seterusnya memperbaiki kelemahan biarpun sedikit demi sedikit itu adalah berhemah.. Orang yang berhemah itu cantik dan dimuliakan. Berpekerti mulia itu adalah cantik dan sempurna...dalam erti yang umum. Maka yang tersirat itu adalah semulia yang dipaparkan.

Penceramah tempohari berkata... keindahan rupa paras yang indah pada seseorang adalah menggambarkan hati dan keikhlasan seseorang itu. Semakin tinggi adabnya, semakin mulia dan indahnya dirinya... akan terpancar nur kebaikan hati itu di wajah. Seperti mana jika seseorang itu melihat guru, maka ada yang akan tahu individu itu guru tanpa bertanya pun... Keadaan itu sering berlaku kepada aku ini... Perkenalan baru sering berlaku dan dalam pertemuan itu, tanpa memperkenalkan diri..kenalan itu sentiasa akan dapat menduga siapa aku.


Mungkin tindakan dan perkataan teman-temanku itulah yang menyakitkan hatiku hari ini. Menuding orang lain dengan sewenang-wenangnya dan apabila menyentuh tentang diri sendiri, ia menjadi 'hilang' dengan alasan individu lain itu buat itu dan ini. Aku sebenarnya sudah lali... sejarah hidup yang lalu tidaklah seindah mana.... namun aku selalu ingin belajar daripada pengalaman benar... pengalaman yang memberikan jiwa dalam ilmu di minda dan memberikan iman di hati aku ini.

Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
Barulah boleh dipanggil orang (yang budiman)

[Budiman daripada semua segi... Sempurna itu menjadi orang yang budiman itu bersinonim sesuatu yang fleksibel... menurut kaca mata atau pandangan]

Kadang kala mereka yang tidak melalui, hanya pandai menuding tanpa meletakkan diri mereka pada keadaan yang lain. Mungkin disebabkan pendidikan yang lebih baik, status yang lebih tinggi... mereka lupa bahawa rumput dan bumi yang dipijak itu adalah tapak untuk mereka berdiri. Bersyukurlah jika hari ini kita tidak kekurangan apa-apa, namun beringatlah mungkin kita juga akan kekurangan segala-galanya.

Buat adik-adik, ilmu yang banyak itu.... dan sijil dengan pencapaian tinggi itu, bukan ukurannya darjat manusia sebagai hamba Allah... Jika banyak solatmu tapi menunjukkan tindakan mu dan berpaling niatmu.... tiada pahala malahan dosa yang menokok... Jika banyak zikirmu dan fasih bacaan AlQuran mu tetapi angkuh ucapanmu dan mengadu domba, memfitnah dan mengumpat kebiasaanmu .... maka hilanglah amalanmu... dari ungkapan yang keluar daripada mulut yang sama... sewaktu berkata-kata kadang-kadang kita tidak sedar, natijah itu pula datang hasil ucapan yang sia-sia dan tanpa berfikir terlebih dahulu. Wallahualam.

Maka dengan segala yang tercatat di atas, semoga yang tersirat itu terungkap, semoga yang tersembunyi itu terserlah dan semoga yang tersimpul itu terlerai, InsyaALLAH..

Wassalam.

1 ulasan:

  1. Salam..

    Sedih rasanya membaca entri ini.. Memori tahun 1996 datang kembali.. Moga rohnya dicucuri rahmat.. Amin..

    BalasPadam