Selasa, April 21, 2009

SEKELUMIT MUHASABAH

Assalamualaikum.... Aku ingin mencatat sedikit tentang beberapa perkara yang berlaku dalam hidupku. Kadangkala sesuatu yang tidak terduga berlaku di hadapan mata, namun sukarnya untuk kita memahaminya. Buat aku yang serba kekurangan ini, banyak yang telah kulalui. Tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini bukan mudah. Amanah yang tertanggung hanya akan menjadi ringan dengan keikhlasan dan keredhaan.

Ada kekesalan di hati aku ini, menjalani kehidupan yang kadang kala sukar untuk dimengertikan. Aku terasa begitu kerdil sehingga untuk menegakkan sesuatu itu terlalu sukar bagiku. Bukan kerana nista atau maki yang akan diterima tetapi kerana simpati dalam diri yang meninggi. Aku sebenarnya tidak punyai kekuatan seperti oranglain.. penat melalui perjalanan ini dengan pelbagai kesakitan yang tidak dirasai oleh mereka. Kekurangan seseorang itu bukanlah untuk diperkatakan pada khalayak. Apakah menjadi kesalahan memiliki suatu perasaan kepada orang lain. Hanya disebabkan sesuatu perasaan itu seseorang itu akan begitu hina pada pandangan oranglain. Rasa keberkongsian kadang kala tidak wujud dalam ukhwah yang sering diuar-uarkan. Adakah ukhuwah itu hanya meniti di bibir tanpa hadir dalam hati?
Salahkah seseorang itu untuk mengasihi oranglain kerana kebaikannya.
Aku punyai kelukaan hatiku sendiri. Sedih melihat kaum sejenis ku diperlekehkan sedemikian rupa. Oleh kaum sejenis aku yang lain, yang berasakan diri mereka begitu baik dan hebat. Apapun yang berlaku ini menjadi gurisan luka dalam hatiku. Kesal kerana mereka yang sepatutnya membimbing tetapi membuka aib orang lain. Biah yang sepatutnya terbina dalam ukhuwah yang murni, pincang dek kekaguman kepada diri sendiri. Biarlah hal ini menjadi rahsia dalam diari hidupku.

Mungkin disebabkan tidak memiliki wajah secantik Siti Nurhalizah, potongan semolek Nasya Aziz, seseorang itu tidak cantik. Cantik itu bersifat subjektif. Di hatinya ada ketulusan, di bicaranya adalah kejujuran, dalam sinar matanya ada keikhlasan. Kita tidak perlu begitu hebat pada tanggapan manusia. Cukuplah kita mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang utuh dalam hati kita. Semoga kita akan begitu hebat di sisi Allah. Cukuplah sekadar kecantikan yang ada kerana setiap individu itu cantik dengan sesuatu yang tersendiri.
Seringkali kita melihat kekurangan diri pada orang lain. Kuman di seberang laut dengan jelas kita lihat namun besarnya gagah di depan mata, tidak dapat kita lihat. Kita kadang-kadang tidak melihat sesuatu yang salah di depan mata kerana ia dekat dengan kita...tentu baik kepada kita, seperti kita...kerana sifat mata itu melihat ke hadapan.. sedangkan ketika kita berjalan di muka bumi ini dan kita menundukkan kepala,kita akan sedar bahawa yang berada di dekat-dekat kita terlalu banyak yang tidak sempurna.Cukupkah kita menuding orang lain, sedangkan kita sendiri tidak pernah sedar segala sesuatu yang kita lakukan adalah salah. Selama mana kita perlu menjadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.....sedangkan jalan kita pun tidak pernah lurus. Bukan mudah untuk membetulkan orang lain jika kelingking kita sendiri sentiasa berkait.

Muhasabah ini sebenarnya untuk diri aku sendiri. Aku melihat segalanya daripada perspektif aku. Aku yang punyai banyak kelemahan dan kekurangan. Ketika aku bersujud di hadapan Kaabah, aku bermohon kepada kecintaanku, semoga aku bisa memelihara mulutku. Diam itu lebih baik daripada bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Namun mungkin hatiku ini lebih bergelora dan melonjak atas segala kebejatan yang berlaku di hadapan mata. Kebejatan yang kukira tidak wajar terjadi. Aku sering menjadi mangsa kebejatan itu... dan hatiku ini akhirnya meruntun suatu perasaan yang tidak aku senangi. Aku berasakan ia umpama satu penganiayaan yang begitu kejam. Penghinaan kepada kaum aku yang senasib aku. Namun aku kira maruah diri itu lebih penting daripada menikam kawan dari belakang, daripada menjadi gunting dalam lipatan... Berkata jujur itu lebih mulia daripada menjadi talam dua muka. Konon berselindung dengan segala kebaikan pada zahirnya, sedangkan hitam dalam hatinya. Aku kesal mengenali dia yang mempunyai sifat seperti itu. Ke mana nilai kasih sayang dalam hati yang disemai daripada sejak kita melihat dunia ini. Cuma doa aku, semoga akan ada kesedaran, akan ada penjelasan, akan ada suluh..... di hadapan kelak, biarpun bergerak perlahan, semoga akan sampai juga ke penghujungnya yang sebenar, yang sepatutnya. Demi cinta aku kepada saudara-saudara aku, kaum sejenisku....yang bakal menjadi pencorak generasi muka...nikmat yang kita miliki hari ini adalah yang fana', akan musnah dan hilang ketika sampai masanya. Hargailah nikmat ini ketika kita milikinya, semoga akan ada jalan bahagia di hujung yang menanti kita. Maafkan aku, kiranya catatan ini menyentuh mana-mana pihak yang kukira memahami isi kandungnya dan mengerti. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan