Selasa, April 14, 2009

KEKUATAN DALAM DIRI DAN NILAI KEIKHLASAN


Assalamualaikum..... Aku ingin 'berbicara' lagi.. Setelah sekian lama aku menyepi. Lebih tiga minggu. Mungkin kesibukan yang mengekang kehadiranku dalam blog ini beberapa waktu belakangan ini.
Kali ini aku ingin berbicara secara umum menyentuh aspek kekuatan dalam diri dan nilai suatu keikhlasan. Bukan mudah untuk mentakrifkan ukuran sesuatu yang bersifat abstrak itu, namun kadang kala tanpa memperlihatkannya kita akan dapat mengetahui ukuran nilai itu secara nyata.
Sebenarnya, aku sendiri tidak dapat untuk menghuraikannya dengan terperinci. Pembicaraan ini sekadar sesuatu idea, ilham dan illustrasi minda yang hadir. Bukan bermakna aku tidak pernah ingin mengkaji. Realitinya dalam kehidupan ini kita perlu melalui pelbagai cabaran, pengalaman yang mengajar kita mengerti dan menghargai kehidupan.
Teringat suatu kecilku.. ketika mendapat keputusan peperiksaan dengan kedudukan tempat ke 12 dalam kelas, aku menangis.....panjang dan tidak berhenti-henti. Emosi ku tidak stabil. Aku berasakan sekelilingku begitu membenciku...semua itu disebabkan itulah kali pertama aku gagal dalam mendapat tempat ketiga teratas dalam kelas. Selama itu...jika aku mendapat tempat ketiga aku sudah berasa sangat kecewa.. Inikan pula tempat kedua belas.
Aku benci nombor-nombor lain selain satu, dua dan tiga. Aku sentiasa ada pada kedudukan itu. Peristiwa inilah yang membuat aku menilai..beranikah aku untuk menghadapi kegagalan demi kegagalan jika ditakdirkan..Namun kini, telah banyak kegagalan yang kulalui...dan tidak kurang pula kejayaan yang kumiliki.
Aku berbangga mengetahui bagaimana rasanya berada di tiga tempat yang teratas itu dan aku redha dengan kegagalan-kegagalan itu jika itu takdirku. Siapa yang ingin kalah? Siapa yang ingin gagal? Siapa yang ingin hidup dalam kegagalan. Kata dia dan dia, ".....Usahlah dikau lari dari masalah, kekalahan, kegagalan dan kepayahan hari ini, kerana jika dikau tidak menghadapinya hari ini... dikau akan melaluinya lagi, lagi, lagi...berkali-kali sehingga dikau menghadapi kenyataan itu dan menyelesaikannya. Maka ketakutan dan kebimbangan akan turut berhenti setakat itu juga. Jika dikau menghadapi dan melaluinya..akhirnya menyelesaikannya...dikau akan tenang. Dan jika dikau menghadapi permasalahan yang baru, dikau telah punyai cara dan kaedah terbaik menyelesaikannya. Maka segalanya akan menjadi lebih mudah. Maka anakku kata dia, cucuku kata dia... jadilah berani. Berani bukanlah hanya dengan menunjukkan kegagahan, kehebatan, dan keunggulan... tetapi berani itu sebenarnya ketika menerima kekalahan, kelemahan, kegagalan dengan tenang dan sabar... dan membaikinya menjadikan lebih baik...biarpun kegagalan itu hadir berkali-kali. Jadilah berani dengan sebenar-benarnya kerana keredhaan Allah..."
Aku sendiri pun tidak faham...tidak pernah faham. Sehingga kini..kadang-kadang aku masih keliru. Cuma aku ada tafsiranku tentang berani itu...dan biarlah aku sahaja yang memahaminya daripada perspektif aku..
Keikhlasan itu juga padaku adalah keberanian. Berani dalam menerima sesuatu itu sepertimana yang ditakdirkan dan sentiasa berusaha itu memperbaikinya.
Kadang kala tertanya-tanya aku, bagaimana rasanya ikhlas itu sebenarnya. Sehingga kini masih lagi mencari-cari kebenaran ikhlas itu sendiri.
Adakah ikhlas itu ketika datangnya rasa bertenang dalam menghadapi kegagalan itu sendiri. Jika aku boleh menjelaskannya. Alangkah baik dalam hidup ini kita mengikhlaskan segala sesuatu yang kita terima dan berikan. Kepayahan dan kesukaran yang kita perlu hadapi. Bukankah manusia itu sentiasa dalam keterujaan yang sentiasa hidup dan mendambakan balasan atas segala sesuatu yang dihadapi. Bukankah manusia itu rakus. Adakah lagi pada akhir zaman ini insan seikhlas Bilal bin Rabah dan Rabiatul Adawiyyah. Berkorban dengan segala keikhlasan mencintai ALLAH? Berani kerana yakin dan ikhlas mencintai Rasullullah.
Aku tidak dapat menjelaskannya.. jika keikhlasan itu dapat diukur. Hanya pemilik keikhlasan itu yang mengetahuinya. Maka yang jelas dapat kusimpulkan, keikhlasan itu adalah suatu keberanian yang nyata... sehingga keberanian menerima kegagalan itu melambangkan keikhlasan mengharungi segala karenah kegagalan. Mereka yang berani disebabkan keikhlasan itu adalah pencinta yang sejati, jujur dan sentiasa yakin dengan cinta ALLAH rabbul Izzati..InsyaALLAH.
Inilah keberanian dan keikhlasan daripada perspektif aku yang cetek ilmu, dangkal pengalaman dan singkat fikiran.. semoga apa yang baik dari ALLAH itu akan sentiasa kita manafaatkan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan