Jumaat, Oktober 25, 2013

SEKADAR SEBUAH CATATAN

        Sekadar mencatat sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan sesiapa secara langsung atau tidak langsung. Sengaja mencatat untuk melegakan hatiku sendiri. Kerana jika tidak aku luahkan, ia akan berbuku dalam hatiku ini semakin hari, hati ini bakal membengkak. Dan aku tidak bimbang untuk mencatat di sini kerana aku akan cuba untuk menjaga aib semua yang terlibat itu. Hanya suara dan luahan hati ini yang mengetahui.

       Pelik bukan? Biasanya sewaktu aku mencatat aku faham dengan apa sahaja yang aku maksudkan... tetapi selepas beberapa catatan, aku sendiri kadangkala tidak faham akan apa yang tersirat dalam sesuatu catatan ini dan atas alasan itu aku menganggap catatan ini hanyalah coretan untuk melepaskan suatu bebanan emosi yang tidak boleh kusimpan kerana ia akan menjadi nanah dan pekung itu pasti membusuk.. faham bukan maksudku ini?

      Adakalanya manusia itu akan lupa tentang tanggungjawab sebenar yang dipikul akibat dimanjakan. 

Lupa bagaimana untuk membuat keputusan waima untuk diri mereka sendiri. 

Lupa untuk menjaga hati orang lain apabila kepentingan diri diutamakan. 

Lupa andai oranglain pasti terbeban dengan pelbagai masalah yang disebabkan oleh mereka. 

Lupa untuk memberikan perhatian tetapi mengharap keprihatinan orang lain kepada dirinya

Lupa bahawa dia yang perlu menjaga atau membimbing orang lain.
Lupa akan keperluan orang lain kerana kesenangan sudah dimiliki
Lupa untuk menghargai orang lain
Lupa mengucapkan terima kasih...
dan macam-macam kealpaan dilakukan.

               Malah semua itu membuatkan orang lain sakit dan perit, sedih dan hampa, kecewa dan dukacita, dan banyak lagi kemurungan berlaku. Yang hanya mereka ketahui adalah kebahagiaan dan kebajikan untuk diri mereka sendiri... Apabila kita bertanya adilkah semua itu? Maka mereka hanya akan menjawab, bukan urusan mereka.. Sememangnya manusia itu hilang pertimbangan... Kasihan mereka kerana tidak sedar mereka sengaja membuang orang-orang lain terutamanya yang dekat dengan mereka.

       Sikap mementingkan diri sendiri tanpa disedari itu sebenarnya lebih bahaya.. Cukuplah wahai dikau yang mendera orang lain demi dirimu sendiri. Tidak akan ke mana jika sikapmu terus-terusan begitu.  Rasa gembira atas kedukaan orang lain tidak akan berpanjangan.  
       Ketika membaca pelbagai bahan motivasi dan novel, aku sering tertanya-tanya wujudkah manusia yang memakai 'pakaian' ini.. Ngeri memikirkannya... dan aku sering berdoa untuk tidak menjadi lemah sehinggakan aku akan menganiaya mahupun menyulitkan orang lain. Aduhai hati, bertenang dan bersabarlah menghadapi semua ini. Jadikan kami yang sentiasa mendapat ikhsan daripada MU..
       Entah apalah yang ada dalam minda dan benak hatinya kerana sanggup melukai oranglain waima orang yang dekat dengan dirinya. Aku yakin bukan dia tidak tahu namun dia memang sering mengabaikan semua itu. Aku juga yakin dia mengerti akan segala-gala kesusahan, perasaan, keperitan yang dialami orang lain tetapi dia dengan sengaja untuk melupakan semua itu. Bertahun-tahun akhirnya hingga kini tiada penyelesaian.

       Aku sendiri pernah berasa marah dengan semua sikap yang ada itu. Tidak pernah mereka merasakan apa yang aku sedang rasai. Perasaan apabila kita bersungguh-sungguh membantu sehingga banyak kesulitan yang terpaksa kita lalui namun dia atau mereka itu hanya ber'goyang kaki' sewenang-wenangnya. Kita bertungkus-lumus melalkukan segala kerja-kerja untuk memastikan apa yang dikongsikan itu akan memberikan kebaikan kebahagiaan bersama sedangkan dia atau mereka itu hanya tahu untuk menuding jari dan mencari kesalahan orang lain. Tiada mereka tahu bahawa apa yang kita lakukan ini, waktu ini,  ruangan ini akan seterusnya memberikan impak pada masa-masa seterusnya.   Aku sendiri hairan kerana mereka atau dia masih meminta-minta sedangkan mereka  atau dia itu yang sepatutnya, malah umpama wajib untuk memberi. Ke mana perginya ketegasan iman di hati mereka. Tidak mungkin tiada langsung. Rasa insaf, rasa simpati... Mudahnya hidup macam parasit seperti pokok yang menumpang kepada pokok yang lain.. benda itu tiada akarkah... bagaimana jika hendak memaut jika tiada elemen untuk menghubungkan.  Pokok duit-duit misalnya... mungkin melekap kepada pohon yang besar maka sedikit sahaja ia menumpang segala keperluan sedangkan  ada pokok-pokok menumpang itu akhirnya membunuh pohon induk itu... Mengapalah mereka tidak memikirkan semua itu. Allah.... sedihnya hati ini! Disedarkan pun namun tidak mahu sedar-sedar...

       Hatiku ini sebenarnya sedih mengenangkan mereka sekelilingku ini tidak mahu berubah dari takuk lama yang mereka selesa sangat tunggu segala-gala mendatang dengan sendirinya. Apa lagi yang ditunggu sehingga apabila kita sedar, rupa-rupanya kita sudah terlambat. Aku sendiri selalu mendoakan kalian. Kita berubahlah walaupun sedikit sekali perubahan itu... walaupun terlalu murah harganya... namun apa yang kita kumpulkan itu pasti akan memberikan kesejahteraan buat kita. Hanya orang yang rugi sahaja yang tidak mahu berubah.. Sampai bila kita hendak menjadi orang yang sentiasa rugi dan serba tiada berbanding dengan oranglain.

        Sedarlah jika orang menyediakan segala-galanya untukmu dan kamu tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan semua itu dengan sendirinya, maka apabila pemberi itu tiada ... kamu akan hancur dan jatuh.. siapa yang akan membangunkan dirimu? Kamu sendiri... maka sedarlah selagi ada masa untuk berusaha ketika ini teruskan usaha untuk beredar daripada takuk lama yang sangat selesa itu. Hidup kita ini seumpama sebuah roda. apabila berpusing, terkadang kita di atas dan terkadang kita di bawah. Kegemilangan hari ini mungkin akan menjadi kemusnahan hari esok dan begitulah sebaliknya... dan semua itu akan  lebih memudaratkan apatah lagi jika hanya bergantung kepada ehsan orang lain.

       Hakikatnya, kita semua perlu tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kita mesti arif dengan segala apa yang kita ada. Memang ada yang mengatakan, kita selalunya tidak sedar akan keburukan diri sehingga ada orang lain yang memberitahu kita. Namun kita juga bukan bodoh untuk menilai dan menentukan hala tuju kita.. hala tuju untuk kebaikan diri sendiri mahupun orang lain.  Berfikirlah.... berfikir sesaat itu lebih baik daripada menunaikan solat sunat seribu rakaat. Dan berbuatlah sesuatu selepas itu... Setiap kali aku mengenangkan hal-hal ini aku sering memuhasabah diri... kenapa aku dibebankan dengan segala kerumitan ini. namun jauh di sudut hati ku ini, aku sentiasa bersyukur kerana dengan segala ujian ini disertakan nikmat dan hikmah pada akhir. 
      Memang aku selalu sedar akan segala-gala pengalaman yang aku lalui itu adalah ilmu yang sangat berguna dan membolehkan aku membentuk jati diri kendiri yang lebih tabah dan menjadikan aku lebih kuat. Indahnya lukisan yang Allah lakarkan buat diri ini...

      Semoga aku tidak alpa dengan kebaikan yang banyak aku perolehi selama ini... dan semoga mereka yang aku kenali mahupun yang sangat aku sayangi itu akan dapat membuka mata, membuka minda dan membuka hati mereka untuk berubah dengan ikhlas. Bukan kerana aku, bukan kerana orang lain... semoga kita bukan dalam golongan yang rugi selama-lamanya... biarlah lambat daripada tiada apa-apa yang berlaku. Cukuplah kita menganiayai diri sendiri dengan meletakkan semua yang kita punya pada bahu orang lain... Ya ALLAH, bantulah kami melalui dengan ikhlas dan semoga impak yang akan kami peroleh dapat menyenangkan dan menggembirakan semua yang ada di sekeliling kita.
         Buat kalian yang aku maksudkan, maaf kerana menyebutnya di sini... namun aku memang ingin kalian sedar dan berubah. Kita tidak akan rugi apa-apa pun. Semoga kita akan lebih baik dalam tegur-menegur, nasihat-menasihati, sayang-menyayangi... dan sentiasa saling memperbaiki diri dengan niat kerana Allah yang Maha Penyayang dan Maha mengasihani..

              Hatiku ini kian tenang. Memang terapi mudah jika kita boleh menulis ini. Namun bukanlah tiket untuk kita membuka aib orang lain. Kita ada adab dan tatasusila yang perlu kita amalkan dalam kehidupan kita ini.  Maka insyaAllah sikap baik itu akan menjadikan akhlak kita terpelihara sebaiknya.
            Aku pohon maaf jika ada yang membaca catatan ini lalu dia berkecil hati. Jika teguran ini kasar, ikhlaskan untuk menerima teguran ini secara positif.
Jika apa yang aku catat dalam laman ini menyakitkan hatimu, redhakanlah setakat kemampuan itu. Dan, sebagai seseorang yang mengerti, berubahlah untuk kebaikan dirimu sendiri...bukan orang lain. Muhasabahlah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan