Isnin, November 05, 2012

MENYELUSURI KERESAHAN HATI DENGAN KEKELIRUAN ...

     Hari ini aku hanya ingin mencatat tentang diri sendiri. Isu yang ringan dan mungkin tidak menyentuh sesiapa pun... Beberapa minggu ini, kesibukan melanda lagi.. Macam cuaca yang tidak menentu ini seringkali menyebabkan kelembapan otak untuk berfikir dan bekerja melunaskan peranan dan tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian sepenuhnya.
    Belajar, mempelajari dan mengajari... diri sendiri sebenarnya lebih sukar dan memerlukan ketekalan yakni istiqamah yang tinggi. Apatah lagi apabila kita menyentuh tentang kelemahan diri kita sendiri. Selalu sahaja kita tidak mengenali diri kita ini tatkala kita membicarakan sesuatu kelebihan yang kita miliki. Tanpa sedar, tanpa tahu ada kala ketika kita berbicara, kita mungkin membuka pekung dalam dada kita ini. Jenuh kita meletakkan kita hebat... yang entah manakah letak duduknya kehebatan itu sendiri. Ada kala kita sangat hebat menasihati orang lain tetapi tatkala apabila kita hendak menasihati diri sendiri, aahh... betapa sukarnya!
 
        Hidup aku sendiri misalnya, penuh dengan pelbagai kelebihan. Kelebihan yang telah ditutupi oleh kelemahan diri ini. Dan ketika aku menyedari kelebihan itu, aku merasakan bahawa betapa aku bangga diberikan kehebatan ini. 
  • Aku boleh memasak sesuatu makanan, masakan hanya dengan merasakan masakan itu.
  • Aku boleh menjahit sepasang baju tidur, skirt yang pelbagai fesyen pada usiaku menjangkau lapan tahun.
  • Aku boleh membuat ukiran daripada pelbagai bahan dengan baik dan cantik
  • Aku boleh melukis dalam pelbagai bentuk grafik, potret dan seumpamanya dengan cantik
  • Aku boleh bertukang untuk menyediakan pelbagai kegunaan, membuat pondok orkidku sendirian, membina perabot dengan agak baik.
  • Aku bisa mereka bentuk hiasan dan melakar pelan bangunan yang aku pelajari dalam beberapa hari.
  • Aku boleh mengubah pelbagai hiasan bungaan, termasuk gubahan hantaran dengan pelbagai idea dan hasil yang menarik.
  • Aku boleh menulis dengan baik dan merancang dengan pelbagai versi karya kreatif dan karya ilmiah.
  • Aku boleh membuat pelbagai kerja dalam satu masa....
  • BANYAK YANG AKU BOLEH LAKUKAN BERBANDING ORANG LAIN...  
       Dan, kesedihan aku itu tidak ada maknanya sekiranya aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawabku kepada Allah yang Esa.. 
       Dan, aku kesali tidak dapat melaksanakan tugasku dengan sebaik mungkin..
       Dan, aku tidak bisa mengutarakan impian dan melestarikannya dengan sebenar-benarnya.
       Dan, aku seringkali gagal mengawal emosi hati ini...
       Dan, banyak lagi kelemahanku ini; yang kadang kala aku gagal untuk menunaikan atau melaksanakan walaupun  sekadar tanggungjawab mudah yang diamanahkan kepada diri kita. 
        Pedih apabila mengenangkan kita sebenarnya tidak bisa untuk mengadili hidup kita dengan cara berhemah, bijaksana dan tertib. Sedangkan kita punyai banyak contoh dan teladan.. biarpun  bukan daripada pengalaman kita sendiri. Begitu diri aku ini. Berapa dangkalnya fikiran ini. Apatah lagi kita aku berada dalam pelbagai kekeliruan akibat keresahan hatiku ini. Apa sahaja yang aku lalui kadang-kadang terasa hambar dan mengecewakan. Keliru apabila sesuatu yang aku berikan seikhlasnya tetapi disalahertikan. Sehingga adakala keikhlasan itu punah dan tidak bermakna kerana perasaan marah dan kurang sabar dalam hati ini. Hancur usaha yang bertahun apabila sesuatu yang aku lakukan dengan ikhlas aku pertikaikan sendiri. Angkuh dan sombong begitu menguasai diri, dan amanah yang aku pegang menjadi ssesuatu yang begitu membebankan. Kita hanyalah manusia biasa yang sering melakukan kesilapan dan tidak sempurna, sehingga kita menjadi alpa dek hadirnya kesombongan itu dalam diri kita.

       Dengan kesempatan yang ada ini, aku mengharapkan agar keresahan dan kekeliruan dalam diri ini akan berlalu... maka aku sedar bahawa semua itu memerlukan pengorbanan yang besar dan aku perlu kuat untuk melaksanakannya.
       Hidup ini memang tidak akan selalunya indah, ada kalanya setiap sesuatu itu akan berlaku sekelip mata. Maha Hebat Allah itu menyusun hidup kita agar berfikir, bertindak, bermuhasabah, menyelidiki.. seterusnya membetulkan kesilapan yang pernah kita lakukan. Siapakah kita untuk menentukan dan menetapkan takdir mengikut kehendak kita ini. Biar sekalipun hati itu ingin, namun semuanya terletak di tangan Allah. Betapa kita menolak, jika takdir itu memihak kita.. pasti semua akan berlaku seperti dikehendaki Allah. 
        Siapalah kita ini, namun Allah sangat menyayangi kita dengan memberikan dugaan dan ujian. Memberikan mengikut kemampuan diri seseorang itu. Apalagi jika kita sedar, rasa sayang, kasih, dan cinta yang Allah berikan itu akan sentiasa menjadikan manusia yang sedar dan bertaqwa. Namun kebanyakan kita dan terutamanya aku selalu berasa marah dan kecewa dengan segala ujian dan dugaan itu. Ke mana redanya kita akan ketentuan itu. Sehingga menimbulkan kekeliruan dan keresahan yang tidak ada penghujung. Dan akhirnya kita tersiksa sendirian.. maka sekiranya ketika itu kita masih ingat, semoga kita akan dapat kembali kepada dengan ikhlas, biar terlambat sedikit daripada tiada... sekurang-kurang taufik dan hidayah Allah sentiasa menghampiri kita maka ketika itu semoga kita tidak akan lupa untuk bersyukur kepadaNYA kerana menyayangi diri kita ini.
 
      Hari ini aku bersembang dengan kawan-kawan, membuang masa yang aku ada dengan kawan-kawan... betapa memang aku kerugian kerana aku terjerumus dalam kancah itu biarpun aku tahu bahawa segala yang aku lakukan itu salah, malah menambah dosa pada diri ini. Ya ALLAH, ampunkan diri ini yang kembali keliru... sehingga keresahan yang aku alami ini tidak mahu hilang daripada minda dan perasaan. Bersalahkah aku? Jawapan yang ingin aku berikan sendiri, sememangnya aku bersalah. Memperkatakan tentang orang lain dan melihat kelemahan orang lain menjadikan aku bertambah resah dan keliru. Kelemahan orang lain yang diperlekehkan. Mungkinkah di belakang aku seringkali mereka membincangkannya dan menyelitkan banyak fitnah dan kejian. Aku sedar sesiapa sahaja yang diperkatakan oleh kami tadi, perlu mempertahankan diri mereka. Aku menjadi sebak tiba-tiba apabila mengenangkan diri ini yang sudah menjangkau ukuran tua, lanjut usia tidak sedar atau sengaja tidak sedar akan kesilapan ini. Aku menyedari hal ini ketika duduk bercerita perkara lagho bersama-sama mereka  tetapi aku tidak memilih cara dan kaedah betul menghentikan tindakan itu. Ya Allah berdosanya aku.. jika ada kekuatan dan keizinanMU, aku ingin membetulkan keadaan itu sebaiknya. Semoga keresahan dan kekeliruan hati ini semakin merudum dan akhirnya punah.

      Langit tidak selalu cerah, hari ini hari dia... namun tidakkah akan sampai hari kita diperkatakan sedemikian. Selama mana aku perlu menanti untuk meniti siratulmustaqim jika aku hari ini tidak dapat menyelesaikan semua. Jika dengan memohon kemaafan akan membuat keresahan dan kekeliruan aku hilang, maka aku sanggup mengakui kesilapan itu. Apa salah merendahkan diri sedikit demi mendapat kemuliaan di sisi ALLAH yang  Berkuasa dan Maha Penyayang. 
       Aku juga merasakan bahawa kita sememang selalu khilaf, menyedari kekhilafan itu namun terlalu pula ego untuk mengakui kelemahan itu. Manusia, ingin yang sempurna hakikatnya terlalu banyak rasa keegoan dalam diri sehingga tidak boleh untuk mengakui bahawa kita ini terlalu hina, diangkat oleh ALLAH ke tempat yang lebih baik dan meletakkan kemuliaan berpihak kepada kita berbanding makhluk Allah yang lain. Dan kita seringkali tidak mahu juga bersyukur dengan segala pemberian itu. Allah, lemah kita... lebih tepat aku ini dalam menangani segala-gala ini.  Sedangkan sebenarnya kebahagiaan itu adalah datang daripada reda Allah kepada hambanya.
 
     Aku pernah terperangkap dengan fitnah yang menyakitkan... tetapi entah mengapa ketika ini aku hampir lupa akan kesakitan itu. Mungkinkah kerana aku telah memaafkan? Aku keliru... suatu masa dulu, kesakitan itu membentuk dendam yang berpanjang dan mendalam dalam hati ini... Aku masih ingat aku pernah berkata, aku tidak sesekali akan memaafkannya...apa yang aku lakukan hanyalah kerana menjaga hubungan sesama manusia agar aku dapat menjaga hubungan aku dengan ALLAH.. dan ketika ini Allah menjadikan aku lupa dengan dendam dan kesakitan. Biarpun aku berazam namun segala-gala kesakitan itu semakin pudar dan terus hilang perlahan-lahan. Mungkin Allah mentakdirkan segala itu untuk mengajar aku erti kemaafan. Alhamdullillah, kemaafan itu akan menyusul kerana aku lupa rasa sakit itu. Fitnah yang menjadikan aku ini sedar bahawa aktiviti itu menjadikan aku semakin bodoh dan berakhlak rendah, sedangkan dalam doaku, aku panjatkan agar menjadi insan mulia di sisiNYA.. aku yakin doaku itu telah dimakbulkan biarpun segala-galanya itu beransur secara perlahan-lahan. Terima kasih Allah, kerana melenyapkan kesakitan dalam hati ini. Semoga ukhuwah itu akan tertaut dengan utuh dan bermakna.
 
       Sejak beberapa hari ini Allah memberikan isyarat buatku. Menemui seseorang yang tidak aku kenali, muncul dalam mimpi-mimpiku... dalam pelbagai cara, namun aku percaya setiap isyarat yang Allah berikan dan ilhamkan kepada aku pasti bersebab. Aku melihat dia dalam mimpiku, resah aku menanti kehadirannya dalam nyataku. Hatiku menjadi rindu kepada dia...walaupun tidak pernah aku kenali dia. Semoga isyarat itu benar. Resah hati ini menjelang mimpi-mimpi menelusuri lenaku namun aku pasti ada sesuatu yang akan ALLAH berikan kelak. Dan kini aku akan terus menanti kehadiran yang telah ditentukan Allah, jika segala mimpi itu adalah ilham yang benar. Biarpun orang akan menyangkal kebenaran itu, aku pasti Allah telah memberikan aku petanda pada masa yang aku rasakan benar... Masa berlalu ini, aku kesali.. dan melalui ilham yang menimbulkan keresahan hati ini, pastinya akan merubah kehidupanku kelak. Aku akan sentiasa reda jika itu ketentuanNYA. Keresahan dan kekeliruan ini akan berlalu... bila dan bagaimana? Aku sendiri tidak mengetahuinya...
 
      Cukup rasanya aku membahagiakan orang lain dengan berkorban untuk mereka. Bukan aku berputus asa namun demi rasa sayang aku kepada mereka, mereka perlu belajar untuk berdikari, membuat keputusan sendiri, melaksanakan tanggungjawab dengan rasa integriti dalam diri. Aku bukan sombong, namun aku ingin mereka berasakan kebertanggungjawaban terhadap diri mereka sendiri. Aku resah dikatakan kejam.. aku keliru untuk meneruskan namun setiap apa yang berlaku itu pasti bersebab... maka didetikkan oleh ALLAH dalam hati ini untuk memberontak dan mempertikaikan. Diberikan sedikit kekuatan untuk meneruskan... dan, kerana aku menyayangi serta tidak ingin menjerumuskan diri dalam kekalutan dan kealpaan yang lebih besar, aku terpaksa kejam menyakitkan dan menimbulkan persoalan dan keresahan itu. Kejamnya aku hari ini diharapkan akan memberikan kemaslahatan pada masa akan datang. Demi petunjuk yang sering aku terima belakangan ini, aku perlu bertindak... memberikan ingat dan sedar akan segala kemungkingn yang bakal mendatang. Semoga niat aku ini tidak akan disalahertikan..
 
           Keresahan ini mungkin belum hilang namun akan tetap hilang juga. Akan tiba masanya, aku terpaksa meninggalkan biarpun betapa aku sayang, dan jika tiba waktu itu aku harapkan semua pihak sudah siaga dengan ketentuan takdir itu. Semoga ada takdir menemukan aku dengan wajah dia dalam mimpiku itu. Dia yang dipersembah akan membimbingku ke jalan bahagia dan diredai oleh ALLAH. Aku harus yakin bahawa ALLAH sering memberikan aku petunjuk benar biarpun hanya aku sahaja mengerti dan mendapat bukti. Jika sudah sampai takdir itu, aku reda akan siapa sahaja yang diberikan olehNYA menjadi pendampingku... aku tidak pernah cemburu dengan kebahagiaan oranglain, namun aku seringkali cemburu dengan kesakitan orang lain. Aku yakin dia yang diisyaratkan kepadaku itu adalah yang terbaik buatku biarpun aku belum mengenali dia. Allah memberikan isyarat dan pasti Allah akan memberikan jalan. "Cukuplah Allah bagiku", dan semoga aku terpelihara daripada kekufuran... Amin. Pergilah keresahan dan kekeliruan... kerana cukuplah ALLAH bagiku...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan