Isnin, November 05, 2012

Arrora Salwa - Ahmad With Lyric HD : Suatu Konspirasi, kebetulan, atau kekangan,,


          Entah apa yang mengusutkan fikiran aku ini apabila menyebut suatu nama ini... nama ringkas yang memberikan satu tamparan agak mengesankan dalam hidup ini.  Mengenali lebih 20 tahun lalu menjadikan aku seorang yang 'kacau'... tidak pernah terfikir sedikit pun nama ini akan muncul lagi dalam hidupku ini dan memberikan impak besar dalam perjalanan hidup ini. Ah, banyaknya kemungkinan yang mendatang tanpa ku duga memberikan tamparan rasa yang pelbagai dan amat sukar untuk aku gambarkan. Dan hari ini fikiranku agak kuat kepadanya... sudah beberapa waktu ini, dia menyepikan diri dan menjauhkan dirinya. Aku? Senang sekali begitu cuma beberapa waktu ada kala aku terlena dalam ingatan kepadanya. Bukan aku sengaja mengingatinya tetapi dia 'hadir' tanpa aku pinta. Menerjah ingatanku kepadanya beberapa waktu bersama rasa rindu dan getaran jiwa yang tidak menentu. Akukah yang rindu, atau sememangnya dia yang merindui aku ini. Kata orang tua-tua yang lebih berpengalaman, jika kita tiba-tiba merindui dan  mengingati seseorang, biasanya dia juga sedang mengingati kita..Wallahualam...

                     

           Bicara aku hari ini tentang D'AD, yang pernah hadir dalam hidup ini. Prinsip hidupku, seupayaku mengelakkan hubungan dengan suami orang. Membina kebahagiaan atas penderitaan orang lain sungguh menyakitkan. Biarlah kita membina kebahagiaan itu secara sendirinya, mendapat doa dan restu daripada semua pihak.  Sewaktu dilamar oleh salah seorang pelajarku, aku tersenyum... hidup ini sememangnya tidak terduga. Menjadi isteri ketiga bukan juga harapanku. Atas dasar kasihan, anak muridku itu bertanya kepadaku seikhlasnya. Jika aku bersetuju, kedua-dua ibu dan mamanya akan bertemuku untuk meneruskan agenda seterusnya.  Mulianya hati mereka, namun relakah hati ini menerima ketentuan itu. Tidak kerana pada waktu yang sama, hati ini telah mengarah kepada 'Abid dan pada waktu itu juga D'AD sedang menyusun janji buatku. Aku tidak tamak dan akhirnya kesemua mereka tidak ditakdirkan buatku.
        D'AD, aku tahu tidak akan seorang pun daripada mereka; yang berkait dengan dia, mahupun dia sendiri akan membaca catatan ini. Bukan aku takut jika dia tahu namun aku yakin hati mereka akan terluka kerana ini. Bukan niatku membuka pekung di dada. Aku cuma ingin menjelaskan kepada pihak yang satu lagi, berkawan dengan D'AD bukan berserta niat yang serong, apatah itu menyakiti hati orang lain yang mengasihinya. Semoga mereka akan faham.
       Aku mengerti kesakitan itu.. kesakitan apabila kasih sayang itu dikhianati atau dikongsikan bersama orang lain. Namun cinta itu tidak semestinya berakhir dengan sebuah penyatuan dalam perkahwinan. Dalam aku mengasihi 'Abid contohnya, tanpa bersebab dan bersyarat dan tidak juga mengharapkan dia membalas segala kasih sayangku kepadanya. Sama ada ini cinta atau bukan, aku sendiri tidak pasti.. namun aku akan bahagia selagi 'Abid dan pasangannya bahagia. Tiada sempadan untuk menghalang aku mengasihi sehingga kini. Aku selalu inginkan dia bahagia dunia dan akhirat bersama jodoh yang ditakdirkan untuk dia. Cukup bagiku kebahagiaannya itu. 
     
      Berbeza dengan D'AD... aku begitu menyenanginya dan sikap kepimpinan dan keterampilan sebagai lelaki yang hampir sempurna. Mengasihinya dalam erti kata mencintai seorang sahabat. Cuma mungkin kerana dia milik seseorang yang bergelar isteri dan statusku sebagai seorang andalusia, meletakkan persahabatan itu sebagai satu penghinaan buat diriku. Hanya mereka yang ada dalam lingkungan sejarah hidup seperti aku ini akan memahaminya. Mereka akan tahu dalam hati seseorang seperti aku juga ingin memiliki kebahagiaan hidup, menjadi isteri atau ibu kepada sebuah keluarga harmoni dan bahagia. Dan bukan pula aku ingin membina kebahagiaan atas keruntuhan dan penderitaan orang lain. Jika aku tamak, sudah lama aku merebutnya.  Berapa kali yang melamar dan ingin berkenalan, berkawan rapat denganku itu suami orang, tapi bahagiakah kelak kita jika dalam membina kebahagiaan itu kita menghancurkan hati yang lain.     
 
       D'AD  seseorang lelaki tegas dan aku dapat merasakan dia seorang yang ikhlas dalam bersahabat. Sentiasa inginkan kebaikan untuk orang lain. Orang yang sentiasa menjadi tempat rujukan orang lain. Menggembirakan insan-insan di sekelilingnya... D'AD, menghubungi pada kali pertamanya pada tahun 2005-2006, aku tidak berapa ingat tentang itu. Suatu malam apabila aku menjawab panggilan, dia bertanya "You tak kenal I, lagi? Maklumlah I bukan orang yang mendapat perhatian you.." kata-kata yang sebenarnya begitu menghairankan aku.. Memang sewaktu belajar, kami jarang berurusan dengannya. Jika aku tidak berkawan dengan rakan-rakan sekelas dengannya yang amat baik denganku, mungkin aku tidak akan mengenalinya sama sekali, biar pun mungkin selama atau sepanjang 3 tahun 6 bulan kami menimba ilmu. Tidak pula banyak aktiviti yang melibatkan aku dan dia. Kami tidak ramai ketika itu, dan entah kenapa dia menghubungi aku lantas bertanya seperti aku sangat baik dengannya serta boleh mengenalinya melalui suara. Aku seorang yang pasif ketika belajar dahulu. Tidak seperti mereka yang sangat aktif.. Terkongkong pergaulan dek ajaran bapak.. Sememangnya apabila aku keluar ke mana-mana sewaktu usia muda aku pasti ditemani oleh abang atau adik lelaki. Tidak tahu kenapa.. untuk aktiviti petang pun aku ditemani oleh abang saudaraku yang bertugas sebagai guru di sekolah tempat aku menuntut ilmu. Dan kadang kala  bapa sendiri menjadi teman... atau seorang dia yang pertama dalam hidup aku itu,akan mengambil dan menjemput. Sementelaah kerana ZAKI Malasie yang seorang itu juga, pergaulanku terbatas.
 
          Sejak malam itu D'AD menelefon agak kerap dan biasanya menjangkau jam 11 malam atau lebih. Bicara syahdu dan menenangkan hati... sedang dalam masa yang sama, aku punya 'Abid sebagai lelaki yang aku dambakan dan aku kejar, biarpun dia tidak pernah melayanku. Apabila aku bertanya status D'AD ketika itu tidak pernah dia menjawab tentang itu dengan tepat. Sehingga aku mendapat perkhabaran bahawa dia berstatus duda. Puas aku bertanya kepada sahabat-sahabat di utara sana, namun tidak ada seorang pun antara mereka memberikan jawapan yang tepat. Waima kakak serumahku dahulu yang sangat menyayangi dan disayangi aku. Ketika aku tidak sedar itu, akhirnya hakikatnya aku dibelenggu oleh rasa bersalah yang banyak kini. Ketika itu, hatiku ada pada si 'Abid tetapi perhatian dan ruangku banyak kepada D'AD. 'Abid dan D'AD tidak akan pernah akan berkawan, apatah lagi jika aku menghantar sms untuk 'Abid dan berkisah tentang D'AD.. Mereka pemimpin parti politik yang berbeza.. berlainan aliran. 'Abid seorang muda yang berwawasan tinggi.. D'AD lebih matang dan masih seperti 'Abid, pemimpin hebat. Dalam dua-dua hala tuju, dunia dan akhirat. Kedua-dua mereka aku kenali sebagai imam yang boleh memimpinku. Namun semua itu hanya tinggal kenangan kini... dan bagiku mereka tetap hebat pada tempat mereka masing-masing. 

       Namun kegembiraan aku ketika itu hanya sementara, apabila aku sering mendapat panggilan misteri dan mendapat beberapa sistem pesanan ringkas yang cuba mengalih perhatianku daripada D'AD... Entah siapa yang cemburu walaupun ketika itu aku baru mengetahui hakikat diri D'AD berstatuskan seorang suami dan bergelar Dato'... itupun setelah Datin mengirimkan beberapa kad hari raya ke kampungku, ke tempat kerjaku dan ke rumah kediamanku. Sedih, kerana selama itu aku menyulam kasih dan rasa sayang bersama seseorang yang masih milik perempuan lain. Beberapa panggilan aku sambut, dan aku sedar aku disiasat. Mungkin baiknya hanyalah 'serangan' itu tidak bersama sumpah seranah.  Cukuplah ini kali keempat aku diugut oleh seseorang yang bergelar isteri. Hina sangat agaknya aku ini kerana sering terjebak dengan suami-suami orang. Aku akur dengan takdir ini. Tetapi memang mungkin aku ini seorang perempuan yang tamak, aku mengasihi 'Abid dan dalam masa yang sama aku sangat prihatin dengan D'AD. Aku kecewa dengan beberapa orang kawan yang tidak pernah menghalang perhubungan aku dengan D'AD, biarpun mereka tahu siapa D'AD.



        Apa kelebihan D'AD berbanding 'Abid? Cuma kerana usia mereka sahaja sebenarnya aku dapat menerima D'AD walaupun aku sangat mengasihi 'Abid yang masih muda ketika itu. D'AD setahun dua daripadaku sedangkan 'Abid muda lebih 8 tahun. Aku dapat menjangka kenapa kakak yang aku sayang di utara itu sering menasihati aku untuk tidak terus mengejar 'Abid tetapi lebih rela membiarkan pembohongan tentang D'AD agar semuanya lancar. D'AD sememangnya mampu beristeri lebih daripada satu. Namun ada rasa ralat kepada kakak angkatku itu dan suaminya yang merahsiakan segala-galanya daripada itu. Selain kad ucapan itu aku mengetahui siapa D'AD yang sebenarnya kerana terbias dengan rajuk dan marahnya kepada aku kerana tidak mahu berjumpa dengannya, ketika aku ke utara dan ketika dia turun ke Lembah Kelang ini. Sesungguhnya dia tidak mengetahui bahawa aku tidak pernah ingin atau bersedia untuk keluar dengan mana-mana lelaki sewenang-wenangnya. Aku ada prinsipku sendiri. Biarpun orang kata tidak ada salah untuk bertemu... Bagi aku ini, pertemuan antara dua orang yang ada hubungan perasaan atau tidak berdua-duaan tidak wajar dan sentiasa akan salah terutama di sisi Islam. Tiada istilah dating bagiku.. Semua itu mengarut, dan D'AD mengamuk kerana itu... Apa yang dapat aku lakukan kerana aku berada di Pantai Timur ketika dia menyusul dan mendesak aku bertemunya. Maafkan aku, dan tiada pula kekesalan dalam diri ini kerana menimbulkan kemarahan dan kekeliruan itu padanya. Biarlah dia mengatakan aku ini sengaja mendera hatinya, sebab aku memang tidak mahu bertemunya... dia milik orang lain. Tiada salah aku bersikap sombong dan menolak, kerana dia terlebih dahulu membohongiku. Ketika di utara, aku meminta dia membawa keluarganya bertemuku namun kemarahannya juga yang aku terima. Tidak mengapalah sebab dia sebenarnya tidak mengenali aku sama sekali. Dahulu dia tidak pernah rapat denganku ini, hanya beberapa tahun itu D'AD merupakan orang pertama yang akan mengucapkan selamat dan kata rangsangan buatku untuk apa sahaja kegembiraan dan keraian. Terima kasih D'AD kerana keperihatinan itu.


        Sepertimana  bersama 'Abid. ZAKI Malasie, ABB, ABY dan juga lelaki yang kupanggil D'AD, aku sememangnya meletakkan diri aku sebagai seorang yang memang suka berperasaan sendiri dan seorang yang bertepuk sebelah tangan. Kasih sayang dan cinta itu tidak boleh dipaksa. Sepertimana yang 'Abid katakan bahawa cinta yang sebenar itu adalah selepas perkahwinan. Tautan naluri dan gerak rasa yang agak akrab antara aku dan dia, tidak sesekali melekakannya.. malah dia sering menolak aku.. kerana katanya seorang lelaki sekuat mana sekalipun imannya tidak akan terkecuali kalah kepada godaan seorang bernama perempuan... dan sebab itu aku akur dengan segala-gala kata-katanya, dan dia mengotakannya. Semua mereka menggunakan ayat yang hampir sama ketika 'meninggalkan' aku.  Mereka bukanlah yang terbaik buat aku ini.. dan semoga aku akan dapat mencari seseorang yang lebih baik daripada mereka.  Semua mereka sangat baik, entah yang baik bagaimanakah lagi akan mendampingi aku. Hingga kini, aku tiada jawapannya. Mereka yang aku sayangi itu sememangnya insan-insan yang baik, tetapi aku bukanlah wanita yang baik untuk mereka.  Sementelaah aku mengingati D'AD ketika ini. Aku redha dengan apa yang ada di hadapanku ketika ini. Terima kasih kerana ruang yang D'AD berikan buat aku ini. 


        Aku mencatat kali ini kerana aku telah beberapa kali terjaga dengan menyebut namanya meniti di bibirku. Aku sedih kerana aku mengingatinya ketika ini. Aku rindu? Mustahil.... kenapa setelah beberapa lama dia mendiamkan diri, baharu ada rasa rindu dalam hatiku ini. Atau seperti persoalan awal yang aku ungkapkan, mungkinkah dia yang merindui aku ini.  Aku meluahkan rasa hati ini, bukan untuk meletakkan diri aku dalam keaiban atau merendahkan maruahku ini. Seperti kata 'Abid, seorang muslimah itu perlu menjaga maruah dirinya walaupun melalui pertuturan itu.  Aku cuba menjaga bicaraku ini agar bukan tergolong dalam katogeri orang yang rendah jati dirinya. Aku mencatat kali ini, kerana merasakan aku ingin berkongsi sesuatu. Maruah perempuan seperti dan senasib aku ini sering diperlekehkan. Ada yang di luar sana melihat insan seperti aku, sebagai seorang yang tidak tahu malu, mengambil apa sahaja kesempatan yang datang, dan mencari peluang untuk menggarap apa sahaja depan mata. Aku ingin melahirkan rasa kekesalan itu... biarpun tiada sesiapa yang mendampingi aku ketika ini aku masih bertekad menjauhi kemungkaran. Menjauhi larangan Allah.

          Ketika seorang isteri menelefon dan menyelarku sebagai orang yang tidak tahu malu, hatiku ini merintih.... beberapa waktu aku melarikan diri daripada kaum berlawanan untuk memujuk hati sendiri. Sedangkan aku tidak pernah mendekati suaminya pun... sakit jiwa atau perasaankah isteri itu. Selama ini aku tidak menghalalkan sebarang perhubungan terlarang, tidak membenarkan orang yang tidak sepatutnya mendekatiku... tetapi masih lagi golongan seperti aku ini sebagai hina. Sekurang-kurang aku tidak pernah bercerai berkali-kali dan berkahwin selepas edah dengan lelaki yang berbeza.. aku masih tahu mana salah, mana betul.. Ada ketikanya kita silap menelah... Sepertimana yang berlaku antara aku dan D'AD.. aku berusaha untuk tidak mendekatinya lagi... mungkin memang ada rindu itu kerana aku menyenanginya, tetapi itu tidak bermakna aku akan merampasnya daripada yang lebih berhak. Tidak bolehkah jika aku dianggap kawan sahaja oleh D'AD dan keluarganya. 
         D'AD, beberapa hal yang telah melukakan hatiku ini membuatkan aku lebih tabah untuk mengharungi masa depanku tanpa sesiapa di sisiku. Aku menerima ini dengan reda sebagai takdir yang ditentukan dalam hidup ini. Dan aku ingin memohon maaf jika ada yang aku sakiti hatinya, dan diganggu hidupnya.... aku sedar diri ini dan maafkan aku sekiranya aku terlalai..

       Aku tidak mampu untuk menjaga hati semua orang, maka dengan mencatat ini aku dapat menjaga hatiku ini... bebanan dalam hati ini sememangnya aku rasakan berat. Selagi aku menjadi gangguan dalam hidup sesiapa sekalipun, hatiku ini tidak akan tenang. Ikhlas aku memaafkan mereka yang pernah memberikan aku hadiah sepotong nasihat yang pedas untuk mengingatkan siapa diri ini. Dan aku juga mohon maaf menyebabkan ada kalangan kenalan yang menganggap aku sebagai perempuan tidak tahu malu dan takut mendekati aku, kerana aku dikatakan sebagai penggoda yang bertindak secara diam-diam cuba mencari peluang mencuri hati-hati mereka terutama yang bergelar suami itu. Semoga Allah kuatkan hati ini melalui dugaan ini. Aku pernah mendengar kata-kata seorang ilmuwan, bahawa setelah aku berusaha mencari jodoh dalam keadaan memelihara maruah diri tetapi tidak bertemu di dunia ini, maka di akhirat nanti kekasih Allah, Muhammad SAW akan menanti kehadiran wanita itu. Cukuplah dengan keindahan itu... "Cukuplah juga Allah bagiku ini sebagai pelindungku.."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan