Isnin, Mac 19, 2012

BENARKAH KITA SERING 'MELIHAT' SESUATU DI HADAPAN KITA SECARA SEDAR????

Sudah lama aku tidak mencatat di ruangan ini..dan kali ini aku ingin mencatat sedikit pengalaman yang berlaku dalam sekitar hampir 7 minggu aku tidak menjejaki ruangi ini.
          Rasullullah S.A.W ada bersabda yang antara maksudnya:  "Rebutlah LIMA PERKARA sebelum datangnya  LIMA PERKARA. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati.” - (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
        Aku ingin mengambil intipatinya, sedang dalam hidupku ini seringkali terlupa pesanan baginda kepada umatnya termasuk diriku ini sendiri. Dan aku yakini memahami sesuatu hadis itu penting dan bermanafaat, selain melahirkan rasa cinta kepada baginda Rasullullah SAW sendiri. Maka hal inilah yang aku alami sekarang. Keadaan yang meletakkan aku sentiasa tidak punya cukup masa dan ruang untuk orang-orang terdekat waima diriku sendiri. Maka dengan kesibukan yang melanda itu, aku mencuri-curi masa untuk menulis di ruangan ini hari ini. Namun sebenarnya aku mengerti dan sedar pasti ada yang tersembunyi di sebalik semua yang tersurat dalam hidup ini.
       Cuba lihat gambar pertama yang aku paparkan dalam laman blog ku ini.. jika sedar ada yang tersirat di sebaliknya awanan yang kurakamkan ini. Aku merakamkannya ketika memandu pulang dan angin sudah bertiup kencang berserta langit yang mendung.. menanti untuk merembeskan kelebatan titisannya. Aku melihatnya dari jauh dan imbasan demi imbasan berlalu sehingga menjadi ke bentuk yang aku rakamkan. Entah apa rahsianya.... semoga memberikan ingatan dan kebaikan di hatiku ini... sentiasa ingat bahawa telah banyak ingatan, mungkin sekali amaran yang dilontarkan ke dalam hidup kita yang seringkali kita abaikan..

        Di kesempatan yang ada ini aku ingin memperkatakan beberapa insiden yang berlaku di sekeliling angkara sifat sombong akibat ketakjuban kepada diri mahupun apa sahaja yang dimiliki ini, walaupun tanpa sedar sebenarnya semua itu hanyalah pinjaman buat kita. Manusia itu sering lupa... dan Allah sering mengikatkan kita melalui firmanNYA dalam surah Ar Rahman secara keseluruhannya yang bermaksud : "Dan nikmat manakah yang engkau dustakan?.....".

Allah SWT berfirman dalam Hadis Qudsi: “Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam.” (Riwayat Abu Daud).

        Aku sering mendengarnya, malahan aku sering mengingati firman ini sejak kecil dan aku juga sering melihat akibat dari mengambil sifat Allah yang kemudiannya dijadikan selendang miliknya; akhirnya membawa kemudaratan kepada 'pemakainya'. Allahu Akbar, semoga kita dijauhkan daripada kemurkaan Allah...

Entah mengapa kadang-kadang ilmu membuatkan seseorang itu lebih angkuh. Pengikhtirafan pada sijil telah menukarkan seseorang menjadi ujub kepada diri sendiri.. sedangkan semakin berilmu seseorang itu akan mengikut seperti resmi padi..'semakin berisi, semakin merunduk' bukan semakin menjadi hidung tinggi.  Hal ini kerana ilmu itu akan menyedarkan kita ini betapa kita ini sebenarnya sangat kerdil dan terlalu daif jika dibandingkan kewujudan ilmu yang sebenarnya ada di dunia ini. Yang kita miliki itu tidak lebih daripada setitis air daripada air laut yang ada di dunia ini. Kelebihan ilmu itu adalah untuk membolehkan kita meneroka kepada bidang ilmu yang lebih baik.. agar kita terus beribadah menggunakan segala ilmu yang kita miliki itu. Tetapi malangnya tidak banyak yang menyedari hakikat itu apabila berada di puncak kegemilangan hidup. Apalah yang hendak dibandingkan orang lain sedangkan kita milik ijazah kelas pertama, mempunyai sarjana tertinggi dan memiliki sarjana kedoktoran yang terbaik. Malah dengan pengikhtirafan itu, kita dibuai dengan rasa takjub akan kehebatan diri itu yang telah kita miliki dan tidak dimiliki oleh orang lain.

      Antaranya ciri-ciri kesombongan itu seperti yang dipetik daripada:  http://www.usahataqwa.com/rohaniah/sombong yakni :

Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong? Di antaranya:
1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur, pangkat atau lain-lain lagi.
2. Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan dua hala, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah.
3. Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang satu ‘level’ atau sama taraf dengannya. Manakala dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya, dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level dengannya pun masih dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati kata-katanya. Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk sama atau semajlis dengannya.
4. Memandang hina pada golongan bawahan.
5. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.
6. Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut cakap orang lain.

7. Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang itu.
8. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya. Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.
9. Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik, dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpat-umpat.
10. Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf. Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf. Bahkan dia tidak mengaku bersalah.
11. Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain.
12. Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila orang itu tersilap.
13. Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara halus.
14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu.
15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah serta membenci orang.
16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai pemberian orang lain.
17. Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan diri.
18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain.
19. Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain.

20. Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentak-hentak kaki atau berjalan membusung dada.
21. Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut dengan orang itu.
22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu orang.
23. Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.
24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat tidak tahu atau cuba mempertahankan diri supaya orang menganggap dia tidak bersalah.
25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang lain.
26. Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya. Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa bangga dan senang hati.

       Apabila melihat katogeri perbuatan yang melambangkan kesombongan itu.. aku juga tidak lari daripada beberapa sifat atau ciri-ciri manusia sombong yang disenaraikan. Apa yang boleh aku lakukan ialah melakukan transformasi diri ke arah yang lebih baik dengan menghindarkan sebaik mungkin daripada semua ciri yang disenaraikan itu. Juga doaku buat rakan-rakan sekelilingku yang sedang dibelenggu oleh kesombongan itu.. sehingga ada kalanya menyebabkan ketegangan kepada orang lain dan diri sendiri khususnya. Semoga kesombongan itu akan terhindar daripada kalian. Semua yang ada pada kita sebenarnya bukan milik kita. Mungkin hari ini kita dikurnia dengan pelbagai kehebatan, namun esok lusa tidak kita ketahui akibatnya. Aku juga berharap dan berdoa dalam kalangan rakan kenalan yang sering bercakap besar dan berbicara kasar waima dengan golongan lebih tua agar dapat berubah dengan menjadikan ketinggian ilmu cerminan diri dengan menghadirkan diri sebagai seorang yang berhemah ketika berbicara waima dengan kanak-kanak sekalipun. Kata orang tua-tua ' kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana' akan dapat dijadikan panduan meneruskan legasi adab dan akhlak dalam budaya kita Melayu ini dan memperelok akhlak menurut syariat Islam.

        Tiada ruginya kita bersikap rendah hati mahupun rendah diri sekalipun, dalam keadaan berpada-pada untuk mengelakkan kesombongan itu mengikat diri. Tidak akan hilang bisa andainya ular menyusur akar. Ilmu itu tidak akan hilang jika kita mengatakan tidak tahu kepada sesuatu yang kita tidak pasti. Malah banyak ulama dan cerdik pandai yang sering mengatakan Wallahualam pada sesuatu yang mereka tidak pasti, atau sesuatu yang mereka tahu namun mungkin memudaratkan jika dinyatakan. Sebagaimana Ibnu Sirin yang bijak mentafsir sesuatu mimpi yang kadangkala tidak menjawab soalan orang yang bermimpi atas kebijaksanaan menimbangkan kemudaratan kepada pendengarnya.
       Sedikit sekali dalam kalangan kita akan merendahkan kedudukan, status, tahap dan seumpamanya apabila sudah berada di puncak kegemilangan. Tiada yang lebih hebat daripada Allah Subhana wa Taala.. maka untuk apa kita mendabik dada menyatakan kehebatan itu berdegar-degar sedangkan semua itu membawa musibah kepada diri. Tidak juga salah mencari kehebatan dalam hidup kita, asalkan kita sedar kehebatan sebenar adalah milik Maha Pencipta..
       Aku mencatat atas dasar penafsiran kendiri. Seringkali sudah aku nyatakan dan catatan ini adalah rakaman peringatan untuk diriku yang sentiasa alpa... terkadang menjadi sombong, ujub kepada diri sendiri dan riak. Semoga aku akan cepat sedar sekiranya aku terlanjur melakukannya. Semoga setiap orang daripada kita ini akan segera ingat dan mengingatkan dalam perjalanan kita mendapat keredhaan Allah. Tiada yang lebih membahagiakan selain menemukan cinta Allah dan RasulNYA dalam hati kita, insyaAllah..
       Cukup sudah setakat ini dahulu catatanku kali ini... semoga yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan. Bukan semua catatan ini bermakna dan bukan semua juga menjadi sia-sia. Yang baik itu datang daripada ALLAH dan selainnya adalah kelemahan diriku sendiri. Semoga perkongsian ini bermanafaat dan dapat dimanafaatkan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan